Tuesday, May 10, 2011

Kesalinghubungan negara ASEAN masih rendah





 

oleh Veena Rusli
veena@bharian.com.my


Berpaksikan ikatan menghampiri separuh abad dan semangat kejiranan kental, Malaysia beraksi di gelanggang Sidang Kemuncak ASEAN ke-18 yang berakhir kelmarin dengan suara meyakinkan diiringi tekad menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai kuasa lebih dominan di persada antarabangsa.

Dengan matlamat pembentukan Komuniti ASEAN pada 2015 sebagai penanda aras, negara anggota menyedari masih banyak lompang perlu ditampung seperti isu keselamatan makanan, tenaga diperbaharui dan keselamatan serantau, termasuk konflik sempadan Thailand– Kemboja yang belum menampakkan tanda jalan penyelesaian.

Dalam skop lebih peribadi, kesempatan pertemuan tahunan itu turut membuka ruang bagi Datuk Seri Najib Razak bertemu Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, dan menyampaikan rasa terkilan Malaysia terhadap hukuman dijatuhkan kepada enam nelayannya yang didakwa menceroboh perairan negara jiran.

Tanpa niat mempersoalkan kedaulatan undang-undang negara lain, Malaysia berpendirian penjara 30 bulan dan denda RM350,000 seorang bagi kesalahan sedemikian adalah terlalu berat bagi dua negara bersempadan yang dilingkungi perairan.

Sekalipun tidak mendedahkan secara spesifik butir bicara dalam pertemuan bilateral di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) kelmarin, penegasan Najib bahawa beliau ‘sudah menyampaikan apa yang sepatutnya’ kepada Susilo mungkin membawa kepada perkhabaran yang membuktikan semangat persaudaraan tinggi kedua-dua negara.

Pentas pertemuan pemimpin ASEAN kali ini banyak menjurus kepada kesalinghubungan yang menjadi pengikat ke arah mencapai sasaran terbentuknya Komuniti ASEAN, tetapi masalah dalaman seperti konflik Thailand-Kemboja dianggap pemerhati boleh merencatkan matlamat itu jika tidak ditangani segera.

Berpegang kepada persetujuan untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara berjiran, ketua kerajaan pada pertemuan dua hari itu sepakat untuk membiarkan kedua-dua negara bersengketa menyelesaikan kemelut melanda secara kekeluargaan.

Menyentuh konteks ini, ASEAN perlu memanfaatkan sepenuhnya hubungan baik yang terjalin untuk mengurangkan jurang di kalangan negara anggota, khususnya aspek pembangunan yang menjadi penanda aras dalam menentukan tahap pencapaian ekonomi sesebuah negara.

Potensi yang bagaikan tiada penyudah di 10 negara itu perlu digali sedalam-dalamnya, terutama dalam keadaan dagangan Komuniti ASEAN yang mencecah AS$2.9 trilion dan melonjak kepada AS$15 trilion jika dihitung urus niaga bersama enam negara rakan dagang – China, Jepun, Korea, India, Australia dan New Zealand.

Bagaimanapun, angka tidak membawa makna jika usaha tidak sekata, malah Malaysia turut menyedari wujudnya ketidakseimbangan ketara dari segi pelaburan dari Indonesia yang cuma bernilai AS$600 juta, berbanding AS$2 bilion yang dibawa Malaysia ke republik itu.

Kesalinghubungan negara ASEAN sememangnya masih rendah berbanding pencapaian Kesatuan Eropah (EU), tetapi langkah ke arah itu sudah bertapak, termasuk Malaysia yang berada di landasan betul dalam membincangkan tahap kemajuan rundingan Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EU yang sudah melepasi dua pusingan.

Edisi Sidang Kemuncak ASEAN ke-15 di Jakarta bertemakan ‘Komuniti ASEAN Dalam Komuniti Global’ kali ini dengan jelas memberi isyarat perancangan ASEAN tidak harus terbatas kepada pengwujudan Komuniti ASEAN 2015.

Sebaliknya, ketua kerajaan 10 negara rantau yang mempunyai kira-kira 600 juta penduduk itu perlu melangkaui persoalan ‘apa dan ke mana selepas 2015’ kerana lanjutan dari tempoh itu, rantau Asia Tenggara bakal menyaksikan liberalisasi pasaran merangkumi barangan, kewangan dan tenaga mahir.

Untuk berdiri sama tinggi di pentas antarabangsa, perjuangan ASEAN wajar mencakupi keperluan untuk dilihat bukan saja relevan di kalangan masyarakat perniagaan Asia Tenggara, tetapi juga penduduk biasa seperti kita.

(Berita Harian, 10 Mei 2011)


 

No comments:

Post a Comment