Monday, May 23, 2011

Agensi kerajaan perlu proaktif







Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, Selangor menjadi tumpuan apabila 16 orang penghuninya terkorban dalam kejadian tanah runtuh. Rata-rata mangsa adalah kanak-kanak dan tidak menyangka kejadian berkenaan akan berlaku dalam sekelip mata. 

Sebaik sahaja runtuhan, curahan simpati dan derma kilat datang dari pelbagai pihak. Kerajaan Selangor khususnya mengambil tanggungjawab menyediakan pelbagai kemudahan dan peralatan untuk membantu mangsa. Namun berita di media melaporkan kerajaan persekutuan lebih terkehadapan dalam memancarkan simpati dan derma. Berita kerajaan Selangor tenggelam begitu sahaja. Bagi yang ingin tahu, mereka akan mencari blog alternatif untuk melihat usaha-usaha yang dilakukan selain daripada usaha kerajaan Satu Malaysia itu.

Tanah runtuh bukan sekali dua berlaku malah banyak kali. Apa yang menjadi kebingungan ialah agensi kerajaan sentiasa terlepas pandang. Kes kali ini melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mengesahkan rumah berkenaan tidak berdaftar dengan mereka. Jadi, rumah itu berdaftar dengan siapa? Setiap kali kemalangan, agensi kerajaan tidak menggunakan pendekatan proaktif untuk memakluman kepada khalayak. Kita tidak nampak tindakan proaktif oleh JKM ini untuk membuat sesuatu tindakan yang utuh. Jika tidak berdaftar, JKM perlu ambil inisiatif mencari dan bantu mereka mendaftar.

Rumah tidak mahu berdaftar kerana banyak sebab. Antaranya, prosedur yang panjang, banyak kerenah dan minta itu dan ini. JKM ada sebab namun pengusaha rumah akan patah semangat untuk memohon andainya terlalu lama menunggu dan birokrasi yang menebal. Sewajarnya agensi kerajaan mencari jalan menyelesaikan isu yang sentiasa mencul ketika musibah supaya tidak ada tuding-menuding.

Saranan perdana menteri suatu masa dulu supaya agensi kerajaan mencari orang miskin boleh menjadi panduan dalam hal seperti ini. Keluar dari pejabat dan cari rumah-rumah perlindungan untuk didaftarkan. Bantu pengusaha dan selesaikan apa-apa keperluan yang dikehendaki, bukannya mengaku tidak tahu-menahu. Persepsi masyarakat ialah agensi yang bertanggungjawab kurang cekap dan perlu diberi ingatan dari semasa ke semasa.
 

No comments:

Post a Comment