Wednesday, June 29, 2011

Jaga kesihatan diri







Kaji selidik oleh Ernst and Young Advisory Services mengenai usahawan seluruh dunia mendapati 45 peratus responden memulakan bisnes selepas berumur 30 tahun. Hasil kaji selidik ini juga menilai kriteria penting yang menjadi pilihan untuk bergelar usahawan dengan meletakkan pengalaman sebagai elemen paling penting dalam menentukan kejayaan bisnes, diikuti pendidikan tinggi dan pemilihan mentor. Tidak seperti yang kita fikirkan, kaji selidik ini melihat asuhan bukannya penting dalam membentuk pemikiran seorang usahawan.

Mencari wang ketika usia muda seterusnya menjadi kaya adalah impian setiap usahawan. Mereka berusaha mencari ruang dan peluang mencipta keajabaian melalui pelbagai sumber dan teknologi, malah ada yang sanggup melabur beribu-ribu ringgit untuk membina imej dan jaringan sosial dalam perniagaan.

Dalam mengejar impian menjadi jutawan, rata-rata usia usahawan ini meningkat sedikit demi sedikit membawa sekali kesihatan mereka. Ada usahawan yang sudah mendapat serangan angin ahmar atau stroke ketika berada di puncak kejayaan, ada yang terpaksa membuat pembedahan pintasan jantung dan ada yang sentiasa berjaga-jaga ketika makan untuk mempastikan paras gula dalam darah tidak naik.

Di samping bijak mencari wang, usahawan muda juga perlu bijak menjaga kesihatan diri. Tekanan darah, paras kolestrol dan keadaan jantung sentiasa kena diawasi supaya kekayaan yang dicari tidak berakhir dengan tragedi. Ketika tubuh badan masih sihat dan kuat, usahawan muda ini bekerja siang dan malam dengan rehat yang minimum. Apabila badan sudah letih dan lelah, hanya menunggu masa untuk rebah. Apa guna mencari wang untuk membina rumah yang besar tetapi duduk berehat di hospital, apa guna membeli kereta mahal tetapi orang lain yang bawa. 

Tuesday, June 28, 2011

“Kini suara semua boleh didengar...”







oleh Karim Raslam

Minggu lalu minggu Air Asia. Dari CNBC ke BisnisAwani, dari Star Biz ke Financial Times: tempahan besar untuk pesawat Air Asia di Pameran Udara Paris jadi tajuk utama berita pasaran di seluruh dunia.
Syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Asia dari segi jumlah penumpang itu melapor perjanjian yang memecah rekod sejumlah USD 18 bilion untuk membekalkan 200 A320 Neos sepanjang tempoh 15 tahun. Tempahan ini merupakan yang ketiga terbesar dalam sejarah syarikat Eropah itu, di belakang syarikat penerbangan Emirates dan Qatar Airways.

Sudah tentu keseriusan Air Asia sering bertopeng sifat bosnya yang suka berlucu. Perhatikan nombor berikut: pada suku pertama 2011, Air Asia mencatat keuntungan bersih RM171.9 juta dan purata pendapatan bersih tahunan sebanyak 57 peratus sejak 2004. Menurut akhbar Financial Times, syarikat penerbangan kos rendah tersebut telah mengatasi prestasi industri, 129 peratus.

Setakat ini semuanya baik: tetapi bolehkah Air Asia beri kita satu lagi pengajaran? Mampukah syarikat Tony Fernandes yang cekap, profesional dan ada jaringan sosial meluas dan responsif itu memberi pengajaran kepada Malaysia yang semakin luntur, kurang transparen, sangat feudal, berpolarisasi dan tidak bersatu?

Berikut tiga faktor yang boleh kita pelajari daripada Air Asia:

Pertama, Air Asia seperti semua perniagaan lain yang bijak, cepat mempelajari dan menyesuaikan diri kepada persekitaran barunya. Sesungguhnya keupayaan syarikat penerbangan ini untuk memahami dan menghadapi perundangan, budaya dan geografi berbeza merupakan unsur utama kejayaannya.

Walau bagaimanapun, ini bukan sifat yang hanya diperoleh Air Asia kerana orang Malaysia juga memperoleh keupayaan sama untuk menyesuaikan diri dan mencapai kejayaan di mana-mana sahaja di seluruh dunia.

Sebenarnya, kelebihan yang luar biasa ini berpunca dari etos berbilang kaum dan agama kita – kehidupan seharian kita yang kaya dengan kepelbagaian– sesuatu yang patut kita raikan. Faktor kedua merupakan sifat syarikat penerbangan ini yang seratus peratus terbuka dan mampu menerima pelbagai kritikan. Keterbukaan ini membuatkan syarikat ini sangat responsif terhadap pengguna.

Begitu juga dengan Malaysia, dapat meraih manfaat yang besar jika melepaskan media daripada belenggu peraturan. Sesungguhnya, maklum balas dan pemerhatian rakyat dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran negara.

Sememangnya sifat santai, Tony telah diterjemahkan kepada gaya pengurusan yang menekankan hasil dan tidak mementingkan hierarki, sesuatu patut dicontohi oleh Malaysia yang obses dengan protokol.

Syarikat ini yang menggaji 4,500 kakitangan di beberapa negara berbeza, ada struktur organisasi yang rata; proses membuat keputusan yang didemokrasikan; tenaga kerjanya yang jujur dan diberi kuasa.

Faktor ketiga, obsesi Air Asia dengan harga dan perbelanjaan. Pelancong yang menaiki penerbangan Air Asia tahu akan kegunaan setiap bayaran dan yang sama adalah benar bagi struktur syarikat ini kerana transparensi dan tanggungjawab meresapi setiap proses.

Kita tahu rakyat Malaysia sedang memerhati dari jauh! perebutan untuk kontrak mengembang MRT Kuala Lumpur. Sebagai rakyat kita mahu sedikit pengetahuan tentang cara duit cukai hasil titik peluh mereka dibelanjakan.

Kesimpulannya, walaupun Air Asia syarikat perniagaan dan model yang hebat, sayangnya ia tidak dicontohi rakyat dan kerajaan Malaysia khususnya.

Kita memerlukan sebuah kerajaan yang responsif dan jujur – menunjukkan ia boleh uruskan kewangannya dengan kukuh kerana seharusnya ia membuat keputusan berdasarkan kos. Selain itu, kita memerlukan kerajaan yang sedia mendengar, kreatif dan inovatif supaya kita dapat berada di hadapan di dunia yang semakin kompetitif ini.

Pada masa sama, kita memerlukan kerajaan yang mengembangkan modal insannya, sama seperti cara Air Asia membentuk pramugara dan pramugarinya jadi juruterbang dan kru daratnya untuk menjadi jurutera.

Err, kesimpulannya... mungkin kita memerlukan Tony untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan moto kebangsaan ‘‘Kini Suara Semua Boleh Didengar’’.

(Sinar Harian, 28 Jun 2010)

Friday, June 24, 2011

Masalah sosial merosakkan diri







Media melaporkan seorang pelajar perempuan sekolah menengah meraih RM30,000 semasa cuti sekolah pada tahun lepas. Pelajar tersebut mengenakan bayaran RM250 hingga RM800 untuk membeli barangan mewah seperti iPhone. Jika terdapat pelanggan yang hendak ‘menyewa’ selama sebulan, bayaran RM300 akan dikenakan.

Di sebalik khidmat menjual diri, ada sebilangan pelajar yang menggunakan laman sosial Facebook untuk menjual gambar berahi kepada pelanggan yang berminat dengan bayaran RM10. Gambar istimewa ini dihantar melalui telefon bimbit.

Kecanggihan teknologi maklumat memberi ruang dan mencipta peluang kepada golongan remaja khususnya pelajar sekolah untuk berusaha sendiri bagi membeli gajet elektronik yang mereka mahu. Hendak harapkan ibu bapa mungin tidak dapat, jadi dengan menjual diri dapatlah memiliki gajet yang ditawarkan.

