Thursday, October 06, 2016

Kumpul harta sementara berkuasa







Wang tunai RM53.7 juta, Sembilan kereta mewah , jam tangan mahal, barang kemas dan 94 buah beg tangan berjenama- rampasan terbesar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam sejarah penubuhan agensi itu selama 49 tahun. Wang sebanyak ini mengambil masa selama 15 jam yang dikira oleh 30 orang.

SPRM juga sedang berusaha membuka lima peti simpanan di bank dan telah menjumpai 127 hartanah yang bernilai jutaan ringgit.

Keseluruhannya, SPRM merampas RM114 juta dalam kes rasuah paling besar dalam sejarah Malaysia. Dua orang suspek dari jabatan agensi kerajaan negeri Sabah iaitu pengarah dan timbalan pengarah ditahan kerana disyaki mengumpul kekayaan luar biasa sejak 2010.

Kejayaan SPRM ini bermula setahun lalu apabila menerima maklumat daripada orang ramai terhadap sikap pilih kasih dua pegawai berkenaan berkenaan pemberian projek kerajaan persekutuan kepada kontraktor. Projek sebanyak RM3.3 bilion diagihkan kepada sanak-saudara suspek dan mengenepikan peluang kontraktor-kontraktor lain.

Kerajaan persekutuan membelanjakan jutaan ringgit untuk menambah baik sistem pengairan di Sabah dari segi rawatan loji, pemasangan paip baru dan menggantikan saluran paip lama. Kos untuk kerja-kerja menambah baik saliran ini melibatkan jutaan ringgit. Antaranya pembinaan loji rawatan air dan pemasangan saluran paip di Beaufort yang berjumlah RM226 juta di samping RM350 juta untuk Jabatan Air Sabah melaksanakan projek mega di negeri itu yang merangkumi Beaufort, Kundasang, Semporna dan Keningau.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah juga mengumumkan peruntukan RM48 juta untuk pembinaan loji rawatan air do Moyong, Penampang.

Siri pendedahan rasuah di Malaysia semakin kerap. Sebelum ini hanya melibatkan agensi penguatkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan, kini merebak pula ke jabatan kerajaan yang melibatkan pegawai kanak seperti pengarah dan timbalan pengarah.

Kedudukan Malaysia dalam World Corruption Perceptions Index 2015 adalah pada kedudukan 54 daripada 168 negara. Laporan majalah TIME pada 17 Mac 2016 menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu daripada lima negara yang melibatkan rasuah dengan politik. Ian Bremmer, penulis artikel berkenaan meletakkan Malaysia di tangga kedua selepas Brazil dan mengaitkannya dengan keinginan untuk mengekalkan kuasa perdana menteri Najib Razak. Pada 2009, Najib Razak menjadikan 1MDB sebagai institusi pelaburan asing untuk meningkatkan ekonomi negara. Pada 2015 pula, didapati 1MDB telah berhutan $11 bilion. Ketika proses siasatan dilakukan, didedahkan sebanyak $681 juta telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak. Najib sendiri mengakui menerima wang yang banyak tetapi beliau menyatakan wang berkenaan telah diderma oleh keluarga diraja Arab Saudi.

Kes yang lebih mendukacitakan ialah apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan seorang pegawai tinggi Malaysia yang juga saudara rapat kepada Riza Aziz terlibat dalam mencuri wang 1MDB.

Penglibatan kakitangan awam, swasta dan orang perseorangan dalam rasuah semakin menjadi-jadi hingga timbul kata-kata seloroh “rasuah halal di Malaysia”. Ia sangat menyakitkan telinga tetapi itulah reaksi masyarakat terhadap salah guna kuasa untuk mengumpul kekayaan dan kesenangan diri dan keluarga.

Dalam kes rasuah di Sabah ini, dua suspek berkenaan perlu dibawa ke muka pengadilan manakala syarikat kontraktor dan nama-nama yang tersangka wajar disenarai hitam daripada sebarang kontrak di seluruh Malaysia.

Rampasan jutaan ringgit di pelbagai tempat menunjukkan suspek sudah sedar bahawa mereka sedang diintip tetapi tidak sempat untuk disembunyikan. Ia memberi gambaran pelaku akan melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri namun kecepakan dan ketangkasan pasukan penyiasat berjaya mendedahkan siapa dalang yang merancang rasuah ini.

Di China, undang-undang rasuah biasanya menetapkan hukuman mati.


No comments:

Post a Comment