Tuesday, September 18, 2012

Malindo eratkan Indonesia-Malaysia






oleh Karim Raslan
                    
Pengguna kini inginkan tambang murah, penerbangan yang lebih kerap dan kapal terbang baru. Jika anda fikir penerbangan antara Malaysia dan Indonesia sudah cukup murah dan kerap: fikir kembali.
 
Pada minggu lepas, Rusdi Kirana, pemilik Lion Air, pengendali penerbangan tambang murah terbesar di Indonesia, menandatangani perjanjian dengan National Aerospace & Defence Industries (NADI) untuk menubuhkan Malindo Airways.

Nadi akan memiliki 51 peratus kepentingan manakala Lion pula 49 peratus, tetapi Lion akan mengendalikan pengurusan penerbangan baru tersebut. Malindo akan beroperasi dari KLIA2 yang bakal dibuka tidak lama lagi dan memulakan penerbangan antara Indonesia - Malaysia pada Mei 2013.

Malindo Airways akan memulakan operasi dengan 12 kapal terbang Boeing 737-900 dan lima Dreamliner 787-8 ciptaan syarikat gergasi Amerika itu, bermula 2015, serta memiliki 100 kapal terbang dalam masa 10 tahun. Malah, perancangan mereka termasuk penerbangan ke Asean, China, Hong Kong, India, Jepun dan mungkin sejauh Australia dan Eropah.

Kerjasama Indonesia dan Malaysia tersebut merupakan berita baik. Walaupun hubungan antara kedua negara ini kadangkala tidak stabil, hasil usaha sama ini mampu mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat Indonesia dan Malaysia.

Tambahan pula, Rusdi Kirana merupakan ahli perniagaan berjaya yang berani. Pada awal perniagaan Lion pada 2000, menerusi penerbangan antara Jakarta dan Pontianak menggunakan pesawat yang disewa, tiada siapa mengambil serius akan usahawan ini yang asalnya ialah seorang ejen pelancongan. Namun, pada akhir tahun pertamanya, Lion telah memulakan penerbangan ke Singapura dan Kuala Lumpur dan Penang.

Apabila beliau membuat pesanan mega untuk 230 kapal terbang Boeing 737 bernilai AS$21.7 bilion pada November 2011, Jakarta - dan juga seluruh dunia - mula memberi perhatian, lebih-lebih lagi perjanjian tersebut telah disaksikan oleh Presiden AS, Barack Obama.


Kini dengan 80 pesawat dan 60 destinasi, syarikat penerbangan ‘Pak Rusdi’ telah melangkaui Garuda sebagai pengendali pesawat domestik terbesar di Indonesia.

Berdasarkan laporan Wall Street Journal pada 2011, sebanyak 47.9 peratus daripada pelancong domestik Indonesia memilih Lion Air dan angka ini dijangka meningkat kepada 30 juta orang pada 2012. Sememangnya, ini suatu pencapaian luar biasa bagi seseorang yang umurnya belum lagi mencecah 50 tahun!

Melalui perjanjian dengan NADI, ternyata Pak Rusdi mempunyai rancangan bagi pasaran antarabangsa, satu sektor yang dikuasai AirAsia, gergasi penerbangan Asia Tenggara. AirAsia kini memegang 40 peratus daripada pasaran penerbangan antarabangsa di Malaysia (dan juga 42 peratus Indonesia). AirAsia telah menguatkan genggaman mereka ke atas Indonesia dengan pembelian Batavia Air pada Julai 2012 dengan harga AS$80 juta. Malah pendiri AirAsia Tan Sri Tony Fernandes juga berhijrah ke Jakarta.

Pak Rusdi dan Tony (Tony mengalu-alukan persaingan ini) akan berhadapan antara satu sama lain, walaupun telah dinyatakan bahawa Malindo bukan seperti AirAsia, dan akan menyediakan perkhidmatan hiburan semasa penerbangan.

Pasaran sebaliknya ingin menggalakkan persaingan ini; modal pasaran AirAsia telah jatuh sebanyak RM475 juta pada 12 September 2012 (sehari selepas pengumuman penubuhan Malindo) dan harga saham pula telah jatuh sebanyak 5.33 peratus. Ekspansi Lion Air mungkin akan mengurangkan dominasi AirAsia di Indonesia dan Asia Tenggara, ujar penganalisis Citi, Rigan Wong.

Hanya masa yang akan menentukan sejauh mana Malindo dapat merealisasikan potensinya: kerana banyak syarikat penerbangan baru yang gagal untuk mengekalkan momentum selepas pelancarannya.

Satu lagi aspek menarik persaingan ini adalah perang proksi untuk kuasa dominan dalam pasaran penerbangan Asia Tenggara antara Airbus (AirAsia) dan Boeing (Lion/Malindo).

Saya berasa sedikit kecewa kerana Pak Rusdi tidak menggunakan jenama Lion Air dalam usaha sama Malindo ini. Lion Air - dengan penerbangan kerap ke Kuala Lumpur, Penang dan Melaka (dan akan ke Johor Baru) - merupakan satu jenama yang sudah dikenali ramai di Malaysia.

Namun, ini merupakan permulaan satu persaingan perniagaan yang hebat - sama seakan-akan Apple vs Microsoft atau Pepsi vs Coca-Cola.
 
 
(Sinar Harian, 18 September 2012)
 
 

No comments:

Post a Comment