Monday, June 06, 2011

Negara berkebajikan, harapan PAS untuk Malaysia






Pemilihan barisan kepimpinan baru Parti Islam SeMalaysia (PAS) tahun ini telah menunjukkan proses demokrasi berlangsung dengan sangat matang. Tokoh-tokoh parti yang menawarkan diri untuk bertanding memiliki kewibawaan masing-masing dan cenderung untuk memperkasa jentera parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya yang akan datang. Selepas keputusan diumumkan, kebanyakan penganalisis politik berpendapat barisan kepimpinan baru ini adalah persediaan PAS untuk melangkah lebih jauh dalam menentukan politik Pakatan Rakyat dan lanskap politik Malaysia.

Perhatian media dan orang ramai ke atas PAS semakin terserlah selepas menjadi komponen Pakatan Rakyat dan menguasai Kelantan, Kedah dan Perak (melalui jawatan menteri besar). Reaksi golongan muda lebih menonjol ketika ini selepas PAS dapat mengurangkan imej pak lebai dan pak haji dengan menyuntik imej profesional dan dinamik melalui Nasharudin Mat Isa, Husam Musa dan Salahudin Ayub. Imej yang dipancarkan oleh Salahudin memberikan suntikan segar kepada golongan muda profesional yang mahukan Islam dengan pakaian moden. Justeru penampilan Salahudin yang berjaket, bertali leher dan berbicara soal globalisasi dan perkembangan semasa dunia telah menarik minat golongan itu untuk bersama-sama PAS. Gabungan ulama dan profesional dalam barisan kepimpinan baru ini dilihat melonjakkan imej PAS kepada semua peringkat pengundi.

Seperkara yang menarik dalam muktamar kali ini ialah kesediaan DAP untuk menerima undangan PAS. Umum mengetahui, sebelum pembentukan Pakatan Rakyat, amat payah bagi PAS mengajak DAP duduk semeja kerana berbeza ideologi dan teras perjuangan. PAS dengan idea negara Islam dan DAP dengan konsep Malaysian Malaysia umpama tidak dapat disatukan. Pemecatan Anwar Ibrahim dari UMNO, kabinet dan kerajaan merupakan titik tolak kepada pembentukan kerjasama PAS dan DAP dalam politik negara untuk menumbangkan Barisan Nasional. Jika dapat dikatakan, pencapaian terhebat Anwar Ibrahim ialah memuktamadkan usaha-usaha ke arah persefahaman PAS dan DAP melalui Pakatan Rakyat. 

PAS dan DAP yang berbalah tidak akan dapat membentuk kerajaan di peringkat persekutuan. Hanya melalui kerjasama yang kukuh mampu menukar impian kepada realiti. DAP tidak akan menjadi parti tunggal yang berkuasa dalam politik Malaysia kerana tidak semua pengundi Melayu, Cina dan India suka kepada ideologi sempit dan anak-beranak Lim dalam kepimpinan parti itu. PAS juga tidak dapat membentuk kuasa politik tunggal kerana terdapat masalah dalam menarik pengundi bukan Islam kerana setiap masa media mengaitkan PAS dengan imej negatif Islam.

Bagaimana konsep negara berkebajikan dapat mengubah sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat? Adakah usaha ini menjadi permulaan kepada kejayaan parti itu untuk mentadbir negara?

Konsep negara berkebajikan telah dilaksanakan dengan sangat berjaya ketika era pentadbiran khalifah Umar Abdul Aziz walaupun tempohnya cukup singkat. Rakyat khalifah Umar ketika itu tidak ada yang miskin kerana semua keperluan hidup telah dipenuhi oleh negara menjadikan kehidupan mereka sejahtera dan selamat. Selain faktor kewangan, konsep kebajikan turut dipanjangkan dalam maksud kebajikan sosial dan keselamatan.

Berbeza dengan konsep negara berkebajikan model Barat ketika ini. Kemakmuran kehidupan rakyat diukur dalam bentuk tahap pendapatan, kadar celik huruf, penggunaan teknologi dan kemajuan dalam aspek perumahan, pengangkutan, kesaksamaan gender, kesihatan, pendidikan dan persekitaran. Ciri-ciri negara berkebajikan ala Barat tidak menjadikan pelaksanaan hukum-hakam agama sebagai satu bentuk pengukuran menyebabkan wujud kepincangan sosial yang melampau dalam kehidupan seharian masyarakat.

Kejadian jenayah sentiasa berlaku di Amerika Syarikat menyebabkan beban kos pentabiran negara terpaksa dilebihkan kepada usaha mengurangkan kadar jenayah. Melalui sistem ekonomi kapitalis, golongan kaya berfikir untuk menambahkan harta manakala golongan miskin dan papa kedana berfikir untuk mencuri dan merompak bagi mengisi perut yang kosong. Penzina dan anak luar nikah tidak menjadi masalah kerana kedua-dua perlakuan ini sudah diterima dan menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Barat.

Sudah tentu PAS tidak mahu menjadikan Barat sebagai model negara berkebajikan. Tanpa pelaksanaan hukum-hakam dan syariat hidup Islam, apa gunanya mendapat kuasa. Menjadi hasrat setiap orang Islam untuk melihat agama mereka diletakkan pada tempat yang mulia, pelaksanaan Islam sebagai cara hidup dilaksanakan dan keadilan sosial yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat. Barangkali model ini yang sepatutnya menjadi pilihan PAS untuk menjayakan negara berkebajikan kepada seluruh rakyat Malaysia.


 
Post a Comment