Tuesday, October 11, 2016

Pengaruh pakaian tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia







Zainudin MZ, Khairun Nadiah Kamaruzaman, Nur Athirah Mohammad Yanis, Bibi Nurul Alia Mustafa Kamal, Siti Nur Athirah Basri


1.0 Pengenalan

Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang etnik dan semua etnik tersebut dapat hidup dengan harmoni. Antara tiga etnik utama di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India. Etnik-etnik ini telah menetap di Malaysia sejak lebih lima abad yang lalu. Selain itu, Malaysia juga merupakan tanah air kepada sebanyak kira-kira 80 etnik yang lain, terutamanya di bahagian Malaysia Timur.

Malaysia mempunyai pelbagai jenis kain dan pakaian tradisional yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan warna bermula daripada tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu hinggalah kepada kain songket diraja yang antik. Seperti masyarakat Malaysia yang lain, etnik India juga mempunyai unsur pemakaiannya yang tersendiri. Terdapat pelbagai cara pemakaian pakaian tradisional India yang mana sesuatu cara pemakaian itu dapat menonjolkan etnik dan ras bagi si pemakai.

Pemakaian pakaian tradisional pelbagai etnik boleh dijadikan sebagai satu cara bagi menyuntik semangat perpaduan rakyat Malaysia. Sikap saling bertolak-ansur dan hormat-menghormati dapat mengeratkan hubungan sekaligus mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai etnik. Tidak kira Melayu, Cina, India atau masyarakat pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai pakaian tradisional masing-masing. Cara paling mudah untuk saling menghargai adalah dengan mengenakan pakaian kaum lain.

1.1 Objektif Kajian

Terdapat tiga objektif yang diketengahkan dalam kajian ini. Objektif pertama ialah mengetahui persepsi masyarakat tentang pakaian tradisional India Malaysia. Objektif kedua ialah mengenal pasti kepelbagaian pakaian tradisional India Malaysia dan objektif ketiga ialah mengkaji kesan pakaian tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia.

1.2 Skop Kajian

Skop kajian yang dilakukan ini melibatkan tiga etnik yang terbesar di Malaysia iaitu kaum Melayu, Cina, dan India yang telah menetap di Malaysia, tidak mengambil kira peringkat umur kerana setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza mengenai hubungan etnik seiring dengan taraf pemikiran bagi peringkat umur masing-masing dan memfokuskan kepada pelajar dan staf Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

  
2.0 Sorotan Kajian

Istilah pakaian tradisional merupakan fokus utama yang perlu diberi perhatian sepenuhnya dalam menjalankan kajian ini. Menurut Maruwiah Ahmat (2012), beliau menyatakan bahawa kedatangan kaum India di Tanah Melayu menyaksikan bermulanya gaya pemakaian dari benua India khususnya dalam kalangan Hindu-Sri Lanka-Tamil dan juga keturunan Punjabi-Sikh. Pakaian tradisional kaum India lebih dikenali dengan warna terang dan kaya dengan tenunan dan sulaman benang emas, perak, labuci juga batu-batu permata. Pakaian-pakaian tradisional biasanya ditemui semasa majlis kebudayaan atau perkahwinan.

Selain itu, terdapat juga artikel yang menjelaskan mengenai salah satu pakaian tradisional masyarakat India iaitu sari. Uthaya Sankar SB (2013) menyatakan bahawa untuk menyaksikan pelbagai sari yang menawan adalah menerusi filem-filem Tamil dan Hindi. Sama ada disedari atau tidak, sari berfungsi sebagai media komunikasi tanpa lisan. Mesej tertentu berupaya disampaikan oleh pemakai sari berdasarkan warna dan corak kain, cara pemakaian, jenis kain dan tempat sari dipakai.

Mengulas mengenai pakaian tradisional masyarakat India, ama penting bagi pengkaji untuk mengetahui mengenai asal usul masyarakat India itu sendiri. Menurut Azharudin Mohd Dali (2012), orang India merujuk kepada golongan yang pada asalnya datang dari India, sama ada utara mahupun selatan. Dalam sejarah sebelum kemerdekaan, orang India dirujuk kepada mereka yang datang dari India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka.

Terdapat juga pandangan daripada tokoh lain mengenai istilah etnik. Menurut Mansor Mohd Noor (2006), konsep etnik berkaitan dengan amalan budaya yang hampir seragam yang diamalkan oleh sekelompok manusia. Mereka yang mengamalkan kebudayaan yang hampir seragam di antara anggota-anggota kelompok manusia itu, disatukan oleh pengalaman sejarah, sistem nilai, sikap dan tingkah laku.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian mengenai kepentingan pakaian tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia dilakukan melalui soal selidik secara atas talian terhadap 30 responden di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi mengetahui sejauh mana kefahaman mereka mengenai pakaian tradisional India. Terdapat empat bahagian dalam soal selidik tersebut. Bahagian A adalah untuk mengetahui latar belakang responden seperti jantina, umur, bangsa, fakulti serta status responden. Bahagian B adalah soalan untuk mengetahui persepsi masyarakat tentang pakaian tradisional India Malaysia. Bahagian C pula merupakan soalan yang berkaitan dengan objektif kedua iaitu mengenal pasti kepelbagaian pakaian tradisional India Malaysia. Bahagian D pula, soalannya adalah berkaitan objektif ketiga iaitu mengkaji kesan pakaian tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia.


4.0 Analisis Kajian

Bahagian A: Responden

Carta 1A: Berdasarkan carta ini, jumlah keseluruhan responden adalah seramai 30 orang terdiri daripada 13 lelaki dan 17 perempuan.

Carta 2A: Berdasarkan carta ini, responden yang menjawab soalan ini terdiri daripada pelbagai bangsa. Seramai 19 responden adalah berbangsa Melayu. Selain itu, jumlah bangsa Cina dan India yang menjawab soal selidik ini adalah sama banyak iaitu seramai empat orang diikuti bangsa lain seramai tiga orang.

Carta 3A: Seorang responden tergolong dalam peringkat umur 20 tahun dan ke bawah. Bagi mereka yang berumur 20-25 tahun, seramai 26 orang telah menjawab soal selidik ini. Mereka juga merupakan responden yang paling ramai menjawab soal kaji selidik ini diikuti mereka yang berumur 25 tahun dan ke atas iaitu seramai tiga orang.

Graf 1A: Berdasarkan graf ini, seramai 14 responden terdiri daripada pelajar FKP. Selain itu, terdapat juga responden daripada FTK iaitu seramai tujuh orang diikuti responden dari FKM dan KEKK masing-masing seramai empat orang dan dua orang. Selebihnya, FKE, FTMK serta FPTT mencatat jumlah yang sama iaitu seorang.

Carta 4A: Seramai 28 responden adalah terdiri daripada kalangan pelajar UTeM manakala responden yang terdiri daripada staf universiti adalah seramai dua orang.

Bahagian B: Persepsi Masyarakat Tentang Pakaian Tradisional India

Graf 1B: Berdasarkan graf ini, seramai 23 responden sangat bersetuju bahawa setiap etnik di Malaysia mempunyai pakaian tradisional yang tersendiri. Namun begitu, terdapat juga responden yang sangat tidak bersetuju dan tidak pasti iaitu seramai tiga orang daripada kesuluruhan jumlah responden. Hal ini mungkin disebabkan oleh pakaian tradisional setiap etnik turut dipakai oleh etnik lain. Terdapat juga responden yang bersetuju bahawa pakaian tradisional ini dimiliki oleh setiap etnik di Malaysia iaitu seramai empat orang.

Graf 2B: Berdasarkan graf ini, seramai sembilan orang daripada jumlah responden setuju bahawa pakaian tradisional India hanya dipakai ketika musim perayaan. Manakala, seramai enam orang yang sangat bersetuju dan majoritinya adalah seramai 11 orang yang tidak pasti. Walau bagaimanapun, seramai dua orang responden sangat tidak setuju dan dua orang lagi responden tidak setuju bahawa pakaian tradisional India hanya dipakai ketika musim perayaan. Majoriti yang tidak pasti adalah disebabkan oleh pakaian tradisional turut dipakai ketika majlis yang tidak formal seperti majlis perkahwinan.