Kegilaan remaja untuk mendapatkan iPhone atau iPad menggerakkan daya fikir mereka tanpa dapat membezakan mana satu kerja yang bermoral dan yang mana satu tidak.

Mencari pelanggan untuk melacurkan diri lebih mudah pada hari kerana institusi masyarakat yang bersifat kompleks dan dengan hal masing-masing. Unit asas masyarakat iaitu keluarga berada dalam situasi yang tidak stabil menyebabkan pendidikan anak-anak terganggu. Apabila mereka membesar, model ikutan mereka adalah artis, bukannya ibu bapa sendiri.

Wednesday, June 22, 2011

Anak luar nikah jadi beban







Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia melaporkan lebih 257,000 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga Julai 2008. Manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan 81,000 anak luar nikah berdaftar sehingga Jun 2010. Di Malaysia, anak luar nikah yang dimaksudkan ialah pendaftaran kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat kelahiran dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran. Istilah yang sering dirujuk bagi menggantikan panggilan anak luar nikah ialah anak tidak sah taraf.

Isu anak luar nikah melibatkan tamadun. Anak luar nikah telah menjadi bencana kemanusiaan paling hebat dalam sejarah tamadun Barat hari ini. Ia mencetuskan fenomena kemanusiaan dipinggir krisis kehancuran akibat daripada percambahan dan kelahiran berterusan anak tidak sah taraf ini.

Kesan kelahiran tanpa nikah amat besar. Apabila kanak-kanak ini membesar dan menjadi seorang remaja dan dewasa yang matang,mereka akan bertanya, ‘Siapa ayah aku?’ Amat mustahil untuk mencari ayah sebenar ketika pergaulan bebas dan perlakuan seks bebas bermaharaja lela.

Dari sinilah munculnya sikap yang menolak sama sekali kepentingan institusi keluarga. Anak-anak tidak menghormati ibu dan bapa kerana dalam fikiran mereka, kedua ibu bapa telah mengkhianati kehidupan anak-anak. Mereka membesar sebagai sebuah generasi yang teraniaya iaitu hidup tanpa sebuah keluarga. Justeru muncul gerakan yang menolak kehadiran ibu bapa dalam masyarakat. Dalam fikiran generasi muda ini ialah ibu bapa merupakan komponen yang tidak bertanggungjawab ke atas kelahiran mereka di dunia.

Tanpa keluarga, di mana hendak ditumpahkan kasih dan sayang? Kepada siapa pula kesetiaan dan ketaatan akan diberikan?

Inilah krisis yang sedang melanda negara-negara Barat. Apabila tidak diketahui siapa ayah yang sebenar, kasih sayang seseorang manusia menjadi nipis. Secara hakikatnya, seorang kanak-kanak akan memberi kasih dan sayangnya kepada orang yang paling hampir iaitu ibu dan bapa serta ahli keluarga yang lain, seterusnya kepada negara. Kecintaan kepada negara tidak akan hadir tanpa kecintaan kepada ibu dan bapa.

Bagaimana hendak membina sebuah tamadun jika dicambahi dengan generasi yang tidak tahu siapa ayah mereka? Inilah dilema dan krisis yang melanda pemikiran dan budaya hidup masyarakat Barat hari ini.

Tuesday, June 21, 2011

Yang ditanam akan dituai






Pepatah lama yang masih relevan sehingga kini ialah 'apa yang ditanam akan dituai' sangat sesuai untuk kita renung bersama. Seorang petani yang menanam anak benih padi akan mendapat padi. Jika dia menanam jagung tentulah jagung yang akan dituai, bukannya terung.

Mari kita lihat ke dalam diri kita. Apa yang kita tanam dalam diri, jiwa dan fikiran? Andainya kita menanam semangat yang tinggi, azam yang berkobar-kobar di samping usaha keras, kita boleh jangkakan hasilnya kelak. Nilai-nilai positif yang wujud di dalam fikiran dan jiwa akan menjadi teras yang kukuh dan merangsang kesungguhan.

Menyemai nilai-nilai juara amat penting kerana boleh mendokong kejayaan, kemenangan dan juara.

Monday, June 20, 2011

Kursus usahawan untuk pelajar bawah 2.0







Keputusan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membatalkan pinjaman PTPTN kepada pelajar yang mendapat jumlah keseluruhan mata terkumpul atau CGPA di bawah 2.0 telah dimuktamadkan. Rasional tindakan ini diambil adalah demi masa depan pelajar kerana mendapat markah di bawah 2.0 menjadi beban kepada pelajar itu sendiri untuk bersaing di pasaran kerja. Majikan meletakkan persepsi yang berbeza bagi pelajar yang memperoleh 2.0 dan 3.0 sepanjang pengajian.

Mendapat CGPA di garisan ‘cukup-cukup makan’ juga dikatakan sukar membayar pinjaman PTPTN kerana pelajar berkenaan belum tentu mendapat pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian. Secara tidak langsung keadaan ini mengundang kepada lambakan peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Sering terjadi pelajar yang cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, matrikulasi atau diploma mendapat keputusan sederhana selepas mereka belajar di universiti. Banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan ini seperti sikap, pengaruh sosial dan persekitaran.

Kajian oleh Zainab Othman (2010) terhadap gejala ponteng di kalangan pelajar Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi mendapati salah satu punca kepada ketidakcapaian akademik pelajar ialah gejala ponteng kuliah. Beliau mendapati tiga faktor yang menyumbang kepda permasalahan gejala ponteng iaitu sikap yang ada pada diri pelajar, pengaruh sosial dan persekitaran kolej.

Faktor pertama iaitu sikap ditunjukkan melalui sifat malas, kurang minat mengikuti sesi pembelajaran dan keluarga yang memaksa belajar. Sikap adalah rekfleksi diri yang diperlihatkan melalui tata kelakuan pelajar sepanjang mengikuti pengajian. Ternyata, malas amat berkait dengan nilai diri pelajar. 

Kedua, pengaruh sosial yang amat akrab dengan pengaruh rakan sebaya, kejutan budaya dan perkembangan teknologi maklumat. Zainab menyifatkan beberapa laman sosial ketika ini menyumbang kepada perubahan sosial pelajar khususnya selepas mendapat kebebasan.

Ketiga berkaitan persekitaran kolej yang menyifatkan keadaan sempit dan penyampaian kuliah yang tidak menarik. Keadaan tempat yang sempit ini menyebabkan pelajar tidak selesa dan mengundang kelesuan untuk belajar. Hubungan pensyarah-pelajar yang tidak mesra menjadikan suasana pembelajaran penuh dengan daya tolakan baik kepada pelajar mahupun kepada pensyarah.

Selain Zainab, pengkaji-pengkaji tempatan turut mengemukakan sebab-musabab kepada ketidakcapaian akademik pelajar di institusi pengajian tinggi. Kajian yang dilakukan oleh Maria Chong dan rakan-rakan (2009) umpamanya telah merumuskan bahawa kemerosotan dalam pembelajaran berlaku kerana pelajar tidak dapat menangani pelbagai cabaran khususnya menyesuaiakan diri di kampus.

Kegagalan penyesuaian ini berlaku dalam akademik, sosial, peribadi-emosi dan komitmen matlamat. Hasil kajian turut dikongsi oleh kajian yang lebih awal di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dilakukan oleh Ahmad et.al (2002) yang menyatakan masalah utama yang dihadapi oleh pelajar baharu ialah masalah kewangan, akademik, kesihatan, sosial dan peribadi.

Penyelesaian jangka pendek yang dibuat oleh kementerian ke atas pelajar yang mendapat markah yang rendah seharusnya diteliti semula kerana banyak faktor yang menyebabkan pelajar mendapat markah yang rendah.

