Sunday, June 05, 2011

Selesai segera isu 'bir halal'






Isu ‘bir halal’ menjadi hangat sejak beberapa hari lalu selepas pihak berkuasa agama negeri Johor melakukan ujian makmal. Ujian dilakukan selepas mereka mendapat aduan daripada orang ramai berkaitan kandungan alkohol yang terdapat dalam minuman itu. Lebih-lebih lagi apabila keraguan masyarakat Islam di Johor mengenai tidak adanya tanda halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama Islam di negara ini iaitu Jakim. Selepas ujian makmal, kandungn alkohol didapati melebihi aras 0.01 peratus seperti yang dibenarkan oeh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Ini adalah kali kedua pihak berkuasa agama Islam Johor melaksanakan tanggungjawab iaitu dengan mendedahkan kandungan kopi yang disediakan oleh rangkaian kedai kopi terkenal di negeri itu mengandungi babi.

Pihak berkuasa agama Islam Johor telah melakukan tugasnya mempastikan minuman yang masuk ke dalam jasad umat Islam negeri itu adalah halal, tidak seperti negeri-negeri lain. Syabas kepada pegawai-pegawai yang mengambil inisiatif melakukan operasi ini, turun padang selepas mendengar rungutan seterusnya menghebahkan keputusan ujian kepada orang ramai. Kini, kita bertanya kenapa Jakim tidak melakukan perkara yang sama sejak kemunculan ‘bir halal’ ini? Tentunya sudah ramai umat Islam yang berkunjung ke restoran-restoran makanan Arab dan memesan satu atau dua botol bir jenis ini untuk menghilangkan dahaga. Apakah mereka yang meneguk bir ini mendapat dosa, dan jika berdosa, siapakah yang akan menanggungnya?

Makanan dan minuman yang halal menjadi isu yang sangat sensitif kepada umat Islam di Malaysia. Mereka saggup menahan keinginan untuk makan atau mencari alternatif untuk berbelanja lebih mahal semata-mata mempastikan makanan yang masuk ke dalam tubuh mereka adalah halal. Halal dan haram juga berkait dengan penerimaan ibadat khusus mereka seperti solat, yang menjadi tonggak kepada kepatuhan pada ajaran agama.

Pihak berkuasa agama tidak boleh lepas tangan dalam menentukan halal dan haram sesuatu makanan atau minuman kerana mereka diberi tanggungjawab untuk menjaga keperluan umat Islam. Malaysia bukannya negara yang bebas dijual arak kerana ada sekatan dan halangan. Ujian-ujian penentuan kandungan juga sentiasa dilakukan supaya keadaan umat Islam sentiasa dipelihara. Justeru, penarafan di antara sepuluh negara pengguna alkohol paling banyak di dunia tidak meletakkan umat Islam Malaysia sebagai sasaran kerana ia melibatkan masyarakat bukan Islam.

Pihak berkuasa agama perlu lebih prihatin dan mengambil inisiatif melakukan pemantauan ke atas jenis-jenis minuman dan makanan yang diperkenalkan kepada umat Islam di negara ini. Kita sering mendengar penemuan kajian yang merumuskan perubahan kelakuan akibat pengambilan makanan atau minuman tertentu yang merosakkan fungsi fikiran dan tingkah laku. Barang kali perubahan sosial yang sedang membelenggu masyarakat Islam seperti buang bayi, buang anak atau buang ibu bapa ada kaitannya dengan jenis makanan yang masuk ke dalam jasad mereka. 

Pihak berkuasa agama Islam di peringkat negeri dan persekutuan wajar mengambi inisiatif baru dalam menangani ‘bir halal’ ini seperti bertegas dengan status halal, meminta pihak restoran makanan Arab mengeluarkannya dari menu atau mengenakan tindakan ke atas pengedar minuman ini supaya umat Islam tidak lagi tertipu. Selain itu, menteri berkenaan perlu kurangkan bercakap sebaliknya melakukan tindakan supaya kes seperti ini tidak lagi berulang.



1 comment:

  1. Anonymous11:19 AM

    Can u compose a new post and write about "Kemasyarakatan"???
    I think i need de points of masalah kemasyarakatan, punca berlakunya dan cara penyelesaian. If got more etails oso can write...
    Becoz i need it 4 my presentation 4 Pengajian Am, THANKS=)

    ReplyDelete