Saturday, September 24, 2016

Peminjam PTPTN dihimpit sekatan







Peminjam PTPTN yang liat membayar pinjaman pendidikan akan terus dihimpit dengan pelbagai halangan dan sekatan. Di sebalik senarai hitam ini, mereka turut dihalang daripada meninggalkan negara kerana nama mereka sudah dimasukkan ke dalam senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia.

Jumlah peminjam yang disenarai hitam mencecah 1.3 juta orang. Semuanya dimasukkan ke dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS) yang mempunyai tanda hitam pada kadar hutang kerana gagal membayar pinjaman pendidikan pada masa yang sepatutnya.

Senarai hitam dalam CCRIS menyebabkan peminjam sukar mendapat sebarang pinjaman kerana dimasukkan dalam kategori "penghutang bermasalah". Kini terdapat 2.49 juta peminjam PTPTN.

CCRIS merupakan sistem yang diasaskan oleh Bank Negara Malaysia yang menggabungkan maklumat hutang berkenaan peminjam atau bakal peminjam ke dalam satu bentuk laporan hutang yang standard. Maklumat ini boleh diperolehi oleh institusi perbankan dan orang perseorangan berdasarkan permohonan.

Sistem perbankan individu diintegrasikan ke dalam sistem CCRIS dan secara automatik akan mengemukakan laporan individu untuk entiti hutang ketika proses kelulusan dilakukan. Setiap peserta dalam institusi kewangan perlu menyediakan maklumat hutang pelanggan mereka ke dalam sistem ini.

Kategori maklumat yang terdapat dalam laporan CCRIS adalah pinjaman yang belum diselesaikan seperti perumahan, sewa beli, kad kredit, pinjaman peribadi, overdraft dan sebagainya, akaun perhatian khusus seperti non-performing loan (NPL) ataupun jadual pengurusan hutang seperti yang ditangani oleh AKPK dan permohonan kemudahan kredit atau pinjaman yang dibuat dalam masa satu tahun lepas.

Mempunyai nama dalam CCRIS merupakan mimpi ngeri kepada peminjam PTPTN. Mereka yang terlibat wajar mengambil langkah segera untuk membayar pinjaman pendidikan supaya tidak mengganggu pinjaman-pinjaman lain apabila telah selesai pengajian.

Para peminjam PTPTN ketika ini harus sedar kesan dan akibat gagal menyelesaikan hutang PTPTN. Insentif oleh PTPTN kepada pelajar cemerlang wajar direbut oleh mereka supaya dapat menukar pinjaman kepada biasiswa. Galakan seperti ini boleh memotivasikan peminjam supaya berusaha bersungguh-sungguh dan bebas hutang PTPTN.



No comments:

Post a Comment