Tuesday, September 27, 2016

Faktor-faktor pengaruhi pasangan untuk berkahwin







Zainudin MZ, Siti Nur Syafiqah Yahayah, Rifhan Nur Adibah Mohamad, 
Siti Sarah Zaid, Norlia Ismail


1.0 Pendahuluan

Setiap manusia tidak kira lelaki mahupun wanita pastinya mempunyai keinginan untuk berkahwin. Hal ini telah menjadi suatu fitrah kepada manusia yang ingin berpasang-pasangan. Dan setiap yang berkahwin ini pastinya mempunyai keinginan untuk melayari bahtera perkahwinan dengan bahagia di samping yang tersayang. Perkahwinan sememangnya nampak seperti sesuatu yang mudah di luarannya, akan tetapi sebenarnya sekiranya seseorang itu berkahwin, mereka harus sedar bahawa tanggungjawab mereka semakin bertambah dan banyak benda perlu diberi perhatian bagi menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga.

Setiap pasangan, baik lelaki mahupun perempuan pastinya sudah mempunyai ciri-ciri atau kriteria yang mereka inginkan. Perkara paling penting adalah untuk memastikan segala kriteria yang diinginkan oleh mereka hendaklah kriteria-kriteria yang baik dan positif. Hal ini adalah penting kerana pasangan yang baik dapat membantu untuk mengekalkan sesebuah perkahwinan daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini. Setiap manusia hendaklah memilih pasangan mereka dengan baik dan teliti supaya tidak akan ada masalah dikemudian hari.

Dalam artikel ini, terdapat empat kriteria yang akan dikemukan iaitu personaliti, tanggungjawab, harta benda dan kerjaya. Keempat-empat kriteria ini adalah antara yang terpenting dalam memilih pasangan untuk berkahwin. Jika kesemua kriteria ini dapat dipenuhi oleh setiap pasangan, sesebuah perkahwinan itu akan terhindar daripada perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui maksud sebenar sesebuah perkahwinan, mengenal pasti kriteria-kriteria yang penting dalam mewujudkan sebuah perkahwinan yang bahagia, dan  mengenal pasti dengan lebih lanjut tentang empat kriteria iaitu personaliti, tanggungjawab, harta benda dan kerjaya.


2.0 Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah temu bual dan pemerhatian responden di Melaka. Tempoh temu bual dan pemerhatian ini adalah satu hari yang melibatkan responden pelbagai lapisan umur dalam lingkungan 25 hingga 55 tahun seramai enam orang awam daripada pelbagai kaum.

Selain daripada itu, kajian ini juga melibatkan pemerhatian dan perbandingan terhadap perkahwinan dalam setiap etnik berdasarkan empat aspek penting dalam perkahwinan iaitu personaliti, tanggungjawab, kerjaya dan harta benda.


3.0 Hasil Kajian

3.1 Personaliti

Personaliti yang dimaksudkan di sini ialah perangai dan sifat dalaman seseorang beserta penampilan luarannya. Jika elok perangai dan sifatnya, maka tampak eloklah penampilan luarannya. Personaliti boleh berubah apabila sudah berkahwin. Hal ini boleh membawa kepada kebaikan dan keburukan. Kebaikannya ialah apabila individu itu menukar personalitinya yang buruk kepada personaliti yang lebih baik.

Namun, apa yang menjadi mimpi buruk setiap orang ialah apabila perkara yang sebaliknya berlaku kepada pasangan mereka, iaitu personaliti pasangan yang disangkakan baik rupanya tidak benar. Oleh sebab itu, personaliti harus dititikberatkan dalam soal pemilihan teman hidup. Kenalilah pasangan dengan sebetul-betulnya sebelum berkahwin. Sebaik-baiknya, setiap pasangan haruslah berterus terang tentang kekurangan dan kelemahan diri masing-masing agar masing-masing dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.

3.2 Kerjaya

Kerjaya amat penting dalam kehidupan berkeluarga. Skop kerjaya ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu kepentingan kerjaya kepada lelaki dan juga kepada wanita. Kepentingan kerjaya kepada lelaki ialah sebagai sumber pendapatan keluarga dan agar sekufu dengan pasangannya. Seperti yang kita ketahui, wanita di zaman maju ini kebanyakan sudah menjadi wanita yang berjaya dan berpendapatan tinggi. Maka kerjaya amat penting kepada kaum lelaki supaya mereka sekufu dengan pasangan mereka. Kepentingan kerjaya kepada wanita pula ialah sebagai ‘back up’
dalam kehidupan mereka. Jika perkahwinan mereka terputus di tengah jalan, mereka akan mempunyai sumber pendapatan mereka sendiri.

3.3 Harta Benda

Harta benda penting dalam sesuatu perkahwinan bagi setiap pasangan kerana harta benda diperlukan bagi meneruskan kelangsungan hidup terutama dalam ekonomi semasa yang semakin meruncing. Dunia sekarang ialah dunia materialistik yang mana tanpa harta benda, hidup akan melarat dan merempat. Tidak dinafikan duit bukanlah segala-galanya namun segala-galanya memerlukan duit.

3.4 Tanggungjawab

Setiap tanggungjawab yang diterima harusah dilakukan dengan sebaik mungkin. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab dalam rumah tangga menyebabkan perkahwinan tersebut tidak bertahan lama. Meskipun suami dan isteri bertukar tanggungjawab dalam menguruskan rumah dan mencari rezeki, hal ini tidak menjadi masalah asalkan mereka masih menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan jayanya.


4.0 Kesimpulan

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, empat aspek penting dalam perkahwinan adalah personaliti, kerjaya, tanggungjawab dan harta benda manakala tunjang utama kebahagiaan rumah tangga adalah tanggungjawab. Tidak dikatakan jika pasangan tersebut tidak memenuhi keperluan salah satu aspek tersebut, maka perkahwinan mereka tidak akan bahagia tetapi, jika mereka memenuhi keempat-empat aspek, dijanjikan perkahwinan mereka akan berkekalan lama.Bagi memenuhi keempat-empat aspek tersebut, setiap pasangan haruslah mendisiplinkan diri sendiri dan membantu pasangan masing-masing dalam usaha itu. Tidak ada gunanya jika hanya salah seorang daripada mereka sahaja yang memenuhi aspek-aspek tersebut.

Bagi aspek tanggungjawab khususnya, disiplin yang tinggi amat penting untuk memastikan tangungjawab dilaksanakan dengan sempurna.terdapat banyak kes pembubaran perkahwinan disebabkan oleh ketiadaan sifat berdisiplin dalam memenuhi tangungjawab masing-masing. Dalam agama tidak kira agama Islam, Kristian, Buddha ataupun Hindu, perceraian adalah perkara yang amat buruk dan harus dielak. Ini kerana perceraian boleh meninggalkan kesan yang tidak baik terutama sekali kepada tumbesaran minda anak-anak. Oleh itu, setiap yang berumah tangga disarankan untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menjamin masa depan anak-anak dan keluarga.



No comments:

Post a Comment