oleh Karim Raslan
Zaman purba lalu, masyarakat Yunani dan Rom sangat terkenal dengan bakat ucapan retorik dalam arena politik. Penduduk ketika itu mengagumi dan menyanjung bakat individu yang petah berpidato dengan gaya ucapan yang jelas, penuh tekad dan bersemangat.
Mereka memandang tinggi kepada pemimpin-pemimpin biarpun kurang berwibawa - yang mampu merubah kekalahan kepada kemenangan, kemiskinan kepada kemajuan dan menyuntik semangat kepada mereka yang telah hilang haluan hanya dengan menggunakan kepetahan mereka dalam menyampaikan ucapan.
Pada Konvensyen Kebangsaan Demokrat, atau Democratic National Convention (DNC) yang telah berlangsung di Charlotte, North Carolina, dua pemimpin terkemuka parti –mantan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan juga Presiden Barack Obama, telah memukau para penyokong mereka dengan hujah-hujah bernas menyokong kepimpinan Obama.
Dalam situasi ekonomi AS yang lemah dan pengangguran yang tinggi, Obama dan Clinton menerusi kepetahan mereka berucap, dilihat masih mampu membentangkan hujah-hujah yang kukuh dan menyeluruh. Sememangnya ini membuktikan bahawa mereka mampu memberi impak melalui pengucapan retorik.
Jika dilihat gaya ucapan Obama yang penuh bertenaga berbanding penyampaian calon Republikan Mitt Romney yang hambar dan membosankan, semestinya jelas bahawa hal ini menjadi cabaran asas yang perlu diatasi Parti Republikan. Obama telah berjaya berinteraksi dan memberi inspirasi, manakala Romney hanya sekadar berkata-kata mengenai hujah beliau tanpa memberi gambaran jelas visi ekonomi beliau.
Pada masa yang sama, Parti Demokrat kini mengikuti arus zaman hadapan yang bercirikan kepelbagaian etnik dan pluralisme serta menunjukkan kemerosotan pengaruh warga lelaki berkulit putih dalam hidup seharian dibandingkan dengan warga Hispanik (seperti Datuk Bandar San Antonio Julian Castro), warga Asia dan Afrika-Amerika (Wanita Pertama Michelle Obama) yang kini berada di barisan hadapan.
Pendekatan Obama kini lebih halus daripada dahulu tetapi beliau masih berusaha untuk meyakinkan warga AS tentang semangatnya (dan juga kesesuaiannya untuk pemilihan semula) masih berkekalan. Walaupun ucapan beliau bukanlah yang terbaik, namun kepetahan beliau berucap masih nyata:
Saya tidak pernah menyatakan bahawa ini akan menjadi suatu perjalanan yang senang dan saya tidak akan menjanjikan itu. Ya, kita menghadapi perjalanan yang sukar, tetapi ini akan membawa kita ke tempat yang lebih bagus. Ya, kita akan melalui jarak yang lebih jauh, tetapi kita akan melaluinya bersama. Kita tidak akan patah balik. Tiada siapa yang akan ditinggalkan. Kita akan menolong satu sama lain.
Bagi kita di Asia Tenggara, Obama merupakan seorang pemimpin penting:
Pertama sekali, beliau dilahirkan dan juga pernah dibesarkan di Hawaii, beliau merupakan Presiden pertama dari era Pasifik. Tambahan pula, hubungan beliau dengan Indonesia melalui ibunya dan juga bapa tirinya telah mewujudkan suatu jalinan yang kuat antara beliau dengan kawasan di sekitar Asia Tenggara.
Di bawah pentadbiran Obama, AS kini lebih mesra dalam hubungannya dengan Asia. Ini bukan suatu trend semasa yang berasaskan pengalaman lampau Presiden. Bahkan, ini merupakan suatu langkah Realpolitik yang diambil oleh Washington untuk merencana semula hal ehwal luar negara mereka supaya sejajar dengan realiti ekonomi di Asia Pasifik.
Seperti yang dikatakan oleh Setiausaha Pertahanan AS Leon Panetta semasa ucapan beliau pada Dialog Shangri-La tahun ini:
Pada abad ini…AS mengiktiraf bahawa kemakmuran dan keselamatan kami bergantung kepada rantau Asia-Pasifik… Matlamat kami adalah untuk bekerjasama dengan semua negara di rantau ini untuk menghadapi segala cabaran dan untuk menggalakkan keamanan, kemakmuran dan juga keselamatan di rantau Asia-Pasifik.
Kita perlu menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku pada November ini, pendekatan positif AS terhadap Asia bukan hanya suatu inisiatif Demokrat untuk jangka masa pendek. Romney mungkin mempunyai pendirian tegas dalam berhadapan dengan pengaruh China, tetapi beliau masih akur akan kenyataan kekuatan ekonomi dan tentera negara tersebut di mana dasar beliau juga dibuat berlandaskan pada hubungan dengan kuasa-kuasa serantau di Pasifik.
Walaupun dengan penegasan Romney bahawa Rusia merupakan halangan terbesar AS, sesiapa sahaja yang bakal menjadi wakil Menteri Luar dari Parti Republikan harus meneruskan usaha asas Hillary Clinton di rantau itu.
Oleh itu, Amerika tidak akan meminggir dari rantau ini dan kita semua di Asia Tenggara perlu menyesuaikan diri kepada perhatian yang dituju kepada kita kerana zaman kita menjadi watak sampingan sudah lama berlalu. Kini, kita menjadi penunjang utama di persada dunia.
Dengan itu, warga Asia Tenggara perlu memahami dengan mendalam budaya politik dan budaya kedua-dua negara, Amerika dan China. Suka atau tidak, kedua-dua negara ini akan memberi pengaruh yang lebih besar dalam hidup kita semua dan akan terus mencorak masa hadapan kita.
(Sinar Harian , 11 September 2012)
No comments:
Post a Comment