Monday, August 30, 2010

Perlu strategi radikal pembangunan

Orang sengaja melupakan betapa sejarah pembangunan ekonomi moden di Malaysia adalah tertumpu kepada bandar. Berbilion ringgit untuk membangunkan bandar. Hasilnya, menguatkan kedudukan bukan Bumiputera, khasnya kaum Cina sebagai penguasa bandar dan majlis perbandaran.

Keadaan ini membawa implikasi dan kesan politik yang amat berbahaya serta eksplosif. Di bawah pentadbiran parti politik 'pembangkang,' bandar diketuai dan dikuasai sepenuhnya oleh kaum Cina dengan segala kemajuan yang terbaik dan terkedepan.

Bandar memiliki semua kemudahan paling baik, termoden, termaju dan tertinggi. Penghuni bandar mendapat kedudukan terkuat dalam usaha bersaing terhadap semua masyarakat lain terutama Melayu dan Bumiputera yang masih kekal pada tahap petani kecil di luar bandar.

Sebahagian besar mereka masih lagi masyarakat tribal di pinggir hutan dan di hulu sungai. Mereka masih merupakan masyarakat yang paling miskin, tidak berpelajaran, tanpa kemahiran dan tanpa kemudahan. Kemudahan kesihatan mereka amat lemah. Kemudahan pendidikan amat jauh. Mereka masih minum dari sungai.

Di kampung Melayu dan Bumiputera hanya terdapat 'pusat bidan' atau pusat kesihatan kecil, sekolah rendah, jalan raya tanah tanpa diturap bitumen. Mereka masih terpencil dan terpinggir. Di Sabah dan Sarawak keadaan itu lebih parah sehingga penduduk di kawasan hulu sungai masih terbiar dan kurang terbangun.

Semua ini melibatkan lebih lima juta penduduk Bumiputera dan Melayu yang tertinggal oleh pembangunan. Hampir semua pembangunan telah menguatkan kedudukan kaum Cina di bandar.

Peta pilihan raya yang menunjukkan kawasan majoriti penduduk Cina memberi gambaran yang amat jelas tentang manfaat terhadap kaum Cina itu, dan betapa buruk dan parah kesan keadaan demografik itu terhadap Melayu dan Bumiputera.

Dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke- 12, masyarakat Melayu telah kembali radikal, dengan tumbuhnya ratusan persatuan, pertubuhan dan gerakan massa seperti di zaman 'Malayan Union' yang menuntut 'Malaya for the Malays'.

Pengradikalan Melayu ini adalah reaksi terhadap kesombongan dan kebiadaban golongan yang tidak segan silu menuduh Melayu dan Bumiputera sebagai 'pendatang' ataupun 'rasis'. Mereka lupa berterima kasih dan berjaya mencapai kehidupan mewah dan baik sebagai turunan daripada 'anak penjajahan' (children of colonialism) yang bebas meneroka nasib tanpa beban merempat yang ditinggalkan oleh datuk-nenek mereka.

Kini keturunan anak jajahan ini menuntut persamaan hak, sehingga tuli terhadap kepincangan ekonomi di sebelah kaum Bumiputera.

Berlandaskan perspektif dan keadaan di atas maka amat perlu dirancang perspektif baru yang radikal untuk memastikan pembangunan 'desa' dan kemajuan bangsa Melayu dan Bumiputera berlaku.

Mereka adalah pewaris yang sah negara ini dan dimartabatkan oleh undang-undang Perlembagaan Persekutuan. Maka menjadi kewajipan kerajaan dan tanggungjawab semua warganegara untuk membangunkan mereka. Adalah menjadi tanggungjawab utama bagi kerajaan memastikan bangsa Melayu dan Bumiputera menjadi maju dalam menghadapi cabaran serta persaingan dunia global.

Beberapa perspektif adalah disarankan bagi pembangunan:

i. Melaksanakan kembali gagasan 'penyusunan semula masyarakat' untuk mengelak berlakunya bahaya pergolakan politik, ekonomi dan sosial dengan terbahaginya kawasan atau wilayah kepada 'bandar' Cina dan wilayah 'luar bandar' Melayu dan Bumiputera.

ii. Membangun ekonomi industri kecil dan sederhana (IKS) untuk Melayu dan Bumiputera dengan lebih intensif terutama melalui pelbagai strategi pembelian modal dan kawasan yang menempatkan peniaga 'sederhana' Melayu dan Bumiputera.

iii. Membahagi tugas dan tanggungjawab setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya menumpukan tenaga, usaha, perancangan dan peruntukan kewangan dalam bidang masing-masing terhadap tanggungjawab pembangunan Bumiputera itu.

iv. Mengkhususkan tugas dan tanggungjawab pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya tidak bentindih. Disarankan Mara menumpukan dalam pendidikan dan pembangunan industri sederhana di bandar, UDA membangunan penempatan dan industri khidmat Melayu dan Bumiputera di bandar, Kementerian Pembangunan Luar Bandar memodenkan kampung dan penempatan Bumiputera selaras dengan bandar, PUNB menumpukan penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam bidang korporat, dan sebagainya.

v. Membangun usahawan Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai industri dengan menggembleng syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta agensi ekonomi lain-lain dengan mengambil semua lulusan dari UiTM, IKM, UniKL dan semua institusi pendidikan tinggi awam IPTA supaya memastikan lulusan Melayu/ dan Bumiputera ini disalurkan terus menerus ke dalam bidang keusahawanan dan ekonomi melalui program pembangunan keusahawanan yang terancang, berterusan dan sistematik.

vi. Mendidik dan menggembleng semua tenaga pentadbiran, ekonomi dan politik untuk membina golongan usahawan Melayu dan Bumiputera sebagai keutamaan dalam perancangan mendatang.

vii. Menyatupadukan seluruh Melayu dan Bumiputera Semenanjung, Sabah dan Sarawak ke dalam gerakan pembangunan ekonomi agar seluruh Bumiputera tidak ketinggalan dalam gerakan pembangunan melalui gerakan Agropolitan - Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang lebih luas dan intensif. Kementerian Pembangunan Luar Bandar diubah nama kepada Kementerian Pembangunan Desa sebagai fokus baru di 'desa'.

viii. Membangun luar bandar atau desa ke arah 'pemodenan' yang membekalkan segala kemudahan prasarana terbaik bukan asasi saja seperti jala raya dan komunikasi, bekalan tenaga, air minuman dan keselamatan jagaan polis, eminiti sosial dan kesihatan yang tinggi seperti klinik doktor dan perubatan melebihi daripada sekadar 'bidan' dan 'kesihatan kecil' serta pembangunan budaya yang maju seperti bekalan persekolahan tinggi, perpustakaan, ICT yang cekap.

ix. Memastikan pusat kemajuan atau kawasan 'bazaar' di desa-desa adalah didiami dan dihuni oleh bangsa Melayu dan Bumiputera dan memastikan JKKK adalah dikuasai oleh Bumiputera untuk menyalurkan pembangunan.

Hanya dasar yang radikal dapat mengurangkan gerakan radikal yang sedang tumbuh di kalangan bangsa Melayu kini. Jika Model Baru Ekonomi (MBE) terlampau memenuhi nafsu kebendaan orang bandar yang sibuk ingin mengeksploitasi Bumiputera maka ledakan kaum masa depan akan lebih hebat. Mereka akan bertukar menjadi 'golongan kanan' (right group) seperti di Eropah dan Amerika Syarikat sekarang, yang keras menentang komuniti Islam dan memburukkan Islam di sana. Hal yang sama mungkin berlaku terhadap orang 'asing'.

Prof. Datuk Dr. Zainal Kling ialah Ahli Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena). Kini beliau bertugas di Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

(Utusan Malaysia, 30 Ogos 2010)

Tuesday, August 24, 2010

8+1, polis Filipina gagal dalam operasi menyelamat

Kematian lapan orang pelancong Hong Kong dalam serangan ke atas sebuah bas di Manila menimbulkan kemarahan masyarakat Hong Kong. Di hadapan konsulat Filipina di negara itu, para penunjuk perasaan berkumpul sambil memegang bunga sebagai tanda simpati ke atas mangsa yang terkorban. Perampas bas itu, Rolando Mendoza turut ditembak mati.

Salah seorang tebusan yang terselamat, Mrs Leung sangat kecewa dengan tindakan polis Filipina yang menyebabkan suami dan dua anak perempuannya terbunuh.

‘Suami saya terbunuh dan anak lelaki tunggal saya berada di unit kecemasan. Saya fikir dengan terselamat dalam serangan ini saya boleh hidup bersama anak-anak. Tetapi mereka pula terbunuh. Kenapa kamu tidak membantu saya awal-awal? Saya tidak marah kepada kerajaan China tetapi marah kepada kerajaan Filipina. Saya langsung tidak dapat menerima apa yang mereka lakukan,’ katanya.

Pembunuhan lapan pelancong Hong Kong memberi tindak balas segera daripada masyarakat Hong Kong. Laporan bebas menyatakan seorang pekerja Filipina telah dipecat sebaik sahaja insiden berkenaan dilaporkan.

Dalam kejadian ini, penculik berkenaan, Mendoza wajar merancang gerakannya dengan bijak, bukannya mengikut emosi supaya tidak berlaku kematian. Sepatutnya dia mencontohi sebuah filem berkenaan tebusan ini dengan melaporkan bilangan tebusan yang lebih ramai dalam bas. Sebarang alat komunikasi perlu dimanipulasi supaya pihak polis keliru dan tidak mengambil tindakan menyerang. Bom asap dan senapang M-16 hanya digunakan untuk menakutkan polis. Bas berkenaan juga mesti sentiasa bergerak dan menuju ke kawasan belakang bangunan supaya dia berpeluang menyelamatkan diri melalui celah-celah pintu.

Di pihak polis, kematian lapan orang tebusan adalah kegagalan dalam operasi menyelamat. Cara terbaik ialah terus berunding sehingga penculik keletihan dan menyelamatkan semua tebusan dalam keadaan hidup. Tindakan ini menyelamatkan reputasi pihak polis sendiri di samping menjaga hubungan dengan negara luar.

Sunday, August 22, 2010

Penyakit gila




Jika kita taip perkataan ‘orang gila’ di YouTube, salah satu klip yang akan muncul ialah ‘Samy Vellu-orang gila’ yang mendapat hits hampir 94,000 pengunjung. Antara skrip dalam klip tersebut berbunyi begini.

‘Ini semua kerja orang gila punya la. Itulah saya punya komen. Orang gila. Sekarang banyak orang sudah gila. Dia layak untuk masuk hospital di Tanjung Rambutan atau hospital di Tampoi.’

Hari ini memang ramai orang gila. Dianggarkan seramai tiga juta penduduk Malaysia adalah orang gila. Beberapa hari lepas kita baca kisah seorang bapa yang menghadapi masalah mental telah mencederakan anak perempuannya dan membunuh isteri. Bagaimanapun akhir hayatnya di hujung pistol polis.

Dalam istilah moden, penyakit gila digelar penyakit mental. Ia melibatkan gangguan pada saraf di bahagian otak yang menjejaskan fungsi dan peranan otak. Pesakit menunjukkan perubahan dalam proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang merencatkan aktiviti harian mereka.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan penyakit mental adalah antara lima penyakit utama yang menyebabkan kehilangan upaya di seluruh dunia. Dijangkakan pada tahun 2020 ia menjadi penyakit kedua tertinggi di dunia. Kajian yang dilakukan ke atas golongan dewasa di Malaysia pada tahun 1996 mencatatkan 11.1 peratus dikesan mengalami penyakit mental. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mendapati kes gangguan mental meningkat hampir enam peratus sejak 10 tahun lalu. Statistik tahun 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. Pada tahun 2007, jumlah pesakit adalah 346,196 orang.

Orang awam mengelompokkan penyakit mental dalam satu jenis iaitu penyakit gila, tetapi dalam perubatan, pesakit mental dipecahkan kepada tiga kumpulan.

1. Neurosis
Mereka yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan mereka. Individu yang mengalami penyakit neurosis selalunya sedar akan keadaan kesihatan mereka. Fungsi harian mungkin terganggu sedikit. Antara contoh penyakit neurosis adalah seperti berikut:
-Kemurungan: kemurungan adalah perasaan sedih yang melampau dan berpanjangan. Sedih adalah perasaan yang sering dialami. Akan tetapi jika perasaan sedih itu terlalu berat untuk
ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh dua minggu serta mengganggu fungsi kehidupan seharian maka ia bukanlah sedih lazim tetapi penyakit kemurungan.
-Kebimbangan: penyakit ini digejalai oleh perasaan bimbang, resah dan gelisah. Seseorang itu akan berasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar-debar dan berasa takut melampau akan bahaya yang mereka tidak diketahui puncanya.