Graf 3B: Berdasarkan graf ini, majoriti responden tidak setuju bahawa pakaian tradisional India hanya boleh dipakai oleh masyarakat India sahaja iaitu seramai 12 orang. Seramai lima orang responden sangat tidak bersetuju dan sembilan orang adalah yang tidak pasti. Hal ini kerana, pakaian tradisional India turut dipakai oleh etnik-etnik lain seperti Punjabi. Namun begitu, terdapat juga responden yang sangat bersetuju bahawa pakaian tradisional India hanya boleh dipakai oleh masyarakat India sahaja iaitu seramai empat orang.

Bahagian C: Kepelbagaian Pakaian Tradisional India

Graf 1C: Berdasarkan graf ini, majoriti responden tidak pasti bahawa pakaian tradisional India mempunyai persamaan dengan pakaian tradisional Melayu dan Cina iaitu seramai 11 orang responden. Manakala, seramai tujuh orang dan enam orang responden masing-masing tidak setuju dan sangat tidak stuju. Namun begitu, terdapat juga masyarakat yang bersetuju dan sangat bersetuju bahawa pakaian tradisional India mempunyai persamaan dengan pakaian tradisional Melayu dan Cina iaitu seramai enam orang. Hal ini mungkin disebabkan pakaian tradisional India ini turut dipakai oleh kebanyakan etnik yang lain.

Graf 2C: Graf ini menunjukkan jumlah responden yang menjawab penyataan dhoti merupakan pakaian tradisional utama masyarakat India berbanding sari. Seramai empat orang responden menjawab sangat setuju dengan penyataan tersebut dan seramai tiga orang responden menjawab setuju. Manakala seramai 14 orang responden menjawab tidak pasti. Di samping itu, seramai tujuh orang responden menjawab tidak setuju dan dua responden menjawab sangat tidak setuju. Mengikut kajian dhoti dan sari kedua-duanya merupakan pakaian tradisional utama masyarakat India. Dhoti dipakai oleh kaum lelaki, manakala sari pula dipakai oleh kaum wanita.

Graf 3C: Berdasarkan graf ini, seramai 16 orang responden sangat setuju dan seramai lapan orang responden bersetuju dengan kenyataan kurta hanya dipakai oleh golongan lelaki sahaja. Seramai empat orang responden menjawab tidak pasti manakala responden yang menjawab tidak setuju dan sangat tidak setuju mempunyai jumlah responden yang sama iaitu seorang. Mengikut kajian kurta dipakai oleh kaum lelaki, manakala untuk pakaian kaum perempuan pula bernama kurti.

Carta 1C: Jumlah responden yang bersetuju adalah yang paling ramai iaitu seramai 13 orang manakala jumlah responden yang sangat setuju adalah seramai sepuluh orang. Hal ini kerana responden sangat memahami konsep baju sari. Seramai tiga orang responden tidak pasti dan seramai empat orang responden sangat tidak setuju Responden yang menjawab sangat tidak setuju berkemungkinan tidak memahami konsep sebenar sari.

Carta 2C: Berdasarkan carta ini, hanya seorang responden yang sangat tidak setuju dengan kenyataan setiap jenis pakaian tradisional India masing-masing melambangkan agama si penganut dan hanya dua orang responden yang tidak bersetuju. Responden paling ramai menjawab tidak pasti iaitu seramai 13 orang. Responden yang bersetuju pula adalah seramai sembilan orang dan yang menjawab sangat setuju adalah seramai lima orang. Mengikut kajian, sesetengah pakaian tradisional India melambangkan agama si penganut contohnya sari. Sari dan agama Hindu mempunyai kaitan yang rapat bermula di subbenua India iaitu sebuah patung paderi Lembah Indus yang memakai tabir.

