Keputusan kerajaan Selangor mengenakan diskaun ke atas semua
pembeli hartanah tanpa mengira bangsa wajar diberi berhatian serius. Langkah
ini dengan sendirinya menidakkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkaitan
hak-hak istimewa Melayu dan bumiputera dalam memiliki harta sendiri khususnya
rumah pada kadar harga yang lebih rendah.
Kita tidak tahu bagaimana keputusan ini diputuskan tetapi ia
menggambarkan rakyat Selangor telah mencapai tahap pemilikan harta yang semakin
baik dan layak bersaing sesama sendiri. Jika inilah alasannya, kaedah mengukur
tahap pendapatan sedia ada perlu dinilai kembali.
Dalam statistik kadar kemiskinan 2015, orang miskin semakin
berkurangan di negara ini. Jumlah yang miskin cuma 0.6 peratus. Justeru,
keputusan kerajaan Selangor mengenakan diskaun untuk semua bangsa bagi memiliki
hartanah di negeri itu mungkin atas anggapan bahawa semua bangsa telah berada
dalam kelompok yang sama untuk bersaing dan berhak mendapat diskaun.
Tambahan pula kaedah menentukan golongan miskin tidak
bersandarkan kepada bangsa sebaliknya berdasarkan kelas sosial. Kelompok kelas
sosial yang miskin perlu dibantu tanpa mengira bangsa. Jika Melayu yang ramai
miskin maka mereka perlu dibantu.
Dalam kaedah ini, elemen bangsa tidak penting. Sehingga satu
tahap, negeri Selangor memiliki tiga kelas sosial yang jelas iaitu atas,
menengah dan bawah.
Mereka akan berusaha untuk meramaikan kelompok menengah yang
berpendapatan tinggi bagi mengurangkan kelompok bawahan.
Kaedah ini merupakan satu bentuk pembangunan sosial
masyarakat yang boleh juga membantu mengurangkan kemiskinan di Malaysia. Namun
harus diingat bahawa negara ini mempunyai perlembagaan yang menentukan
pembangunan negara berasaskan bangsa.
Kita berpendapat tindakan kerajaan Selangor telah
mengetepikan hasrat perlembagaan ini dan ia boleh memberi implikasi politik
yang tidak sihat kepada hubungan etnik. Kerajaan persekutuan perlu melihat
perkara ini supaya semangat Perlembagaan Persekutuan terpelihara dan tidak
sewenang-wenangnya disalah guna untuk kepentingan politik sahaja.
No comments:
Post a Comment