2. Psikosis
Mereka yang mengalami penyakit psikosis mengalami perubahan yang amat ketara di dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka. Kewarasan mereka juga terjejas. Penderita akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengan mereka. Ia dikenali sebagai halusinasi. Mereka juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau dari pesakit berkenaan. Ia dipanggil delusi. Antara contoh delusi ialah - ada orang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepada mereka menyebabkan mereka bertindak menyerang orang yang disyakinya secara membahayakan. Mereka mungkin bercakap dengan merapu / mengarut; berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah dengan tiada bersebab. Contoh psikosis yang sering dialami adalah:
-Schizophrenia: antara ciri utama ialah: halusinasi; delusi; kecelaruan pemikiran, kecelaruan pertuturan dan tingkah laku, restasi kerja mereka juga merosot dengan ketara.
-Kecelaruan manik-depresif (dwikutub): penyakit ini mengakibatkan mereka mengalami perubahan ketara dari segi emosi, mereka sering hilang kawalan dan menjadi terlalu gembira (fasa manik) atau terlalu sedih (fasa kemurungan).

3. Kecelaruan Personaliti
Secara asasnya kecelaruan ini membuat seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.

Penyakit gila ini memberi implikasi besar kepada kehidupan berkeluarga. Jika bapa atau suami menjadi gila, seluruh perjalanan hidup keluarga akan berhadapan dengan masalah, dipulau masyarakat atau mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan jiran tetangga. Jika ibu atau isteri yang menjadi gila, anak-anak mudah terabai dan barang kali suami akan berkahwin lagi. Jika anak yang menjadi gila, lebih selamat dihantar ke hospital supaya dia mendapat rawatan yang terbaik.

Kisah anak-anak yang menjadi gila sangat banyak dalam masyarakat. Pada tahun lepas, seorang anak muda berumur 32 tahun telah keluar dari rumah selama sebulan. Ini kali kedua dia lari dari rumah. Pemuda ini mula menunjukkan ciri-ciri gila semasa belajar di universiti luar negara. Keadaan gilanya masih dapat dikawal kerana mengambil ubat pada masa yang disyorkan oleh doktor. Namun, tindakan lari dari rumah menyebabkan ibu dan bapanya susah hati dan terpaksa membuat laporan polis dan meminta rakan-rakan untuk menjejak kedudukannya. Antara langkah yang diambil ialah mengunjungi tempat-tempat kebiasaan anak muda ini makan dan minum, rakan-rakan yang dihubungi dan masjid yang kerap dikunjungi. Nasibnya baik kerana pasukan mencari menemuinya sedang berehat di salah sebuah masjid di Gombak.

Apa yang menyebabkan berlakunya penyakit mental? Penyebabnya tidak diketahui dengan tepat. Kajian masih dijalankan untuk memperincikan punca sebenar penyakit ini. Namun terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya penyakit mental.

1. Faktor genetik/ keturunan
Ahli di dalam keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental berisiko lebih tinggi berbanding populasi yang tiada sejarah penyakit berkenaan.

2. Gangguan bahan kimia dalam otak
Apabila bahan kimia dalam otak yang dikenali sebagai neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik, gejala penyakit mental akan muncul. Sebagai contohnya, schizophrenia: penghasilan dopamin secara berlebihan; kemurungan: paras serotonin terlalu rendah; mania: paras serotonin meningkat secara melampau; dan kebimbangan: terdapat gangguan di dalam pengeluaran dan fungsi noradrenalin.

3. Jangkitan virus
Mengikut kajian ada penyakit akibat jangkitan virus telah dikaitkan dengan kemunculan penyakit mental.

4. Sejarah hidup yang getir
Contoh: mengalami proses kelahiran yang sukar, kehilangan ibu bapa semasa kecil, terlalu banyak mengalami cabaran hidup yang sukar.

5. Keadaan sosioekonomi yang rendah
Faktor kemiskinan, tiada kemudahan asas atau keganasan di dalam masyarakat boleh meningkatkan masalah penyakit mental.

Selain penyakit mental atau penyakit gila yang sering merujuk kepada kesihatan, masyarakat juga sebenarnya sedang berhadapan dengan pelbagai jenis gila yang lain seperti gila harta, gila wanita, gila talak, gila judi dan gila babi.


Rujukan
www.infosihat.gov.my/penyakit/Mental/PenyakitMental.pdf

webcache.googleusercontent.com/search? g=cache:g8J_eVZfVjoJ:www.psychiatry.org.my/article.php%3Faid%3D1246+pesakit+mental+malaysia&cd=10&hl=en&ct=clnk&gl=my

Saturday, August 21, 2010

Marah

Marah adalah salah satu daripada khayalan yang merosakkan perlakuan dan sering mengganggu pemikiran kita setiap hari. Dikatakan satu daripada lima rakyat Amerika Syarikat menghadapi masalah menguruskan kemarahan mereka. Menyelesaikan sifat marah memerlukan penelitian dan pengurusan yang lebih bijak kerana kesilapan menguruskan kemarahan boleh memberi masalah lain kepada kesejahteraan hidup.

Marah adalah sifat semula jadi setiap orang. Justeru, mengakui kewujudan marah dan kesannya ke atas diri dan orang lain adalah langkah penerimaan kendiri yang paling mudah. Selepas itu barulah kita boleh memahami kepentingan bersabar ketika berhadapan dengan kesukaran dan kepayahan.

Apakah marah?

Marah adalah alihan fikiran yang memberi tumpuan kepada benda bernyawa atau tidak bernyawa ataupun dalam lain perkataan melibatkan benda yang hidup atau mati. Ia dirasakan tidak menarik, kelihatan berlebih-lebihan dan jauh daripada piawaian yang dikehendaki. Contohnya, seorang bos mengharapkan pekerjanya hadir ke kursus bengkel aplikasi laman web organisasi tetapi pekerja gagal menyediakan laman web tersebut mengikut cita rasanya, lalu menelefon dan mula meninggikan suara dalam perbualan mereka. Fokus perbualan adalah kepada aspek yang kurang berkualiti sedangkan hal-hal yang bersangkut dengan usaha mencari bahan dan kesungguhan pekerja untuk menyiapkan tugasan langsung tidak diberi pertimbangan dan perhatian sehingga membina imej mental yang menyalahkan pekerja. Kemudiannya bos ini mencari jalan untuk menyalahkan pekerja dalam pelbagai cara mungkin mengkritik atau merendah-rendahkannya.

Contoh lain ialah bos yang selalu berjanji untuk datang ke satu majlis tetapi tidak hadir kerana melencong ke tempat boleh menimbulkan kemarahan pekerjanya kerana kerap memberi alasan yang tidak munasabah.

Punca-punca kemarahan yang lain ialah melemparkan perkataan kesat, keganasan di jalan raya, keganasan tempat kerja, penceraian dan ketagihan merupakan beberapa contoh kesan daripada pengurusan marah yang lemah.

Oleh sebab punca-punca kecil yang dibesar-besarkan, marah dikatakan sebagai pemikiran yang tidak realistik- iaitu fokus kepada fakta yang tidak wujud. Lebih jauh lagi, marah adalah kerosakan minda yang melampau yang tidak memberi sebarang faedah. Memahami bentuk dan sifat marah, kita dapat menghargai minda pada setiap masa sebaik sahaja perasaan marah mula melingkari hati dan fikiran.

Marah merupakan emosi yang boleh bertukar daripada gangguan fikiran yang ringan kepada tindakan kekerasan yang meluap-luap. Fikiran dan perlakuan bersatu untuk menyerlahkan keinginan yang membuak-buak. Apabila seseorang menjadi marah, kadar denyutan jantung dan tekanan darah akan naik, badan mula menunjukkan perubahan seperti berpeluh dan kadang kala menggigil. Perlakuan marah mula muncul seperti memekik, melemparkan barang, kritik, tidak peduli, menyerang dan ada yang menunjukkan tanda-tanda berdiam diri dan merajuk.
Marah kerap kali menonjolkan sifat ganas jika tidak dikawal. Ada juga yang menggunakan alasan marah untuk melepaskan diri daripada dikatakan sebagai mendera kepada orang lain.

Kenapa marah?

Marah dikaitkan dengan kecewa. Marah juga dikaitkan dengan emosi negatif. Kita rasa kecil hati, takut, kecewa, bimbang, dimalukan atau dihalang daripada melakukan sesuatu yang semuanya ini boleh memberi laluan kepada marah. Tidak faham dan komunikasi yang lemah turut menimbulkan kemarahan.

Bila marah menjadi masalah?

Marah mula menjadi masalah apabila ia mencetuskan gangguan kepada orang lain, masalah di tempat kerja, kesan kepada kesihatan, kehidupan seharian ataupun melanggar undang-undang. Marah juga menimbulkan masalah apabila orang di sekeliling mulai takut, kecewa atau perasaan gugup kerana tidak dapat bersuara atau tidak bersetuju. Beberapa tanda yang menunjukkan marah mula menjadi masalah adalah seperti berikut.

-melibatkan salah guna perkataan, emosi, fizikal dan psikologikal.
-rasa marah sepanjang masa.
-rakan karib risau setiap kali kita marah.
-marah menjadi punca kepada keretakan hubungan peribadi dan di tempat kerja.
-kita rasa perlu marah untuk dapatkan apa yang kita mahu.
-rasa marah berlarutan untuk tempoh yang panjang.
-cemas setiap kali marah
-mengambil minuman keras atau cenderung cederakan orang lain untuk menguruskan marah.
-cenderung rasa marah dengan orang yang rapat atau pekerja bawahan yang tidak berkuasa berbanding menguruskan punca sebenar kepada masalah.

Friday, August 20, 2010

Bina ekonomi Melayu berteraskan akidah

UMNO dan MCA kembali bertegang leher. Masing-masing mahukan kaum sendiri lebih menonjol, terkehadapan dan dipandang lebih hebat. Resolusi dan bantahan sesama sendiri dinilai orang ramai sebagai isu peribadi dan diangkat oleh media sebagai isu nasional. MCA hendakkan penguasaan yang lebih banyak dalam kek ekonomi negara kerana penguasaan 70 peratus ketika ini dilihat tidak adil. UMNO pula tidak setuju kerana penguasaan orang Melayu tidak sampai 30 peratus. Manakala PAS berdiam diri. Dalam politik, kuasa MCA telah banyak hilang dan hanya menumpang ihsan UMNO untuk diberi jawatan.

Malaysia diasaskan kepada persefahaman masyarakat berbilang kaum melalui kontrak sosial. Orang Melayu hendakkan empat perkara iaitu agama Islam, bahasa Melayu, hak-hak istimewa dan kedaulatan raja-raja sebagai syarat menerima bukan Melayu sebagai warganegara. Persefahaman ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil dan dapat memberi perhatian kepada arah tuju yang jelas untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.

Tidak semua kaum akan mendapat apa yang mereka inginkan dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Masing-masing hanya dapat hak mereka sekadar untuk mengekalkan keamanan dan hidup dalam suasana harmoni. Jika satu kaum membuat tuntutan berlebihan, akan ada yang membantah. Begitu juga dalam ekonomi.

Penguasaan masyarakat Cina dalam ekonomi Malaysia dikatakan sukar hendak dipecahkan. Mungkin kaum ini telah mewujudkan blok perniagaan yang semakin kukuh dan sukar digugat. Daripada bisnes kecil-kecilan hinggalah ke peringkat antarabangsa, jaringan bisnes dan komuniti sosial mereka sangat kuat di samping peranan dewan perniagaan Cina yang aktif memberi sokongan dan menjaga kepentingan perniagaan sendiri.

Bagaimana orang Melayu boleh memecahkan dominasi ekonomi dan bisnes orang Cina di Malaysia?

Jika kita menggunakan pendekatan Barat dan sekularisme, ia tidak membawa banyak perubahan. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru selama 20 tahun tidak banyak melonjakkan golongan Melayu untuk menceburi bidang perniagaan. Selepas 20 tahun DEB berakhir, pemimpin-pemin Melayu masih mengeluh kerana pencapaian 30 peratus tidak pernah dicapai walaupun banyak usaha telah dibuat.

