Pengertian Konflik
Mengikut Asmawati Desa (2002), konflik adalah satu situasi di mana dua atau lebih keperluan, matlamat atau tindakan yang tidak boleh seiring bertanding di antara satu dengan lain. Konflik juga boleh diertikan sebagai perbezaan pendapat. Daripada dua pengertian ini dapatlah kita melihat bahawa konflik merupakan satu situasi semula jadi kepada kumpulan komuniti dan juga perhubungan. Konflik selalunya ditekankan sebagai keharmonian kelompok.
Konflik dapat merangsang pendapat dan pandangan pemikiran baru yang boleh menjana penyelesaian kreatif dan memastikan kelompok bersedia dengan berbagai-bagai kehendak ahli kelompok tersebut. Justeru itu secara keseluruhan, kumpulan akan menjadi lebih bertanggungjawab. Potensi untuk konflik wujud apabila terdapat perhubungan di antara kelompok manusia yang melibatkan satu atau lebih daripada keadaan berikut:
a. Percanggahan matlamat atau kehendak
Jika seseorang ingin membeli rumah dan kereta secara serentak pada satu masa tetapi di luar kemampuannya pada ketika itu, maka akan menimbulkan rasa kecewa kerana hanya satu keinginan yang dapat dicapai pada ketika itu.
b. Perbezaan idea untuk melaksana kaedah mencapai matlamat
Sekumpulan guru sedang mencari kaedah untuk meningkatkan prestasi pelajar yang gagal menguasai bahasa Inggeris, ada guru berpendapat dilaksanakan kelas tambahan, manakala sebilangan kecil lagi berpendapat diadakan klinik untuk pelajar yang benar-benar lemah sahaja.
c. Tidak cukup kefahaman, perasaan dan nilai yang disembunyikan.
Seorang remaja perempuan yang berada di dalam keadaan serba salah, sama ada untuk menurut kehendak ibu bapanya yang tidak suka anak gadis keluar rumah atau keluar juga untuk bertemu teman lelakinya tanpa pengetahuan ibu bapanya.
Sebab-sebab Berlakunya Konflik
Konflik berlaku disebabkan perkara-perkara berikut:
1. Kurang komunikasi di antara ahli kelompok akan mengakibatkan ahli kelompok gagal memahami idea dan perasaan di antara satu dengan lain. Justeru akan menimbulkan jurang di dalam proses interaksi mereka. Maka akan berlaku kecenderungan persepsi negatif yang menyebabkan provokasi yang memudaratkan kelompok.
2. Nilai konflik terhasil daripada perbezaan sikap, jangkaan dan kepercayaan di kalangan ahli-ahli kelompok. Ini akan mempengaruhi keputusan dan tindakan mereka.
3. Kurang keberkesanan kepimpinan di dalam membuat keputusan untuk mencapai sesuatu kata putus tentang siapa yang akan bertanggungjawab dalam menentukan keputusan dan bagaimana hendak melaksanakan sesuatu keputusan adalah merupakan punca konflik dalam apa jua keadaan.
4. Kegagalan dan kesukaran dalam memahami peranan masing-masing akan menyebabkan jangkaan berbeza di kalangan mereka. Oleh itu mereka melihat matlamat dan kepentingan mengikut pandangan peribadi masing-masing.
5. Produktiviti yang rendah pula menyebabkan konflik di dalam kelompok. Mereka akan menjadi cenderung untuk mengkritik di antara satu satu dengan lain.
6. Ketidakseimbangan berlaku akibat daripada perubahan diri dan persekitaran.
7. Konflik yang tidak dapat diselesaikan tentu akan melahirkan konflik-konflik sampingan lain yang boleh meninggalkan kesan dalam masa yang panjang di kalangan ahli kelompok.
Kaedah Menangani Konflik
1. Menghindari - Apabila ahli kelompok cuba mengelak konflik, mereka tidak bersedia untuk mempertahankan keinginan sendiri ataupun untuk membantu orang lain mendapat apa yang mereka mahu. Sebagai contoh, mereka tidak campur tangan dalam urusan kerja yang melibatkan orang lain di pejabat.
2. Berkompromi – menggunakan kaedah perundingan dan penawaran bagi memisahkan sebarang perbezaan. Kompromi memerlukan persetujuan ramai untuk mendapat keputusan “menang-menang”. Hikmah di sebalik berkompromi akan dapat menghasilkan kejayaan kecil daripada tanpa apa-apa hasil.
3. Undian – satu kaedah berhemah di dalam menangani konflik. Walau bagaimanapun undian dapat dilaksanakan seperti berikut:
a. ahli kelompok menukar pendirian asal mereka setelah diyakinkan.
b. ahli kelompok percaya dan memberi komitmen bagi meneruskan perhubungan.
c. ahli kelompok akan akur kepada keputusan majoriti.
4. Arbitrasi – adalah hasil daripada strategi tempur apabila dua pihak yang mempunyai kekuatan yang seimbang dan hak yang sama telah menemui jalan buntu. Ketika inilah peranan pihak ketiga diperlukan untuk memberi kata putus. Masalah akan timbul apabila pihak yang kalah menganggap keputusan yang dibuat itu tidak adil kerana tidak menyebelahinya. Rasa tidak puas hati ini akan berterusan menjadi dendam yang mungkin akan diungkit di kemudian hari.
5. Bekerjasama – usaha menghimpun ahli-ahli yang terlibat dalam konflik bagi mencapai penyelesaian yang dapat menyatupadukan semua ahli melalui persetujuan bersama.
Kesimpulan
Kadang kala seseorang individu di dalam kelompok harus berhadapan dengan lebih daripada dua pilihan dan besar kemungkinan pula setiap pilihan adalah separuh positif dan separuh negatif. Jadi mungkin boleh dikatakan bahawa kebanyakan konflik yang dialami oleh manusia adalah bersifat mendekati – mengelak berganda; konflik antara dua atau lebih matlamat yang mana setiap matlamat adalah separuh positif dan separuh negatif.
Rujukan
Asmawati Desa. (2002). Psikologi Untuk Golongan Profesional. Kuala Lumpur: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment