Friday, April 30, 2010
Kementerian Lelaki
Hakikatnya tidak begitu.
Apabila kes buang bayi menjadi perhatian sehingga akhbar menggerakkan kempen ‘Kami Prihatin’, timbul pertanyaan: siapa yang bertanggungjawab dalam kes buang bayi? Lalu golongan feminin menyalahkan ‘jantan-jantan yang telah rosak akhlak’ sebagai puncanya. Cadangan bagi menyelesaikan masalah ini ialah mengkasi pesalah yang terlibat dalam kes ini di bawah kategori rogol.
Cadangan ini dibantah oleh golongan maskulin termasuk para ustaz dan imam. Ada yang memberi cadangan yang ‘lebih baik sikit’ iaitu golongan wanita harus memakai cawat besi. Apa lagi, adalah yang panas punggung dan tidak senang duduk. Akhirnya kedua-dua cadangan tersebut hilang begitu saja. Dalam sehari dua ini cadangan mengkasi muncul kembali.
Apabila gadis remaja, Halimaton melarikan diri kerana mengikut teman lelaki berusia 19 tahun dan tinggal di rumah keluarga lelaki berkenaan, siapa yang patut disalahkan? Halimaton atau teman lelakinya? Keluarga Halimaton berkata anak mereka tidak bersalah kerana dilarikan, sebaliknya polis menangkap lelaki tersebut dan dikenakan dakwaan. Bagi sesetengah pendapat, Halimaton yang sepatutunya didakwa kerana melarikan diri dari keluarga, menyusahkan pihak polis dan ‘tergedik-gedik’ hendak berkahwin.
Mengambil pendekatan menyalahkan lelaki ke atas isu-isu sosial adalah tidak adil kerana ada faktor lain yang lebih besar. Adakah pasangan suami dan isteri boleh memilih jenis jantinaanak yang mereka hendak? Mereka hanya boleh berharap kerana jantina anak ditentukan tuhan.
Membuat spekulasi bahawa lelaki yang bersalah juga mirip perbuatan zaman jahiliyah keranan apabila diberitahu anak perempuan yang lahir, pasangan suami isteri akan bermuka masam dan timbul rasa malu. Lalu jalan penyelesaiannya ialah menimbus hidup-hidup anak perempuan. Sebenarnya anak perempuan bukannya penentu kepada mala petaka dalam keluarga.
Kisahnya sama juga dengan anak lelaki. Mereka bukannya pembawa petaka dalam keluarga.
Bagi melihat apa sebenarnya yang berlaku dalam masyarakat, kita wajar sekali melihat bagaimana rupanya unit asas dalam masyarakat iaitu keluarga. Jika sesebuah keluarga hendak bercerai kerana bergaduh untuk balik berhari raya di rumah keluarga suami atau isteri, boleh kita gambarkan betapa nilai-nilai kekeluargaan seperti tolak ansur, berbincang atau berunding sudah tidak lagi menjadi amalan. Begitu juga dengan kejadian polis menembak mati seorang remaja berumur 15 tahun. Siapa yang benarkan remaja ini memandu kereta tanpa lesen yang memudaratkan pengguna jalan raya yang lain? Selepas kena tembak dan mati, barulah keluarga si mati menyesal dan ia sudah menjadi ‘pena telah diangkat dan dakwat telah kering’.
Anak-anak muda lelaki atau perempuan tidak segan silu keluar rumah tanpa ditemani oleh orang dewasa atau muhrim. Anak-anak ini tidak ditegur jika mereka pulang lewat malam, membonceng motosikal sambil berpelukan atau menayang badan yang ‘sekeping papan’ kerana baju dan seluar yang terlalu ketat dan nipis. Apabila berlaku penzinaan, keluarga berasa malu dan bayi yang baru lahir ditinggalkan di pondok bas, tangga surau atau pintu pagar rumah tok imam.
Keluarga harus diberi suntikan nilai. Banyak caranya. Di pihak kerajaan, kempen dan seminar mesti disusuli dengan tindakan yang berani. Pencapaian yang hendak dilihat bukannya berapa banyak aktiviti yang dilaksanakan sebaliknya ialah berapa banyak keluarga kembali kepada memelihara keutuhan nilai-nilai kemanusiaan dan berupaya membiakkan kebaikan kepada keluarga-keluarga yang lain.
Nilai-nilai juga boleh diterapkan melalui program pendidikan agama supaya ibu dan ayah sentiasa diberi peringatan, nasihat dan panduan untuk mendidik anak-anak lelaki dan perempuan.
Tidak salah untuk mengeluarkan lesen kepada pengusaha kafe siber tetapi harus disusuli dengan pemantauan yang berterusan atas kesedaran untuk melihat masyarakat mendapat input yang berguna bagi kehidupan mereka.
Dalam kes rogol, zina dan khalwat, faktor penarik seperti klip filem lucah atau gambar lucah menjadi perangsang kepada perbuatan ini. Jika dilihat kepada hukuman yang dikenakan ke atas pesalah, mahkamah syariah tidak pun memberi hukuman yang selari dengan tuntutan di al-quran, malah hanya mendenda pesalah. Akhirnya masyarakat merasakan selepas berzina boleh bayar denda, itu pun kalau kena tangkap.
Di Acheh, undang-undang syariah sedang dilaksanakan. Insya Allah kita akan lihat bagaimana keadilan dan keberkatan dalam pelaksanaan undang-undang syariah tersebut dapat membentuk keadilan sosial dalam masyarakat, meningkatkan keyakinan penduduk Acheh terhadap kehidupan cara hidup Islam dan bebas daripada jenayah. Andai Acheh dapat melaksanakan peraturan syariah dengan teratur, kita juga wajar mencontohinya supaya kerisauan masyarakat terhadap keselamatan diri, keluarga dan harta akan terjamin.
Jadi, tidak perlulah Kementerian Lelaki ditubuhkan.
Wednesday, April 28, 2010
MEB: Peluang ubah Melayu
MEB harus dilihat sebagai satu peluang untuk bangsa Melayu beranjak paradigma atau pemikiran daripada satu bangsa yang mengharapkan bantuan kerajaan dalam pelbagai bidang kepada Melayu yang berdikari, berilmu dan berkeyakinan tinggi untuk menempah kejayaan dalam segala bidang kerjaya atau keusahawanan di peringkat antarabangsa tanpa berharap kepada insentif kerajaan.
Beberapa tahun lalu Datuk Seri Najib Tun Razak buat pertama kali mengutarakan istilah Melayu Glokal, merujuk kepada Melayu yang bersikap dan berdaya saing global tetapi bertunjangkan budaya Melayu dan Islam.
MEB yang diumumkan baru-baru ini bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai ekonomi maju dan berdaya saing, dengan rakyatnya menikmati kualiti hidup dan berpendapatan tinggi hasil pertumbuhan yang terangkum dan mampan. Ketiga-tiga konsep ini sebenarnya amat berhubung-kait. Untuk merealisasikan konsep 1Malaysia dan MEB, Melayu perlu terlebih dahulu menjadi Melayu Glokal.
Berkaitan pelaksanaan MEB yang masih dalam perancangan, terdapat suara-suara yang melahirkan rasa kerisauan mengenai status ketuanan Melayu berikutan perkongsian ekonomi dengan bangsa lain. Beberapa pihak berasa terancam jika jaminan 30 peratus ekuiti Melayu diluputkan.
Mentaliti Melayu sebegini adalah berkaitan dengan kekeliruan konsep "zero-sum game" di mana kita percaya saiz ekonomi adalah mutlak, maka kekayaan dan kemewahan bangsa lain adalah atas kehilangan dan keciciran bangsa Melayu. Sebaliknya, kita harus menyokong agenda-agenda di bawah MEB yang berpotensi untuk memperluaskan saiz ekonomi negara.
Dengan status sekarang, tindakan affirmatif tidak telus mungkin menghadkan saiz ekonomi kita pada kadar, sebagai contoh RM100. 30 peratus daripada RM100 ialah RM30. Tetapi dengan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) di samping tindakan affirmatif yang lebih telus melalui MEB, saiz ekonomi negara perpotensi untuk berkembang dengan lebih maju.
Jika saiz ekonomi meningkat sehingga, sebagai contoh, RM200, 20 peratus ekuiti Melayu sudah berjumlah RM40 - melebihi jumlah kekayaan asal walaupun pada kadar ekuiti yang lebih rendah.
Kesimpulannya, adalah lebih baik untuk kita menghargai usaha dan bersama-sama menggembleng tenaga untuk meningkatkan saiz ekonomi dan kekayaan negara daripada begitu taksub untuk mempertahankan jaminan ekuiti, insentif atau subsidi daripada kerajaan.
Masyarakat Melayu harus bersedia dan menerima dengan hati yang terbuka apabila MEB dibentangkan dengan lebih terperinci pada hujung tahun nanti. Meminjam bicara Datuk Dr. Norraesah Mohamad, kita perlu menilai kemungkinan tanpa jaminan kuota dan ekuiti, Melayu akan menjadi lebih berdaya saing.
Kita akan menjadi lebih bersedia menyahut cabaran untuk menjadi "pemain" yang aktif dalam persekitaran ekonomi pasaran yang baru di Malaysia. Lebih-lebih lagi, kerajaan juga sudah beberapa kali menyatakan nasib golongan yang terpinggir akan terus terbela di bawah MEB.
Kita harus berusaha untuk mengubah nasib kita sendiri dan menerima hakikat bahawa budaya mengharapkan subsidi tidak akan berpanjangan. Sebagai perumpamaan, ubat yang diambil pada kadar minimum yang disarankan dapat membantu memulihkan kesakitan. Tetapi, ubat yang diambil secara berlebihan akan memudaratkan diri dan berkemungkinan menjadikan kita penagih tegar.
Jika kita gagal untuk berubah ketika ekonomi negara masih dalam keadaan baik pada hari ini, esok atau lusa kita mungkin dipaksa oleh arus ekonomi pasaran untuk menerima perubahan dalam keadaan tidak bersedia, ekonomi yang tidak berdaya saing dan terancam untuk terus relevan dalam sistem perdagangan antarabangsa.
Dengan usaha yang terancang, bangsa Melayu akan dapat bersedia untuk menghadapi perubahan dasar ekonomi negara. Tentunya ia bukanlah satu perjalanan yang mudah. Yang pasti, perjuangan kita masih belum selesai!
"Demi sesungguhnya selepas kesulitan pasti ada kemudahan. Selepas kesulitan pasti ada kemudahan" (Al-Insyirah).
Pendekatan progresif untuk persediaan Melayu.
Bagaimanakah bangsa Melayu dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi arus perubahan yang dibawa MEB?
Salah satu cabang Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) adalah untuk mengukuhkan penyampaian pendidikan berkualiti tinggi yang mendorong inovasi dan teknologi. Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menitikberatkan pendidikan awal adalah satu usaha yang sangat baik. Antara lain, khusus untuk melahirkan pelajar Melayu berprestasi tinggi,
1) Program Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) harus digiatkan di semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mempunyai peratusan pelajar Melayu yang tinggi. Pengetua dan guru-guru di SBP dan MRSM boleh diberi kuasa autonomi untuk memilih pelajar dan menggunakan kurikurum inovatif.
Tanggungjawab dan objektif mereka adalah untuk menjana pelajar Melayu yang berprestasi tinggi dalam bidang akademik, keusahawanan, kepimpinan dan sahsiah diri yang dapat memonopoli tawaran biasiswa ke luar negara atau mengikuti pengajian dalam bidang-bidang strategik di dalam negara dari segi merit tanpa memerlukan kuota istimewa.
2) Sistem pendidikan tinggi perlu meningkatkan kebolehpasaran graduan Melayu. Siswazah harus diberi peluang untuk menimba pengalaman bekerja (praktikal training) di syarikat multinasional berkaitan kerajaan (GLC). Siswazah cemerlang dalam program ijazah di institusi dalam negara juga dibolehkan untuk memohon dana pinjaman pendidikan sebanyak RM60-RM70 ribu untuk mengikuti pengajian musim panas selama tiga bulan di universiti terkemuka luar negara untuk memperluaskan perspektif dan menimba pengalaman belajar di persekitaran yang terbaik.
3) Semangat anak Melayu untuk menuntut ilmu juga perlu dibakar di pelbagai peringkat. Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan untuk belajar, tetapi jika anak muda Melayu masih belum dapat memahami kepentingan berilmu, Melayu akan terus berada pada takuk yang sama. Apa yang diperlukan adalah satu gerakan akar-umbi yang radikal untuk membakar semangat generasi muda Melayu untuk keluar daripada kepompong kemalasan dan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ia memerlukan satu program yang sistematik dalam mengenal pasti bakat-bakat muda yang perlu "dikejutkan", pengenalan modul pembelajaran berkesan, dan perkongsian pengalaman dan titian hidup oleh individu Melayu yang telah berjaya.
Pihak media juga dapat memainkan peranan. Ketika berusia belasan tahun, saya pernah terbaca dalam Pancaindera dalam Mingguan Malaysia kisah seorang warga Malaysia di luar negara yang berjaya mendapat Ph.D sebelum berusia 30 tahun. Ini telah sedikit-sebanyak mendorong saya menjejaki langkah beliau. Hari ini, paparan-paparan picisan membuatkan anak muda lebih mengagungkan ikon hiburan dan sukan dari Barat daripada usahawan dan cendekiawan.
4) Insentif berserampang dua mata untuk menggalakkan keluarga Melayu menitikberatkan faktor pendidikan dan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dapat diadakan dengan menawarkan skim bantuan pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) kepada yang berkelayakan berdasarkan nisbah perbelanjaan pendidikan tahunan per pendapatan bersih. Kerajaan akan meminjamkan dana setinggi RM150,000 pada kadar faedah sifar. Individu terpilih perlu membuat bayaran bulanan sebanyak RM50 misalnya untuk menyemai disiplin menabung dan penerima pinjaman akan mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM1,000 sebulan.
Apabila kesemua anak peminjam telah menamatkan pengajian, pendapatan tambahan dan pinjaman akan dihentikan, dan modal asal pinjaman berjumlah RM150,000 akan dipinjamkan kepada individu berkelayakan lain.
PENULIS ialah Pengerusi Kelab UMNO Chicago, Amerika Syarikat
(Utusan Online, 28 April 2010)
Saturday, April 24, 2010
Allium Cepa
Fikiran Bimbang, risau yang tidak dapat dijelaskan.
Kepala Keliru, sakit kepala dengan selesema; dalam bilik, petang; lega dalam bilik yang terbuka; melarat bila masuk ke dalam bilik yang panas. Sakit dalam pelipis, kerap sebelah kanan; melarat dengan mengenyitkan mata; seluruh kawasan dahi atas; teruk sebelah kiri.
Mata Tahi mata dan air mata meleleh keluar; mata kiri kelihatan kemerah-merahan. Sensitif pada cahaya; teruk sebelah malam. Gatal, berdenyut-denyut dan panas terbakar dalam mata.
Hidung Banyak hingus keluar dari hidung dan mata berair. Kerap bersin dengan bau yang menusuk hidung, selesema; bila masuk ke dalam bilik panas. Kerap selesema, sakit kepala, banyak air mata yang keluar, batuk, panas, rasa haus, tangan menggigil; teruk di sebelah petang, lega di tempat terbuka.
Kerongkong Sakit dalam kerongkong melarat ke telinga.
Abdomen Perut menderam-deram. Kerap kentut. Panas terbakar tiba-tiba atau sejuk menusuk.
Kencing Kerap kencing dan banyak air. Air kencing merah dan panas terbakar dalam saluran kencing.
Pernafasan Kahak sebabkan suara serak. Tekak gatal dan sakit. Batuk kering berterusan kerana menyedut udara sejuk. Berdebar-debar dan tekak rasa sempit. Tekak berlendir; batuk dengan suara serak. Pernafasan seperti ditahan kerana tekanan pada bahagian tengah dada.
Kakitangan Luka, rasa lemah terutama bahagian lengan. Sakit dalam ibu jari kaki kanan dan jari hantu kiri.
Umum Panas berpindah-pindah ke seluruh badan, haus. Lemah dan letih, mesti berbaring. Sejuk dan panas silih berganti semasa perembesan mukus (air mata, hingus). Badan rasa sakit-sakit.Rasa urat menyucuk-nyucuk di muka, kepala, leher dan di mana-mana saja; teruk sebelah malam.
Melarat Petang dan malam; dalam bilik panas.
Lega Tempat terbuka.
Friday, April 23, 2010
Kuasa tidak kekal
Menjadi kebiasaan staf di tempat kerja saya untuk meraikan hari pertama setiap minggu dengan penyampaian tazkirah. Biasanya seorang penyampai telah bersedia dengan bahan-baha nya yang berkaitan dengan peringatan dan rangsangan untuk bekerja.
Penjual ikan: Uh … Saya tidak akan jual ikan-ikan pada Cik. Walaupun harga ikan ni 1000 ringgit, saya tak akan jual.
Thursday, April 22, 2010
Merawat masyarakat
Dalam kes seperti ini, siapa yang patut disalahkan?
Masyarakat pelajar kita tidak lagi dapat lari daripada menerima tempias keganasan pelajar sekolah yang menerobos masuk ke dalam bilik darjah, suatu tempat mulia untuk mencari ilmu sebagai bekal masa hadapan. Perlakuan jenayah seksual oleh pelajar sekolah berumur 14 tahun adalah tragedi malang yang berlaku ketika pemimpin negara sibuk dengan politik dan tanpa segan silu melupakan nasib masa depan pelajar sekolah.
Kejadian yang berlaku ini adalah refleksi daripada masalah yang lebih berat berlaku dalam masyarakat. Rata-rata ibu bapa yang mempunyai anak perempuan pasti runsing memikirkan keadaan anak perempuan mereka apabila memutuskan untuk menghantar anak mereka ke sekolah kerana keadaan keselamatan sekolah belum benar-benar terjamin. Jika hari ini seorang anak yatim dirogol oleh rakan sekelas dan melibatkan ramai pelajar lelaki, bagaimana pula hari esok?
Barangkali hari ini pelajar lelaki kita sudah ketagih dengan menonton video lucah dan mereka ingin merasai bagaimana rasa beraksi sendiri. Pengaruh video lucah yang mudah dimuat turun dari internet agak sukar dikawal dan menjadi satu perkara biasa apabila pelajar (sama ada lelaki atau perempuan) berkongsi menontonnya. Justeru apabila timbul pelajar sekolah bawah umur hendak berkahwin, ramai yang melenting. Namun apabila pelajar sekolah berzina atau dirogol, ramai pula yang mengeluh mengenang nasib bangsa Malaysia.
Keadaan sekarang semakin tenat. Agensi kerajaan bertambah penat sementalahan terpaksa bekerja keras menghadapi kes buang bayi, ditambah pula kes kehamilan luar nikah dan juvana bersalah. Sebaik sahaja keluarga porak-peranda dengan akhlak anak-anak yang luar biasa keadaannya, masyarakat pula yang terpaksa merana. Ia bukannya memilih mana-mana kelompok malah semua sekali akan terkena. Baik Islam, Kristian atau Buddha, akhlak buruk dan perlakuan ganas tidak kenal siapa.
Kita wajar bersedih hati dan merenung dengan serius memikirkan apa yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini. Hanya mereka yang memiliki kerisauan mampu membuat tindakan luar biasa bagi meringankan penderitaan keluarga dan masyarakat. Ia boleh jadi kumpulan individu, perseorangan atau kerajaan yang bersedia mengembleng tenaga tanpa mengharapkan ganjaran bagi membantu mengislahkan keluarga dan masyarakat.
Wednesday, April 21, 2010
Statistik keganasan seksual, 2005-2009
Tahun | Laporan Polis | Ditahan | Dikenakan Caj |
2005 | 1931 | 1221 | 267 |
2006 | 2431 | 1554 | 369 |
2007 | 3098 | 2061 | 259 |
2008 | 3409 | 2261 | 184 |
2009 | 3626 | 2301 | 162 |
Liwat
Tahun | Laporan Polis | Ditahan |
2005 | 202 | 79 |
2006 | 180 | 66 |
2007 | 231 | 141 |
2008 | 243 | 163 |
2009 | 227 | 149 |
Sumbang Mahram
Tahun | Bilangan Kes | Laporan Polis |
2005 | 294 | 204 |
2006 | 332 | 217 |
2007 | 360 | 247 |
2008 | 334 | 232 |
2009 | 385 | 251 |
Sumber: The Star (20 April 2010), Parlimen Malaysia
Tuesday, April 20, 2010
Transformasi sosial sedang berlaku
Pandangan ini, atau visi terungkap dalam apa yang dinamakan sebagai Wawasan 2020. Malaysia akan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 tanpa perlu menanggung ciri-ciri negatif negara Barat. Maknanya Malaysia akan menjadi negara maju menurut acuan sendiri, dengan orang Melayu mendapat tempat di mana kaum-kaum lain lebih lagi menikmati kemakmuran ekonomi negara.
Tetapi orang Melayu dituntut juga berubah, maka keluarlah apa yang disebut konsep Melayu Baru, dalam erti kata bangsa yang cemerlang dan bukan saja berani menghadapi persaingan tetapi mampu untuk berdiri bangga dalam persada global.
Bagaimanapun, visi yang masih teguh pada tahun 1998 ini tercabar hebat apabila berlaku krisis kewangan Asia. Kerajaan Suharto tumbang dan gerakan Reformasi dilancarkan di sana. Indonesia hendak dijadikan liberal, demokrasi dan terlepas daripada cara pemerintahan tradisi Asia. Pengaruhnya sampai juga ke Malaysia.
Hasil pilihan raya umum tahun 1999 tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Tetapi pasak politik negara masih mantap. Barisan Nasional menang majoriti dua pertiga, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menjadi Perdana Menteri. Krisis kewangan Asia dapat dihadapi secara sewajarnya. Bagaimanapun beliau tentunya tahu keadaan sedang berubah dan persiapan bagi pasca Mahathir pun dilakukan.
Setelah pengundurannya dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menang besar dalam pilihan raya umum tahun 2004, maka kestabilan dapat dipulihkan dan keraguan sebelumnya terhadap perubahan dapat dihalang.
Namun begitu, pentadbiran Abdullah memperkenalkan banyak pendekatan baru bagi menghadapi realiti masyarakat yang sedang berubah.
Tetapi dalam memperkenalkan pendekatan baru ini, ternyata berlaku konflik dan antara mereka yang mahukan perubahan dengan pihak yang bimbang terhadap kesan perubahan itu.
Sememangnya dirasakan sedang berlaku perubahan dalam masyarakat tetapi umumnya tidak menyedari bahawa ia diserlahkan melalui hasil pilihan raya 2008.
Sepanjang tahun 2009, semua pihak negara ini sedar bahawa perubahan besar sedang berlaku. Masyarakat mengalami transformasi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membawa gagasan-gagasan baru bagi mencerminkan perubahan ini. Gagasan Satu Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Ekonomi Baru (MEB) adalah manifestasi kepada usaha menghadapi perubahan. Maknanya, perubahan dalam masyarakat diterima dan diuruskan supaya ia dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara tanpa konflik atau menjejaskan keharmonian.
Berubah
Masyarakat Malaysia sedang berubah dengan mendadak ke arah yang tidak dapat dipastikan destinasinya. Memang benar transformasi sedang berlaku.
Faktor-faktor yang menyebabkan perubahan ini antaranya ialah teknologi maklumat (IT), globalisasi dan kemunculan generasi baru yang citranya berbeza akibat perkembangan itu.
Teknologi maklumat melalui Internet memecahkan tembok sempadan dan halangan aliran idea dan emosi ke seluruh dunia. Tentunya dari Barat itu dominan, pastinya mereka datang mempengaruh dengan menunggang gelombang globalisasi.
Semua bangsa di dunia tidak terlepas daripada transformasi ini. Kerana tidak ada pelosok dunia yang tidak tersampai oleh teknologi maklumat. Sememangnya perubahan berlaku secara perlahan-lahan tetapi dalam keadaan tertentu ia datang mengejut. Inilah kejutan transformasi yang sedang berlaku.
Maka semua kaum di negara ini juga mengalami kesan perubahan ini, terutama generasi muda. Sudah tentu apabila ada kesan, maka timbul pula reaksinya.
Di kalangan orang Melayu sendiri, muncul golongan yang menganggap diri mereka liberal. Pandangan mereka berbeza dengan visi orang Melayu tradisional, konservatif dan kebanyakan. Nilai-nilai mereka sudah berubah. Walaupun mereka minoriti tetapi suara dan hujah mereka lantang. Memudahkan mereka sekali lagi ialah teknologi maklumat.
Apabila muncul golongan Melayu liberal ini, maka tentu ada reaksi kepada mereka. Kebanyakan orang Melayu akan berasa terancam dengan pandangan-pandangan Melayu liberal yang tidak konvensional dan berbeza nilai.
Maka tidak hairanlah muncul badan-badan bukan kerajaan Melayu yang ditubuhkan bagi menampung suara-suara konservatif orang Melayu. Konflik pandangan di antara konservatif dan liberal tidak dapat dielakkan. Tetapi apa yang ternyata masyarakat sedang berubah.
Di kalangan orang bukan Melayu, tidak bolehlah diandaikan bahawa keseluruhan mereka adalah liberal. Banyak daripada mereka bersikap konservatif dan mahu mempertahankan sistem atau amalan lama yang mereka percaya telah berjaya menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara.
Namun begitu, kejayaan negara sebelum ini berdiri atas asas yang berbeza dan perubahan menuntut cara baru bagi menghadapinya. Transformasi sememangnya mesti dilakukan. GTP dan MEB merupakan sahutan kepada cabaran-cabaran ini.
Maka di samping orang Melayu wajar terus mempertahankan Perlembagaan, persiapan bagi menghadapi Satu Malaysia, GTP dan MEB perlu dilakukan. Melayu bukan sekadar menjadi Melayu Baru seperti yang pernah diutarakan pada zaman tahun 1990-an dulu.
Juga Melayu bukan sekadar berminda Revolusi Mental seperti yang pernah digempur pada tahun 1980-an. Tetapi Melayu kini mesti mampu bersaing dan menghadapi realiti teknologi maklumat dan globalisasi. Sementara itu Melayu pula sudah pelbagai.
Konservatif, liberal dan macam-macam lagi.
Pertama dilihat ialah pada tahun 1998, tetapi tidak ada siapa yang dapat menjangkakan bahawa transformasi berlaku pada tahun 2009.
(Utusan Online, 18 April 2010)
Monday, April 19, 2010
Mari Berubat Dengan Al-Quran
Penerbit: Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.
Kandungan
Wednesday, April 14, 2010
Fikir keutamaan dalam krisis remaja
Kisah pelajar cemerlang yang baru berusia 15 tahun hendak berkahwin telah menarik perhatian masyarakat lebih-lebih lagi apabila media memberi liputan ke atas perkembangan pelajar tersebut hampir setiap hari. Walaupun hari ini dinyatakan Halimaton telah insaf dan ingin benar kembali menyambung pengajiannya di sekolah, ia masih belum dapat meredakan kebimbangan aktivis masyarakat yang mahu melihat beliau meneruskan persekolahan bagi menghadapi peperiksaan kelak.
'Apabila telah berkahwin tanggungjawab bukan hanya kepada suami tetapi juga kepada anak-anak. Semua ini perlu difikirkan oleh Halimaton, oleh itu jangan membuat keputusan kerana terlalu ikutkan nafsu sebaiknya buatlah solat istikharah dahulu.' -Datuk Nooh Gadut
'Walaupun pada fizikalnya Halimaton boleh berkahwin tetapi jika dinilai daripada tahap pemikirannya ia masih tergolong sebagai kanak-kanak.' -Ivy Josiah
Halimaton pelajar cerdik, mempunyai azam yang kuat tetapi tidak mampu untuk berfikir hala tuju masa depannya kerana mengikut fantasi zaman remaja. Kawan lelakinya yang tidak banyak diketahui latar belakang dan kehidupan keluarganya diyakini lebih cenderung untuk berkahwin saja. Lelaki berkenaan akhirnya ditangkap dan ditahan reman kerana tindakannya melarikan anak gadis bawah umur.
Tuesday, April 13, 2010
Bila umur 65 tahun
Memang benar. Hari ini ramai orang yang mula mendapat rawatan sebelum mencecah usia 50 tahun. Macam-macam penyakit.
Jabatan Kesihatan Amerika Syarikat membuat kajian ke atas rakyat negara tersebut sehingga umur mencecah 65 tahun. Dapatan kajian dibahagikan kepada lima kelompok.
Kelompok pertama, 54 peratus orang ramai masih bergantung dengan orang lain. Umur 65 tahun dikategorikan sebagai warga tua, jadi pada usia ini mereka perlukan perhatian dan penjagaan yang lebih rapi. Mungkin ada yang mengidap penyakit kronik, menumpang di rumah anak-anak atau berada di pusat jagaan orang-orang tua.
Seterusnya kelompok kedua sebanyak 36 peratus telah pun meninggal dunia apabila mencecah umur 65 tahun kerana terlalu uzur, berpenyakit atau mati kerana kemalangan jalan raya. Mati sebelum usia 65 tahun adalah suatu yang malang bagi penduduk negara-negara maju kerana perkhidmatan kesihatan mereka adalah yang terbaik.
Kelompok ketiga, perbezaan yang ketara dengan kelompok pertama dan kedua, adalah 5 peratus yang masih bekerja. Banyak sebab kenapa mereka masih bekerja. Barangkali kerana bosan dengan hidup tanpa kerja, ingin berkongsi pengalaman dan juga mungkin terpaksa bekerja bagi melunaskan hutang-hutang tertunggak yang masih ada seperti rumah atau kereta. Mereka bekerja mungkin kerana masih ada tanggungan yang perlu diuruskan.
Dari segi pendapatan, kita boleh jangka golongan yang mencecah usia 65 tahun memiliki wang yang banyak dan kaya-raya. Namun, kajian menunjukkan hanya 4 peratus yang sederhana kaya dan betul-betul kaya adalah 1 peratus.
Kalau ada sejuta orang tua yang mencecah umur 65 tahun, yang kaya-raya hanya 10 ribu orang yang boleh hidup senang-lenang dan tidak payah berfikir soal kerja.
Setelah kita tahu keadaan macam ini, bagaimana kita boleh merangka strategi untuk masuk ke dalam kelompok 1 peratus itu?
Jika kita masih muda, sedang bekerja dan yakin diberikan umur yang panjang, strategi sara diri ini boleh menjadi sandaran.
Pertama, bekerja untuk menyara diri. Kita bekerja setiap hari dan mendapat gaji setiap bulan semata-mata untuk memastikan kita boleh hidup. RM2000 atau RM600 adalah upah yang kita dapat. Wang inilah kita gunakan untuk makan, minum, bayar sewa rumah atau beli susu anak. Apabila kita sedar jumlah gaji tidak cukup, kita mula berfikir untuk mencari kerja tambahan bagi menambah pendapatan.
Kedua, selepas mampu menyara diri, kita mula berfikir untuk menyimpan. Fikiran masa depan ialah mengumpul modal. Walaupun sedikit, katakan RM10 sebulan, ia cukup menjadi modal asas kepada tabiat untuk menyimpan. Kalau sebulan sepuluh ringgit, ia menjadi RM1200 sebulan. Itu baru RM10, bayangkan jika RM100, RM200 dan sebagainya. Dalam masa 30 tahun, berapa kita akan dapat menyimpan?
Seterusnya, ketiga. Selepas sara diri dan kumpul modal, kita boleh mula menyimpan. Ia perlu dibuat dengan semangat dan iltizam yang kuat kerana tanpa kedua-dua sifat ini, kita asyik ‘mencucuk’ mesin ATM saja. Peringkat ini kita masih bekerja seperti biasa namun memiliki sedikit pengalaman untuk mula merancang kewangan dengan baik.
Keempat, kita bergerak ke aras yang lebih mengikat disiplin diri iaitu mempunyai simpanan tetap atau semasa. Kalau ada wang lebih, cepat-cepat buat simpanan tetap atau semasa supaya wang ini bergerak aktif tetapi dalam jajaran yang selamat.
Kelima, kita mula melabur. Apa yang hendak dilabur? Silap-silap labur mungkin jadi lebur. Skim pelaburan banyak di pasaran. Paling penting ialah kita kenal tahap risiko dan hasil pulangan sesuatu produk sebelum memulakan pelaburan. Macam biasa, pelaburan tinggi risikonya juga tinggi.
Keenam, kalau sudah berjaya melaburkan wang, barulah masanya untuk membeli barang-barang mewah dan bolehlah goyang kaki.
Orang muda yang baru bekerja dan merasai gaji pertama mesti berfikir untuk mula membuat simpanan. Tidak perlu tunggu tahun depan untuk mula menyimpan kerana apabila mula menyimpan awal, banyaklah wang simpanan apabila mencapai umur pencen nanti.
Sebaik-baiknya mula menyimpan 10 peratus daripada pendapatan setiap bulan sebelum berbelanja. Formula penyimpan juga kena tahu kerana kebanyakan orang akan menggunakan formula begini:
Pendapatan – perbelanjaan = simpanan/pelaburan
Jika kita ikut formula ini, jumlah simpanan tidak tetap kerana ada masanya perbelanjaan meningkat dan mengurangkan simpanan. Sebaiknya gunakan formula ini:
Pendapatan – simpanan/pelaburan = perbelanjaan
Barulah kita dapat menyimpan sebahagian pendapatan bulanan dengan tetap. Sama ada kecil atau besar, simpan dulu, kemudian baru belanja. Kalau dapat bonus, tambahkan simpanan supaya kita termasuk dalam kelompok 1 peratus apabila mencecah umur 65 tahun.
Monday, April 12, 2010
Laa Tansa Ya … Muslimin
Tahun: 2007
Penerbit: Alifbata, Jakarta, Indonesia.
Muka Surat: 415
Maksud Laa Tansa ialah Jangan Lupa. Buku ini merupakan usaha terpuji bagi mengingatkan umat Islam perkara-perkara umum yang berlaku dalam sepanjang hidup seorang muslim seperti rukun Islam, rukun iman, solat, puasa dan adab-adab pergaulan. Walaupun tajuk buku kelihatan gah, namun ia tidak lebih daripada buku-buku fiqah yang berada di pasaran. Namun Laa Tansa telah diolah dan diberi pendekatan baru dari segi reka bentuk kulit dan sususan kandungannya.
Membaca buku ini adalah membaca sebuah peringatan. Setiap topik diiringi dengan nas dari al-quran dan hadis yang membantu pembaca memahami maksud dan huraian. Kupasannya agak mudah dan persoalan umat Islam dijawab dengan ringkas dan tidak berbelit-belit.