Sekiranya tidak diperhalusi, pelajar berkenaan akan terus dirundung kecewa dan bebanan hidup.Beban pertama adalah belum tentu dapat menamatkan pengajian, beban kedua adalah belum tentu mendapat pekerjaan. Jalan keluar kepada permasalahan ini ialah pihak kementerian perlu menyediakan kursus alternatif kepada pelajar-pelajar yang lemah.

Kursus alternatif yang dimaksudkan ialah kursus keusahawanan yang komprehensif supaya minat belajar pelajar disalurkan kepada minat sebagai usahawan. Kita yakin ada dalam kalangan pelajar yang lemah ini memiliki bakat dan kemahiran untuk berniaga. Jika tidak pun, kegagalan di peringkat ijazah dapat ditampung dengan menganugerahkan sijil diploma supaya mereka memiliki sijil yang bersesuaian.

 

Friday, June 17, 2011

Pertimbangan membeli kereta baru








Terfikir untuk membeli kereta baru? Bagi mencari sebuah kereta baru yang benar-benar memenuhi kriteria yang disenaraikan bukanlah mudah kerana ia mungkin memakan masa lama dan sukar, tetapi jangan stres. 

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah jangan menghabiskan masa dengan mencari terlalu banyak informasi melalui Internet kerana anda mungkin tidak mahu melebihi bajet yang ditetapkan kerana terlalu rambang mata. 

Memperuntukkan lebih banyak wang tidak bermaksud kereta itu lebih tahan lama, terdapat beberapa kereta yang bagus, tahan lama, tidak mahal dan tidak bagus, tidak tahan lama serta mahal. 

Semua pihak tahu adalah penting membuat kajian sebelum berfikir untuk melakukan uji pandu di pusat pengedar berhampiran, tetapi tidak semua mengetahui langkah-langkah tinjauan yang akan membawa kepada persetujuan adil pada akhir perbincangan. 

Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah melakukan kajian dari segi kereta yang sesuai dengan kewangan anda, meneroka beberapa kenderaan kemungkinan (termasuk kereta terpakai) dan mengunjungi lebih dari satu pusat pengedar kereta bagi melakukan beberapa perbezaan sebelum memutuskan pembelian. 

Berbekalkan kajian berkenaan, apabila anda mengunjungi pusat pengedar dengan keyakinan, pengetahuan dan potensi fikiran terbuka, anda sudah arif dengan penerangan yang diberikan dan boleh melangkah keluar bila anda mahu. 

Kesalahan biasa, fikir secara rasional 

Berdasarkan kajian dilakukan melalui Internet, pembeli perlu mengetahui, bila, di mana untuk membelanjakan wang diperlukan sebelum memutuskan untuk membeli. Sebagai permulaan, kenal pasti dahulu adakah anda benar-benar memerlukan kenderaan baru, hanya kerana anda terpaksa membelanjakan RM80 untuk mengisi minyak setiap minggu tidak bermaksud ia adalah perlu untuk menukar kepada kereta lebih kecil. 

Ketersediaan hibrid misalnya dengan harga yang tidak semua mampu milik, jadinya sesuatu yang kecil mahupun hibrid mungkin akan menjimatkan wang bagi kos minyak atau membuatkan anda berasa lebih baik tentang diri sendiri, tetapi ia bukanlah semestinya pilihan murah, khususnya bagi anda yang sudahpun memiliki kereta kurang kecekapan bahan bakar. 

Realitinya anda masih perlu melakukan kiraan. Kereta yang lebih cekap melibatkan lebih kos pada masa kini, malah nilai kereta juga akan turun sekiranya mahu dijualkan kembali, tidak seperti nilai hartanah yang sentiasa meningkat. 

Sekiranya anda memutuskan untuk membeli kereta baru, seharusnya lebih peka tentang urusan harga keseluruhan kereta berkenaan berbanding bayaran bulanan. Kebiasaannya pengedar lebih gemar membuat kiraan kemampuan pembeli berdasarkan bayaran bulanan, tetapi ia boleh membuatkan anda tertipu, sekiranya dilanjutkan lebih lama, lebih banyak wang yang dilaburkan. 

Langkah lain adalah bekerjasama dengan jabatan jualan pengedar Internet berbanding bersemuka dengan jurujual. Ini kerana jurujual lebih mencuba untuk mendapatkan keuntungan, lebih mahal harga jualan lebih tinggi komisen yang diperoleh. Manakala pengurus Internet mendapat gaji dan bonus berdasarkan volume. 

Semua perkara yang dinyatakan perlu dipertimbangkan oleh pembeli sebelum berkira-kira untuk membeli kereta baru.


(Sinar Harian, 16 Jun 2011)

Tuesday, June 14, 2011

Impak dinamik lahir modal insan berkualiti








Mutakhir ini senario pengajian tinggi global berkembang dengan begitu pesat sekali. Arus dan ledakan globalisasi telah menghasilkan daya penggerak yang membentuk hala tuju baru pengajian tinggi dunia. Hala tuju ini juga melahirkan beberapa trend baru seperti antara lainnya, globalisasi, mobiliti, kolaborasi, evolusi dalam pembelajaran dan pengajaran serta penggunaan teknologi yang maksimum.

Tidak dinafikan, kedinamikan pengajian tinggi dan arus globalisasi ini akan berterusan khususnya sepanjang tempoh lima tahun (2011-2015) Fasa Dua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Ini bermakna, Malaysia dan sektor pengajian tinggi perlu memberi pertimbangan wajar terhadap impak dinamik ini kepada hala tuju strategik, sistem serta institusi pengajian tingginya.

Sehubungan itu, lima fokus baru sudah dikenal pasti dan perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sepanjang tempoh itu lima fokus itu ialah pengukuhan usaha melahirkan modal insan, memperkayakan kreativiti dan inovasi, memaksimumkan ekosistem pengajian tinggi, memanfaatkan globalisasi dan kepemimpinan yang bertransformasi di kalangan peneraju institusi pengajian tinggi.

Dalam konteks pengukuhan usaha melahirkan modal insan, pelajar yang akan dilahirkan mestilah benar-benar berketrampilan dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Dalam erti kata lain, mereka tidak boleh lagi bersifat modal insan yang biasa iaitu hanya untuk memenuhi keperluan industri, sebaliknya mempunyai bakat untuk membantu negara menghadapi persaingan dan menyumbang penyelesaian cabaran semasa dan akan datang.

Justeru, pembangunan bakat dalam kalangan pelajar perlu memperlihatkan ciri-ciri yang disimpulkan melalui 5Cs iaitu Critical Thinking and Problem Solving (pemikiran kritikal dan penyelesai masalah), Effective Communication Skills (keberkesanan berkomunikasi), Collaboration and Team Building (boleh bekerja secara berkesan termasuk dengan kumpulan yang berbeza pandangan), Creative and Innovative (kreatif dan inovatif) dan Culturally Literate (celik budaya untuk bergerak dalam dunia yang kepelbagaian).

Selain itu, KPT juga berpandangan sudah tiba masa anjakan paradigma perlu dilakukan iaitu daripada semata-mata melahirkan modal insan kepada usaha meningkatkan modal intelektual demi menjana pembangunan negara yang lestari.

Dalam konteks penyelidikan dan inovasi, tumpuan banyak diberikan kepada pembangunan universiti penyelidikan, pusat kecemerlangan pengajian tinggi (HiCOE) dan Top Business School (TBS). Dalam pada itu, semua lima buah universiti berinsentifkan Penyelidikan (RU) diminta mempertingkatkan usaha untuk meneraju tujuh platform penyelidikan berimpak tinggi. KPT juga sedang berusaha membimbing IPT untuk membangunkan sebuah lagi universiti penyelidikan berasaskan Sains Sosial menjelang 2020 untuk sama-sama membantu dalam pembangunan penyelidikan negara.

Persaingan dalam pengajian tinggi tidak lagi relevan. Justeru, ekosistem pengajian tinggi akan dimaksimumkan sebaik mungkin dengan penyertaan yang lebih besar membabitkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Kolaborasi dan sinergi antara IPTA dan IPTS harus digiatkan. IPTA yang mempunyai ‘ramai bakat’ boleh digunakan untuk membantu pembangunan IPTA baru dan IPTS. ‘Cross-fertilization’ yang sudah diamalkan dalam sektor awam boleh dipanjangkan dari IPTA ke IPTS.

Sumbangan IPTS kepada pembangunan negara berdasarkan bilangan pelajar antarabangsanya semata-mata perlu dikaji semula. Justeru, pendapatan IPTS hendaklah distruktur semula dan dipelbagaikan. Pergantungan kepada yuran pengajian pelajar semata-mata sebagai punca pendapatan mestilah difikirkan semula. Punca pendapatan alternatif mestilah digiatkan melalui aktiviti R&D&C, program eksekutif dan perkhidmatan. Proses menyamakan taraf antara IPTA dan IPTS di Malaysia harus dijadikan satu model baru dunia dalam sektor pengajian tinggi. Keterbukaan pihak kerajaan adalah jelas selepas baru-baru ini mengumumkan bahawa IPTS juga akan menerima pelajar cemerlang negara dengan tajaan penuh untuk menyambung pengajian di IPTS. Ini adalah peluang terbaik kepada IPTS untuk sama-sama menjadi pemain yang seimbang bersama IPTA dalam pembangunan negara dan melahirkan modal insan minda kelas pertama.

Bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaan Fasa Dua PSPTN dalam melangkaui globalisasi, bidang pengajian tinggi juga akan dijadikan sebagai satu instrumen dan pendekatan yang besar dalam konteks jalinan diplomatik dan hubungan antarabangsa. Pendekatan kuasa tambatan hati ini adalah strategi jangka panjang yang bermatlamat meraih keyakinan serantau dan global kepada jenama Malaysia dan Malaysia itu sendiri.

Dalam usaha memartabatkan lagi peranan IPT khususnya akademia, IPT perlu mengambil pendekatan agresif untuk mempamerkan diri. Kita didapati masih malu-malu untuk mengaku bahawa institusi di bawah kita adalah institusi terbaik negara. IPT juga tidak begitu berani atau tidak terkehadapan mengambil cabaran untuk mempamerkan diri mereka sebagai universiti yang terhebat dan tersohor dalam negara, serantau dan global dalam sesuatu bidang yang tertentu. Pensyarah dan profesor juga masih ramai yang hanya dikenali di kalangan rakan kesepakaran saja dan tidak dikenali oleh pembuat dasar negara sebagai rujukan dalam bidangnya untuk mendapat khidmat nasihat.

Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi Malaysia)
(Berita Harian, 13 Jun 2011)

 

Monday, June 13, 2011

275 bawah umur mohon nikah




oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar


Sejumlah 275 permohonan nikah membabitkan remaja lelaki dan perempuan bawah umur difailkan di negeri ini sejak tiga tahun lalu, dengan lebih 90 peratus daripadanya membabitkan gadis berusia kurang 16 tahun.

Perkahwinan membabitkan remaja bawah umur dilapor semakin meningkat sejak 2008 dan dikatakan ada kaitan dengan beberapa masalah termasuk peningkatan gejala sosial, kemudahan teknologi komunikasi seperti penggunaan laman sosial seperti Facebook dan kesempitan hidup.

Difahamkan, ada juga ibu bapa terpaksa membenarkan anak gadis bernikah bawah umur dan mengaku di depan Hakim Syarie mereka tidak mampu menjaga anak yang didakwa terlalu 'liar' dan menganggap pernikahan jalan terbaik bagi mengelak perkara tidak baik berlaku.

Sumber Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) berkata, sejumlah 75 permohonan kebenaran nikah bawah umur direkodkan sepanjang 2008 dan jumlah itu meningkat 35 peratus kepada 101 kes tahun lalu.

Katanya, ada juga kes membabitkan keluarga miskin di kawasan pedalaman menganggap tindakan mengahwinkan anak gadis mereka dengan orang berada, dianggap dapat memberi kehidupan lebih selesa kepada anak.

Malah, katanya, ada ibu bapa tidak sabar mengahwinkan anak gadis masing-masing sebaik mencecah usia 16 tahun, terutama jika anak itu sudah tidak mampu meneruskan persekolahan.

"Bagi keluarga miskin yang ada anak gadis berwajah cantik, akan dibenarkan kahwin jika ada pihak `meminta' walaupun mereka baru berusia 15 tahun. Kes ini banyak berlaku di Sik dan Baling.

"Justeru, ibu bapa menganggap lebih baik anak mereka dikahwinkan awal, kerana sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan keluarga, apatah lagi jika lelaki terbabit orang berada yang diyakini dapat memberi kehidupan lebih terjamin terhadap anak mereka," katanya.

Sementara itu, bagi anak gadis yang dianggap 'liar' pula, sumber itu berkata, perkahwinan dianggap jalan penyelesaian terbaik untuk membendung pergerakan mereka, sebelum terlambat.

"Walaupun dilihat seperti memperjudikan masa depan anak gadis, namun ramai ibu bapa menganggap ia risiko sanggup ditanggung, berbanding melepaskan anak bergaul bebas sehingga mengandung luar nikah," katanya.

Difahamkan, ada di kalangan remaja yang berkahwin muda mengaku di depan Hakim Syarie mereka berkenalan melalui laman sosial sebelum membuat keputusan bernikah bagi mengelak terlanjur.

"Apabila ditanya alasan mahu berkahwin awal, mereka memberi alasan tidak mahu melakukan dosa, selain mengakui pernikahan tidak menghalang mereka terus bersekolah," katanya.

Mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah, had umur minimum pasangan lelaki dibenarkan berkahwin ialah 18 tahun, manakala perempuan 16 tahun. Enakmen itu juga menyebut perkahwinan bawah umur hanya boleh dilakukan dengan kebenaran Hakim Syarie.

Sumber itu berkata, ada juga kes pasangan remaja bawah umur yang berkahwin, kembali ke Mahkamah Syariah untuk bercerai tidak sampai setahun perkahwinan kerana tiada persefahaman.

(Berita Harian, 13 Jun 2011)

 

Friday, June 10, 2011

Cabaran PhD







Belajar di peringkat doktor falsafah atau PhD adalah impian setiap orang yang berminat dengan ilmu dan keintelektualan. Ia menjadi semangat yang membara kepada mereka yang benar-benar hendak memiliki tahap kesarjanaan yang tulen dan berkualiti. Hidup terasa puas apabila menggenggam ijazah PhD selepas bertungkus-lumus mengharungi semua proses yang melayakkan diri untuk bergelar ‘doktor’. Tidak semua orang yang memiliki sarjana ingin menyambung pengajian ke peringkat paling tinggi atau doktor falsafah ini. Banyak faktor yang menghalang mereka untuk belajar. Antaranya ialah keperluan kewangan, minat, dorongan dan isu-isu keluarga. 

Bagi bakal calon PhD, semua faktor ini menjadi cabaran untuk merealisasikan citi-cita dan impian yang telah lama berakar umbi. Katakan kewangan yang cabaran. Pelajar yang mendapat tajaan di sepanjang pengajian tidak perlu berfikir yuran pengajian atau wang perbelanjaan kerana semua urusan kewangan telah selesai. Lain pula bagi pelajar yang membiayai sendiri pengajian. Mereka perlu ligat berfikir dari mana hendak mendapatkan sumber kewangan untuk belajar. 

Ada yang menggunakan wang simpanan, mengeluarkan caruman KWSP, membuat pinjaman bank dan berhutang. Ketika pelajar ditaja kosong fikiran dengan masalah wang, pelajar persendirian kusut-masai memikirkan masa depan pengajian mereka. Cabaran lain yang tidak kurang hebatnya ialah belajar sambil berkeluarga. Belajar adalah satu tugas, berkeluarga adalah satu tanggungjawab. Kerja mesti berjalan, jika tidak tentu tidak dapat makan.