Bahagian D: Kesan Pakaian Tradisional India Terhadap Hubungan Etnik

Graf 1D: Berdasarkan graf ini, majoriti responden iaitu seramai 20 responden bersetuju
bahawa pemakaian pakaian tradisional India mampu mengeratkan perpaduan antara etnik di Malaysia. Selain itu, terdapat lima responden yang tidak pasti. Namun begitu, seramai lima responden lagi menyatakan bahawa mereka sangat bersetuju dengan kenyataan pemakaian pakaian tradisional India sememangnya mampu mengeratkan perpaduan antara etnik di Malaysia. Tiada responden yang tidak bersetuju dan sangat tidak setuju mengenai kenyataan di atas. Jelas ternyata bahawa majoriti responden memahami konsep perpaduan antara etnik di Malaysia dari segi pemakaian pakaian tradisional India berbanding yang tidak memahami.

Graf 2D: Graf ini menunjukkan jawapan responden mengenai kepelbagaian pakaian tradisional India memaparkan keunikan masyarakat berbilang etnik di Malaysia. Seramai 13 responden sangat bersetuju berkemungkinan kerana apabila tiba musim perayaan, mereka dapat melihat dengan jelas terdapat pelbagai jenis pakaian tradisional India di Malaysia. Seramai enam responden menyatakan bahawa mereka tidak pasti adakah pakaian tradisional India ini dapat memaparkan keunikan masyarakat berbilang etnik di Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat seorang responden sahaja yang tidak bersetuju manakala tiada responden yang menyatakan sangat tidak bersetuju mengenai kenyataan ini.

Graf 3D: Berdasarkan graf ini, pemakai pakaian tradisional India yang terdiri daripada etnik lain dapat menzahirkan penghormatan terhadap masyarakat India. Seramai 13 responden merupakan majoriti daripada keseluruhan responden bersetuju bahawa pemakai pakaian tradisional India yang terdiri daripada etnik lain dapat menzahirkan penghormatan terhadap masyarakat India. Selain itu, seramai enam responden tidak pasti dan seramai 11 responden daripada keseluruhan responden sangat bersetuju.

Graf 4D: Graf ini menunjukkan kenyataan hubungan sesama etnik dapat dipupuk dengan cara berkongsi budaya dari segi pemakaian pakaian tradisional India. Majoriti responden menyatakan mereka bersetuju iaitu seramai 12 responden dan seramai 11 responden menyatakan mereka sangat setuju. Walau bagaimanapun, terdapat dua responden menyatakan bahawa mereka sangat tidak bersetuju mengenai kenyataan ini.


5.0 Kesimpulan

Terdapat pelbagai budaya dan adat resam di Malaysia bergantung kepada amalan setiap etnik di negara ini terutamanya amalan pemakaian pakaian tradisional ketika majlis dan hari perayaan. Oleh itu, Malaysia mampu mejadi “role model” kepada negara-negara jiran yang lain dalam aspek pemakaian pakaian tradisional.

Rakyat Malaysia perlu mempelajari mengenai kepentingan pakaian tradisional terutamanya pakaian tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia. Pemakaian pakaian tradisional inilah yang merupakan tunggak utama perpaduan etnik di negara kita dan sekiranya perkara ini diamalkan selalu, ia mampu membuka mata negara-negara luar untuk mencontohi Malaysia.


Rujukan

Azharudin Mohd Dali. (2012). Sejarah masyarakat India di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit    Universiti Malaya.
Mansor Mohd Nor. (2006). Hubungan etnik di Malaysia. Petaling Jaya: Prentice Hall.
Nir Aimidiyana Zuher, “Pakaian tradisional suntik semanat muhibah” diakses dari         http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1154299.
Kisah sehelai sari, http://uthayasb.blogspot.my/2013/02/kisah-sehelai-sari.html.
Pakaian tradisi kaum Semenanjung Malaysia, https://maruwiah.com/category/budaya/pakaian-    tradisional-budaya/.

No comments:

Post a Comment