Sunday, October 09, 2016

Rasuah musnahkan negara







Sektor perkhidmatan merupakan ruang yang sangat mudah untuk memberi dan menerima rasuah dalam pelbagai bentuk. Biasanya adalah wang tunai dalam jumlah tertentu seperti dipersetujui, barangan atau produk yang setara, imbuhan cuti, akses mudah kepada tender tertentu, habuan wanita, hartanah, barang kemas atau kenaikan pangkat di samping tawaran komisyen yang tinggi.

Rampasan wang tunai, barang kemas, kereta mewah, jam tangan, beg, geran tanah dan akaun simpanan dalam kes rasuah di Sabah baru-baru ini sangat mengejutkan semua orang di seluruh negara. Suspek dalam kes ini adalah pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri yang telah lama mengumpul kekayaan tidak sah untuk kepentingan diri dan keluarga masing-masing. Rumusan yang kita boleh buat dalam kes ini ialah jawatan tinggi menjadi batu loncatan untuk menambah kekayaan.

Rasuah melalui salah guna kuasa tidak mengenal rupa bangsa atau anutan agama. Bermulanya rasuah ialah apabila pengurusan ekonomi berada dalam keadaan pincang. Agihan pendapatan dan perbelanjaan negara tidak seimbang dan menjadi halangan utama kepada pembangunan ekonomi. Sama ada menjadi lebih baik atau lebih teruk, peranan negara dalam mengurus ekonomi telah berkembang dalam pelbagai cara selepas beberapa dekad.

Pada tahun 1913, terdapat 13 buah ekonomi utama dunia yang membentuk 12 peratus daripada KDNK dunia. Jumlah ini meningkat kepada 43 peratus pada tahun 1990. Peningkatan ini dikaitkan dengan percambahan laba di bawah kawalan negara dan pengenalan pelbagai cara menambah pendapatan negara terhadap rakyatnya.

Negara-negara besar dunia tidak semestinya menunjukkan kaitan langsung terhadap rasuah yang lebih canggih dan kompleks kerana terdapat faktor-faktor lain yang menjadi indikator kepada amalan rasuah yang sangat kurang dalam negara. Contohnya ialah negara-negara Nordik seperti Finland yang mana peluang untuk mendapat bayaran perkhidmatan secara tidak sah adalah sangat luas kerana interaksi pihak awam dan swasta yang kerap. Di negara-negara ini, urusan lesen dan permit dilakukan secara dalam talian seperti mendapatkan pasport, membayar cukai, daftar hartanah, kelulusan membina rumah dan perdagangan asing. Kebanyakan urusan ini melibatkan transaksi kewangan jutaan ringgit setiap hari yang diselia oleh pegawai. Namun, kerenah birokrasi tidak menjadi isu.

Beberapa kajian di seluruh dunia menunjukkan entiti perniagaan memperuntukkan masa dan sumber mereka untuk menguruskan kerenah birokrasi ini. Wujud persepsi bahawa rasuah adalah kaedah untuk menjimatkan masa dan meningkatkan kecekapan, malah di sesetengah negara, rasuah adalah satu pilihan untuk mengelakkan persaingan korporat.

Tidak dapat disangkal lagi jika sistem perundangan dan ekonomi tidak berfungsi di samping peraturan sedia ada yang membebankan, ia menjadi galakan kepada individu dan syarikat untuk memberi rasuah. Peraturan yang semakin menggila akan mendorong orang ramai melanggar peraturan berkenaan. Satu perkara buruk yang dilakukan berterusan secara tersiratnya menganggap bahawa kerajaan sangat bermotivasi dan komited kepada pelaksanaan dasar-dasar yang menjurus kepada pembangunan ekonomi.

Hakikatnya ialah banyak dasar negara yang dicanangkan adalah untuk faedah kelompok elit sahaja. Justeru di sini, rasuah boleh dikaitkan sebahagiannya dengan tindak balas terhadap gangguan pasaran, kerenah birokrasi, peraturan yang mengada-ngada dan melampau serta dasar yang lemah. Akibatnya sangat ketara iaitu menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat.

Sistem cukai itu sendiri selalu dianggap punca rasuah khususnya apabila pentafsiran terhadap undang-undang yang berkaitan adalah tidak jelas atau sukar difahami, memberi ruang kepada pemeriksa cukai dan juruaudit mentafsir dapatan mereka mengikut kefahaman sendiri. Undang-undang cukai yang tidak jelas mewujudkan unsur-unsur kompromi yang tidak sihat antara pemeriksa cukai dengan pembayar cukai.

Lebih umum lagi, terdapat beberapa cara dalam agensi kerajaan seperti penggubalan dasar yang mencetuskan insentif kepada kecenderungan melakukan rasuah. Contohnya, pengenalan subsidi yang menjadikan harga barangan di bawah paras harga sebenar sebagai bibit awal kepada amalan rasuah yang subur. Begitu juga dengan memberi permit atau menyediakan kouta import dan eksport yang mana membenarkan jurang melebar antara harga tempatan dan harga antarabangsa.

Sesetengah kes rasuah ditawarkan sebagai bayaran insentif kepada anggota perkhidmatan awam. Ia boleh berlaku dalam pelbagai cara seperti “duit kopi” iaitu amalan yang diterima umum di sesetengah negara untuk mempercepatkan proses transaksi, kelulusan dan sebagainya. Jika lebih banyak “duit kopi” yang diberi, urusannya lebih lancar, jadi kadangkala “duit kopi” juga disebut “pelincir”.

Rasuah yang berlaku di Malaysia, suatu hari nanti, pasti akan meruntuhkan kuasa politik penguasa sedia ada kerana kesan rasuah umpama satu rantaian. Ia memusnahkan persepsi positif dan memberi tekanan kepada kehidupan sosial rakyat. Perkaitan rasuah dan akhlak pemimpin akan akrab dan lama-kelamaan penguasa ini hilang pengaruh walaupun mereka berusaha memberi wang dan menyogok rakyat dengan pelbagai bentuk hadiah.

Akibat rasuah yang melanda sesebuah masyarakat atau negara ialah kezaliman terhadap rakyat. Apa sahaja yang diperlukan oleh rakyat untuk hidup sejahtera, aman dan tenteram tidak akan dapat dirasai jika pemimpin melakukan rasuah dan mencuri wang negara secara terang-terangan.


Post a Comment