Ketika berkeluarga, kaedah pembelajaran amat berbeza kerana sebahagian masa produktif diperuntukkan untuk keluar. Melayan suami, memberi khidmat kepada isteri dan menyantuni anak-anak adalah tanggungjawab dan amanah. Jadi, di mana masanya hendak mentelaah, membaca, berfikir atau mencari bahan? Setiap orang ada 24 jam sehari, jadi pandai-pandailah mencari masa sendiri! Calon PhD mesti memiliki ciri-ciri khusus yang membolehkan mereka meneruskan pengajian dan menguasai ilmu yang melayakkan mereka digelar sarjana.

Ciri pertama ialah kemampuan membuat kajian sendiri yang tulen. Ketulenan kajian ini menunjukkan tahap kesediaan calon untuk meneroka bidang-bidang baru yang masih ada ruang untuk dikaji. Menghasilkan kajian yang berkualiti bukannya senang malah perlukan pengorbanan yang banyak. Aktiviti membaca, berbincang, hadir kuliah dan menguasai sumber maklumat perlukan kemahiran melalui proses yang panjang.

Ciri kedua berkaitan kualiti diri calon yang bermotivasi tinggi menjayakan proses pembelajaran. Maksud kualiti diri ialah memiliki tahap keyakinan yang akan mendorong calon melengkapkan pengajian biarpun mengambil tempoh yang panjang. Ada sesetengah calon yang melepasi tahap pembentangan cadangan kajian namun gagal dan menangis sebaik sahaja diasak ketika sesi ‘viva’. Ada juga calon yang telah melepasi semua proses wajib untuk bergraduat tetapi diminta menambah satu semester kerana pihak senat universiti tidak berpuas hati dengan kualiti tesis.

Ciri ketiga, keempat, kelima dan seterusnya boleh ditanya kepada penyelia-penyelia calon PhD kerana ciri-ciri ini tidak jauh beza antara satu sama lain.Satu ciri yang kita ingin kongsi ialah keupayaan calon menyusun tesis mereka. Ia bermula dari mengenal pasti masalah (problem), diikuti persoalan kajian (research question), objektif kajian, seterusnya metodologi dan diakhiri dengan hasil dapatan (findings).

Andai calon dapat menyusun urutan ini dalam tesis dan ‘viva’, lebih mudah bagi mereka untuk bergraduat. Memegang status calon PhD adalah gelaran yang sangat besar, hebat dan gah. Hanya selangkah lagi untuk bergelar pakar dalam ilmu yang dipelajari. Peranan pakar ini sangat bermakna kerana orang lain akan datang kepada pakar untuk menyelesaikan masalah.

Malah ada yang sanggup memberi bayaran bagi mendapatkan khidmat nasihat dan idea. Tidak hairanlah, seorang calon PhD tidak boleh duduk senang-lenang, masa mesti diisi dengan membaca, membuat rujukan, berbincang dan berfikir untuk menyelesaikan kajian. Keluarga dan rakan-rakan yang memberi sokongan adalah sumber dorongan yang kuat namun berdoa dan berharap kepada Allah swt adalah daya motivasi paling hebat untuk mencapai impian bergraduat dan bergelar ‘doktor’.


Wednesday, June 08, 2011

Tragedi Harumanis






Sekilo buah mangga Harumanis berharga RM12 hingga RM14, biasanya boleh dapat dua hingga tiga biji sahaja. Jika pergi ke kawasan kampung, kita boleh dapat RM9 sekilo. Harga Harumanis jarang turun kerana musimnya hanya sekali setahun.

Harumanis adalah spesis buah mangga yang berkualiti dan boleh membesar dengan baik di Perlis sahaja. Sebabnya adalah cuaca yang sangat sesuai dengan pokok ini. Isi Harumanis agak kekuningan dan rasanya sangat manis. Di Perlis, ladang buah ini terletak di Sungai Batu Pahat dan ditanam khusus untuk eksport ke Jepun dan Korea Selatan. Namun, pihak Jabatan Pertanian turut menjualnya kepada pembeli tempatan dalam kuantiti yang mencukupi sahaja. Harga Harumanis eksport lebih tinggi dan permintaannya sentiasa meningkat.

Kehebatan Harumanis menarik minat ramai penjual buah untuk meletakkannya di gerai jualan biar pun harganya yang mahal. Di sepanjang jalan Kuala Perlis-Changlun, gerai-gerai buah berderet dan bersusun. Pengunjung dan pelancong luar boleh tawar-menawar dan memilih buah mangga kegemaran masing-masing.

Tarikan terhadap Harumanis menyebabkan ladang tanaman buah itu diceroboh. Hampir satu lori buah mangga Harumanis cuba dibawa lari pada waktu malam oleh pencuri yang berminat untuk menjualnya di pasaran. Di kawasan kampung, seorang nenek kempunan membawa Harumanis kepada anak cucunya di Pahang apabila pokok mangga yang lebat dikebas orang. Oleh kerana terlalu menjaga buah Harumanis dan tidak mahu menjual kepada seorang pembeli, nenek ini membalutnya dengan kertas surat khabar. Satu hari, dia bangun pagi dan melihat helaian surat khabar bertaburan di bawah pohon Harumanisnya.

Di sebuah pejabat, seorang ibu yang sedang hamil mengidam hendak makan Harumanis. Rakannya membawa dua kilo buah ini dari Perlis lalu diberikan kepada seorang staf yang kemudiannya diberikan pula kepada staf lain dan terus masuk pantri. Tanpa segan-silu, staf-staf yang berkunjung ke pantri mula membelek, memegang dan terus memotong Harumanis tanpa menyedari buah berkenaan untuk rakan mereka yang sedang mengidam. Apabila ditanya ke mana buah Harumanis yang diamanahkan, masing-masing diam. Nampak sangat staf di situ sangat suka akan Harumanis dari Perlis ini.

Mangga Harumanis Perlis akan terus dicari kerana rasanya yang manis dan kualiti buah ini belum dapat ditandingi oleh mana-mana buah mangga setakat ini. Harumanis dari Thailand berharga RM4 sekilo tetapi rasanya sangat jauh beza. Oleh kerana rasanya, Harumanis akan terus meninggalkan tragedi, sama ada suka mahupun duka.

Tuesday, June 07, 2011

Trauma banjir di Orchard Road





Suasana banjir adalah lumrah di bandaraya Kuala Lumpur apabila hujan berterusan empat hingga lima jam. Ancaman banjir sangat kritikal menyebabkan kerajaan Malaysia membina terowong SMART untuk mengalirkan air ke kawasan tadahan. Semenjak terowong ini beroperasi, tidak ada lagi ‘maha banjir’ yang wujud di Kuala Lumpur melainkan beberapa kawasan rendah yang masih lagi dalam proses naik taraf.

Di selatan negara, lain pula kisahnya. Hujan lebat yang turun tanpa henti menjadikan kawasan Orchard Road, di mana terletaknya Tanglin Mall dan Forum Shopping Mall dipenuhi air hujan. Keadaan tersebut disifatkan paling buruk untuk beberapa tahun dan ramai yang kecewa dengan pihak berkuasa yang gagal mengaktifkan sistem amaran banjir di kawasan berkenaan. Jalan raya ditakungi air hujan, parit dan longkang bertaut untuk menampung arus air yang melimpah-limpah melewati kawasan perumahan, perniagaan dan jalan raya. Perjalanan rakyat Singapura terganggu kerana air menyekat kelancaran pengangkutan umum republik itu.

Singapura dikatakan memiliki sistem pentadbiran dan pengurusan pengangkutan, perumahan dan perniagaan yang terbaik di dunia, namun mala petaka alam tidak dapat dijangka. Kemusnahan akibat banjir ini mendedahkan kepincangan dalam pengurusan parit dan saliran. Melihat kepada gambar dan slaid yang ditunjukkan, mangsa banjir pasti berasa tertekan. Para peniaga terpaksa menanggung kerugian apabila premis perniagaan dimasuki air, jumlah pembeli turut merosot dan barangan jualan banyak yang rosak.

Sama seperti mala petaka alam yang lain, banjir turut meninggalkan kesan trauma ke atas mangsa. Ada yang tidak dapat melelapkan mata sebaik sahaja mendengar rintik-rintik hujan jatuh ke atas bumbung rumah, ada yang berjaga-jaga sepanjang hari sehingga tidak tidur dan ada yang mengambil keputusan berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Masyarakat Singapura jarang mengalami mala petaka banjir seperti ini. Kehidupan mereka berada pada tahap terbaik, kemakmuran ekonomi yang menjulang tinggi dan persekitaran hidup yang selamat. Namun, sekali bah melanda, ia mungkin akan berulang lagi kerana perubahan iklim sedang berlaku. Kerajaan Singapura tidak akan mampu mengalihkan mala petaka banjir melainkan menghadapinya dengan mengurangkan risiko kemalangan jiwa dan kemusnahan harta benda. Mereka boleh fikirkan untuk membina terowong bagi mengalirkan air hujan ke kawasan tadahan supaya tidak ada banjir lagi yang berlaku. Barangkali terowong itu nanti menjadi terowong terbesar dan terpanjang di dunia kerana mereka mampu melakukannya.

Monday, June 06, 2011

Negara berkebajikan, harapan PAS untuk Malaysia






Pemilihan barisan kepimpinan baru Parti Islam SeMalaysia (PAS) tahun ini telah menunjukkan proses demokrasi berlangsung dengan sangat matang. Tokoh-tokoh parti yang menawarkan diri untuk bertanding memiliki kewibawaan masing-masing dan cenderung untuk memperkasa jentera parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya yang akan datang. Selepas keputusan diumumkan, kebanyakan penganalisis politik berpendapat barisan kepimpinan baru ini adalah persediaan PAS untuk melangkah lebih jauh dalam menentukan politik Pakatan Rakyat dan lanskap politik Malaysia.

Perhatian media dan orang ramai ke atas PAS semakin terserlah selepas menjadi komponen Pakatan Rakyat dan menguasai Kelantan, Kedah dan Perak (melalui jawatan menteri besar). Reaksi golongan muda lebih menonjol ketika ini selepas PAS dapat mengurangkan imej pak lebai dan pak haji dengan menyuntik imej profesional dan dinamik melalui Nasharudin Mat Isa, Husam Musa dan Salahudin Ayub. Imej yang dipancarkan oleh Salahudin memberikan suntikan segar kepada golongan muda profesional yang mahukan Islam dengan pakaian moden. Justeru penampilan Salahudin yang berjaket, bertali leher dan berbicara soal globalisasi dan perkembangan semasa dunia telah menarik minat golongan itu untuk bersama-sama PAS. Gabungan ulama dan profesional dalam barisan kepimpinan baru ini dilihat melonjakkan imej PAS kepada semua peringkat pengundi.

Seperkara yang menarik dalam muktamar kali ini ialah kesediaan DAP untuk menerima undangan PAS. Umum mengetahui, sebelum pembentukan Pakatan Rakyat, amat payah bagi PAS mengajak DAP duduk semeja kerana berbeza ideologi dan teras perjuangan. PAS dengan idea negara Islam dan DAP dengan konsep Malaysian Malaysia umpama tidak dapat disatukan. Pemecatan Anwar Ibrahim dari UMNO, kabinet dan kerajaan merupakan titik tolak kepada pembentukan kerjasama PAS dan DAP dalam politik negara untuk menumbangkan Barisan Nasional. Jika dapat dikatakan, pencapaian terhebat Anwar Ibrahim ialah memuktamadkan usaha-usaha ke arah persefahaman PAS dan DAP melalui Pakatan Rakyat. 

PAS dan DAP yang berbalah tidak akan dapat membentuk kerajaan di peringkat persekutuan. Hanya melalui kerjasama yang kukuh mampu menukar impian kepada realiti. DAP tidak akan menjadi parti tunggal yang berkuasa dalam politik Malaysia kerana tidak semua pengundi Melayu, Cina dan India suka kepada ideologi sempit dan anak-beranak Lim dalam kepimpinan parti itu. PAS juga tidak dapat membentuk kuasa politik tunggal kerana terdapat masalah dalam menarik pengundi bukan Islam kerana setiap masa media mengaitkan PAS dengan imej negatif Islam.

Bagaimana konsep negara berkebajikan dapat mengubah sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat? Adakah usaha ini menjadi permulaan kepada kejayaan parti itu untuk mentadbir negara?

Konsep negara berkebajikan telah dilaksanakan dengan sangat berjaya ketika era pentadbiran khalifah Umar Abdul Aziz walaupun tempohnya cukup singkat. Rakyat khalifah Umar ketika itu tidak ada yang miskin kerana semua keperluan hidup telah dipenuhi oleh negara menjadikan kehidupan mereka sejahtera dan selamat. Selain faktor kewangan, konsep kebajikan turut dipanjangkan dalam maksud kebajikan sosial dan keselamatan.

Berbeza dengan konsep negara berkebajikan model Barat ketika ini. Kemakmuran kehidupan rakyat diukur dalam bentuk tahap pendapatan, kadar celik huruf, penggunaan teknologi dan kemajuan dalam aspek perumahan, pengangkutan, kesaksamaan gender, kesihatan, pendidikan dan persekitaran. Ciri-ciri negara berkebajikan ala Barat tidak menjadikan pelaksanaan hukum-hakam agama sebagai satu bentuk pengukuran menyebabkan wujud kepincangan sosial yang melampau dalam kehidupan seharian masyarakat.

Kejadian jenayah sentiasa berlaku di Amerika Syarikat menyebabkan beban kos pentabiran negara terpaksa dilebihkan kepada usaha mengurangkan kadar jenayah. Melalui sistem ekonomi kapitalis, golongan kaya berfikir untuk menambahkan harta manakala golongan miskin dan papa kedana berfikir untuk mencuri dan merompak bagi mengisi perut yang kosong. Penzina dan anak luar nikah tidak menjadi masalah kerana kedua-dua perlakuan ini sudah diterima dan menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Barat.

Sudah tentu PAS tidak mahu menjadikan Barat sebagai model negara berkebajikan. Tanpa pelaksanaan hukum-hakam dan syariat hidup Islam, apa gunanya mendapat kuasa. Menjadi hasrat setiap orang Islam untuk melihat agama mereka diletakkan pada tempat yang mulia, pelaksanaan Islam sebagai cara hidup dilaksanakan dan keadilan sosial yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat. Barangkali model ini yang sepatutnya menjadi pilihan PAS untuk menjayakan negara berkebajikan kepada seluruh rakyat Malaysia.


 

Sunday, June 05, 2011

Selesai segera isu 'bir halal'






Isu ‘bir halal’ menjadi hangat sejak beberapa hari lalu selepas pihak berkuasa agama negeri Johor melakukan ujian makmal. Ujian dilakukan selepas mereka mendapat aduan daripada orang ramai berkaitan kandungan alkohol yang terdapat dalam minuman itu. Lebih-lebih lagi apabila keraguan masyarakat Islam di Johor mengenai tidak adanya tanda halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama Islam di negara ini iaitu Jakim. Selepas ujian makmal, kandungn alkohol didapati melebihi aras 0.01 peratus seperti yang dibenarkan oeh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Ini adalah kali kedua pihak berkuasa agama Islam Johor melaksanakan tanggungjawab iaitu dengan mendedahkan kandungan kopi yang disediakan oleh rangkaian kedai kopi terkenal di negeri itu mengandungi babi.

Pihak berkuasa agama Islam Johor telah melakukan tugasnya mempastikan minuman yang masuk ke dalam jasad umat Islam negeri itu adalah halal, tidak seperti negeri-negeri lain. Syabas kepada pegawai-pegawai yang mengambil inisiatif melakukan operasi ini, turun padang selepas mendengar rungutan seterusnya menghebahkan keputusan ujian kepada orang ramai. Kini, kita bertanya kenapa Jakim tidak melakukan perkara yang sama sejak kemunculan ‘bir halal’ ini? Tentunya sudah ramai umat Islam yang berkunjung ke restoran-restoran makanan Arab dan memesan satu atau dua botol bir jenis ini untuk menghilangkan dahaga. Apakah mereka yang meneguk bir ini mendapat dosa, dan jika berdosa, siapakah yang akan menanggungnya?

Makanan dan minuman yang halal menjadi isu yang sangat sensitif kepada umat Islam di Malaysia. Mereka saggup menahan keinginan untuk makan atau mencari alternatif untuk berbelanja lebih mahal semata-mata mempastikan makanan yang masuk ke dalam tubuh mereka adalah halal. Halal dan haram juga berkait dengan penerimaan ibadat khusus mereka seperti solat, yang menjadi tonggak kepada kepatuhan pada ajaran agama.

Pihak berkuasa agama tidak boleh lepas tangan dalam menentukan halal dan haram sesuatu makanan atau minuman kerana mereka diberi tanggungjawab untuk menjaga keperluan umat Islam. Malaysia bukannya negara yang bebas dijual arak kerana ada sekatan dan halangan. Ujian-ujian penentuan kandungan juga sentiasa dilakukan supaya keadaan umat Islam sentiasa dipelihara. Justeru, penarafan di antara sepuluh negara pengguna alkohol paling banyak di dunia tidak meletakkan umat Islam Malaysia sebagai sasaran kerana ia melibatkan masyarakat bukan Islam.

Pihak berkuasa agama perlu lebih prihatin dan mengambil inisiatif melakukan pemantauan ke atas jenis-jenis minuman dan makanan yang diperkenalkan kepada umat Islam di negara ini. Kita sering mendengar penemuan kajian yang merumuskan perubahan kelakuan akibat pengambilan makanan atau minuman tertentu yang merosakkan fungsi fikiran dan tingkah laku. Barang kali perubahan sosial yang sedang membelenggu masyarakat Islam seperti buang bayi, buang anak atau buang ibu bapa ada kaitannya dengan jenis makanan yang masuk ke dalam jasad mereka. 

Pihak berkuasa agama Islam di peringkat negeri dan persekutuan wajar mengambi inisiatif baru dalam menangani ‘bir halal’ ini seperti bertegas dengan status halal, meminta pihak restoran makanan Arab mengeluarkannya dari menu atau mengenakan tindakan ke atas pengedar minuman ini supaya umat Islam tidak lagi tertipu. Selain itu, menteri berkenaan perlu kurangkan bercakap sebaliknya melakukan tindakan supaya kes seperti ini tidak lagi berulang.



Friday, June 03, 2011

Pemindahan tulang sum-sum sebagai penawar AIDS





Bagi pegawai perubatan, Timotius Ray Brown menempuh masa yang sukar hanya sekejap. Seorang pesakit HIV positif rakyat Amerika Syarikat yang disembuhkan melalui pemindahan tulang sum-sum yang unik telah menjadi ikon kejayaan dalam penyelidikan perubatan dan para saintis berharap rawatan berkenaan akan menjadi penamat kepada pandemik AIDS pada masa depan. Istilah terkenal untuk lelaki berkenaan ialah ‘pesakit Berlin.’

Kemajuan sains yang dicapai pada minggu lalu sejak HIV kali pertama ditemui 30 tahun yang lepas bermakna virus berkenaan tidak lagi menjadi penghukum kepada kematian. Berkat ujian pengesanan HIV yang lebih awal, ubat antiretroviral AIDS yang baru dapat mengawal virus selama beberapa dekad dan menghentikan penyebarannya dalam pelbagai cara di sebalik sejumlah 33.3 juta orang di seluruh dunia sedang menyesuaikan diri untuk hidup bersama HIV.

Orang seperti Vuyiseka Dubula, seorang aktivis AIDS, HIV positif yang juga seorang ibu di Cape Town, Afrika Selatan, boleh mengharapkan kehidupan yang kembali normal. ‘Saya tidak berfikir tentang kematian sama sekali,’ katanya. ‘Saya sedang menjalani rawatan dan menikmati kehidupan yang saya lalui’.

Walaupun demikian, pada ulang tahun HIV yang ke- 30, komuniti saintifik global sedang melengkapkan semangat baru untuk memusnahkan virus ini. Rangsangan ke arah itu separuhnya datang daripada sains manakala separuh lagi daripada wang. Mengubati pesakit HIV dengan program rawatan seumur hidup dengan ubat yang canggihsangat sukar untuk dijangkau.

Merawat pesakit HIV di negara-negara membangun saja menelan kos sekitar US$13 bilion setahun dan boleh meningkat tiga kali ganda dalam 20 tahun yang akan datang.

Pesakit Berlin adalah bukti kepada keupayaan saintis mencari rawatan untuk menyembuhkan pesakit AIDS. Kes ini memberi suntikan baru dalam bidang yang sebilangan orang berpendapat bahawa mengubat penyakit tersebut adalah sesuatu yang mustahil.

Timothy Ray Brown tinggal di Berlin dengan dua keadaan- pesakit HIV dan barah yang berulang. Dia kepenatan. Pada 2007, doktor yang merawatnya, Gero Huetter, membuat cadangan yang radikal- pemindahan tulang sum-sum daripada penderma yang mengalami mutasi genetik, dikenali sebagai CCR5 delta 32. Para saintis memang mengetahui sejak beberapa tahun lalu orang yang mendapat mutasi genetik ini dibuktikan kebal terhadap HIV.

Kebanyakan pakar mengatakan kaedah rawatan Brown itu tidak boleh dijadikan sebagai satu-satunya cara untuk mengubat semua pesakit. Prosedur itu mahal, rumit dan berisiko. Melakukan rawatan yang serupa ke atas orang lain perlukan penderma yang serasi di mana kebanyakan perderma tinggal di utara Eropah. Mereka ini mempunyai mutasi yang tahan terhadap virus.

Dr Robert Gallo dari Institut Virologi di Universiti Maryland, mengatakan dengan terus terang. ‘Ini tidak praktikal dan boleh membunuh orang.’

HIV pertama muncul pada tahun 1981 ketika para saintis di US Centers for Disease Control and Prevention mencari penyebab kepada Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS). Sebuah artikel menyiarkan tentang ‘lima orang muda, semuanya homoseksual yang aktif dari Los Angeles’ yang disifatkan sebagai kes yang pertama kali didokumentasikan.

Dalam tiga dekad seterusnya, penyakit berjenama ‘wabak gay’ telah menjadi salah satu pandemik paling ganas dalam sejarah manusia. Menular dalam air mani, darah dan air susu ibu, HIV telah memusnahkan banyak kawasan miskin khususnya sub-Sahara Afrika, di mana sebahagian besar pengidap HIV positif hidup. Data PBB menunjukkan bahawa walaupun pelbagai langkah pencegahan yang berpotensi - dari menyunatkan laki-laki hinggamemasukkan gel mikrobisida ke dalam faraj atau dubur, virus berkenaan terus merebak.

Kaedah yang dilalui 'pesakit Berlin' ini diharap dapat memberi ‘nyawa’ baru kepada pesakit HIV dan keluarga mereka supaya tidak menjadi beban kepada masyarakat dan negara.

Thursday, June 02, 2011

Mengurus konflik dalam kelompok





Pengertian Konflik
Mengikut Asmawati Desa (2002), konflik adalah satu situasi di mana dua atau lebih keperluan, matlamat atau tindakan yang tidak boleh seiring bertanding di antara satu dengan lain. Konflik juga boleh diertikan sebagai perbezaan pendapat. Daripada dua pengertian ini dapatlah kita melihat bahawa konflik merupakan satu situasi semula jadi kepada kumpulan komuniti dan juga perhubungan. Konflik selalunya ditekankan sebagai keharmonian kelompok.