Justeru, buku tebal ini boleh dijadikan panduan untuk mengingatkan setiap umat Islam bagi mengamalkan perkara-perkara rutin yang telah diajarkan oleh Rasulullah saw.
Saturday, April 10, 2010
Mercurius Solubilis
Fikiran: Lemah ingatan, lemah keinginan. Sangat bimbang dan cemas terutama sebelah petang dan malam. Lambat jawab soalan. Dungu dan tolol. Murung dan lemah semangat. Hendak tidur saja. Syak wasangka. Bercakap cepat dan laju.
Kepala: Pening. Keliru bila bangun pagi. Dahi rasa bergetar-getar. Otak seperti terbakar. Kulit kepala gatal. Sakit bila ditekan pelipis kiri. Berterusan sakit kepala walaupun ketika baring. Kulit kepala sangat sakit bila disentuh, teruk bila digaru dan diikuti pendarahan. Cabut rambut. Jahitan luka terbuka. Pembesaran tidak normal pada tulang (exostoses) di kulit kepala dengan rasa sakit bila disentuh, teruk sebelah malam.
Mata: Radang mata dan bengkak; sangat sensitif dengan cahaya. Panas terbakar, kemerahan dan ada tekanan dalam mata. Anak mata terbeliak luas. Berair. Konjunktivitis kronik. Kelopak mata sekejap-sekejap tertutup; merah, bengkak dan melekat bila bangun tidur. Pandangan berpinar-pinar, mata berkabut.
Telinga: Radang telinga luar dan dalam dengan rasa berdenyut-denyut, disiat-siat dan kekejangan, berdarah. Sakit menyucuk-nyucuk dengan rasa terbakar. Berdering-dering dan bergema dalam telinga. Tersumbat. Susah dengar; bunyi bergetar. Lega selepas menelan atau menghembus hidung. Telinga bernanah busuk.
Hidung: Berdarah semasa tidur dan batuk. Berair; kerap bersin. Tulang hidung bengkak dan sakit bila disentuh. Hidung busuk (ozaema).
Muka: Pucat, kekuningan, bengkak, mengelembung. Ulser mulut.
Mulut: Gigi rasa longgar seperti hendak patah; reput; gusi jadi gondol (tidak ada gigi). Sakit bila disentuh. Sakit gigi berdenyut-denyut melarat ke telinga dan kepala; teruk sebelah malam. Gusi sakit jika disentuh dan mengunyah. Lidah merah dan bengkak, selaput putih, susah digerakkan, sukar bercakap; gagap. Radang membran mukus dalam mulut. Banyak air liur. Roti rasa masam.
Kerongkong: Uvulva bengkak dan menjadi lebih panjang. Ulser dalam kerongkong dan mulut. Kering walaupun mulut banyak air liur. Tonsil bernanah dan sakit ketika menelan. Bengkak kalenjar.
Perut: Hilang selera makan, hanya makan roti dan keju. Sendawa kosong. Sangat dahaga. Loya bila batuk. Perut rasa lemah dan terus menerus lapar.
Abdomen: Menyucuk-nyucuk di kawasan hati, bengkak, sensitif dan tidak boleh baring sebelah kanan. Abdomen keras, mengelembung dan sakit. Usus seperti melecur. Senak perut seperti dipotong-potong dan sakit menyengat terutama sebelah malam atau dalam udara sejuk. Senak perut kerana sejuk.
Najis: Sakit ketika berak. Dubur rasa terbakar. Letih selepas berak. Senak perut dan cirit-birit angin malam. Najis hijau, berdarah dan berlendir.
Kencing: Pundi-pundi kencing rasa terbakar. Kerap kencing tetapi sedikit; teruk sebelah malam. Air kencing merah gelap dan keruh.
Seks lelaki: Hilang nafsu seks sepenuhnya. Darah bersama air mani. Buah zakar sejuk, bengkak dan keras.
Seks perempuan: Haid terlalu banyak. Keputihan teruk sebelah malam dengan discaj kehijauan. Radang faraj; menyucuk-nyucuk dan gatal. Buah dada bengkak, keras dan bernanah.
Pernafasan: Suara parau, tekak rasa terbakar. Nafas tercungap-cungap bila naik ke tempat tinggi; sesak nafas. Asma. Batuk yang pendek, kering dan meletihkan di sebelah petang dan malam; sakit dada menyucuk-nyucuk; sebelah kanan; melarat ke belakang bila bersin dan batuk. Paru-paru hilang kekenyalan. Paru-paru bernanah selepas berdarah.
Kakitangan: Menggeletar terutama kaki dan tangan ; tersentak-sentak tanpa kawalan. Rasa letih dan lemah. Sejuk. Lumpuh.
Umum: Sangat penat dan letih; menggeletar otot-otot, tangan, lidah. Pergerakan tergesa-gesa. Badan dan pernafasan busuk. Bengkak air pada muka, tangan dan kaki dengan tanda-tanda kurang darah. Seluruh badan seperti lebam dan sakit pada semua bahagian tulang. Tidak dapat duduk hanya dalam satu posisi. Kalenjar membengkak dengan atau tanpa bernanah. Tidak boleh baring sebelah kanan.
Kulit: Kotor; demam kuning. Gatal; teruk sebelah malam. Berdarah ulser dan cepat merebak; ada nanah pada kulit, kepala dan kulit zakar.
Demam: Sejuk di tempat terbuka; semasa dapat cirit-birit, pagi atau petang selepas berbaring. Sejuk dan panas silih berganti. Berpeluh sebelah malam; belengas.
Melarat: Petang dan malam; panas tempat tidur; semasa berpeluh; dalam cuaca lembap dan sejuk; angin malam; semasa bersenam; berbaring sebelah kanan.
Patologi: Ulser pada kemaluan dan tonsil; kerap kencing; anggota badan bernanah; sakit mulut dan kerongkong; radang gusi; nafas berbau; batuk; demam; bengkak kalenjar; sakit kepala; sakit sendi; sakit telinga; konjunktivitis kronik; mata berair; hidung berdarah; kulit melecur.
Friday, April 09, 2010
Guna teknologi tingkatkan perkhidmatan
Berdasarkan keputusan kajian setakat ini, syarikat penghantar terbesar di dunia ini telah mendapat 20 perkara untuk sejumlah besar pemandu UPS- respons kepada teknologi tinggi dan peluang mengasah kemahiran sedia ada. Latihan pemanduan semakin penting kepada UPS yang menggajikan 9,000 orang pemandu di Amerika Syarikat dan masih perlukan 25,000 pemandu dalam tempoh lima tahun akan datang untuk menggantikan pekerja sedia ada.
Calon yang bersaing untuk menjadi pemandu dengan purata gaji US$74,000 (RM236,800) setahun kini sedang berada di Integrad selama seminggu. Integrad adalah pusat latihan UPS yang terletak 10 batu dari Washington. Di sana mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk mempraktikkan ‘340 Methods’ bagi menjimatkan masa beberapa saat dan meningkatkan keselamatan dalam setiap tugas dari mengangkat dan menurunkan kotak-kotak terpilih dari rak dalam lori.
