Tuesday, September 06, 2016

Ketaksuban remaja terhadap artis K-Pop







Zainudin MZ, Nik Rusmariana Nik Ruhadi

1.0 Pengenalan

Kegilaan golongan remaja terhadap artis seperti artis K-Pop merupakan fenomena yang luar biasa. Artis K-Pop sentiasa digilai oleh sesetengah masyarakat tanpa mengira had umur terutamanya golongan remaja. Keterujaan dan ketaksuban golongan remaja terhadap K-Pop membuatkan mereka seolah-olah lupa diri, budaya serta anutan agama yang seharusnya membentengi diri mereka daripada perlakuan tidak sopan, memalukan diri sendiri serta keluarga.

Malahan kita sedia maklum bahawa pada awal tahun 2015 negara telah digemparkan dengan berita gadis Melayu bertudung dan beragama Islam dipeluk oleh artis K-Pop dalam konsert yang diadakan di ibu negara. Difahamkan gadis terbabit dicium dan dipeluk beberapa anggota dari kumpulan K-Pop B1A4 yang membuat persembahan di KL Live Centre, Kuala Lumpur.

Dalam Islam, konsep hiburan ialah untuk mencari kesejahteraan, ketenangan dan kepuasan, melepaskan diri daripada tekanan, ketegangan dan keresahan. Ia dapat dilakukan pada waktu lapang, secara individu, bersama keluarga ataupun bersama rakan-rakan, bahkan kita sepatutnya beribadah dan mengikut fitrah kita sebagai seorang muslim seperti mengamalkan seni taranum membaca al-quran, gubahan sajak dan syair yang membesarkan Allah swt dan sebagainya.

1.1. Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengenal pasti kewujudan K-Pop di Malaysia, mengetahui pengaruh K-Pop dalam kalangan remaja Malaysia dan mengkaji saranan dan cadangan untuk mengatasi ketaksuban terhadap dunia K-Pop.


2. Sorotan Kajian

Hallyu atau Korean Wave (Gelombang Korea) adalah istilah yang diberikan untuk menyebarkan budaya pop Korea (K-Pop dan drama) secara global di peringkat antarabangsa. Kesannya, Hallyu telah memicu ramai orang di negara yang terlanda dengan demam ini untuk mempelajari bahasa dan kebudayaan Korea. Kejayaan utama Hallyu adalah apabila drama bersiri “Winter Sonata” (2002) diterima dengan baik di Jepun, Cina, Taiwan dan negara ASEAN. Sejak itu istilah Hallyu atau demam Korea muncul (Nor Hashimah & Zaharani, 2011).

Kejayaan Hallyu disebabkan budaya popular Korea menggabungkan secara kreatif nilai Barat dan Asia demi menghasilkan satu corak budaya Korea yang menjadi model budaya dan ekonomi terkemuka untuk diikuti dan diminati. Jika diperhatikan dramatis-dramatis Korea, mereka mempunyai tubuh badan langsing dan wajah tampan dan jelita. Ekspresi muka yang hebat semasa melakonkan watak memberikan kesan mendalam pada penonton. Cara berpakaian yang cocok dengan budaya dan suasana empat musim di Korea sering menjadi ikutan remaja Asia.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan fesyen Korea terutama dari segi pakaian, kasut malah penjagaan kulit muka menjadi ikutan ramai merentas Asia. Selain daripada drama, muzik juga mendapat tempat di hati peminat Asia. Muzik Korea jelas menggambarkan keyakinan diri rakyat Korea. Senimannya telah dapat memprojeksikan imej maskulin atau seksi dengan jayanya. Artis seperti Rain, Beast dan ramai lagi telah berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa. Kejayaan muzik pop Korea (K-Pop) menduduki tangga di bawah 100 di Amerika Syarikat membuktikan muzik mereka diterima oleh masyarakat antarabangsa.


