Friday, June 10, 2011

Cabaran PhD







Belajar di peringkat doktor falsafah atau PhD adalah impian setiap orang yang berminat dengan ilmu dan keintelektualan. Ia menjadi semangat yang membara kepada mereka yang benar-benar hendak memiliki tahap kesarjanaan yang tulen dan berkualiti. Hidup terasa puas apabila menggenggam ijazah PhD selepas bertungkus-lumus mengharungi semua proses yang melayakkan diri untuk bergelar ‘doktor’. Tidak semua orang yang memiliki sarjana ingin menyambung pengajian ke peringkat paling tinggi atau doktor falsafah ini. Banyak faktor yang menghalang mereka untuk belajar. Antaranya ialah keperluan kewangan, minat, dorongan dan isu-isu keluarga. 

Bagi bakal calon PhD, semua faktor ini menjadi cabaran untuk merealisasikan citi-cita dan impian yang telah lama berakar umbi. Katakan kewangan yang cabaran. Pelajar yang mendapat tajaan di sepanjang pengajian tidak perlu berfikir yuran pengajian atau wang perbelanjaan kerana semua urusan kewangan telah selesai. Lain pula bagi pelajar yang membiayai sendiri pengajian. Mereka perlu ligat berfikir dari mana hendak mendapatkan sumber kewangan untuk belajar. 

Ada yang menggunakan wang simpanan, mengeluarkan caruman KWSP, membuat pinjaman bank dan berhutang. Ketika pelajar ditaja kosong fikiran dengan masalah wang, pelajar persendirian kusut-masai memikirkan masa depan pengajian mereka. Cabaran lain yang tidak kurang hebatnya ialah belajar sambil berkeluarga. Belajar adalah satu tugas, berkeluarga adalah satu tanggungjawab. Kerja mesti berjalan, jika tidak tentu tidak dapat makan.


Ketika berkeluarga, kaedah pembelajaran amat berbeza kerana sebahagian masa produktif diperuntukkan untuk keluar. Melayan suami, memberi khidmat kepada isteri dan menyantuni anak-anak adalah tanggungjawab dan amanah. Jadi, di mana masanya hendak mentelaah, membaca, berfikir atau mencari bahan? Setiap orang ada 24 jam sehari, jadi pandai-pandailah mencari masa sendiri! Calon PhD mesti memiliki ciri-ciri khusus yang membolehkan mereka meneruskan pengajian dan menguasai ilmu yang melayakkan mereka digelar sarjana.

Ciri pertama ialah kemampuan membuat kajian sendiri yang tulen. Ketulenan kajian ini menunjukkan tahap kesediaan calon untuk meneroka bidang-bidang baru yang masih ada ruang untuk dikaji. Menghasilkan kajian yang berkualiti bukannya senang malah perlukan pengorbanan yang banyak. Aktiviti membaca, berbincang, hadir kuliah dan menguasai sumber maklumat perlukan kemahiran melalui proses yang panjang.

Ciri kedua berkaitan kualiti diri calon yang bermotivasi tinggi menjayakan proses pembelajaran. Maksud kualiti diri ialah memiliki tahap keyakinan yang akan mendorong calon melengkapkan pengajian biarpun mengambil tempoh yang panjang. Ada sesetengah calon yang melepasi tahap pembentangan cadangan kajian namun gagal dan menangis sebaik sahaja diasak ketika sesi ‘viva’. Ada juga calon yang telah melepasi semua proses wajib untuk bergraduat tetapi diminta menambah satu semester kerana pihak senat universiti tidak berpuas hati dengan kualiti tesis.

Ciri ketiga, keempat, kelima dan seterusnya boleh ditanya kepada penyelia-penyelia calon PhD kerana ciri-ciri ini tidak jauh beza antara satu sama lain.Satu ciri yang kita ingin kongsi ialah keupayaan calon menyusun tesis mereka. Ia bermula dari mengenal pasti masalah (problem), diikuti persoalan kajian (research question), objektif kajian, seterusnya metodologi dan diakhiri dengan hasil dapatan (findings).

Andai calon dapat menyusun urutan ini dalam tesis dan ‘viva’, lebih mudah bagi mereka untuk bergraduat. Memegang status calon PhD adalah gelaran yang sangat besar, hebat dan gah. Hanya selangkah lagi untuk bergelar pakar dalam ilmu yang dipelajari. Peranan pakar ini sangat bermakna kerana orang lain akan datang kepada pakar untuk menyelesaikan masalah.

Malah ada yang sanggup memberi bayaran bagi mendapatkan khidmat nasihat dan idea. Tidak hairanlah, seorang calon PhD tidak boleh duduk senang-lenang, masa mesti diisi dengan membaca, membuat rujukan, berbincang dan berfikir untuk menyelesaikan kajian. Keluarga dan rakan-rakan yang memberi sokongan adalah sumber dorongan yang kuat namun berdoa dan berharap kepada Allah swt adalah daya motivasi paling hebat untuk mencapai impian bergraduat dan bergelar ‘doktor’.


2 comments:

  1. Anonymous11:46 PM

    Saya sokong 100%. Tanpa doa dan kekuatan dari Allah, saya rasa saya mungkin sudah jadi gila atau mungkin terjun bangunan atau lari ke tembok china! Doakan saya dan PhD saya selamat sampai ke penghujungnya tak lama lagi. Aminnn

    ReplyDelete
  2. i have difficulty in managing time with study ad family, 3 kids, overseas

    ReplyDelete