Monday, October 10, 2016

Perayaan Hari Gawai di Sarawak







Zainudin MZ, Ezzati Nadiah Arpan, Nur Adilah Abdul Rani, Fan Kerry, Elnie Carina Anak Jiga, Chan Hui Teng


1.0 Pengenalan

Sarawak merupakan negeri terbesar di dalam Malaysia. Sarawak terdiri daripada 25 kaum etnik Dayak terutamanya kaum Iban (atau dikenali Dayak Laut) yang merupakan kumpulan etnik majoriti, Bidayuh (Dayak Darat), Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah dan Murut dan kaum-kaum etnik yang lain. Dayak di Kalimantan Barat juga menggelarkan perayaan ini sebagai Gawai Padi untuk meraikan tamatnya musim menuai padi dan menandakan permulaan musim penanaman padi yang baru. Hari Gawai juga diraikan sebagai tanda berterima kasih kepada Petara (Tuhan) setiap kali selepas musim menuai. Pada awal sebulan sebelum perayaan diadakan, air tapai yang dikenali sebagai Tuak akan disediakan.

Selepas musim menuai, beras akan digunakan banyak untuk menjamu selera orang ramai dan Petara. Oleh itu, masyarakat Dayak akan menyambutnya dengan mengadakan jamuan disertakan dengan korban babi dan ayam serta ditambahkan lagi dengan daging haiwan buas, ikan dan lauk pauk daripada hutan belantara untuk melayan orang ramai. Pesta Gawai ini biasanya disambut pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun setiap tahun. Terdapat pelbagai jenis Gawai utama yang diraikan termasuklah Gawai Dayak, Gawai Batu, Gawai Benih dan Gawai Ngalihka Tanah.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui tahap kefahaman masyarakat berkaitan perayaan Hari Gawai, mengetahui impak perayaan Hari Gawai terhadap masyarakat pelbagai etnik dan mengenal pasti langkah-langkah yang membolehkan perayaan Hari Gawai diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia.

1.2 Kaedah Kajian

Kajian ini menggunakan soal selidik dan analisis dokumen. Melalui soal selidik, borang kajian diedarkan kepada 30 responden di Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Borang soal selidik dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Bahagian A, B, C dan D dan diedarkan secara atas talian. Bahagian A soal selidik berkaitan tentang maklumat responden, Bahagian B menyentuh kepada objektif satu. Bahagian C pula merujuk kepada objektif dua. Dalam bahagian ini, soalan-soalan berbentuk umum atau pendapat. Bahagian D merujuk kepada objektif tiga. Selain itu kajian ini juga merujuk kepada bahan-bahan ilmiah.


2.0 Sorotan Kajian

Menurut Zulhisham Hishak (2009) dalam Utusan Malaysia, selain masyarakat tani di Indonesia, Korea dan Ghana yang meraikan pesta menuai setiap kali musim menuai, Malaysia juga mempunyai tradisi ini terutamanya di Sabah dan Sarawak. Di Sabah, pesta menuai dikenali sebagai Pesta Kaamatan manakala di Sarawak pula, pesta ini dikenali sebagai Hari Gawai.

Amran dan Hamidah (1993) menyatakan Hari Gawai merupakan upacara atau adat istiadat selepas menuai yang disambut oleh beberapa etnik seperti Dayak, Bidayuh, Kenyah, Kayan, Kelabit, Murut dan kaum-kaum lain. Dan perayaan Gawai ini disambut setiap 1 Jun tetapi ada yang menyambutnya pada akhir bulan Mei.

Dalam artikel Perutusan Khas Gawai Dayak yang diterbitkan oleh Utusan Borneo Online, Perayaan Gawai Dayak merupakan kuasa bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak. Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata seperti perayaan-perayaan utama lain seperti Gawai Dayak diraikan bersama oleh semua masyarakat menerusi amalan ziarah-menziarahi.


3.0 Analisis Dapatan Kajian

Jantina

Soalan menunjukkan demografi responden berdasarkan jantina dalam kalangan pelajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Jumlah keseluruhan responden adalah sebanyak 30 orang. Daripada jumlah ini, seramai 12 responden adalah lelaki bersamaan dengan 40%. Sementara itu, seramai 18 responden bersamaan 60% adalah perempuan.

Bangsa

Terdapat empat kategori bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain. Daripada 30
responden yang telah disoal selidik, seramai 17 orang berbangsa Cina (55%). Manakala peratusan bangsa Melayu yang disoal selidik adalah sebanyak 26% iaitu seramai tujuh orang. Sementara itu, terdapat seorang responden berbangsa India (3%). Lain-lain bangsa yang disoal selidik adalah seramai lima orang (16%).

Fakulti

Majoriti responden adalah dari FKP iaitu seramai sembilan orang (31%) diikuti responden dari FTK seramai lapan orang (27%) dan empat responden (14%) dari FKEKK. Responden dari FKM, FTMK, FKE dan FPTT mencatat bilangan yang sama iaitu seramai dua responden (7%).


Objektif 1: Mengetahui tahap kefahaman masyarakat berkaitan perayaan
Hari Gawai

Soalan 1 adalah menguji kefahaman masyarakat tentang etnik manakah yang meraikan perayaan Hari Gawai di Sarawak. Berdasarkan analisis data yang diperolehi, seramai 40% responden iaitu tidak mengetahui golongan etnik yang meraikan perayaan Hari Gawai, manakala 33% responden menyatakan tidak pasti dan seramai 27% responden tahu mengenai etnik yang meraikan perayaan Hari Gawai.

Analisis ini disokong dengan kenyataan bertulis oleh responden dan didapati kebanyakan responden menyatakan masyarakat Bidayuh meraikan perayaan Hari Gawai ini manakala segolongan kecil yang menyatakan bahawa semua etnik di Sabah dan Sarawak meraikan perayaan Hari Gawai.

Soalan 2 adalah menguji kefahaman masyarakat mengenai tarikh perayaan Hari Gawai disambut. Berdasarkan data yang diperolehi, seramai 20% responden menyatakan tidak pasti mengenai tarikh perayaan Hari Gawai manakala sebilangan besar responden, 40% menyatakan ya iaitu mengetahui tarikh perayaan Hari Gawai yang jatuh pada hujung bulan Mei atau 1 Jun. Seramai 40% responden menyatakan tidak mengetahui bilakah perayaan Hari Gawai disambut.

Soalan 3 adalah menguji kefahaman masyarakat mengenai tujuan utama perayaan Hari Gawai, data menunjukkan majoriti 77% responden menyatakan ya iaitu responden mengetahui mengenai tujuan utama perayaan Hari Gawai. Seramai 10% responden menyatakan tidak pasti dan seramai 13% responden tidak mengetahui tentang tujuan utama perayaan Hari Gawai.

Berdasarkan ketiga-tiga soalan yang dibincangkan dapat disimpulkan bahawa responden hanya mengetahui tujuan perayaan Hari Gawai disambut. Segelintir masyarakat sahaja yang mengetahui mengenai tarikh dan etnik yang meraikan perayaan Hari Gawai dan sebahagian besarnya tidak mengetahui hal tersebut.

Objektif 2: Mengetahui impak perayaan Hari Gawai terhadap masyarakat
pelbagai etnik

Soalan 1: Carta pai menunjukkan jumlah responden yang menyatakan ya, tidak atau tidak pasti berkenaan pendapat mengenai perayaan Hari Gawai dapat menyatu padukan masyarakat di Sarawak. Seramai 77% responden menyatakan ya pada kenyataan tersebut. Hal ini demikian kerana dengan amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka akan merapatkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat. Selain itu, sambutan Hari Gawai juga merupakan asas untuk kembali menyatukan masyarakat di Sarawak. Manakala seramai 7% responden menyatakan tidak dan selebihnya seramai 16% responden menyatakan tidak pasti. Hal ini demikian kerana segelintir masyarakat tidak mengendahkan perkara sekeliling yang berlaku dan hanya mementingkan hal masing-masing. Kesimpulannya, perayaan Hari Gawai dapat menyatu padukan masyarakat di Sarawak.

Soalan 2: Carta pai menunjukkan jumlah responden yang menyatakan ya, tidak atau tidak pasti berkenaan pandangan perayaan Hari Gawai dapat menjana ekonomi bagi masyarakat Malaysia. Seramai 47% responden menyatakan ya pada kenyataan tersebut. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai kepelbagaian etnik dan budaya tersendiri yang menjadi daya tarikan pelancong ke Malaysia. Justeru lawatan pelancong asing ke negara kita memberikan keuntungan besar melalui pertukaran mata wang asing. Kesimpulannya, perayaan Hari Gawai dapat menjana ekonomi bagi masyarakat Malaysia.

Soalan 3:Carta pai menunjukkan jumlah responden yang menyatakan ya, tidak atau tidak pasti berkenaan perayaan Hari Gawai dapat memperkenalkan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai pelbagai etnik. Seramai 93% responden menyatakan ya pada kenyataan tersebut. Hal ini demikian kerana negeri Sarawak mempunyai keunikannya yang tersendiri antaranya dari sudut budaya, perayaan, kepercayaan, makanan dan banyak lagi yang menjadi tumpuan sekali gus terkenal dalam kalangan masyarakat dari merata tempat. Kesimpulannya, perayaan Hari Gawai dapat memperkenalkan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai pelbagai etnik.

