Tuesday, October 04, 2016

Kemudahan tempat solat di stesen minyak di sekitar Melaka







Zainudin MZ, Nur Izzati Mohayan, Mohamad Syafiq Zainol, Nor Zulaika Zainol,
Muhammad Aizuddin Mohd Isa, Amirul Farhan Khairul Shamsudin, Fathin Ahmad


1.0 Pengenalan

Tempat ibadah didefinisikan adalah sebuah tempat yang digunakan oleh umat beragama untuk beribadah menurut ajaran agama atau kepercayaan mereka masing-masing. Stesen minyak merupakan sebuah tempat yang menyediakan perkhidmatan pengisian petrol untuk pengguna-pengguna kenderaan bermotor dengan menjual bahan api atau pelincir berjenis petroleum atau minyak diesel. Dispenser bahan api kebiasaannya dikenali sebagai pam petrol. Terdapat beberapa jenis syarikat yang membuka stesen minyak di Malaysia, antaranya ialah Petronas, Shell, Petron, dan Caltex. Di Malaysia, stesen minyak boleh dijumpai dengan mudah di kawasan-kawasan bandar dan juga di kawasan rehat dan rawat (R&R). Di samping itu, stesen minyak juga terdapat di kawasan-kawasan luar bandar.

Selain daripada menyediakan perkhidmatan mengisi minyak kenderaan, stesen minyak juga menyediakan kemudahan lain untuk para penggunanya. Antara kemudahan yang disediakan adalah kedai runcit, tempat mengisi angin dan air kenderaan bermotor, dan juga tandas. Terdapat juga beberapa stesen minyak yang menyediakan ruang solat atau surau bagi umat Islam menunaikan kewajiban mereka. Stesen minyak yang menyediakan kemudahan surau ini kebiasannya boleh didapati di tempat-tempat yang sukar untuk jumpa masjid atau di tempat-tempat yang jauh daripada masjid.

Kemudahan surau yang disediakan di stesen minyak berbeza mengikut kelengkapan disediakan. Perkara yang boleh diketengahkan adalah saiz surau yang disediakan dan kelengkapan yang disediakan. Antara kelengkapan yang boleh didapati di surau adalah tempat berwuduk, telekung, sejadah, dan cermin.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui kewujudan surau di stesen minyak, mengenal pasti  stesen minyak yang memiliki surau yang selesan dan cadangan menambah baik kemudahan surau di stesen minyak.


2.0 Kaedah Kajian

Kajian ini menggunakan borang soal selidik dan temu bual untuk mendapatkan keputusan yang lebih jelas. Responden kajian ialah 40 orang.


3.0 Hasil Kajian

3.1 Soal selidik

Jantina

Dapatan hasil kajian menunjukkan sebanyak 40 orang responden telah menjawab soal selidik yang diberikan. Berdasarkan hasil yang diperolehi, sebanyak 22 responden (55%) terdiri daripada lelaki, manakala bakinya iaitu sebanyak 18 responden (45%) merupakan perempuan. Oleh yang demikian, jantina yang dipilih perlulah seimbang agar jawapan yang diperoleh tidak memihak kepada satu jantina sahaja.

Umur

Majoriti responden berumur dalam lingkungan umur 21 tahun hingga 25 tahun iaitu sebanyak 18 responden (45%) telah menjawab soal selidik yang diberikan. Hal ini demikian kerana majoriti responden merupakan pelajar yang berada di sekitar UTeM.

Status pekerjaan

Hasil kajian menunjukkan sebanyak 29 orang responden (72.5%) terdiri daripada responden berstatus pelajar, manakala sebanyak lapan responden (20%) yang bekerja. Baki sebanyak tiga orang (7.5%) telah dicatatkan oleh responden yang berstatus lain-lain. Kajian ini lebih banyak menumpukan kepada pelajar kerana mereka sering menggunakan stesen minyak sekitar Melaka.

Objektif 1: Memastikan kewujudan surau di stesen minyak.

1. Adakah anda sedar, terdapat kemudahan surau di stesen-stesen minyak di Melaka?

Majoriti responden telah menyatakan bahawa mereka tidak tahu terdapatnya kemudahan seperti surau di stesen minyak sekitar kawasan Melaka. Responden yang menyatakan mereka tidak tahu kewujudan surau di stesen minyak telah mencatatkan sebanyak 75% yang mewakili 30 responden. Sebanyak sepuluh responden (25%) pula menyatakan bahawa mereka sedar akan kewujudan surau di stesen-stesen minyak terpilih di sekitar Melaka.

