Sunday, October 02, 2016

Masalah sosial pelajar sekolah







Masalah moral yang melibatkan pelajar sekolah semakin mencabar pada hari ini. Sebelum ini, kes moral berkaitan pelajar berkisar dari segi ponteng kelas, bergaduh atau merokok. Namun, hari ini kes golongan pelajar sekolah sudah melangkaui sempadan. Ia melibatkan jenayah rogol di kawasan sekolah.

Kejadian seorang pelajar perempuan sekolah menengah dirogol oleh dua pelajar lelaki dalam bilik setor sekolah menjadi kes terkini. Kejadian di Jasin, Melaka itu mengejutkan semua pihak khususnya ibu bapa yang berfikir sekolah adalah kawasan selamat untuk anak-anak perempuan mereka.

Bagaimana dua orang pelajar lelaki boleh bersama-sama merogol pelajar perempuan di kawasan sekolah?

Inilah yang kita harus fikirkan bersama-sama. Di manakah punca kepada kejadian ini? Adakah ia bermula di sekolah atau di rumah?

Kita tahu, kebanyakan sekolah di negara ini mempunyai pelajar yang bercampur jantina. Kes yang melibatkan perogolan pelajar jarang berlaku di sekolah sebelum ini kerana kawalan keselamatan pihak sekolah sangat ketat. Tindakan ini mengecilkan kebarangkalian untuk pelajar melakukan perbuatan maksiat di kawasan sekolah.

Guru-guru juga berperanan sebagai mata dan telinga pihak sekolah untuk mengambil tahu apa sahaja perkara yang melibatkan pelajar sama ada positif atau negatif.

Di sesetengah sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyediakan pengawal keselamatan yang sentiasa meronda kawasan sekolah. Pendek kata, ruang untuk kejadian jenayah seperti rogol amat terhad di sekolah.

Lalu, bagaimana kes di Melaka ini boleh berlaku? Kita lihat pula keadaan di rumah. Hari ini, pelajar sekolah menengah terdedah dengan pelbagai jenis media sosial yang mengajak kepada kerosakan akhlak. Paparan imej maksiat di internet sangat mudah dikongsi bersama rakan-rakan yang memiliki telefon pintar.

Ibu bapa yang tidak dapat mengawal kandungan pada telefon pintar anak-anak bakal berhadapan dengan perubahan tingkah laku dan cita rasa hidup anak-anak mereka. Di sinilah letaknya kesedaran ibu bapa untuk membimbing anak-anak yang sedang membesar ini supaya dapat berfikir yang mana satu baik dan yang mana satu buruk. Sikap anak-anak remaja yang ingin meneroka kehidupan menyebabkan mereka terperangkap dengan perbuatan sendiri.

Tanggungjawab ibu bapa yang tidak penting juga ialah menyediakan pengetahuan dan amalan agama yang secukupnya kepada anak-anak sejak kecil. Maksud kecil ialah sejak mula mengenal ibu dan ayah. Agama menjadi penyuluh hidup dan benteng kepada segala macam kerosakan akal dan fikiran.

Berkorbanlah sedikit dengan bersusah payah menghantar anak-anak mengaji al-quran, mendengar kuliah agama di masjid dan yang palng penting ialah melatih anak-anak bersolat berjemaah. Jadikan anak-anak kita mengenal Allah swt sejak kecil supaya dalam diri mereka ada keinginan untuk melakukan apa yang agama suruh dan jauhi apa yang agama larang.

Di sinilah pangkal kepada kekuatan pertahanan diri kepada seorang anak. Didik mereka dengan agama, insya Allah akan selamat dirinya, keluarganya dan masyarakatnya.

No comments:

Post a Comment