Tuesday, June 07, 2011

Trauma banjir di Orchard Road





Suasana banjir adalah lumrah di bandaraya Kuala Lumpur apabila hujan berterusan empat hingga lima jam. Ancaman banjir sangat kritikal menyebabkan kerajaan Malaysia membina terowong SMART untuk mengalirkan air ke kawasan tadahan. Semenjak terowong ini beroperasi, tidak ada lagi ‘maha banjir’ yang wujud di Kuala Lumpur melainkan beberapa kawasan rendah yang masih lagi dalam proses naik taraf.

Di selatan negara, lain pula kisahnya. Hujan lebat yang turun tanpa henti menjadikan kawasan Orchard Road, di mana terletaknya Tanglin Mall dan Forum Shopping Mall dipenuhi air hujan. Keadaan tersebut disifatkan paling buruk untuk beberapa tahun dan ramai yang kecewa dengan pihak berkuasa yang gagal mengaktifkan sistem amaran banjir di kawasan berkenaan. Jalan raya ditakungi air hujan, parit dan longkang bertaut untuk menampung arus air yang melimpah-limpah melewati kawasan perumahan, perniagaan dan jalan raya. Perjalanan rakyat Singapura terganggu kerana air menyekat kelancaran pengangkutan umum republik itu.

Singapura dikatakan memiliki sistem pentadbiran dan pengurusan pengangkutan, perumahan dan perniagaan yang terbaik di dunia, namun mala petaka alam tidak dapat dijangka. Kemusnahan akibat banjir ini mendedahkan kepincangan dalam pengurusan parit dan saliran. Melihat kepada gambar dan slaid yang ditunjukkan, mangsa banjir pasti berasa tertekan. Para peniaga terpaksa menanggung kerugian apabila premis perniagaan dimasuki air, jumlah pembeli turut merosot dan barangan jualan banyak yang rosak.

Sama seperti mala petaka alam yang lain, banjir turut meninggalkan kesan trauma ke atas mangsa. Ada yang tidak dapat melelapkan mata sebaik sahaja mendengar rintik-rintik hujan jatuh ke atas bumbung rumah, ada yang berjaga-jaga sepanjang hari sehingga tidak tidur dan ada yang mengambil keputusan berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Masyarakat Singapura jarang mengalami mala petaka banjir seperti ini. Kehidupan mereka berada pada tahap terbaik, kemakmuran ekonomi yang menjulang tinggi dan persekitaran hidup yang selamat. Namun, sekali bah melanda, ia mungkin akan berulang lagi kerana perubahan iklim sedang berlaku. Kerajaan Singapura tidak akan mampu mengalihkan mala petaka banjir melainkan menghadapinya dengan mengurangkan risiko kemalangan jiwa dan kemusnahan harta benda. Mereka boleh fikirkan untuk membina terowong bagi mengalirkan air hujan ke kawasan tadahan supaya tidak ada banjir lagi yang berlaku. Barangkali terowong itu nanti menjadi terowong terbesar dan terpanjang di dunia kerana mereka mampu melakukannya.

No comments:

Post a Comment