3.0 Kaedah Penyelidikan

Soal selidik dibahagikan kepada empat bahagian iaitu A, B, C dan D. Bahagian A merangkumi maklumat diri, Bahagian B untuk mengenal pasti kewujudan K-Pop dalam kalangan remaja Malaysia, Bahagian C untuk mengetahui pengaruh K-Pop manakala Bahagian D untuk mengkaji saranan dan cadangan untuk mengatasi ketaksuban terhadap dunia K-Pop.


4.0 Hasil Kajian dan Perbincangan

Analisis dan interpretasi data telah dikemukakan untuk menjawab soalan-soalan yang terdapat dalam soal selidik yang disediakan. Data yang diperolehi dianalisis menggunakan Microsoft Word. Responden dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang serta pelbagai etnik yang berjumlah 30 orang. Mereka diberikan tiga soalan untuk dijawab.

Soalan 1: Saya faham bahawa pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu penyebab berleluasanya pengaruh K-Pop di Malaysia.

Graf di atas menunjukkan jumlah responden mengenai pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu penyebab berleluasanya pengaruh K-Pop. Seramai 27 orang responden besetuju, tiga responden tidak pasti manakala tiada responden yang tidak setuju dengan pernyataan tersebut.

Soalan 2: Saya setuju bahawa siaran media yang melibatkan K-Pop perlu disekat.

Graf di atas menunjukkan jumlah responden berkenaan dengan persetujuan untuk menyekat siaran media yang melibatkan K-Pop. Seramai tiga orang responden besetuju, empat responden tidak pasti manakala yang selebihnya iaitu 23 responden tidak setuju dengan pernyataan tersebut.

Soalan 3: Saya setuju bahawa pengaruh K-Pop memberi kesan negatif kepada masyarakat sekeliling dan juga negara.

Graf di atas menunjukkan jumlah responden berkenaan dengan pernyataan bahawa pengaruh K-Pop memberi kesan negatif kepada masyarakat sekeliling dan juga negara. Seramai tiga orang responden besetuju, empat responden tidak pasti manakala yang selebihnya iaitu 23 responden tidak setuju dengan pernyataan tersebut.


Kajian ini merupakan satu kajian kuantitatif untuk melihat tahap persetujuan responden berdasarkan daripada semua penyataan yang dikemukakan di dalam borang soal selidik mengenai ketaksuban kepada artis K-Pop dalam kalangan remaja. Perbincangan untuk setiap graf yang telah dikemukakan dalam kajian juga turut dihuraikan dengan lebih terperinci bagi memudahkan kajian yang akan dijalankan pada masa akan datang.

Soalan 1: Saya faham bahawa pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu penyebab berleluasanya pengaruh K-Pop di Malaysia.

Dapatan kajian untuk soalan ini menunjukkan seramai 27 orang responden bersetuju dengan penyataan bahawa pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu penyebab berleluasanya pengaruh K-Pop. Masalah sosial seperti pengaruh K-Pop ini adalah sesuatu yang merangkumi pelbagai tingkah laku negatif dalam kalangan remaja yang tidak memberikan faedah kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat, komuniti ataupun negara. Banyak faktor yang mendorong remaja pada masa kini terlibat dalam gejala sosial yang kurang sihat ini. Menurut Abd. Rahim (2006), penglibatan remaja dalam pelbagai gejala sosial berpunca daripada beberapa faktor, antaranya faktor dalaman diri remaja itu sendiri dari aspek perkembangan personaliti, kegagalan fungsi institusi keluarga dan juga pengaruh rakan sebaya. Zainal dan Sharani (2004) pula menyatakan pengaruh persekitaran di sekolah juga menjadi punca keruntuhan akhlak di kalangan remaja.

Soalan 2: Saya setuju bahawa siaran media yang melibatkan K-Pop perlu disekat.

