Friday, September 28, 2012

Kepentingan penjagaan kesihatan




Kos penjagaan kesihatan meningkat seiring dengan
peningkatan umur

oleh Sim Y. H.

Jangka hayat yang terus meningkat telah menyebabkan penduduk global pada masa ini berada dalam proses penuaan pada kadar yang membimbangkan di mana warga-warga emas yang meningkat itu menyebabkan bebanan yang tinggi pada sistem penjagaan kesihatan.
 
 
Bagi Amerika Syarikat, seramai kira-kira 76 juta orang telah menjangkau usia 65 tahun pada 2011 dan di samping itu, kos penjagaan kesihatan global juga terus meningkat dengan perbelanjaan global bagi penjagaan kesihatan meningkat sebanyak kira-kira AS$5.8 bilion setahun.

Pada masa yang sama, bagi Amerika Syarikat, kos penjagaan kesihatan merangkumi sebanyak kira-kira 18 peratus dari KDNK negara berkenaan yang dianggarkan berjumlah kira-kira $2.8 trilion dan diramalkan pada 2016 nanti akan melepasi lebih dari $3.6 trilion.

Perangkaan itu dikongsi oleh Pengasas dan Presiden HealthCare California, Dr Harry Harris ketika menyampaikan ceramah beliau bertajuk, Key Trends in Health Care: How can Brunei be Ready (Trend Utama dalam Penjagaan Kesihatan: Bagaimana Brunei Boleh Bersedia) , semasa Forum Kesihatan anjuran bersama Asia Inc Forum dan Kedutaan Amerika Syarikat yang diadakan di Hotel Radisson, hari ini.

Dr Harris juga menyatakan bahawa dengan penggunaan teknologi perubatan yang canggih bersama dengan sistem rekod elektronik, kos perubatan akan dapat dikurangkan dengan mengurangkan berlakunya ujian dan pemberian perkhidmatan yang bertindih serta pada masa yang sama akan membantu untuk menjana penjagaan kesihatan individu yang lebih baik.

Menyentuh mengenai dengan penjagaan kesihatan, beliau berkata menerusi pendidikan dan penyaluran maklumat yang berkesan, mampu untuk membantu individu menjadi lebih peka dengan kesihatan mereka supaya mereka akan lebih cenderung untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Beliau percaya bahawa dengan penyelidikan yang berterusan, kejadian penyakit-penyakit seperti penyakit jantung, kanser dan strok dapat dikurangkan di mana pihak kerajaan harus mengambil peranan utama dalam menyediakan pendidikan dan latihan sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kesihatan dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan.

Mengulas mengenai dengan trend jangka pendek, Dr Harris percaya kos penjagaan kesihatan akan terus meningkat terutama di negara-negara yang tidak mempunyai atau mempunyai kawalan kos yang sedikit.

Bagi negara-negara membangun, jumlah itu akan meningkat dengan peningkatan ekonomi serta permintaan penduduk yang semakin meningkat.

Manakala itu bagi negara-negara yang maju termasuk Brunei, Dr Harris berkata bahawa pembendungan kos adalah agenda penting di mana peningkatan penjagaan kesihatan untuk memastikan pengesanan awal penyakit dapat meningkatkan kesihatan penduduk negara.

Terdahulu dari itu, Duta Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Daniel Shields dalam kata alu-aluan beliau menyatakan bahawa forum itu bukan sahaja relevan dan kritikal tetapi juga amat penting kerana ia menyentuh mengenai dengan industri yang dinamik dan terus berubah iaitu penjagaan kesihatan.

Beliau menaruh harapan dengan perkongsian idea, amalan terbaik dan visi bagi industri penjagaan kesihatan itu, akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan sistem penjagaan kesihatan dan memberikan peluang kepada pengamal industri kesihatan untuk berkongsi pengalaman serta menyediakan platform untuk menjana dialog berterusan.
 
(Media Permata, 27 September 2012)
*Artikel ini telah diedit untuk kesesuaian maklumat awam- Editor

 

 

 

No comments:

Post a Comment