Kaji selidik oleh Ernst and Young Advisory Services mengenai usahawan seluruh dunia mendapati 45 peratus responden memulakan bisnes selepas berumur 30 tahun. Hasil kaji selidik ini juga menilai kriteria penting yang menjadi pilihan untuk bergelar usahawan dengan meletakkan pengalaman sebagai elemen paling penting dalam menentukan kejayaan bisnes, diikuti pendidikan tinggi dan pemilihan mentor. Tidak seperti yang kita fikirkan, kaji selidik ini melihat asuhan bukannya penting dalam membentuk pemikiran seorang usahawan.
Mencari wang ketika usia muda seterusnya menjadi kaya adalah impian setiap usahawan. Mereka berusaha mencari ruang dan peluang mencipta keajabaian melalui pelbagai sumber dan teknologi, malah ada yang sanggup melabur beribu-ribu ringgit untuk membina imej dan jaringan sosial dalam perniagaan.
Dalam mengejar impian menjadi jutawan, rata-rata usia usahawan ini meningkat sedikit demi sedikit membawa sekali kesihatan mereka. Ada usahawan yang sudah mendapat serangan angin ahmar atau stroke ketika berada di puncak kejayaan, ada yang terpaksa membuat pembedahan pintasan jantung dan ada yang sentiasa berjaga-jaga ketika makan untuk mempastikan paras gula dalam darah tidak naik.
Di samping bijak mencari wang, usahawan muda juga perlu bijak menjaga kesihatan diri. Tekanan darah, paras kolestrol dan keadaan jantung sentiasa kena diawasi supaya kekayaan yang dicari tidak berakhir dengan tragedi. Ketika tubuh badan masih sihat dan kuat, usahawan muda ini bekerja siang dan malam dengan rehat yang minimum. Apabila badan sudah letih dan lelah, hanya menunggu masa untuk rebah. Apa guna mencari wang untuk membina rumah yang besar tetapi duduk berehat di hospital, apa guna membeli kereta mahal tetapi orang lain yang bawa.
No comments:
Post a Comment