2. Pernahkah anda menggunakan surau di situ?

Seramai 22 responden telah mencatatkan 55% yang menunjukkan bahawa mereka tidak pernah menggunakan surau di stesen-stesen minyak yang terpilih. Sebaliknya, seramai 18 responden atau 45% daripada keseluruhan responden menunjukkan bahawa mereka pernah menggunakan surau di stesen minyak tersebut. Hal ini berlaku kerana apabila mereka mengisi minyak, mereka dapat terus menggunakan surau di stesen minyak bagi menunaikan ibadah yang wajib dilakukan.

3. Pada pendapat anda, sesuai atau tidak sesuai surau dibina di stesen minyak?

Sebanyak enam orang atau 15% memberi respon bahawa surau tidak sesuai dibina di stesen minyak kerana mereka merasakan bahawa banyak masjid yang berdekatan dengan stesen-stesen minyak tersebut. Manakala, sebanyak 33 responden atau 85% responden memberikan jawapan sesuai untuk membina surau di stesen minyak. Bagi responden yang menjawab sesuai, kemudahan seperti surau di stesen-stesen minyak ini memudahkan mereka untuk menunaikan ibadah wajib.

Objektif 2: Keselesaan surau di stesen minyak

1. Adakah anda selesa menggunakan surau di stesen minyak itu?

Sebanyak 22 daripada 40 responden menjawab ya, manakala 18 responden menjawab tidak terhadap keselesaan surau di stesen-stesen minyak. Merujuk data yang diperolehi, responden yang menjawab ya berpendapat bahawa surau yang digunakan cukup selesa dengan tahap kebersihan yang amat memuaskan. Walau bagaimanapun, responden yang menjawab tidak berpendapat bahawa surau itu kurang selesa bagi mereka kerana keadaan surau yang digunakan tidak memberi tahap kebersihan sekaligus menyebabkan mereka tidak khusyuk semasa melakukan ibadah.

2. Adakah surau di stesen menyediakan kemudahan secukupnya?

Sebanyak 22 orang responden bersetuju bahawa surau di stesen minyak menyediakan kemudahan yang secukupnya kerana mereka berasa selesa menggunakan surau itu. Walau bagaimanapun, sebanyak 18 orang responden pula menyatakan bahawa surau di stesen minyak tidak menyediakan kemudahan yang secukupnya.

3. Perlukah anda menunggu giliran untuk solat di surau di stesen minyak?

Carta pai di atas menunjukkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 60% peratus responden telah menjawab tidak perlu untuk menunggu giliran ketika menggunakan surau di stesen minyak manakala sebanyak 40% peratus responden menjawab bahawa mereka perlu menunggu giliran. Peratus tertinggi menjawab tidak perlu kerana surau di stesen minyak menyediakan ruang yang mencukupi kepada pelanggan untuk menunaikan solat. Selain itu, responden yang perlu menunggu giliran kerana pada pelanggan yang menggunakan surau lebih ramai pada hari minggu.

4. Senaraikan kemudahan yang terdapat dalam surau di stesen minyak.

Sebanyak 21 responden telah memberi beberapa cadangan mereka untuk menambah baik kemudahan yang boleh ditambah di surau stesen-stesen minyak disekitar Melaka. Kemudahan yang paling banyak dicadangkan adalah sejadah dan diikuti dengan ruang tempat wuduk serta telekung yang bersih kerana kemudahan tersebut dapat menyediakan keselesaan di surau. Terdapat juga beberapa cadangan lain untuk menambah baik kemudahan-kemudahan di surau, antaranya ialah kain pelikat, kipas, selipar, cermin, kopiah, dan buku-buku ibadah. Cadangan yang diberikan dapat menambah baik kemudahan di surau stesen-stesen minyak untuk kegunaan orang ramai dan mendapat respon yang positif dari pelanggan tentang tahap keselesaan di surau.

Objektif 3: Menambah baik kemudahan surau di stesen minyak.

1. Adakah anda berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di dalam surau berkenaan?

Berdasarkan carta pai di atas, jumlah responden yang telah menjawab objektif tiga iaitu seramai 40 orang yang terdiri daripada 22 lelaki dan 18 perempuan. Sebanyak 22 responden yang berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan. Walau bagaimanapun, sebanyak 18 responden tidak berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan. Kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa majoriti responden berpuas hati kerana kemudahan yang disediakan cukup selesa digunakan. Terdapat juga responden yang tidak berpuas hati kerana kekurangan kemudahan yang terdapat di sesetengah surau di stesen minyak.