Mereka bermaiin permainan video yang diletakan di tempat pemandu dan mengenal pasti halangan dan cabaran. Mereka meningkat naik dari simulasi komputer ke ‘Clarksville’ iaitu kawasan yang menyerupai perkampungan kecil dengan bisnes kecil-kecilan di mana pemandu-pemandu ini memandu lori sebenar dan melaksanakan lima penghantaran dalam masa 19 minit.
Sehingga kini, kaedah baru yang direka oleh UPS dan penyelidik dari Virginia Tech telah menunjukkan kejayaan. Dari jumlah 1,629 pelatih yang melengkapkan latihan mereka di Integrad sejak 2007, hanya 10 peratus yang gagal dalam program berkenaan yang mengambil tempoh enam minggu termasuk 30 hari memandu lori dalam dunia pekerjaan sebenar.
Dengan menyediakan latihan di luar dari kebiasaan tradisi dan menggunakan teknologi dan pembelajaran sebenar, UPS dapat meningkatkan kemungkinan kejayaan di kalangan pemandu mereka. Selain itu, penampilan diri juga penting. Pelatih yang gagal menggosok pakaian dan kelihatan kedut, mata untuk pasukannya akan ditolak. Begitu juga jika tidak memasukkan kunci di jari manis ketika keluar dari kenderaan.
Syarikat penghantaran seperti UPS sentiasa berfikir bagaimana mereka dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dan cara kerja pemandu mereka. Dengan tawaran gaji tahunan sebanyak RM236,800 setahun atau RM19,733 sebulan, pemandu UPS dapat hidup dengan senang sepanjang tahun. Jumlah itu cukup untuk menjadikan kehidupan pemandu penghantar barang ini menikmati keseronokan berkerja.
Di Malaysia, kita masih bergelut untuk menaikkan gaji posmen yang gaji pokok masih berlegar sekitar RM600 sebulan. Bagaimana posmen kita dapat memikirkan masa depan mereka jika terpaksa mengagihkan duit gaji untuk membayar sewa, keperluan harian, belanja sekolah anak-anak dan simpanan.
Syarikat-syarikat perkhidmatan wajar mencontohi UPS yang menggabungkan teknologi dan kualiti perkhidmatan untuk menyaingi pesaing mereka seperti FedEx. Pos Malaysia juga patut membaiki khidmat mereka selaras dengan kenaikan harga setem. Pengguna tidak akan merungut jika kenaikan perkhidmatan ini diiringi dengan kenaikan mutu perkhidmatan supaya nasib pekerja pos terbela dan pengguna mendapat perkhidmatan yang berkualiti.
Saturday, April 03, 2010
Dulcamara
Fikiran: Cenderung menyergah orang lain tetapi tidak marah. Letih dan tidak sabar. Rasa mahu bertengkar.
Kepala: Bangun pagi dengan terhuyung-hayang dan pening-pening, pandangan kabur, menggigil dan lemah. Kepala rasa berat. Pelipis rasa sakit seperti ditebuk. Kelemumur tebal, rasa rambut hendak tercabut.
Mata: Radang mata kerana terdedah pada kesejukan. Anak mata menjadi besar.
Telinga: Berdenyut-denyut dalam saluran pendengaran dan kalenjar parotid. Sakit telinga pada sebelah malam; tidak dapat tidur.
Hidung: Berdarah, darah merah cerah dan panas, sedikit tekanan pada bahagian atas hidung. Selesema kering, melarat dalam cuaca sejuk.
Muka: Urat muka menyucuk-nyucuk dan mendapat asma selepas hilang jerawat di muka. Kuping jerawat tebal, perang dan kekuningan di muka, dahi dan dagu.
Mulut: Lidah dan mulut kering. Air liur berkumpul dalam mulut. Lidah dan rahang menjadi lemah jika terdedah pada udara sejuk atau minum air sejuk (ais). Lidah lumpuh.
Perut: Enggan makan. Sendawa. Loya. Muntah.
Abdomen: Sakit perut kerana terdedah pada kesejukan atau cirit-birit dengan perut menderam-deram dan sakit di belakang. Sakit berterusan di kawasan berhampiran pusat. Kalenjar inguinal (bawah abdomen dekat pelipat ke paha) membengkak kerana sejuk.
Najis: Terasa hendak buang air besar di sebelah petang, abdomen bawah menjerut-jerut diikuti najis yang besar, nipis dan berbau masam. Cirit-birit menyebabkan najis berwarna kuning dan hijau silih berganti. Cirit-birit berair kuning dengan rasa sakit perut sebelum buang air besar. Cirit-birit atau berak berdarah kerana angin atau cuaca sejuk.
Kencing: Saluran kencing panas terbakar semasa kencing. Kencing di luar kawalan. Kerap mahu kencing, rasa menusuk-nusuk di dalam abdomen.
Seks lelaki: Mati pucuk. Kayap timbul di atas kemaluan.
Seks perempuan: Ruam-ruam timbul sebelum datang haid. Faraj gatal, panas dan bernafsu kuat. Haid, susu dan bendalir keluar kerana sejuk.
Pernafasan: Susah bernafas kerana sejuk; banyak mukus. Suara kasar dan serak. Kerongkong berair, teruk dalam cuaca lembap. Batuk dengan kahak warna merah cerah. Organ-organ pernafasan rasa longgar, batuk lembap, teruk bila berehat dan di tempat tertutup. Banyak kahak berkumpul di dalam dada.
Kakitangan/Belakang: Tengkuk kaku, sakit belakang dan tulang sulbi susah hendak digerakkan selepas kesejukan. Rasa dipotong-potong yang amat sangat dalam tulang sulbi kanan, hilang sekejap selepas diurut. Sakit belakang selepas membongkok untuk jangka masa panjang. Lengan kiri sakit lebam-lebam dan tidak dapat digerakkan. Tulang kering kanan benjol dengan tompok-tompok biru merah; bengkak bernanah. Paha menyucuk-nyucuk dan menyiat-nyiat; hilang bila berjalan, muncul semula bila duduk.
Kulit: Jerawat dengan cecair keluar perlahan-lahan, berdarah selepas digaru. Ruam nettle (tompok-tompok merah pada kulit) di seluruh badan; sangat gatal; selepas garu rasa panas terbakar; lebih banyak jika panas; bila sejuk. Kuping-kuping tebal, prang-kuning di seluruh badan. Melekat dan gatal di sebahagian badan.
Tidur: Sukar hendak tidur.
Demam: Sejuk dengan sakit-sakit. Umumnya kering dan panas terbakar.
Melarat: Malam; semasa rehat; angin sejuk; cuaca lembap; kerana pertukaran cuaca.
Lega: Bangun dari tempat tidur; kerana bergerak; cuaca pana dan kering.
Friday, April 02, 2010
1Malaysia ke arah memupuk perpaduan (10)
Pertubuhan bukan kerajaan
Kehadiran pertubuhan bukan kerajaan (non-government organization) dalam masyarakat semakin dirasai kerana organisasi ini memperjuangkan hak dan ideologi masing-masing berdasarkan objektif penubuhannya. Justeru, setiap kumpulan etnik mempunyai pertubuhan bukan kerajaan sendiri bagi menjaga hak dan kepentingan etnik mereka. Tema penubuhan NGO ini berbagai-bagai seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan atau kebajikan yang ada kalanya berunsur perkauman kerana mereka bertukar menjadi kumpulan pendesak yang kuat apabila isu-isu kepentingan kaum disentuh.
