Friday, September 23, 2016

Keselamatan jalan raya ketika ke sekolah







Dalam tempoh seminggu ini, kita dikejutkan siri kemalangan jalan raya di hadapan sekolah. Ada yang berkaitan dengan kecederaan kekal dan kematian. Kejadian seperti ini menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia memohon bantuan pihak polis bagi memastikan keselamatan pelajar ketika pergi dan pulang dari sekolah.

Kebanyakan sekolah di negara ini dibina berhampiran jalan raya utama. Ada sesetengahnya hanya beberapa meter dari tepi jalan raya yang sering dilalui oleh lori-lori tanah dan trailer panjang. Tidak semua pemandu-pemandu lori ini memahami betapa pentingnya mengawal kelajuan kenderaan mereka ketika melalui kawasan sekolah.

Mereka memandu tanpa rasa bersalah apabila melihat pelajar-pelajar sekolah berjalan atau berbasikal di tepi jalan raya menuju sekolah. Barangkali mereka beranggapan tindakan mereka tidak berbahaya. Pemandu kereta juga menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada kemalangan jalan raya melibatkan pelajar sekolah.

Kesalahan memandu sehingga menyebabkan pelajar sekolah dilanggar bukanlah satu-satunya faktor yang meningkatkan kadar kemalangan jalan raya di kawasan sekolah, sebaliknya ada faktor-faktor lain seperti kesedaran penjaga pelajar ketika menghantar anak-anak mereka ke skolah. 

Ada sesetengah daripada mereka kurang prihatin laluan pelajar ketika menuju ke sekolah dan juga tidak memerhati pelajar semasa menurunkan pelajar di tepi sekolah. 

Ada juga penjaga pelajar yang membiarkan pelajar melintas jalan ke sekolah secara bersendirian tanpa pengawasan.

Pihak sekolah juga tidak menyediakan lintasan garisan kuning untuk pelajar melintas. Keadaan seperti ini menjadikan suasana melintas jalan ke sekolah tidak bersistematik. 

Banyak usaha wajar dilakukan untuk menjadikan laluan jalan raya di hadapan kawasan sekolah sebagai kawasan istimewa. Kita harus disedarkan bahawa jalan raya di hadapan sekolah sangat penting kerana di sinilah kita melahirkan pemimpin-pemimpin negara. Agensi jalan raya perlu menyediakan papan tanda khusus lima meter sebelum melalui hadapan sekolah bagi mengingatkan pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan dan memandu dengan berhati-hati.


No comments:

Post a Comment