Objektif 3: Langkah-langkah yang membolehkan perayaan Hari Gawai
diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia

Responden telah diajukan sebanyak lima soalan berkaitan langkah-langkah yang membolehkan perayaan Hari Gawai diketahui oleh masyarakat Malaysia. Langkah yang pertama iaitu kerajaan memperkenalkan perayaan Hari Gawai kepada rakyat Malaysia melalui pelbagai cara menunjukkan seramai 53% responden mengatakan kurang setuju dengan penyataan ini. Ini menunjukkan usaha kerajaan dalam memperkenalkan perayaan Hari Gawai kepada masyarakat Malaysia masih tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada masyarakat.

Langkah kedua mengenai mengadakan rumah terbuka unutuk memberi kesedaran tentang perayaan Hari Gawai. Majoriti responden iaitu seramai 50% memilih setuju bahawa dengan mengadakan rumah terbuka pada Hari Gawai dapata menambahkan kesadaran orang ramai mengenai Hari Gawai. Hal ini kerana rumah terbuka akan menjadi pusat pertemuan pelbagai kaum sekali gus penglibatan masyarakat dalam perayaan Hari Gawai juga akan bertambah.

Langkah ketiga adalah sambutan Hari Gawai perlu disambut di seluruh negara. Sebanyak 33% peratus responden mengatakan tidak setuju. Hal ini kerana responden berpendapat bahawa jika menyambut Hari Gawai mereka perlu mengikut beberapa adat tertentu masyarakat yang menyambut Hari Gawai.

Majoriti responden seramai 50% memilih sangat setuju untuk langkah keempat iaitu memberi cuti umum pada Hari Gawai bagi seluruh rakyat Malaysia. Cuti umum memudahkan masyarakat untuk mengingati tarikh perayaan Hari Gawai dan dapat merayakan sekali perayaan ini.

Langkah terakhir ialah etnik yang merayakan Hari Gawai hendaklah mengekalkan perayaan ini. Seramai 60% responden sangat setuju dengan penyataan ini. Responden berpendapat sesebuah etnik hendaklah mengekalkan perayaan mereka agar tidak lupus dek arus permodenan.

Kesimpulannya berdasarkan langkah-langkah yang dikemukan, responden memilih langkah terakhir iaitu etnik yang merayakan Hari Gawai hendaklah mengekalkan perayaan mereka sebagai langkah yang paling optimis bagi membolehkan perayaan Hari Gawai diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia.


4.0 Kesimpulan

Rumusannya, Hari Gawai disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak sama ada Iban atau Bidayuh untuk meraikan tamatnya musim menuai padi serta tanda berterima kasih kepada Petara. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak dan biasaannya disambut pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan juga di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak tahun 1964.
Perayaan Gawai secara tradisi akan dimulakan selepas upacara persembahan berakhir. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk ke dalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak. Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.

Melalui perayaan hari Gawai ini, terbuktinya Malaysia merupakan sebuah negara yang bercorak demokrasi walaupun terdiri daripada pelbagai jenis etnik. Semua bangsa boleh hidup bersama secara aman disebabkan mereka sentiasa mengamalkan amalan hormat-menghrmati antara satu sama lain. Secara tidak langsungnya, Hari Gawai dapat mengeratkan perhubungan antara etnik disebabkan mereka mengalu-alukan tetamu untuk bersama-sama menyambut perayaan mereka dengan mengadakan rumah terbuka ataupun jamuan.

Cadangan pertama ialah semua etnik digalakkan untuk memahami ,menghayati dan menyertai hari perayaan etnik lain. Sebagai contoh, pada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina ataupun Hari Deepavali mereka boleh kunjung-mengunjungi antara satu sama lain. Tindakan ini menyumbang kepada pembinaan hubungan yang lebih baik dengan etnik lain. Pada masa yang sama pula, semasa mengadakan rumah terbuka tuan rumah haruslah bertimbang rasa dengan menyediakan makanan yang halal khasnya untuk kaum Melayu. Dalam keadaan ini, mereka akan berasa mereka sentiasa dihormati dan sebaliknya mereka akan bergaul rapat dengan kita.

Di samping itu, untuk mengeratkan perhubungan antara etnik ,kerajaan perlu mewujudkan satu hari khasnya untuk meraikan Hari Gawai. Tindakan ini perlu diambil disebabkan kebanyakan orang tidak mengetahui bilakah Hari Gawai akan diraikan ataupun manakah masyarakat yang meraikannya. Justeru jika mereka mengingati Hari Gawai, mereka akan mengambil berat terhadap hari perayaan etnik lain.

Bukan begitu sahaja, pihak media juga patutlah menghebahkan Hari Gawai di media massa. Hal ini kerana pengaruh media massa membawa kesan yang amat besar terutamanya kepada masyarakat yang canggih sekarang. Dengan itu, kita boleh mengetahui bahawa hari ini merupakan hari perayaan kepada satu etnik dalam masa yang singkat sahaja.


No comments:

Post a Comment