oleh Mastura Mohd Zain
Pada hari ini umat Islam berhadapan dengan pelbagai cabaran dan pemikiran, antaranya adalah fahaman pasca modenisme. Era pasca modenisme menyaksikan perubahan nilai terhadap keseluruhan aspek dalam kehidupan manusia. Ia merupakan edisi baru kepada fahaman sekularisme Barat moden.
Fahaman ini disebarkan oleh proses globalisasi melalui kecanggihan teknologi komunikasi dan maklumat. Fahaman pasca-modenisme mementingkan manusia mempunyai kebebasan diri tanpa perlu memikirkan pendapat orang lain. Pasca modenisme menjadi cabaran kerana ia telah mempengaruhi dunia Islam.
Dengan berkembangnya pasca modenisme pada era globalisasi, maka gerakan kebebasan semakin berkembang. Globalisasi mencipta dunia yang berasaskan kepada kepenggunaan. Pertumbuhan budaya kepenggunaan ini merupakan latar belakang fahaman pasca-modenisme.
Akibat sistem kapitalis, manusia menjadi rakus dan gelojoh yang tidak terbatas, menyalahgunakan kebendaan dan kekayaan kurniaan Allah.
Sifat kepenggunaan dan kebendaan ini kemudian menggantikan nilai-nilai moral dan akhlak manusia serta melupakan nilai-nilai keagamaan dan kekeluargaan.
Penyerapan idea pasca-modenisme ini ke dalam jiwa dan pemikiran umat Islam berlaku dalam keadaan yang halus dan tersusun sama ada secara disedari atau tanpa disedari oleh umat Islam. Masyarakat Malaysia tidak terlepas daripada menerima kesan dan impak daripada idea pasca modenisme yang berlaku di seluruh dunia.
Kita dapati golongan wanita juga tidak terlepas daripada menerima corak pemikiran sebegini. Impak daripada kemunculan pasca-modenisme ini menyaksikan kemunculan gerakan gerakan feminis atau hak asasi persamaan gender. Gerakan ini didukung oleh wanita elit dan menengah atasan yang berpendidikan tinggi.
Mereka memperjuangkan soal keadilan sosial, kesaksamaan, hak kemanusiaan, liberalisasi kaum wanita dan pelbagai pendekatan yang berpusat dan menyebelahi kaum wanita. Mereka terpengaruh dengan pemikiran pasca modenisme apabila beranggapan kawalan agama hanya mengekalkan wanita dalam dunia kolot.
Fahaman feminis bertentangan fakta sebenar tentang kedudukan kaum wanita dalam agama Islam yang mengangkat darjat kaum hawa daripada lembah perhambaan.
Wanita merupakan aset yang sangat bernilai serta sumber pembinaan masyarakat penyayang. Nasihat Rasulullah SAW ketika Haji Wida' antaranya, "Aku berpesan agar kamu melayan kaum wanita dengan baik".
Era pasca modenisme juga menyaksikan institusi kekeluargaan semakin rapuh serta tidak mampu lagi membentuk masyarakat yang mempunyai nilai-nilai moral yang tinggi. Ia merupakan kesan daripada arus globalisasi yang menjanjikan dunia tanpa sempadan.
Institusi keluarga yang rapuh agamanya akan menyebabkan anak-anak terjebak dengan gejala sosial tanpa sebarang sempadan agama dan akhlak. Mereka mengejar kebebasan, kemewahan serta berbuat sesuka hati tanpa batasan.
Contohnya yang telah diberikan oleh Prof. Ulung Negara, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal bin Hassan. Satu contoh gerakan yang benar-benar berbahaya dan mencabar budaya manusia bertamadun dan nilai-nilai agama tradisional dan moral yang suci ialah perjuangan masyarakat liberal Barat untuk menjayakan konsepsi keluarga yang tidak lagi terdiri dari lelaki dan perempuan, suami isteri dan anak-anak yang sah.
Konsep ini diperjuangkan pertama kali dalam persidangan United Nations Conference on Population and Development di Kaherah pada 1994 dan kemudian di Beijing pada tahun 1995. Seiring dengan itu diperjuangkan juga supaya dihalalkan hubungan seks sebelum nikah kerana hal ini sudah menjadi lumrah di negara-negara maju teknologi.
Kita dapati pada era pasca modenisme struktur kehidupan sosial masyarakat juga telah berubah. Budaya hidup moden menjadikan masyarakat bersikap individualistik serta tidak mengambil peduli terhadap gejala sosial yang berlaku di sekeliling. Jiran tetangga sudah tidak mengenal di antara satu sama lain.
Masalah-masalah yang dicetuskan era pasca modenisme tidak mungkin dapat diatasi dalam jangka masa yang cepat. Namun perlu ada permulaan dalam usaha-usaha untuk menanganinya. Metodologi pendidikan agama di negara ini harus mengambil kira dan disesuaikan dengan pasca modenisme.
Ia perlu kepada soal pemikiran serta falsafah sesuatu hukum itu dari sudut Barat dan juga agama Islam. Setakat mengajar ilmu fardhu ain di sekolah-sekolah agama sudah tidak mencukupi bagi menangkis hujah-hujah pasca modenisme.
Kerja-kerja dakwah juga harus berterusan. Cara berdakwah pula biarlah ada peningkatan agar masyarakat sentiasa tertarik dan tidak akan jemu. Dialog perlu diadakan dari semasa ke semasa agar isu-isu berkaitan umat Islam dapat dibincangkan.
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan
Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
(Utusan Malaysia, 20 Mei 2011)
No comments:
Post a Comment