Monday, October 03, 2016

Segregasi dalam sistem pendidikan sekolah rendah di Malaysia







Zainudin MZ, Abdul Aziz Lokoman, Zulkiflee Muhammad, Hafiz Naqiuddin Jefri,
Nurul Wahida Isa, Muhammad Zaim Arif Abd Razak


1.0 Pengenalan

Menurut Kamus Dewan, masyarakat merupakan kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Kebudayaan tidak wujud tanpa adanya masyarakat.Manusia merupakan anggota masyarakat yang bertanggungjawab mencipta, mengubah, menokok dan melestarikan budaya, menurunkannya dari generasi ke generasi untuk jutaan tahun dalam peradaban manusia sedunia. Proses mewariskan budaya generasi yang menurunkan budaya dan generasi yang menerima budaya. Kita perlu memahami konsep masyarakat kerana untuk kelangsungan hidup, tiada pilihan lain melainkan hidup secara bermasyarakat. Memahami cara hidup bermasyarakat dengan memahami budaya masyarakat sendiri dan kaum lain dan memupuk kerjasama dalam masyarakat sendiri dan lain.

Segregasi merujuk kepada pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara. Pemisahan itu berlaku dalam beberapa keadaan seperti kawasan tempat tinggal, jenis pekerjaan, sistem persekolahan dan penerbitan akhbar mengikut bahasa ibunda masing-masing.

Generasi kini, yang mewarisi konsep masyarakat majmuk sejak merdeka masih menghadapi dilema akibat segregrasi antara kaum. Integrasi nasional penting kerana dapat mengikis sentimen perkauman. Nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum harus dipertahankan agar keharmonian dapat dikekalkan. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik mempunyai latar belakang budaya , agama, bahasa dan adat resam yang berbeza. Dalam hal ini, isu perpaduan dan hubungan antara etnik merupakan agenda penting negara dalam memastikan kestabilan politik sentiasa terjamin.

Sebelum pemodenan, sebelum tiap-tiap anak memasuki sekolah, tidak susah membuat kawan daripada kaum dan bangsa yang lain. Dalam masyarakat kita yang cukup majmuk, pada bila-bila masa kanak-kanak tentulah bermain dan berborak dengan rakan seumur mereka, tidak kira bangsa. Masalahnya muncul apabila kanak-kanak masuk sekolah. Kalau mereka semua menghadiri sekolah yang sama, tiadalah masalah tetapi oleh kerana pihak kolonialis enggan menyokong satu sistem sekolah untuk semua rakyat, kita sudah biasa dengan menghantar anak-anak kita ke sekolah mengikut keturunan masing-masing iaitu anak Melayu pergi sekolah kebangsaan, kalau anak Cina pergi sekolah jenis kebangsaan Cina, kalau anak India pergi sekolah jenis kebangsaan Tamil, di mana adanya perpaduan nasional? Setiap sekolah mempunyai bahasa penghantarnya sendiri dan kokurikulum yang berbeza di antara satu sama lain. Selain daripada sekolah, di pusat pengajian tinggi juga dapat kita lihat adanya jurang antara pelajar Melayu, Cina dan India.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengenal pasti isu-isu segregasi dalam sistem pendidikan sekolah rendah di Malaysia, mengetahui impak segregasi dalam sistem pendidikan sekolah rendah di Malaysia dan mencadangkan langkah-langkah bagi mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum.


2.0 Metodologi Kajian

Kaedah penyelidikan ini dilakukan untuk mendapatkan bukti, jawapan dan pandangan dari kalangan pelajar universiti serta orang awam mengenai isu segregasi dalam sistem pendidikan sekolah rendah di Malaysia. Kajian ini menggunakan borang soal selidik ke atas 20 responden yang terdiri daripada pelajar universiti dan orang awam dalam lingkungan umur 15-30 tahun dari pelbagai jenis etnik. Kaedah temu bual juga digunakan bagi menyokong dapatan kuantitatif.


