Tuesday, June 28, 2011

“Kini suara semua boleh didengar...”







oleh Karim Raslam

Minggu lalu minggu Air Asia. Dari CNBC ke BisnisAwani, dari Star Biz ke Financial Times: tempahan besar untuk pesawat Air Asia di Pameran Udara Paris jadi tajuk utama berita pasaran di seluruh dunia.
Syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Asia dari segi jumlah penumpang itu melapor perjanjian yang memecah rekod sejumlah USD 18 bilion untuk membekalkan 200 A320 Neos sepanjang tempoh 15 tahun. Tempahan ini merupakan yang ketiga terbesar dalam sejarah syarikat Eropah itu, di belakang syarikat penerbangan Emirates dan Qatar Airways.

Sudah tentu keseriusan Air Asia sering bertopeng sifat bosnya yang suka berlucu. Perhatikan nombor berikut: pada suku pertama 2011, Air Asia mencatat keuntungan bersih RM171.9 juta dan purata pendapatan bersih tahunan sebanyak 57 peratus sejak 2004. Menurut akhbar Financial Times, syarikat penerbangan kos rendah tersebut telah mengatasi prestasi industri, 129 peratus.

Setakat ini semuanya baik: tetapi bolehkah Air Asia beri kita satu lagi pengajaran? Mampukah syarikat Tony Fernandes yang cekap, profesional dan ada jaringan sosial meluas dan responsif itu memberi pengajaran kepada Malaysia yang semakin luntur, kurang transparen, sangat feudal, berpolarisasi dan tidak bersatu?

Berikut tiga faktor yang boleh kita pelajari daripada Air Asia:

Pertama, Air Asia seperti semua perniagaan lain yang bijak, cepat mempelajari dan menyesuaikan diri kepada persekitaran barunya. Sesungguhnya keupayaan syarikat penerbangan ini untuk memahami dan menghadapi perundangan, budaya dan geografi berbeza merupakan unsur utama kejayaannya.

Walau bagaimanapun, ini bukan sifat yang hanya diperoleh Air Asia kerana orang Malaysia juga memperoleh keupayaan sama untuk menyesuaikan diri dan mencapai kejayaan di mana-mana sahaja di seluruh dunia.

Sebenarnya, kelebihan yang luar biasa ini berpunca dari etos berbilang kaum dan agama kita – kehidupan seharian kita yang kaya dengan kepelbagaian– sesuatu yang patut kita raikan. Faktor kedua merupakan sifat syarikat penerbangan ini yang seratus peratus terbuka dan mampu menerima pelbagai kritikan. Keterbukaan ini membuatkan syarikat ini sangat responsif terhadap pengguna.

Begitu juga dengan Malaysia, dapat meraih manfaat yang besar jika melepaskan media daripada belenggu peraturan. Sesungguhnya, maklum balas dan pemerhatian rakyat dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran negara.

Sememangnya sifat santai, Tony telah diterjemahkan kepada gaya pengurusan yang menekankan hasil dan tidak mementingkan hierarki, sesuatu patut dicontohi oleh Malaysia yang obses dengan protokol.

Syarikat ini yang menggaji 4,500 kakitangan di beberapa negara berbeza, ada struktur organisasi yang rata; proses membuat keputusan yang didemokrasikan; tenaga kerjanya yang jujur dan diberi kuasa.

Faktor ketiga, obsesi Air Asia dengan harga dan perbelanjaan. Pelancong yang menaiki penerbangan Air Asia tahu akan kegunaan setiap bayaran dan yang sama adalah benar bagi struktur syarikat ini kerana transparensi dan tanggungjawab meresapi setiap proses.

Kita tahu rakyat Malaysia sedang memerhati dari jauh! perebutan untuk kontrak mengembang MRT Kuala Lumpur. Sebagai rakyat kita mahu sedikit pengetahuan tentang cara duit cukai hasil titik peluh mereka dibelanjakan.

Kesimpulannya, walaupun Air Asia syarikat perniagaan dan model yang hebat, sayangnya ia tidak dicontohi rakyat dan kerajaan Malaysia khususnya.

Kita memerlukan sebuah kerajaan yang responsif dan jujur – menunjukkan ia boleh uruskan kewangannya dengan kukuh kerana seharusnya ia membuat keputusan berdasarkan kos. Selain itu, kita memerlukan kerajaan yang sedia mendengar, kreatif dan inovatif supaya kita dapat berada di hadapan di dunia yang semakin kompetitif ini.

Pada masa sama, kita memerlukan kerajaan yang mengembangkan modal insannya, sama seperti cara Air Asia membentuk pramugara dan pramugarinya jadi juruterbang dan kru daratnya untuk menjadi jurutera.

Err, kesimpulannya... mungkin kita memerlukan Tony untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan moto kebangsaan ‘‘Kini Suara Semua Boleh Didengar’’.

(Sinar Harian, 28 Jun 2010)

No comments:

Post a Comment