Dapatan kajian menunjukkan jumlah responden berkenaan dengan persetujuan untuk menyekat siaran media yang melibatkan K-Pop. Seramai tiga orang responden besetuju, empat responden tidak pasti manakala yang selebihnya iaitu 23 responden tidak setuju dengan pernyataan tersebut. Menurut akhbar MyNewsHub (2015), Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Mohd Nordin Ibrahim berkata sebarang bentuk media haruslah mengikut garis panduan yang ditetapkan seperti umat Islam yang hadir perlu diasingkan lelaki dan wanita, tiada pergerakan badan yang melampau, penganjur juga digalakkan membuat kawasan khas bagi mereka yang hadir bersama keluarga masing-masing.

Soalan 3: Saya setuju bahawa pengaruh K-Pop memberi kesan negatif kepada masyarakat sekeliling dan juga negara.

Dapatan kajian menunjukkan jumlah responden berkenaan dengan pernyataan bahawa pengaruh K-Pop memberi kesan negatif kepada masyarakat sekeliling dan juga negara. Seramai tiga orang responden besetuju, empat responden tidak pasti manakala yang selebihnya iaitu 23 responden tidak setuju dengan pernyataan tersebut. Menurut forum Balqis Aisyah, orang ramai selalu beranggapan budaya popular yang dibawa dari Barat itu membawa kesan-kesan buruk kepada masyarakat tempatan, terutama golongan muda atau remaja. Misalnya, budaya Barat itu selalu dikatakan budaya kuning dan dianggap tidak sesuai dengan kehidupan orang Melayu. Namun aspek kebaikan, terutama nilai-nilai sosial yang patut menjadi teladan seperti pembinaan hubungan sosial, kekeluargaan, budaya ilmu, menjaga kebersihan dan sebagainya kurang mendapat perhatian. Perkara yang menjadi perhatian ialah berkaitan dengan nilai-nilai buruk yang dianggap boleh membawa kesan-kesan buruk kepada generasi muda. Hal ini sudah menjadi hal yang cukup serius kerana memiliki positif dan negatif bagi para remaja. Namun semua itu bergantung kepada diri remaja itu sendiri bagaimana menghadapi fenomena ini. K-Pop hadir dengan lagu-lagu penuh semangat yang sangat mudah diterima banyak kalangan di dunia walaupun muzik Korea juga banyak dipengaruhi musik pop Amerika. K-Pop mendapat sentuhan khas Korea yang membuat sebuah persembahan yang kreatif dan kesan baru. Kesan kreatif yang ditampilkan K-pop memberikan daya tarikan yang besar.

Aksi penyanyi sama ada dalam video atau secara langsung memberikan impak besar kepada populariti K-Pop. Kini, Korea merupakan contoh yang baik untuk negara-negara lain di dunia terutama dilihat dari sisi kreativiti sekali gus mempopularkan budaya bangsa sendiri di mata negara. Melalui penyelidikan ini juga, beberapa faktor-faktor penolak dan penarik telah dikenal pasti bagi remaja yang taksub kepada artis K-Pop ini.

4.1 Faktor-faktor penarik bagi remaja taksub kepada dunia K-Pop

· Penampilan yang sangat disenangi oleh para remaja.
· Fesyen yang terkini dan smart.
· Tarian bersahaja dan mantap.
· Teknologi yang canggih untuk mengikuti perkembangan mereka.
· Rentak lagu yang gemar didengar oleh remaja.

4.2 Faktor-Faktor Penolak bagi remaja taksub kepada dunia K-Pop

· Artis tempatan lebih sombong dan susah didekati.
· Artis tempatan kurang mendekati peminat.
· Rentak lagu artis tempatan tidak senang didengari oleh remaja.