3.0 Hasil Kajian dan Cadangan

Hasil kajian dirumuskan berdasarkan data yang diperolehi dan ditafsirkan dari jawapan borang soal selidik yang telah diedarkan. Di Bahagian A, hasil kajian soal selidik ini telah mengumpul maklumat daripada seramai 20 responden. Borang soal selidik yang telah diedarkan menerima maklum balas yang positif dan kerjasama yang sangat baik. Separuh daripada responden adalah lelaki manakala selebihnya adalah perempuan. Anggaran umur yang telah memberi maklum balas melalui borang soal selidik majoritinya berusia lingkungan umur 21-25 tahun dan kebanyakannya pelajar IPT. Sebilangan besar yang telah menjawab soalan selidik ini berbangsa Melayu dan selebihnya berbangsa India dan Cina.

Seterusnya, Bahagian B (Segregasi dalam Sistem Pendidikan Sekolah Rendah di Malaysia) juga terbahagi kepada tiga tajuk yang setiap satunya mempunyai tiga soalan. Soalan pertama yang melibatkan soalan mengenal pasti isu-isu segregasi dalam sistem pendidikan sekolah rendah di Malaysia. Antara contoh isu yang diutarakan adalah sistem pendidikan vernakular merupakan satu isu besar berlakunya segregasi dalam sistem pendidikan di Malaysia, pengangan agama bagi setiap kaum merupakan satu isu segregasi dalam sistem pendidikan di Malaysia dan ketidakpercayaan ibu bapa dalam didikan pelajaran dari sekolah berlainan kaum. Setelah kajian dibuat majoriti responden mengatakan kedua-dua isu ini merupakan punca berlakunya segregasi dalam sistem pendidikan sekolah rendah di Malaysia.

Soalan kedua ialah mengetahui impak segregasi dalam sistem pendidikan sekolah rendah di Malaysia. Antara impak tercetusnya segregasi dalam sistem pendidikan di Malaysia yang diketengahkan adalah budaya segregasi di sekolah rendah mendatangkan impak yang negatif terhadap pelajar, perbalahan antara kaum bermula daripada pengamalan budaya segregasi di sekolah rendah dan berlaku ketidakselesaan apabila berdepan dengan sesorang atau sekumpulan yang berlainan kaum, etnik dan agama. Daripada hasil kajian yang diperolehi, majoriti responden bersetuju bahawa budaya segregasi yang bermula dari sistem pendidikan sekolah rendah mampu memberikan impak yang negatif kepada anak-anak muda pada masa akan datang apabila mereka perlu bekerjasama melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan gabungan pelbagai etnik.

Soalan yang terakhir iaitu mencadangkan langkah-langkah bagi mengukuhkan lagi perpaduan di antara kaum. Antara langkah mengukuhkan perpaduan yang telah dicadangkan ialah pengasingan pelajar mengikut jenis-jenis sekolah dapat membentuk moral yang baik dan kesepakatan yang hebat dan dengan adanya program-program yang melibatkan gabungan pelbagai kaum dapat mengukuhkan lagi perpaduan di antara kaum.

Seterusnya, kajian imi telah meminta pendapat responden untuk memberi cadangan yang releven bagi mengukuhkan lagi perpaduan di antara kaum di Malaysia. Antaranya ialah mengadakan aktiviti atau program-program yang disertai oleh pelbagai kaum seperti aktiviti atau program-program membina sahsiah, kem bina diri, gotong-royong dan lain-lain lagi yang melibatkan kumpulan yang terdiri daripada pelbagai etnik.

Selain itu, pelajar haruslah dididik saling bertolak ansur, tolenrasi dan menghormati adat dan budaya setiap kaum sejak dari kecil lagi. Sehubungan dengan itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan yang penting dengan mendidik anak-anak mereka bergaul dengan kaum-kaum lain supaya mereka terbiasa dengan kehidupan yang harmoni dan berbilang kaum. Akhir sekali, sebagai rakyat Malaysia yang hidup berbilang bangsa dan kaum kita haruslah saling menghormati antara kaum dan tidak memandang rendah kepada kaum-kaum yang lain.

Seterusnya, meningkatkan taraf ekonomi antara etnik dan wilayah tanpa merugikan mana- mana pihak. Kadar kemiskinan paling tinggi adalah dalam kalangan orang Melayu yang tertumpu kepada aktiviti pertanian tradisional. Usaha untuk menyelesaikan masalah sosial ekonomi dan projek dirangka supaya, dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua golongan rakyat yang menganggur, menambah daya pengeluaran dan pendapatan, memodenkan kehidupan di luar bandar dan mangadakan suasana pekerjaan yang mencerminkan komposisi kaum di Malaysia.

