Tuesday, September 13, 2016

Akhlak anak pengaruhi pengislaman ibu







Kisah pengislaman ibu seorang artis, Shela Lama, menjadi perhatian pelbagai media massa baru-baru ini. Laporan Bernama melaporkan Wong Lan Eng, 74 tahun, memilih menjadi seorang penganut Islam pada hari raya korban setelah melihat bagaimana tiga orang anaknya yang telah awal menjadi Islam menunjukkan peribadi yang lebih baik selepas menjadi muslim.

"Sungguhpun anak-anak saya dan cucu-cucu saya adalah muslim, mereka masih menghormati saya. Inilah yang menjadi sebab utama kenapa saya memilih mejadi seorang Islam", katanya kenapa beliau memilih hari raya korban untuk mengucap dua kalimah syahadah.

Kisah artis dan selebriti bertukar kepada agama Islam sudah acapkali kita dengar. Banyak sebab yang mendorong mereka menjadi Islam seperti perkahwinan, mencari arah hidup dan pengaruh rakan-rakan. Biasanya peralihan agama ini mendapat reaksi yang pelbagai. Ada yang menerima dengan senang hati sebaliknya ada yang mengeji.

Reaksi terhadap pengislaman Shela Lama juga turut menerima reaksi bercampur-campur.

Dalam ruangan emoji akhbar thestar online, emoji paling tinggi peratusannya adalah marah (41 peratus), diikuti gembira (36 peratus) dan menyakitkan hati (10 peratus).

Kita tidak tahu kenapa pembaca akhbar ini memilih kemarahan sebagai reaksi mereka yang utama. Mungkin juga pembaca di sini mempunyai persepsi negatif terhadap pertukaran agama kepada Islam ataupun ada sebab-sebab yang lain.

Di media, Islam telah pun menjadi sebahagian daripada isu yang mendapat liputan negatif yang lebih banyak berbanding agama-agama lain. Justeru, ada dalam kalangan orang Islam sendiri yang berasa malu dengan agama mereka dan membuat keputusan untuk mencari agama lain.

Di Indonesia, seorang ustaz yang dipanggil Kyai Haji Sariffudin Ibrahim bertukar agama kepada kristian kerana beberapa sebab. Alasannya adalah kerana doktrin, pengalaman peribadi dan panggilan Elohim pada diri Sarifuddin. Kisah menjadi kristian ini ditulis dalam bukubeliau Kenapa Saya Memilih Kristus dan Dialog Dengan Saddam Husein

Kisah Sarifuddin Ibrahim ini menjadi perdebatan di Indonesia kerana sikap terbuka masyarakat mereka berkaitan pertukaran agama. Ada juga artis negara itu yang menukar agama kerana berkahwin.

Pemurtadan orang Islam di Malaysia adalah perkara sensitif kepada masyarakat. Kes seperti ini tidak boleh dibincang secara terbuka di media kerana ia memberi kesan yang besar. Terdapat kes murtad yang dibawa ke mahkamah dan diputuskan oleh mahkamah sendiri dalam ruang lingkup yang terkawal. Ada kes yang memang dibenarkan murtad dan ada yang tidak boleh. Namun, dalam kes-kes seperti ini, hakim membuat pertimbangan yang sangat wajar kenapa sesuatu keputusan itu diputuskan.

Biarpun kita sering mendengar ada rungutan yang tidak puas hati terhadap ruang kebebasan agama di Malaysia, agama Islam berada pada kedudukan yang teristimewa di sisi perlembagaan. Bagaimanapun agama lain boleh diamalkan tanpa mengganggu masyarakat Islam.


No comments:

Post a Comment