Kisah dua orang penumpang kapal terbang Delta di Amerika Syarikat yang dilarang menaiki penerbangan berkenaan mendapat perhatian berita utama. Ia menjadi menarik kerana kedua-dua penumpang ini adalah Islam. Seorang daripadanya Masadur Rahman, pensyarah profesor Arab di Universiti Memphis manakala Mohamed Zaghloul, seorang imam di Islamic Association of Greater Memphis. Mereka diminta untuk melalui proses pemeriksaan keselamatan tambahan sebelum dibenarkan berlepas.
Puncanya bukan kerana pihak berkuasa lapangan terbang yang enggan membenarkan mereka berlepas sebaliknya juruterbang yang enggan membawa mereka terbang.
Masadur Rahman berkata, keadaan ini berlaku kerana salah faham yang sangat tebal ke atas Islam lebih-lebih lagi selepas kejayaan komando SEAL Amerika Syarikat membunuh Osama ben Ladin. Ketakutan ke atas kehadiran umat Islam dalam budaya Amerika telah merebak dengan pantas dan cergas tanpa ada gerakan yang kuat bersaing untuk membetulkan persepsi berkenaan. Stigma ke atas budaya dan impak Islam ke atas masyarakat Amerika semakin meningkat jika kes ini dijadikan ukuran. Bayangkan jika ada perkara lain berlaku yang berkaitan kesihatan, perubatan atau keperluan-keperluan lain.
Kedua-dua penumpang tersebut akan menghadiri persidangan Imam Amerika Utara di mana kedua-duanya dijangka mengetuai doa dan sembahyang. Kali ini persidangan membincangkan Islamophobia dan diskriminasi dalam kalangan masyarakat Islam Amerika. Pengalaman mereka di lapangan terbang boleh dijadikan isu perbincangan dalam persidangan supaya satu resolusi yang konkrit dapat dilaksanakan.
Keupayaan menyalurkan maklumat berkaitan Islam, cara hidup dan budaya masyarakat Islam di Amerika Syarikat amat sukar kerana persepsi yang dibentuk lebih awal terhadap Islam dan masyarakatnya. Dalam media, filem dan bual siri televisyen, Islam dikatakan sukar menerima perubahan dan sering kali disalah tafsir. Media menggambarkan Islam sebagai berserban, berjambang dan wanita Islam mesti memakai jilbab, lelaki dan wanita yang bukan muhrim tidak boleh menyentuh tangan dan sebagainya. Semua ini ditonjolkan sebagai ajaran Islam yang dipersepsikan sebagai ekstrem berbanding budaya Barat yang sekular dan telah sampai ke puncak kebebasan.
Lebih banyak usaha dan inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh tokoh-tokoh pemikir Islam, pemimpin-pemimpin Islam dan pertubuhan dakwah supaya masyarakat Amerika dapat menerima dan mengubah persepsi terhadap Islam dan masyarakatnya. Kes yang berlaku ke atas dua orang penumpang Islam tadi dapat dijadikan iktibar supaya imej Islam dapat diperbaiki. Biar pun mengambil masa 10 tahun, 30 tahun atau 50 tahun, usaha dan inisiatif untuk memahamkan Islam mesti dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment