Saturday, September 15, 2012

Bayi tertidur atas mayat ibu





Laporan akhbar berkaitan kejadian


Tangisan berterusan bayi berusia tujuh bulan terjawab apabila dia ditemui tertidur di atas mayat ibunya selepas 14 jam, dipercayai kerana kelaparan dan kepenatan.

Dalam kejadian menyayat hati, Normaya Mokhtar, 33, dipercayai meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira jam 6 petang Rabu lalu di Kuarters Perumahan Guru Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh dan mayat mangsa bersama anaknya yang tertidur hanya ditemui jam 8 pagi kelmarin. 


Tinggal berdua

Ketika kejadian, mangsa yang bertugas sebagai guru bahasa Jepun di sekolah itu tinggal berdua bersama bayinya di rumah yang berkunci, manakala suaminya bekerja di Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata kematian mangsa hanya disedari selepas rakan baiknya berjaya menemui kunci pendua rumah di rak kasut dan menemui mangsa terbaring di atas katil dalam keadaan pucat dengan anaknya tertidur di atas tubuh mangsa.

“Rakan baik mangsa ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) pada petang Rabu berhubung tugasan tetapi tidak berbalas, namun dia menyangka mungkin mangsa yang sudah dua tahun bertugas di situ, sibuk.

“Bagaimanapun, apabila mangsa tidak datang bekerja keesokan harinya, dia berasa tidak sedap hati dan pergi ke rumah mangsa serta mengetuk pintu berulang kali, tetapi tiada jawapan sebelum menemui kunci pendua rumah itu,” katanya, semalam. 
    
Kok Liang berkata, jiran mangsa sebelum itu turut hairan dengar tangisan bayi yang tidak henti-henti pada petang dan malam Rabu lalu tetapi tidak mengesyaki apa-apa selepas tangisan itu berhenti.

Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kematian mengejut, manakala anak mangsa dilaporkan sihat.

Jenazah mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bemban, Batu Gajah untuk dikebumikan petang kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kematiannya satu kehilangan besar kepada warga pendidik.



(Berita Harian, 15 September 2012)


No comments:

Post a Comment