5.0 Kesimpulan

Masalah ketaksuban terhadap K-Pop ini perlu segera dibendung supaya ianya tidak merebak ke generasi yang seterusnya. Sebagai golongan remaja, tidak salah sekiranya ingin berhibur, namun jangan terlalu taksub dan lalai terhadap tanggungjawab dan adab sebagai orang Islam. Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan utuk mengatasi masalah K-Pop ini ialah peranan diri sendiri seperti cuba menanamkan sikap bencikan budaya luar dan kembali kepada fitrah tujuan hidup di dunia ini agar tidak terlalu leka dengan budaya K-Pop yang membawa pengaruh tidak sihat kepada individu itu sendiri, peranan Pihak Bukan Kerajaan (NGO) iaitu tidak mengalakan penganjuran program hiburan yang boleh memberikan impak negatif kepada masyarakat terutamanya generasi Y yang telah diketahui lebih mudah terpengaruh dengan budaya luar, peranan ibu bapa yang sentiasa memerhati tingkahlaku anak-anak mereka terutamanya ketika penggunaan alatan digital atau melayari internet. Ibu bapa boleh meggunakan sistem keselamatan yang boleh memasang perisian keselamatan pada setiap alatan digital anak mereka untuk memantau penggunaan alatan digital dari jauh mahupun dekat, peranan kerajaan  iaitu mengenakan akta undang-undang dengan lebih ketat untuk kemasukan artis luar membuat persembahan atau jelajah Malaysia bagi menyebarkan pengaruh mereka, dan peranan media elektronik seperti mengurangkan penyebaran drama mahupun muzik K-Pop daripada melanda negara sebelum generasi seterusnya lupa daratan, lupakan tradisi dan adat sebagai seorang rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama gara-gara fanatik yang melampau terhadap artis K-Pop.



Rujukan

Abd. Rahim Abd. Rashid (2006). Menangani Perkembangan dan Masalah Tingkah Laku Remaja Dalam Keluarga. Universiti Malaya: Pusat Pembangunan Keluarga.

Zainudin Sharif dan Norazmah Mohamad Roslan. (2011). Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Remaja Terlibat Dalam Masalah Sosial Di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka. Journal of Education Psychology & Counseling, 1(3), 115-140.

Nor Hashimah Jalaluddin & Zaharani Ahmad.2011.Hallyu Di Malaysia: Kajian Sosiobudaya. Jurnal Komunikasi Malaysia. Jil. 27(2), 203-219.

Harian Metro Atas Talian. Depan mata: Gelombang K-Pop terus melanda. (2011) http://www. hmetro.com.my. [dipetik: 9 Mac 2015].

Wikipedia http://id.wikipidea.org/wiki/Hallyu [dipetik: 9 Mac 2015].

1 comment:

  1. penulisan ini menceritakan tentang ketaksuban remaja di malaysia pada masa kini yang terlalu obses dengan artis dari korea sehingga mereka lupa dan melanggar batasan agama islam. pengaruh artis dari korea ini sangat kuat dalam diri remaja sehingga mereka sanggup meniru gaya hidup, fesyen perwatakan dan sebagainya.terdapat 2 faktor utama mengapa golongan remaja di malaysia terlalu meminati artis korea, terdapat faktor penarik yang membuatkan mereka meminati artis korea serta terdapat faktor penolak yang menyebabkan mereka tidak mengemari artis dari negara sendiri iaitu malaysia. dalam penulisan ini, terdapat 5 faktor penarik remaja meminati artis korea. pertama disebabkan penampilan artis korea yang sangat disenangi oleh para remaja. kedua, fesyen mereka yang sentiasa mengikuti trend terkini ,tarian bersahaja dan mantap, teknologi yang canggih untuk mengikuti perkembangan mereka dan akhir sekali,rentak lagu yang gemar didengari oleh para remaja. selain itu, faktor penolak adalah keranaartis tempatan lebih sombong dan susah didekati,selain itu, artis tempatan juga kurang mendekati peminat dan rentak lagu artis tempatan tidak sedang didengari oleh remaja.kesimpulannya, pada pendapat saya, tidak salah bagi remaja untuk meminati artis korea kegemaran mereka, tetapi mereka perlu bijak mengawal tahap fanatik mereka dan jadikan perasaan malu sebagai benteng dari menjadi terlalu obses dengan artis korea.

    ReplyDelete