Apabila Presiden Universiti Harvard, Lawrence Summer membuat pernyataan bahawa ada kaitan antara genetik dengan kecilnya bilangan wanita sebagai saintis, kesudahan episod itu menamatkan tugasnya sebagai Presiden universiti ranking pertama dunia.
Namun Summer kemudian kembali menjadi guru di universiti berkenaan dan menjadi ahli kepada komuniti akademik itu. Ringkasnya, Presiden universiti Harvard turun atau diturunkan kerana dikatakan membuat pernyataan yang dikatakan ‘anti-intelektual’.
Di Malaysia, satu demonstrasi pelajar agak menyeluruh diadakan pada 1973 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mendesak Presiden PMUKM dibenarkan menyambung pengajiannya ke Tahun Kepujian yang dikatakan hanya untuk mereka yang layak, bagaimanapun gagal untuk mengubah pendirian dan keputusan universiti.
Namun pada masa lain, Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak (yang juga Canselor UKM ketika itu) menarik balik keputusannya melantik seorang pegawai tertinggi kerajaan daripada menjadi Naib Canselor UKM kerana demonstrasi gabungan pensyarah dan pelajar diadakan sampai ke hadapan pejabat Perdana Menteri di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur.
Peristiwa melibatkan L. Summer, Presiden PMUKM dan cadangan pelantikan Naib Canselor UKM adalah segelintir peristiwa dunia universiti yang membawa maksud universal, iaitu mempertahankan tradisi intelektualisme. Walau apa pun episodnya, tradisi intelektualisme di universiti dianggap suci dan mesti dipertahankan bukan kerana adanya peraturan atau undang-undang mengenainya.
Semasa saya membuat penyelidikan pada 1989 mengenai tradisi keunggulan universiti di Eropah dari zaman medieval hingga ke hari ini, saya terjumpa pernyataan yang mengatakan ‘keagungan universiti di Eropah bukan di pertahankan oleh undang-undang, sebaliknya oleh tradisi dan adat masyarakatnya’.
Para guru universiti di Malaysia yang merupakan generasi pertama dilatih oleh guru-guru daripada Eropah seperti amat memahami dan menjiwai tradisi itu. Tidak hairanlah guru dan pemimpin seperti Tun Abdul Razak akhirnya akur dengan kehendak masyarakat universiti walaupun beliau memiliki senjata undang-undang yang begitu kuat untuk mempertahankan keputusannya.
Tun Abdul Razak yang mengalah (mungkin bagi orang sekarang ‘mengalah itu lemah’) telah menjadikan beliau kuat, bahkan tersemat sebagai pemimpin ‘buah hati’ mahasiswa dan guru-guru di UKM.
Masakan saya dapat lupakan Abdul Rahman Embong (sekarang Datuk Profesor) yang mengajar saya mata pelajaran sains politik begitu terbuka membenarkan kami berbahas mengenai pelbagai pendirian tanpa kuasa tangannya untuk menang dalam perdebatan-perdebatan kami.
Masakan juga saya dapat lupakan Allahyarham Ishak Shaari yang mengajar saya ekonomi pembangunan yang begitu melapangkan medan debat walaupun beliau ada aliran pemikirannya sendiri.
Mereka tidak akan menggunakan genggaman buku lima untuk memenangkan sekolah atau aliran pemikiran mereka. Apabila saya dan guru saya Abdul Rahman sama-sama duduk dalam panel SPRM dan setiap kali kami berjumpa dia memanggil saya ‘Pak Din’, maka setiap kali mendengar panggilan itu akan membuatkan saya sebak.
Sebak saya kerana kekaguman betapa guru saya menghayati maksud hubungan ‘collegial’ yang berkata akar ‘colleague’ yang bermaksud kawan dengan kawan – guru dan mahasiswa adalah kawan.
Demikianlah guru seperti Abdul Rahman yang begitu politikal dalam kehidupan sehariannya ketika itu tetapi dia tidak pernah memperhambakan saya dan rakan-rakan di dalam kelasnya.
Kami tidak pernah merasa ditewaskan meskipun di tangannya ada kuasa menentukan gred kami dan disokong pula oleh keluasan pengajian dan bacaannya, tentu tidak akan dapat kami tandingi sebagai intelektual hingusan pada ketika itu.
Rupanya guru yang tidak pernah menunjukkan kuasa dan menunjukkan dia menjulang tangan kerana berjaya menewaskan kami itulah yang akan menjadi ‘buah hati’ mahasiswa di universiti puluhan tahun kemudian.