Akhir sekali, strategi media massa dalam memainkan peranan yang berkesan bagi membantu memupuk perpaduan negara melalui penyampaian maklumat, pembentukan sikap dan pandangan rakyat serta penerapan nilai- nilai positif ke arah memajukan semangat perpaduan. Internet sebagai wadah penyebaran maklumat perlu digunakan sebaik mungkin. Penerbit majalah dan akhbar juga digalakkan memberi sumbangan kepada usaha memantapkan perpaduan negara berdasarkan etika kewartawanan. Mereka juga dinasihatkan tidak melanggar Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak mengugat ketenteraman keselamatan negara. Seharusnya media perlu memainkan peranan yang penting contohnya membuat hebahan dan membuat iklan-iklan tentang perpaduan antara kaum bagi menjalinkan hubungan etnik di Malaysia.

Salah satu langkah yang sering diperkatakan orang ramai mengenai segregrasi dalam sektor pendidikan ialah menghapuskan sistem pendidikan vernakular. Dengan menghapuskan sistem pendidikan begini, masyarakat Malaysia akan dapat menguatkan perpaduan antara kaum dan bangsa. Bukanlah mahu menghapus budaya unik setiap kaum yang diajar kepada anak-anak kecil kita, tapi ingin berkongsi budaya dan adat setiap kaum agar dapat menerapkan sifat perpaduan masyarakat majmuk dan dapat juga menerapkan konsep 1 Malaysia pada diri anak-anak kita dan secara tidak langsung dapat memupuk sifat kemasyarakatan dalam diri kita juga.


4.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, segregasi dalam sistem pendidikan sekolah rendah di Malaysia adalah salah satu isu yang tidak harus dipandang enteng. Dalam menempuh arus globalisasi ini, kita haruslah sentiasa menerapkan nilai kesepaduan antara kaum tidak kira kaum Melayu, Cina mahupun India. Dengan adanya sistem pendidikan vernakular ini hanya mampu membuat anak-anak muda kita hanya bergaul sesama kaum mereka sahaja. Oleh itu, cara pemikiran dan daya saing anak muda kita tidak berkembang seiring aras pemodenan negara, mereka hanya tidak mampu berfikiran terbuka. Semua individu dari pelbagai kaum dan bangsa harus diberi peluang pendidikan yang saksama untuk semua rakyat dan bukan untuk sesuatu golongan yang dianggap elit sahaja. Pendidikan sekarang yang berorientasikan peperiksaan semata-mata banyak mengorbankan masa hadapan kebanyakan kanak-kanak di Malaysia tanpa mengira kaum.

Berdasarkan kajian ini, dapat dirumuskan bahawa sistem pendidikan vernakular merupakan punca utama berlakunya isu segregrasi yang sepatutnya dibendung dari bangku sekolah lagi. Kerajaan melakukan pelbagai cara untuk mengelak perpecahan antara kaum di negara kita, tetapi masih tidak menjadi kerana pada usia yang kecil di bangku sekolah lagi kita sudah diajar untuk tidak bergaul sesama kaum, oleh itu kita haruslah tidak memandang enteng terhadap isu segregrasi dalam sistem pendidikan di Malaysia ini bagi memendung pepecahan kaum pada masa akan datang.


Rujukan

Sada Menua. (2011). Sistem pendidikan kolonial memberikan kesan negatif terhadap hubungan etnik. Diakses dari http://ruaikenyalang.blogspot.my/2011/01/sistem-pendidikan-kolonial-memberikan.html.

Kabar PLB. (2012). Sejarah pendidikan segregasi. Diakses dari https://kabarpendidikanluarbiasa.wordpress.com/2012/07/04/sejarah-pendidikan-segregasi/.

Noraida Asri. (2015). Implikasi segregasi terhadap perpaduan kaum di Malaysia. Diakses dari http://www.slideshare.net/araizzsothman/implikasi-segregasi-terhadap-perpaduan-kaum-di-malaysia?from_action=save.



No comments:

Post a Comment