Saturday, October 01, 2016

Cara daftar kelahiran anak







Proses mendaftarkan kelahiran anak dilakukan di pejabat Jabatan Pendafatan Negara. Saya memilih Urban Transformation Centre (UTC) Jalan Hang Tuah, Melaka untuk mendaftarkan kelahiran anak lelaki kerana perkhidmatan di sini sangat cekap dan singkat. Jabatan Pendaftaran Negara  terletak di aras tujuh.

Kaunter kelahiran dikhaskan pada kaunter nombor empat. Biasanya nombor giliran bagi urusan pendaftaran kelahiran ini tidak ramai berbanding pelanggan yang membuat kad pengenalan.

Sebagai bapa yang mahu mendaftarkan kelahiran anak, empat dokumen yang mesti dibawa bersama ialah sijil perkahwinan atau kad perkahwinan yang asal dan salinan, kad pengenalan suami dan isteri beserta salinan setiap satu, buku rekod kesihatan ibu beserta salinan kulit hadapan dan dua muka surat di bahagian dalamnya, dan borang maklumat kelahiran yang dikeluarkan oleh hospital atau klinik tempat bersalin beserta salinan.

Selepas semua dokumen dan salinan disahkan, petugas kaunter menyerahkan deraf sijil kelahiran untuk diisi nama anak dan butir-butir kelahiran. Kemudian beliau mencetak maklumat berkenaan untuk disemak. Di sinilah semakan terhadap nama anak dan semua maklumat perlu dibuat secara terperinci supaya tidak ada kesilapan. Apabila berpuas hati, saya mengiyakan semua maklumat berkenaan.

Petugas kaunter itu meminta saya menunggu lebih kurang 15 minit kerana dokumen berkenaan perlu diserahkan kepada pegawai bertugas untuk pendokumentasian dan serahan sijil kelahiran.

Apabila nama saya dipanggil, pegawai berkenaan, Encik Azhar, menyerahkan sijil kelahiran anak berwarna hijau bersaiz kertas A4. Saya tidak memohon MyKids di UTC Melaka kerana prosesnya mengambil masa tiga hingga empat bulan. Lebih baik urusan berkenaan dibuat di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara yang boleh disiapkan dalam tempoh satu jam.


No comments:

Post a Comment