Konflik dapat merangsang pendapat dan pandangan pemikiran baru yang boleh menjana penyelesaian kreatif dan memastikan kelompok bersedia dengan berbagai-bagai kehendak ahli kelompok tersebut. Justeru itu secara keseluruhan, kumpulan akan menjadi lebih bertanggungjawab. Potensi untuk konflik wujud apabila terdapat perhubungan di antara kelompok manusia yang melibatkan satu atau lebih daripada keadaan berikut:

a. Percanggahan matlamat atau kehendak
Jika seseorang ingin membeli rumah dan kereta secara serentak pada satu masa tetapi di luar kemampuannya pada ketika itu, maka akan menimbulkan rasa kecewa kerana hanya satu keinginan yang dapat dicapai pada ketika itu.

b. Perbezaan idea untuk melaksana kaedah mencapai matlamat
Sekumpulan guru sedang mencari kaedah untuk meningkatkan prestasi pelajar yang gagal menguasai bahasa Inggeris, ada guru berpendapat dilaksanakan kelas tambahan, manakala sebilangan kecil lagi berpendapat diadakan klinik untuk pelajar yang benar-benar lemah sahaja.

c. Tidak cukup kefahaman, perasaan dan nilai yang disembunyikan.
Seorang remaja perempuan yang berada di dalam keadaan serba salah, sama ada untuk menurut kehendak ibu bapanya yang tidak suka anak gadis keluar rumah atau keluar juga untuk bertemu teman lelakinya tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Sebab-sebab Berlakunya Konflik
Konflik berlaku disebabkan perkara-perkara berikut:

1. Kurang komunikasi di antara ahli kelompok akan mengakibatkan ahli kelompok gagal memahami idea dan perasaan di antara satu dengan lain. Justeru akan menimbulkan jurang di dalam proses interaksi mereka. Maka akan berlaku kecenderungan persepsi negatif yang menyebabkan provokasi yang memudaratkan kelompok.

2. Nilai konflik terhasil daripada perbezaan sikap, jangkaan dan kepercayaan di kalangan ahli-ahli kelompok. Ini akan mempengaruhi keputusan dan tindakan mereka.

3. Kurang keberkesanan kepimpinan di dalam membuat keputusan untuk mencapai sesuatu kata putus tentang siapa yang akan bertanggungjawab dalam menentukan keputusan dan bagaimana hendak melaksanakan sesuatu keputusan adalah merupakan punca konflik dalam apa jua keadaan.

4. Kegagalan dan kesukaran dalam memahami peranan masing-masing akan menyebabkan jangkaan berbeza di kalangan mereka. Oleh itu mereka melihat matlamat dan kepentingan mengikut pandangan peribadi masing-masing.

5. Produktiviti yang rendah pula menyebabkan konflik di dalam kelompok. Mereka akan menjadi cenderung untuk mengkritik di antara satu satu dengan lain.

6. Ketidakseimbangan berlaku akibat daripada perubahan diri dan persekitaran.

7. Konflik yang tidak dapat diselesaikan tentu akan melahirkan konflik-konflik sampingan lain yang boleh meninggalkan kesan dalam masa yang panjang di kalangan ahli kelompok.

Kaedah Menangani Konflik
1. Menghindari - Apabila ahli kelompok cuba mengelak konflik, mereka tidak bersedia untuk mempertahankan keinginan sendiri ataupun untuk membantu orang lain mendapat apa yang mereka mahu. Sebagai contoh, mereka tidak campur tangan dalam urusan kerja yang melibatkan orang lain di pejabat.

2. Berkompromi – menggunakan kaedah perundingan dan penawaran bagi memisahkan sebarang perbezaan. Kompromi memerlukan persetujuan ramai untuk mendapat keputusan “menang-menang”. Hikmah di sebalik berkompromi akan dapat menghasilkan kejayaan kecil daripada tanpa apa-apa hasil.

3. Undian – satu kaedah berhemah di dalam menangani konflik. Walau bagaimanapun undian dapat dilaksanakan seperti berikut:

a. ahli kelompok menukar pendirian asal mereka setelah diyakinkan.
b. ahli kelompok percaya dan memberi komitmen bagi meneruskan perhubungan.
c. ahli kelompok akan akur kepada keputusan majoriti.

4. Arbitrasi – adalah hasil daripada strategi tempur apabila dua pihak yang mempunyai kekuatan yang seimbang dan hak yang sama telah menemui jalan buntu. Ketika inilah peranan pihak ketiga diperlukan untuk memberi kata putus. Masalah akan timbul apabila pihak yang kalah menganggap keputusan yang dibuat itu tidak adil kerana tidak menyebelahinya. Rasa tidak puas hati ini akan berterusan menjadi dendam yang mungkin akan diungkit di kemudian hari.

5. Bekerjasama – usaha menghimpun ahli-ahli yang terlibat dalam konflik bagi mencapai penyelesaian yang dapat menyatupadukan semua ahli melalui persetujuan bersama.

Kesimpulan
Kadang kala seseorang individu di dalam kelompok harus berhadapan dengan lebih daripada dua pilihan dan besar kemungkinan pula setiap pilihan adalah separuh positif dan separuh negatif. Jadi mungkin boleh dikatakan bahawa kebanyakan konflik yang dialami oleh manusia adalah bersifat mendekati – mengelak berganda; konflik antara dua atau lebih matlamat yang mana setiap matlamat adalah separuh positif dan separuh negatif.


Rujukan
Asmawati Desa. (2002). Psikologi Untuk Golongan Profesional. Kuala Lumpur: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.


 

Wednesday, June 01, 2011

Belia Singapura alami perubahan






Satu kajian global mengenai belia Singapura mendapati 53 peratus daripada mereka yang berusia 16 hingga 22 tahun mengatakan lebih suka menyerahkan ‘deria bau’ daripada menyerahkan teknologi seperti komputer riba dan telefon bimbit.

Teknologi dipandang sebagai alat untuk generasi hari ini mengetahui perkembangan dunia semasa.

Kajian juga mendapati keadilan menjadi perangsang kedua paling penting kepada mereka. Penyelidikan tersebut menunjukkan belia Singapura semakin menolak kebendaan seperti lima ‘C’ iaitu ‘cash, credit card, car, condominium and country club’, dan mula beralih pada ‘C’ yang baru iaitu ‘commune, connection and community’.

Hasil dapatan ini merupakan sebahagian daripada kajian global ke atas belia yang berusia 16 hingga 30 tahun di 17 negara termasuk Singapura, Malaysia dan China. Tumpuan dilakukan ke atas 9,000 belia yang dilakukan secara kaji selidik dalam talian dan wawancara berkumpulan.

Penyelidikan yang dikenali sebagai ‘Kebenaran tentang Generasi Muda’ juga mendapati belia Singapura tidak lagi tertarik dengan konsep ‘menang semua benda’. Sebaliknya, mereka menekankan keperluan untuk melihat gambaran yang lebih besar dan lebih menumpu pada kebahagiaan dan kurang menekankan pada kejayaan atau kemenangan.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Global McCann Worldgroup melihat motivasi belia dan berusaha untuk mengungkap apa yang berbeza daripada generasi sebelumnya.

Eric Leong, Strategik Planner untuk Worldgroup McCann, berkata ‘ketika kita bercakap tentang belia Singapura, generasi hari ini telah memiliki pendidikan yang lebih selesa dan kerana itu, harapan, keinginan dan keperluan mereka berbeza daripada generasi sebelumnya.

‘Mereka jauh lebih santai ketika datang ke tempat kerja, mencari tempat di mana mereka dapat bersosial, di mana mereka boleh mempunyai sedikit keadaan yang menyenangkan serta dorongan cara bekerja yang berbeza.’