Pendekatan sedia ada perlu ditukar. Kaedah baru yang cenderung kepada model bisnes Rasulullah saw mesti menjadi pilihan kerana Islam tidak hanya membawa kecemerlangan dalam ibadah malah dalam ekonomi juga.

Bagaimana Rasulullah saw dan umat Islam memecah monopoli ekonomi Yahudi?

Akal lebih penting daripada beremosi. Kumpulan lebih baik daripada seorang diri. Kesatuan akidah lebih baik daripada sejuta teori. Rasulullah saw menggabungkan kepintaran akal, kemahiran berniaga dan perpaduan umat untuk melumpuhkan monopoli Yahudi dalam bisnes. Baginda saw menjadikan akidah sebagai teras dalam setiap aktiviti yang melibatkan ekonomi. Beliau membangunkan sosioekonomi umat Islam dan membebaskan mereka daripada cengkaman penindasan berat sebelah Yahudi. Contohnya ialah tindakan Rasulullah saw menangani penguasaan ekonomi di Madinah yang ketika itu dikuasai Yahudi. Peringkat awal ketika hijrah ialah menguasai telaga air yang menjadi sumber pendapatan Yahudi untuk menekan ekonomi umat. Baginda saw mencadangkan para sahabat menyewa sebuah telaga air Yahudi dengan bersyaratkan orang Islam hanya boleh menjual air telaga itu selama dua hari dalam seminggu. Melalui perpaduan akidah, umat Islam bersatu membeli air sebanyak-banyaknya dalam dua hari berkenaan untuk disimpan selama seminggu. Lama-kelamaan monopoli Yahudi musnah.

Nabi Muhammad saw menggalakkan umat Islam mengeluarkan produk mereka sendiri khususnya barangan harian. Ada yang bertindak sebagai pengeluar, pengedar dan peniaga. Dengan cara ini, wang mengalir dalam kalangan umat Islam dan memberi kekuatan ekonomi kepada mereka. Tokoh-tokoh usahawan Islam seperti Abdul Rahman bin Auf mula memasuki premis perniagaan Yahudi dan membuka perniagaan sendiri. Kaedah ekonomi Islam seperti al-khiyar, al-mudharabah, al-murabahah, al-qard al-hasan dan bebas riba diperkenalkan dan menjadi pilihan peniaga dan pengguna. Lama-kelamaan persaingan yang diberikan oleh model ekonomi Islam memecahkan monopoli Yahudi di Madinah dan mengangkat martabat umat dalam ekonomi.

Berada dalam ekonomi konvensional dan memperkenalkan sistem kewangan Islam merupakan satu langkah tepat untuk memecahkan monopoli ekonomi orang Cina seterusnya memberi pilihan kepada pengguna. Justeru, bagaimana kita hendak menyuburkan sistem kewangan Islam dalam kalangan masyarakat Islam supaya mereka meyakini bahawa kewangan Islam memberi keadilan dan kesaksamaan kepada peniaga dan pembeli?

Menyuburkan kewangan Islam mesti bermula dari peringkat asas masyarakat iaitu keluarga yang digerakkan melalui pendidikan. Kanak-kanak Islam mesti didedahkan dengan sistem kewangan Islam sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke alam persekolahan. Dedahkan mereka dengan konsep-konsep ekonomi Islam khususnya berkaitan nilai-nilai yang mengutamakan halal, suci, bebas riba dan penindasan. Biar pun pendidikan mengambil masa yang panjang, ia merupakan pintu masuk paling ampuh untuk mengubah pemikiran dan tingkah laku masyarakat Islam. Pakar-pakar kewangan Islam dan pendidikan di Malaysia harus duduk semeja untuk membincangkan silibus paling sesuai bermula dari tadika hinggalah institusi pengajian tinggi.

Pelaksanaan sistem kewangan Islam dalam transaksi harian di Malaysia masih merupakan pilihan yang dilihat tidak begitu gah sedangkan ia telah terbukti memberi kejayaan pada zaman Rasulullah saw dan khalifah Islam yang lain. Apabila akidah menjadi tulang belakang kepada ekonomi umat Islam, mereka mampu mengusai lebih daripada 70 peratus malah mungkin 100 peratus ekonomi Malaysia.

