Thursday, September 06, 2012

Anak muda mudah terpengaruh






Menunjukkan punggung ke atas gambar pemimpin negara disifatkan perbuatan kurang sopan dalam masyarakat kita. Jika perbuatan ini berlaku di Jepun atau Thailand, pelakunya tentu dikenakan hukuman berat.

Tindakan seorang pelajar melakukan perbuatan tidak senonoh seperti ini memberi gambaran betapa akhlak dan nilai anak-anak muda terhadap negara sendiri sudah berkecamuk. Dia tidak dapat membezakan di antara menghormati pemimpin dengan menghina pemimpin negara. Daripada gambar yang disiarkan, ternyata beliau gembira dengan perlakuannya dan tidak rasa bersalah. Namun selepas pihak kolej meminta beliau menyerah diri, pandai pula dia pulang ke rumah untuk mengelak dari dikesan.

Kes pelajar ini menjadi perhatian ramai kerana anak muda hari ini amat mudah bertindak kerana faktor emosi. Dia cenderung melakukan perbuatan yang melanggar adat dan tatasusila sebagai rakyat negara berdaulat dan merdeka. Apakah agaknya yang akan dilakukan jika gambar pemimpin yang diletakkan di bawah punggungnya itu bergelar ulama dan tokoh reformasi?

Di sinilah kita melihat sejauh mana kematangan berfikir anak-anak muda. Mereka tidak dapat membezakan di antara perbezaan idea dengan peribadi. Andai kata Malaysia ditadbir oleh parti lain selepas pilihan raya yang akan datang, adakah tindakan seperti itu akan dibuat lagi?

Bagi menghadapi perbuatan tidak senonoh ini dari terus berulang, pihak polis patut mencadangkan pendakwaan yang dapat memperuntukkan hukuman berat termasuk sebatan kerana perbuatan pelajar ini bersifat jenayah dan cuba menghasut orang ramai untuk membenci pemimpin. Tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik, pemimpin harus dihormati dan diberikan penghormatan yang layak kepada mereka biar pun kita sendiri tidak berkenan dengan idea atau perangai mereka selagi tidak menzalimi rakyat.



No comments:

Post a Comment