2. Setiap surau memerlukan kemudahan yang lengkap dan selesa.

Carta pai di atas menunjukkan sebanyak 40 responden telah menjawab soal selidik yang dinyatakan oleh kami. Soal selidik kajian ini merujuk kepada persetujuan pernyataan bahawa setiap surau memerlukan kemudahan yang lengkap dan selesa. Sebanyak 32 responden telah bersetuju dengan pernyataan yang diberikan. Walau bagaimanapun, sebanyak lapan responden tidak bersetuju dengan pernyataan soal selidik ini. Persetujuan para responden berkait rapat dengan kekerapan mereka menggunakan surau di stesen minyak. Sebagai kesimpulan, responden-responden yang bersetuju lebih kerap menggunakan surau yang berada di stesen minyak dan bagi responden yang tidak bersetuju, mereka mungkin jarang atau tidak pernah menggunakan surau di stesen minyak.

3. Adakah anda mempunyai cadangan untuk menambah baik surau di stesen minyak?

Merujuk carta pai di atas, sebanyak 20 responden mempunyai cadangan untuk penambahbaikan surau di stesen minyak. Sebaliknya, 20 responden tidak mempunyai cadangan untuk penambaikan surau di stesen minyak. Responden yang tidak mempunyai cadangan mungkin disebabkan mereka sudah berpuas hati dengan kemudahan yang terdapat di surau stesen minyak. Responden yang mempunyai cadangan penambahbaikan kemudahan surau di stesen minyak kerana sesetengah surau tidak mempunyai kelengkapan yang lengkap atau tidak selesa untuk digunakan.

4. Jika ya, sila nyatakan cadangan anda.

Soal selidik seterusnya berkait dengan cadangan untuk penambahbaikan kemudahan surau yang terdapat di stesen minyak. Sebanyak 20 responden iaitu separuh daripada jumlah responden telah memberi cadangan untuk menambah baik surau di stesen minyak. Antaranya ialah menyediakan rak kasut, menyediakan alas kaki, mengalas karpet, membesarkan surau, menyediakan telekung, pembinaan surau dan tandas di stesen minyak perlu mempunyai jarak yang sesuai dan memperuntukkan penghawa dingin.


4.0 Rumusan dan Cadangan

Perkhidmatan kemudahan surau yang ditawarkan oleh pengusaha stesen minyak ini sangat penting untuk pengguna atau pelanggan. Hal ini demikian kerana, perkhidmatan ini sering digunakan oleh pengguna dan pelanggan pada setiap hari atau setiap masa. Faktor yang menjadi masalah kepada pelanggan haruslah ditangani oleh pengusaha agar perkhidmatan ini lancar digunakan kepada semua pihak. Justeru itu, khususnya stesen-stesen minyak di sekitar Melaka iaitu Petronas, Shell, Caltex dan Petron haruslah menitikberatkan kepuasan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini.

Surau yang sempit dan tidak selesa pasti kurang diminati pelanggan berbanding surau yang besar dan selesa serta lengkap dengan segala kemudahan untuk menunaikan solat. Surau yang dilengkapi dengan segala kemudahan pastinya lebih diminati pengguna serta boleh menarik lebih ramai pengunjung Islam seperti kemudahan surau yang ditawarkan di pasar raya. Berbeza dengan kemudahan surau sesetengah stesen minyak yang hanya ada surau tetapi tidak memuaskan seperti ruang solat yang sempit dan menyediakan kain sejadah dan kain telekung yang lusuh dan jarang dicuci.

Sesetengah stesen minyak juga terdapat hanya satu bilik surau dan perlu berkongsi
antara jemaah lelaki dan perempuan serta tempat wuduk yang terbuka dan menyebabkan jemaah perempuan perlu berhati-hati untuk berwudhuk. Sebagai cadangan, pengusaha stesen minyak haruslah mencontohi kemudahan surau yang terdapat di perhentian rehat dan rawat lebuh raya dari utara ke selatan yang ditambah baik dari semasa ke semasa dengan menjamin keselesaan pengguna. Selain itu, tahap kemudahan surau yang terdapat di perhentian rehat dan rawat pasti diingini pengguna untuk memenuhi keperluan ibadat supaya tanggungjawab dapat disempurnakan dengan selesa.


Rujukan

Berita Harian. (2012). Musafir perlukan ruang solat semasa.
Jusoh, A. (1989). Pengenalan Tamadun Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
Nuai, A. (2013). Tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan yang di tawarkan oleh pengusaha stesen minyak di Semporna. Sabah.
Rahman, L. A. (2000). Imarah Masjid Masa Kini. Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka.
Sinar Harian. (2010). Nasib Islam di Melaka, terdesak rumah jadi surau.
Sinar Harian. (2015). Surau cantik di Melaka.
Taib, R. (2010). Kajian Surau dan Madrasah terpilih di perbandaran Melaka.
Tamuri, A. H. (1989). Aktiviti dan Fungsi Surau.


No comments:

Post a Comment