Tuesday, October 02, 2012

Bangkit sesudah tewas






oleh Karim Raslan

Minggu lepas, saya menulis di ruangan ini tentang kemenangan Joko Widodo (Jokowi) pada Pilihan Raya Gabenor Jakarta dan bagaimana ia telah mengganggu keseimbangan percaturan politik Jakarta kerana ini merupakan permulaan kebangkitan jaguh politik dari daerah.

Dalam coretan kali ini, saya ingin menulis pula tentang pengaruh parti politik. Kita sering memandang remeh kapasiti pembaharuan dan kuasa yang dimiliki sesetengah parti politik. Sememangnya, sebelum kemenangan Jokowi, ramai penganalisis yang menumpukan perhatian kepada wang dimiliki parti politik. Justeru, kita melihat parti pemerintah di Indonesia, Parti Demokrat sebagai jauh lebih berkuasa dan berpengaruh daripada parti seperti, PDI-P, parti pembangkang utama.

Namun, kita seharusnya tidak lagi melihat hanya kepada parti politik kerana bukankah parti-parti ini korup dan tidak efektif?. Sebaliknya, apa yang penting kini ialah ketelusan, integriti, keikhlasan dan kerendahan hati calon-calon dan kebolehan untuk berhubung dengan pengundi. Kelebihan inilah yang memenangkan calon seperti Jokowi dan menguntungkan penyokong kuatnya, Jeneral Prabowo Subianto.

Walaupun, ahli politik veteran Indonesia, Taufik Kiemas mengeluh bahawa pilihan raya di Jakarta hanya menguntungkan Prabowo dan bukannya isteri beliau, Mantan Presiden Megawati Sukarnoputri, namun keputusan pilihan raya tersebut menunjukkan kekuatan parti mereka, PDI-P yang sudah hampir sedekad tidak memerintah.

Jika kejayaan Jokowi bergantung kepada kualiti setiap calon, kita seharusnya bertanyakan kepada diri kita: di manakah semua calon-calon hebat ini?

Sebagai permulaan, Jokowi sendiri merupakan ahli tegar PDI-P, sebagaimana yang terlihat dalam ucapan terima kasihnya kepada Ibu Megawati. Ramai pemimpin muda Indonesia yang berbakat hari ini dengan bangganya merupakan ahli parti nasionalis ini. Ini bukanlah secara tidak sengaja.

Dari saat Megawati tewas di Pilihan Raya Presiden 2004 dan menjadi ketua pembangkang, parti beliau telah meraih kelebihan apabila kuasa “memerintah” ditarik semula.

Kuasa itu mampu menjahanamkan mereka yang berkuasa. Sebaliknya, mereka yang menyertai parti yang tidak berkuasa, selalunya berbuat demikian atas kepercayaan individu terhadap sesuatu prinsip yang diperjuangkan.

Sememangnya, perjalanan politik di sebelah pembangkang tidak mudah. Tanpa dana yang besar, ahli PDI-P terpaksa bekerja keras untuk menyampaikan mesej mereka.

Namun ini mungkin satu hikmah. Kebelakangan ini, banyak skandal rasuah melibatkan ahli politik di dalam parti pemerintah terutamanya parti Demokrat, mereka yang sudah lemas di dalam lautan wang.

Namun demikian, parti baru dan yang lebih kecil seperti Gerindra yang diketuai Jeneral (B) Prabowo, kekurangan pemimpin muda yang berbakat, mungkin kerana parti itu tidak cukup besar dan tidak mempunyai sejarah perjuangan yang kuat.

Misalnya, Prabowo terpaksa menarik masuk Basuki Tjahaja Purnama (Ahok), seorang Ahli Parlimen Golkar, untuk mendampingi Jokowi. Tidak mustahil, kelemahan Gerindra ini mungkin akan melemahkan peluang Prabowo untuk menjadi Presiden dan memaksa beliau untuk membentuk kerajaan berkoalisi yang neutral.

Pelaburan PDI-P dalam membangunkan modal insan ternyata sudah membuahkan hasil. Dikecualikan dari kuasa memerintah telah menguatkan parti lama ini.

Justeru, siapa lagi selain Jokowi yang merupakan pemimpin pelapis PDI-P?

Pertama sekali, ada segelintir, ahli akademik dan aktivis yang telah menjadi ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) seperti Ganjar Pranowo dari Jawa Tengah dan Eva Kusuma Sundari dari Jawa Timur.

Ganjar, Timbalan Ketua Komisi II di Parlimen Indonesia yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal dalam negeri, telah memperjuangkan undang-undang untuk tidak mempolitikkan jawatan Gabenor Wilayah Khas Yogyakarta, manakala Eva pula aktif menyuarakan isu-isu hak asasi manusia, dan hak-hak agama seperti isu gereja GKI Yasmin.

Ada juga golongan Ahli Parlimen daripada kalangan selebriti seperti bekas pelakon Rieke Diah Pitaloka. Beliau aktif menyuarakan hak pekerja Indonesia di luar negara, telah membuktikan yang beliau bukan sekadar bergantung pada rupa paras cantik.

Pemimpin PDI-P di daerah lain seperti Ahli Parlimen dari Jawa Timur, Budiman Sudjatmiko - lulusan Universiti Cambridge, Datuk Bandar Surabaya, Tri Rismaharini yang cekap dan unggul mereformasi pentadbiran daerah dan juga Timbalan Gabenor Rustriningsih, yang disanjung ketika menjadi Bupati (Pegawai Daerah) Kebumen.

Mereka bukanlah “ahli politik profesional”, tetapi inilah sebenarnya diperlukan oleh parti seperti Gerindra. Saya tidak sama sekali menyatakan PDI-P itu sempurna. Jika mereka menang kembali, banyak harus dibetulkan kerana Megawati gagal dalam penggal pertamanya dahulu.

Sememangnya, zaman gelap dalam pakatan pembangkang telah membolehkan parti ini bangkit. Mungkin kuncinya terletak pada sesuatu parti itu untuk kalah terlebih dahulu, sebelum ia bangkit menjadi lebih kuat.


(Sinar Harian, 2 Oktober 2012)



No comments:

Post a Comment