Saturday, May 07, 2011

Amerika: bangsa yang angkuh







Presiden Barack Obama sangat bangga apabila pasukan elit komando SEAL dapat menembak dan membunuh Osama ben Ladin di Pakistan. Sambutan untuk meraikan kejayaan usaha sepuluh tahun mencari musuh nombor satu Amerika dapat dilihat di seluruh negara itu. Mangsa runtuhan bangunan World Trade Centre dapat mengukir senyuman di sebalik kesusahan hidup kanak-kanak dan rakyat Palestin, Iraq dan Afghanistan kerana kezaliman dan kebongkakan pemimpin dan rakyat Amerika. Barangkali Obama duduk bersandar di atas kerusi sambil ketawa puas kerana dapat mengebumikan jenazah Osama di dasar laut.

Ketika pesta meraikan kematian ‘pengganas’ berterusan di Amerika, masyarakat Islam di seluruh dunia tidak begitu keadaannya. Rata-ratanya masih tertanya-tanya adakah benar Osama meninggal dunia ataupun menjadi satu propaganda Amerika sahaja. Sebaik sahaja Osama dibunuh, mayatnya dibawa ke markas tentera Amerika di Afghanistan di mana ujian DNA disahkan. Dari situ, jenazah diterbangkan ke kapal pengangkut U.S.S Carl Vinson. Jenazah dimandi, dikafankan dengan kain putih dan dimuatkan dalam beg pemberat. Seorang pegawai tentera membaca ‘talkin’ dalam bahasa Arab. Kemudiannya, kurang daripada 24 jam selepas dibunuh, jenazah Osama ben Ladin ditenggelamkan ke dalam Laut Arab.

Barack Obama menyifatkan kaedah pengebumian tersebut sebagai ‘sangat menghormati’ jenazah Osama.

Dalam serangan oleh pasukan komando SEAL Team Six (ST6) di wilayah Pakistan, berhampiran akademi terntera yang terbaik di negara itu, pencerobohan ke atas kedaulatan wilayah Pakistan adalah terang-terangan dilakukan oleh Amerika Syarikat. Umpama lagak ‘cowboy’ pasukan ST6 ini bergerak melakukan misi membunuh dengan restu Barack Obama. Dalam reaksi balas, kerajaan Pakistan mengehadkan hubungan dengan tentera Amerika kerana terkilan. Walau bagaimanapun persoalan yang tidak dapat dijawab ialah bagaimana Osama ben Ladin boleh berada di wilayah Pakistan selama enam tahun tanpa dapat dijejak?

Hubungan Pakistan-Amerika telah pun muram sebelum serangan bermula kerana Pakistan dikatakan gagal memusnahkan kumpulan Taliban yang berkumpul di negara itu. Di sebalik hubungan muram ini, Amerika perlukan bantuan Pakistan bagi menyalurkan bekalan kepada pasukan NATO di Afghanistan. Sehingga kini tentera Pakistan diberi lebih daripada $10 bilion dalam bentuk bantuan ketenteraan sepanjang satu dekad lepas untuk memerangi puak Taliban.

Kebanyakan individu Islam yang dikehendaki oleh Amerika dipercayai berada di Pakistan termasuklah Ayman al-Zawahri, Mullah Omar dan Siraj Haqqani. Selepas modus operandi Osama dikaji, lebih mudah bagi Amerika untuk menjejaki pemimpin-pemimpin lain.

Badan perisikan Amerika, CIA mengambil masa untuk melakukan operasi khas ini. Ketika kediaman Osama dikenal pasti pada Ogos tahun lalu, peralatan canggih disediakan dan semua kemungkinan diambil kira. Penggunaan satelit, mengkaji perlakuan manusia di sekitar kediaman, mengenali individu keluar masuk malah mencuri dengar perbualan dari dalam rumah. Teknologi ini tidak dimiliki oleh Osama. Musuhnya memiliki kelebihan untuk menjejak dan membunuhnya dengan mudah.

Pada Amerika, Osama ben Ladin adalah mush tetapi kepada kanak-kanak, wanita, orang tua dan rakyat yang tertindas kerana kezaliman Amerika, beliau adalah seorang hero yang berani melawan keangkuhan satu bangsa yang bangga melakukan pembunuhan demi pembunuhan, mencipta kematian demi kematian di atas rintihan dan air mata orang yang lemah.



 

No comments:

Post a Comment