Wednesday, June 08, 2011

Tragedi Harumanis






Sekilo buah mangga Harumanis berharga RM12 hingga RM14, biasanya boleh dapat dua hingga tiga biji sahaja. Jika pergi ke kawasan kampung, kita boleh dapat RM9 sekilo. Harga Harumanis jarang turun kerana musimnya hanya sekali setahun.

Harumanis adalah spesis buah mangga yang berkualiti dan boleh membesar dengan baik di Perlis sahaja. Sebabnya adalah cuaca yang sangat sesuai dengan pokok ini. Isi Harumanis agak kekuningan dan rasanya sangat manis. Di Perlis, ladang buah ini terletak di Sungai Batu Pahat dan ditanam khusus untuk eksport ke Jepun dan Korea Selatan. Namun, pihak Jabatan Pertanian turut menjualnya kepada pembeli tempatan dalam kuantiti yang mencukupi sahaja. Harga Harumanis eksport lebih tinggi dan permintaannya sentiasa meningkat.

Kehebatan Harumanis menarik minat ramai penjual buah untuk meletakkannya di gerai jualan biar pun harganya yang mahal. Di sepanjang jalan Kuala Perlis-Changlun, gerai-gerai buah berderet dan bersusun. Pengunjung dan pelancong luar boleh tawar-menawar dan memilih buah mangga kegemaran masing-masing.

Tarikan terhadap Harumanis menyebabkan ladang tanaman buah itu diceroboh. Hampir satu lori buah mangga Harumanis cuba dibawa lari pada waktu malam oleh pencuri yang berminat untuk menjualnya di pasaran. Di kawasan kampung, seorang nenek kempunan membawa Harumanis kepada anak cucunya di Pahang apabila pokok mangga yang lebat dikebas orang. Oleh kerana terlalu menjaga buah Harumanis dan tidak mahu menjual kepada seorang pembeli, nenek ini membalutnya dengan kertas surat khabar. Satu hari, dia bangun pagi dan melihat helaian surat khabar bertaburan di bawah pohon Harumanisnya.

Di sebuah pejabat, seorang ibu yang sedang hamil mengidam hendak makan Harumanis. Rakannya membawa dua kilo buah ini dari Perlis lalu diberikan kepada seorang staf yang kemudiannya diberikan pula kepada staf lain dan terus masuk pantri. Tanpa segan-silu, staf-staf yang berkunjung ke pantri mula membelek, memegang dan terus memotong Harumanis tanpa menyedari buah berkenaan untuk rakan mereka yang sedang mengidam. Apabila ditanya ke mana buah Harumanis yang diamanahkan, masing-masing diam. Nampak sangat staf di situ sangat suka akan Harumanis dari Perlis ini.

Mangga Harumanis Perlis akan terus dicari kerana rasanya yang manis dan kualiti buah ini belum dapat ditandingi oleh mana-mana buah mangga setakat ini. Harumanis dari Thailand berharga RM4 sekilo tetapi rasanya sangat jauh beza. Oleh kerana rasanya, Harumanis akan terus meninggalkan tragedi, sama ada suka mahupun duka.

No comments:

Post a Comment