Saturday, September 10, 2016

Pemaju berupaya biayai pinjaman rumah







Cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar supaya pemaju perumahan diberi lesen pemberi pinjaman kewangan untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank dan bagi menangani masalah bayaran pendahuluan.

Sebagai pembeli, kini mereka mempunyai sumber pinjaman yang lebih banyak untuk membiayai pembelian rumah idaman berbanding mendapat pinjaman bank.

Pada hari ini, seorang pelajar universiti yang baru menamatkan pengajian dan mula mendapat kerja, ia mengambil masa untuk memiliki sebuah rumah kerana jumlah gaji yang kecil.

Keadaan lebih sukar jika tinggal di bandar besar kerana kos hidup yang tinggi. Sewa rumah, kenderaan dan keperluan harian perlukan belanja yang besar menyebabkan sukar membuat simpanan melainkan melakukan dua pekerjaan dalam satu hari. Pada siangnya bekerja di pejabat manakala pada sebelah malamnya membuat perniagaan sendiri.

Ada juga ibu bapa yang membantu anak-anak membayar desposit awal untuk membeli rumah kerana mereka tahu anak yang baru bekerja tidak mampu mengumpul wang untuk membayar pendahuluan.

Jika kaedah ini dilaksanakan, beberapa persoalan yang perlu diselesaikan dahulu seperti sejauh manakah pemaju berupaya menyediakan pinjaman yang banyak untuk menjayakan kaedah ini. Adakah pemaju boleh memberi pinjaman dalam tempoh yang singkat dan tidak ada masalah senarai hitam jika gagal membayar pinjaman?

Harga rumah di Malaysia sering meningkat sejak akhir-akhir ini. Ada rumah teres tiga bilik sudah menjangkau lebih RM250 ribu sebuah. Walaupun selesa, rumah sebegini tidak mampu dipunyai oleh orang yang bekerja dengan pendapatan kecil. Jika harga rumah itu setengah juta ringgit, suami dan isteri bersama-sama bergabung membayar ansuran bulanan. Mengharapkan seorang sahaja bayar tentu agak sukar.

Umum tahu, pertukaran asing ringgit Malaysia dengan wang asing semakin rendah. Jika dulu wang RM20 boleh beli banyak barang, kini hanya beberapa barang yang dapat dibeli. Kos hidup yang bertambah bakal menjadikan rakyat Malaysia kembali miskin, apatah lagi yang berpendapatan kecil dan sederhana.


No comments:

Post a Comment