Setiap kali saya berjumpa rakan-rakan seangkatan saya di UKM yang mengambil kelas Abdul Rahman, sentiasa dapat berbual kembali mengenai dia - dia yang semuanya positif bagi kami meskipun negara pernah suatu ketika seperti memburunya.
Ketika ini, adakah tradisi itu terus ampuh di pengajian tinggi? Sejak saya pandai menggunakan e-mail dan sekarang facebook (FB), tidak sedikit rakan-rakan saya mengadu tentang cara ‘high-handed’ para guru terhadap mereka dengan mengemukakan gambaran-gambaran seperti ‘nasib pelajar di tangan mereka’.
Mereka mengadu bahawa bukan sahaja pelajar tidak dibenarkan lebih bijak daripada guru, kehidupan pelajar juga hendaklah mengikut definisi para guru feudalistik itu. Hal sebegini tidak akan berlaku dalam tradisi yang mengunggulkan ilmu.
Tidak akan ada suatu komuniti di universiti yang akan merestuinya - baik Naib Canselor yang mewakili pengurusan, persatuan pentadbir, persatuan staf akademik, apa lagi para mahasiswa.
Meskipun hantaran rintihan mahasiswa ke FB atau e-mel saya mungkin hanya peristiwa terpencil, seperti isu yang saya pernah bicarakan sebelum ini bahawa peristiwa terpencil mungkin lebih bererti daripada gambaran peratusan perangkaan yang besar.
Apakah anti-intelektualisme yang mesti tidak diizinkan bertunas di universiti? Utama kepada semuanya adalah autoritarianisme dalam tafsiran.
Benar ada kebenaran yang lebih ampuh daripada sesuatu kebenaran lain, namun memutlakkan sesuatu kebenaran menyebabkan dunia universiti menjadi jumud sedangkan sepanjang sejarah ilmu kebenaran sentiasa diperbaharui.
Bayangkan betapakah wajah hubungan murid-guru di universiti jika hubungan guru-guru juga berbentuk autoritarianisme kelompok disiplin masing-masing.
Hampir pasti hubungan guru-murid yang diurus oleh guru autoritarian akan bersifat patron-client atau ‘tuan dengan hamba’ bukan ‘guru-rakan-murid’ yang sewajarnya menjadi budaya hubungan di universiti.
Lalu akan ada yang menyanggah saya dengan merujuk filem kungfu betapa guru melatih muridnya dengan gaya seksaan bagi membolehkan murid itu kemudiannya menjadi pendekar agung.
Namun mereka tidak melihat bahawa seksaan yang tampak di mata adalah aspek fizikalnya yang bermaksud sama dengan latihan kemahiran vokasional.
Cara bermain senjata, menepis serangan dan mengatur langkah adalah semuanya kemahiran vokasional, tiada beza dengan latihan berkawad tentera atau polis atau latihan tubi menganyam tikar. Apabila tiba kepada latihan strategi, minda dan pegangan, tiada lagi kelihatan seksaan dalam latihan kungfu itu.
Universiti bukan sekolah vokasional meskipun pada zaman moden ada unsur vokasional di dalamnya. Universiti adalah tempat mencanai keupayaan intelektual bagi melihat kepelbagaian cara melihat sesuatu kejadian, perkara dan fenomena. Kepelbagaian cara itu dipanggil disiplin dalam dunia ilmu. Itulah nanti yang akan menyempurnakan kefahaman tentang sesuatu permasalahan kehidupan dan hubungannya dengan alam.
Setiap hari saya mendaki bangunan empat tingkat tanpa lif di Institut Peradaban Melayu, UPSI, otot kaki saya semakin keras dan kuat. Sampai di kerusi di bilik, saya terfikir dalam sebulan ini saya mula melihat pencapaian vokasional saya memperkuatkan kaki.
Adakah di Kursi Za‘ba ini saya juga akan dapat memenuhi keperluan penyuburan intelektual saya?
Jika ahli akademik selalu mendesak demi moral para pemimpin mesti berani meletak jawatan jika terbukti dia gagal dalam tugasnya, bersedialah saya dan rakan-rakan akademik, atas nama akademik dan moral, untuk juga menamatkan khidmat kami jika ada tanda kami telah menodai ‘faham intelektualisme’ yang menjadi nadi pengajian tinggi.
TAN SRI DR. NORDIN KARDI ialah Penyandang Kursi Za‘ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
(Utusan Malaysia, 5 Mei 2011)
No comments:
Post a Comment