Kepimpinan politik Amerika Syarikat menjadi isu hangat ketika ini kerana bekas gabenor, Arnold Schwarzenegger menghebahkan beliau mempunyai seorang anak luar nikah. Berita ini menjadi punca perpisahan dengan isterinya. Media negara itu melaporkan ibu kepada anak lelakinya adalah pembantu rumah yang pernah bekerja dengan Schwarzenegger.
Pendedahan ini menarik minat penduduk Amerika untuk memberi ulasan dan komentar masing-masing. Salah satu komentar yang menarik ialah dari Mr Muligan yang berbunyi,
'Many men have true integrity and don't cheat on their wives and father a child with the hired-help, keeping it secret for a decade. This is a man who wanted the power of being the governor...with NO integrity. This is the state of our leadership. Moral decay. It's eaten away at the fiber of what this country -could- have been. Democrat or Republican. These so-called leaders are morally bankrupt.'
Kes moral dan salah laku pemimpin politik berlaku sepanjang zaman. Ada dalam kalangan mereka ini melibatkan pemimpin kerajaan atau pegawai yang tidak dapat menahan keinginan nafsu masing-masing. Akhirnya mereka terperangkap dalam tindakan sendiri dan kemudiannya didedahkan kepada orang ramai.
Bagi pemimpin yang mengaku kesalahan, mereka mengambil tanggungjawab penuh dengan melepaskan jawatan dan secara beransur-ansur tidak melibatkan diri dalam aktiviti sosial kerana berasa malu. Keberanian seperti ini berlaku di Indonesia, Jepun dan negara Barat. Namun ada negara yang memberi kedudukan tertinggi dalam barisan kepimpinan politik walaupun telah mengaku melakukan salah laku seksual, malah warisnya diangkat sebagai pemimpin dan ahli kabinet kerajaan.
Membuat pengakuan atau tidak, pemimpin politik perlu diadili di mahkamah, bukannya di media kerana fakta kes yang lebih jelas dapat diketengahkan di mahkamah. Media bertindak menghangatkan isu dan tidak membuat keputusan yang adil berbanding mahkamah.
Akhlak dan moral seorang pemimpin menggambarkan ketinggian adab dan nilai dalam masyarakat yang dipimpin. Gambaran akhlak yang rendah dalam masyarakat boleh dilihat kepada peribadi pemimpin. Di Barat, kekesalan kerana melakukan tindakan bercakap bohong akan dikutuk kerana masyarakat percaya kejujuran adalah lebih baik.
Mereka menyanjung orang yang bercakap benar kerana kesan daripada sistem pendidikan yang baik. Justeru, mereka berbangga apabila pemimpin bercakap benar tentang salah laku berbanding berbangga kerana melakukan salah laku. Oleh kerana berzina dan mempunyai anak luar nikah adalah lumrah dan diterima, salah laku berkenaan adalah tidak salah dan boleh diterima di sana.
No comments:
Post a Comment