Saturday, May 14, 2011

Cuci kereta





Pemandangan biasa tempat cuci kereta
(Gambar hiasan)


Di Batu Berendam, Melaka, ada dua buah premis yang menjalankan perniagaan mencuci kereta. Kedua-duanya meletakkan papan tanda ‘Car Wash Open’ di hadapan premis masing-masing. Kedua-duanya juga berhampiran jalan raya dan sentiasa boleh dilihat oleh pengguna jalan raya. Premis pertama, ada pintu gerbang, berhampiran lapangan terbang, keadaan agak lengang. Jaluran untuk kereta masuk hanya satu lorong, bermakna pada satu-satu masa hanya sebuah kereta yang boleh dicuci. Pekerja enam orang.

Premis kedua di laluan masuk taman perumahan, sebelah sekolah dan bertentangan kubur. Pekerjanya hampir sepuluh orang kerana jaluran kereta ada dua lorong, bermakna pada satu-satu masa boleh mencuci dua buah kereta. Jika di premis pertama aturan kereta ada tiga atau empat, di premis kedua ada enam buah kereta yang beratur untuk dicuci.

Premis pertama telah lama dibuka manakala premis kedua baru diambil alih pengurusan. Premis pertama pernah memperkenalkan ‘reward card’ di mana pelanggan mendapat satu cucian percuma selepas cucian kelima, namun promosi ini hanya bertahan dalam masa dua bulan. Premis kedua perkenalkan promosi 50 peratus diskaun mencuci, tetapi saya kena bayar penuh sebab ketika cuci, tempoh promosi telah berakhir. Namun kain rentang masih dipasang.

Bisnes cuci kereta tidak perlukan modal besar untuk memulakannya. Perkara paling penting di sini ialah perkhidmatan yang memuaskan hati dan komitmen yang tinggi. Dilihat pada kedua-dua premis, tentulah kita boleh agak premis yang mana satu mendapat untung yang tinggi.

Premis pertama kepunyaan Melayu dan premis kedua kepunyaan Cina.

Saya pernah mencuba kedua-dua pusat cucian ini dan saya lebih menyukai cucian premis pertama kerana lebih teliti, bersih dan ada kualiti. Saya dapati premis kedua kurang tekankan aspek bersih dan ‘finishing’ juga kurang memuaskan. Namun kedua-dua premis mengenakan bayaran sebanyak RM10.

Dalam melihat persaingan bisnes ini, timbul persoalan kenapa perkhidmatan Melayu tadi tidak dapat meluaskan skop bisnes yang diceburi, masih berada pada takuk lama dan suasana premis tetap tidak berubah?

Daripada pemerhatian, saya mengenal pasti beberapa perkara yang tidak ada pada pengusaha ini.

Pertama, pemantauan kualiti. Pekerja boleh menjalankan cucian dengan lebih baik, tekun dan bersemangat jika pemantauan dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa. Bukannya mereka sukar hendak mempamerkan kualiti sebaliknya tunjuk ajar dan teguran membina dari semasa ke semasa boleh menajamkan kemahiran pekerja-pekerja muda yang sentiasa menunjukkan semangat bekerja.

Kedua, peralatan bekerja yang lebih baik. Saya dapati peralatan untuk membersihkan ruang dalam kereta agak daif dan kerap rosak. Pelanggan tidak mahu tahu kenapa tidak boleh vakum ruang dalam kereta kerana beranggapan apabila datang ke premis ini, mereka hendakkan perkhidmatan yang telah diterima sebelum itu.

Ketiga, menaik taraf tempat duduk dan rehat pelanggan. Premis ini agak kecil dan bersebelahan dengan rumah kosong. Adalah lebih baik jika peniaga mengambil inisiatif membuat sedikit pelaburan untuk membina ruang tempat duduk dan menjadikan suasana menunggu lebih ceria. Banyak lagilah faktor yang boleh dijadikan sebagai sebab-musabab kepada kepegunan bisnes ini seperti promosi, profesionalisme dan disiplin kerja.

Dalam bisnes, kejayaan dan kegagalan tidak kenal warna kulit, rupa bangsa atau agama seseorang kerana Allah SWT menjanjikan siapa yang berusaha Dia akan beri kerana semua manusia adalah makhluk-Nya. Biar pun Melayu atau Cina, kejayaan dalam bisnes ditentukan oleh individu itu sendiri.

Jika dia kuat berusaha, bercita-cita tinggi, membina kemahiran-kemahiran baru yang membantunya meningkatkan jualan atau tidak kalah dengan cabaran, Insya Allah dia akan berjaya. Malah bisnes akan lebih berkat apabila dilakukan dengan niat kerana Allah SWT dan dikeluarkan zakat perniagaan.

Akhirnya ahli perniagaan inilah yang akan menjadi bank kepada orang miskin, pemurah dan menginfakkan rezekinya pada jalan Allah. Dalam kes di atas, peniaga Melayu ini boleh berjaya andai mahu membuat perubahan dan menunjukkan minat untuk bersaing.



3 comments:

  1. bagaimana kalau saya yg takda pengalaman mengurus cuci kereta nie nk mulakan perniagaan ini.

    adakah sy kena berkerja sbgai tukang cuci sblm memulakan perniagaan sendiri?

    mohon pandangan..

    -ipoh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya saudara kena belajar dari bawah supaya dapat tahu selok-belok mencuci kereta. Pada masa sama dapat belajar bagaimana hendak urus bisnes ini.

      Delete
  2. Saya:azrul fahmi bin abdullah mencari kejer kosong carwash.di area melaka ade x yg memerlukan perkejer sy perlu kan segera

    ReplyDelete