Dua pertubuhan Cina yang bertindak menjaga kepentingan pendidikan etnik itu kerap kali ‘panas punggung’ apabila isu-isu pendidikan Cina diketengahkan seperti cadangan ditutup sekolah jenis kebangsaan atau digabungkan sekolah berkenaan dengan sekolah wawasan. Gabungan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) dan Gabungan Persatuan-persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zhong) menjadi benteng kepada sebarang ancaman ke atas pendidikan Cina di Malaysia.
Keghairahan etnik Cina melobi kerajaan melalui NGO memberi idea kepada puak ekstremis India menjadikan Hindraf sebagai platform dan pendesak bagi etnik India. Hindraf menggembleng usaha menarik sokongan masyarakat India Malaysia kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan raya Umum Ke-12 lalu namun akhirnya pertubuhan itu diharamkan kerana dilihat memudaratkan keselamatan negara dan mengancam perpaduan rakyat.
Kesedaran orang Melayu terhadap hak dan kepentingan mereka telah merealisasikan penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang menggabungkan 76 pertubuhan bukan kerajaan Melayu. Sokongan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir kepada Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) menunjukkan NGO semakin penting dan kritikal dalam memelihara kepentingan etnik Melayu.
Kebenaran yang diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan berasaskan etnik perlu dibendung dan dipantau kerana pengaruh mereka yang semakin hari semakin membesar. NGO yang mementingkan sesuatu etnik akan memberi imej buruk kepada perpaduan kaum dan mengancam kestabilan politik negara. Sebaliknya kerajaan perlu menggalakkan NGO yang dianggotai oleh semua etnik dan menjadikan agenda pembangunan negara sebagai teras aktiviti mereka.
Kesimpulan
Perpaduan tidak lahir semata-mata dengan adanya dasar bahasa atau satu sistem pendidikan sebaliknya berada dalam rangkaian yang saling berkait. Keazaman politik dan kesedaran ke atas pembinaan sebuah bangsa yang bersatu padu dapat mempercepatkan proses perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai etnik di Malaysia. Penerimaan terhadap idea perpaduan 1Malaysia mesti mempengaruhi hati dan minda rakyat supaya mereka bersedia secara psikologi menerima kehadiran lain-lain etnik dalam persekitaran mereka.
Daripada penerimaan idea perpaduan, rakyat dapat memperlihatkan sikap yang cenderung kepada penyatuan. Kerajaan wajar mencari pendekatan yang mengurangkan identiti kaum berasakan ekonomi, politik atau sosial sebaliknya melihat persamaan sebagai peluang untuk bersatu. Dengan pengenalan dan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB), rakyat Malaysia boleh melupakan identiti kaum masing-masing supaya status negara maju pada tahun 2020 tidak dibayangi oleh jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum.
Biarpun identiti kaum terhakis sedikit demi sedikit, Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak wajar dipertahankan supaya persekitaran hidup masyarakat menjadi stabil dan selamat.
Rujukan
Md Salleh Haji Hassan et. al (2009). Keberkesanan media massa dalam memupuk dan memperkukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional. Jurnal Perpaduan, Jilid 1 Bil 1(1) m.s 33-47.
http://www.jpninselangor.gov.my/v2/ms/latar_belakang
http://74.125.153.132/search?q=cache:eUQ-n2gmcKkJ:hafiy.tripod.com/rukun negara.html.doc+rukun negara&cd=15&hl=en&ct=clnk&gl=my
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=242:dasar-pendidikan-kebangsaan&catid=88:dasar-dasar-negara&Itemid=20
Thursday, April 01, 2010
1Malaysia ke arah memupuk perpaduan (9)
Media massa
Kedua-dua media- elektronik dan cetak memainkan peranan penting bagi membina kesedaran dan galakan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum. Maklumat yang disebarkan melalui media massa boleh memberi mesej perpaduan kerana nilai-nilai perpaduan boleh dibentuk dalam rancangan terbitan televisyen atau radio di samping paparan artikel di akbar.
Kajian yang dilakukan ke atas keberkesanan media massa dalam memupuk dan memperkukuh perpaduan negara dan integrasi nasional memperlihatkan pengaruh media massa ke atas nilai dan sikap masyarakat terhadap perpaduan telah merumuskan media massa di Malaysia menjadi elemen yang berkesan bagi memupuk dan memperkukuh perpaduan negara dan integrasi nasional. Dapatan kajian turut memperlihatkan televisyen sebagai sumber utama mesej berbanding radio dan akhbar. TV3 adalah saluran utama yang ditonton dan TV1 adalah saluran yang paling kurang ditonton. Stesen radio Era.fm adalah pilihan utama dan akhbar Utusan Malaysia pula menjadi akhbar pilihan ramai (21.1%), diikuti Berita Harian (16.0%) dan The Star (15.2%). Secara umum dapat diketahui bahawa lebih ramai penduduk Malaysia membaca akhbar berbahasa Melayu dan mesej perpaduan negara telah membawa kesan positif kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.
Saluran TV pilihan
STESEN TV | PERATUS KESELURUHAN (%) |
TV3 | 29.8 |
NTV7 | 21.6 |
ASTRO | 17.2 |
8TV | 13.0 |
TV2 | 10.6 |
TV1 | 7.5 |
Radio pilihan
STESEN RADIO | PERATUS KESELURUHAN (%) |
Era.fm | 18.5 |
Hitz.fm | 12.8 |
My.fm | 7.6 |
THR.fm | 7.2 |
98.8.fm | 5.8 |
IKIM.fm | 5.1 |
Mix.fm | 4.9 |
Radio Muzik | 4.7 |
Sinar.fm | 4.4 |
Radio 6 | 4.4 |
X-Fresh.fm | 4.1 |
Light and Easy.fm | 3.7 |
Best104.fm | 3.0 |
Radio KL | 2.4 |
Radio 5 | 2.4 |
Radio 1 | 2.4 |
RIMMA | 1.4 |
Red.fm | 1.3 |
WOW.fm | 1.3 |
Radio 4 | 0.9 |
Radio 7 | 0.6 |
Akhbar pilihan
AKHBAR | PERATUS KESELURUHAN (%) |
Utusan Malaysia | 21.1 |
Berita Harian | 16.0 |
The Star | 15.0 |
Harian Metro | 10.3 |
Kosmo | 8.9 |
The New Straits Times | 6.4 |
Sin Chew Daily | 5.8 |
Tamil Nessan | 3.6 |
Nanyang Siang Pau | 3.2 |
The Sun | 3.0 |
China Press | 2.6 |
Malay Mail | 1.0 |
Oriental Daily | 0.8 |
Guang Ming | 0.7 |
Tamil Thinamani | 0.4 |
Kwong Wah Yit Poh | 0.2 |