Wednesday, August 18, 2010

Beza tukang jahit Melayu dan tukang jahit Cina








Walaupun berumur tetap masih berniaga

Selepas memberi kuliah kepada pelajar-pelajar, saya beredar mencari kedai jahit untuk menjahit lipatan kaki pada seluar panjang yang sudah hampir dua minggu terburai.

Salah satu penyambung pada benangnya telah putus. Kalau dipakai, nampak sangat sebelah panjang dan sebelah lagi pendek.

Deretan kedai menjual pelbagai jenis barang memberi petunjuk mungkin terdapat satu atau dua buah kedai jahit Melayu kerana semua kedai berkenaan dikhaskan untuk peniaga Melayu. Memang benar, terdapat sebuah kedai jahit Melayu. Saya hampiri kedai berkenaan dan bertanya kepada salah seorang tukang jahit wanita yang sedang tekun menjahit sehelai baju kurung. Saya bertanya adakah dia boleh menjahit lipatan kaki pada seluar panjang yang saya bawa sambil menunjukkan lipatan berkenaan. Tiba-tiba dari arah belakang saya muncul seorang wanita, tuan punya kedai agaknya yang memberi tahu mereka tidak dapat melakukannya.

‘Nak jahit seluar ke?’

‘Ya’ jawab saya ringkas.

‘Ooo.. kami tak dapat buat sekarang. Kalau nak kena tunggu selepas raya,’ balas wanita ini.

Saya tidak puas hati dengan jawapan yang diberi lalu menyoal untuk mendapat kepastian.

‘Kenapa lama sangat, ni sikit saja kalau nak jahit?’

Mungkin emosi agaknya, wanita ini membalas, ‘Kami tengah jahit pakaian tempahan sekarang, tak ada masa nak jahit seluar cik.’

Saya mengucapkan terima kasih dan bertanya di mana lagi ada kedai jahit Melayu.

Setelah mendapat maklumat, saya pun pergi ke arah kedai jahit yang dimaksudkan: Kedai Jahit Azam, Jalan Hang Tuah. Jawapan yang sama saya terima iaitu mereka tidak dapat melakukannya sekarang. Saya bertanya kenapa dan mereka menjawab dengan ringkas- ‘dah ada banyak tempahan.’

Saya maklumkan kepada seorang tukang jahit wanita di situ untuk menjahit lipatan kaki seluar ambil masa tidak sampai 10 minit.

‘Tak boleh ke?’

Dia geleng kepala dan saya faham maksudnya.

Saya bertanya kepada seorang lelaki (mungkin pembantu kedai) di mana lagi saya boleh cari kedai jahit di sekitar kawasan itu.

‘Abang ikut jalan ni... di belakang kedai tu ada kedai jahit.’

‘Melayu ke Cina?’ soal saya untuk dapat kepastian.

‘Cina,’ katanya.

‘Ok, nanti saya cari,’ balas saya sambil beredar pergi.

Kedai jahit Cina ini terletak di hadapan kedai kopi Cina. Semasa saya sampai, terdapat seorang pelanggan sedang menunggu bajunya dijahit oleh tukang jahit lelaki Cina yang sudah agak tua. Saya bertanya kepadanya sama ada dia boleh menjahit lipatan kaki seluar panjang yang saya bawa. Tiba-tiba dia bangun dan memegang bahagian seluar yang hendak dijahit itu sambil membelek lipatan kaki seluar.

Selepas mendapat kepastian, dia kembali ke mesin jahit dan terus menekan pedal jahit. Dalam masa lima minit, jahitan pada lipatan kaki seluar panjang saya kembali sempurna.

Pelanggan yang awal tadi saya nampak tersenyum dan relaks walaupun bajunya belum siap dijahit.

‘Berapa ringgit apek?’

Tukang jahit Cina ini tidak menjawab tetapi menunjukkan isyarat lima dengan jarinya. Fahamlah saya. Selepas membayar upah, dia terus menyambar pakaian pelanggan tadi dan mula menjahitnya.

Kisah ringkas ini memberi gambaran yang jelas tentang perbezaan cara fikir, sikap dan kecenderungan bangsa Melayu dan Cina terhadap perniagaan. Tukang jahit Melayu enggan menjahit kerana menganggap kerja tidak sampai 10 minit tidak memberi faedah besar kepada keuntungan bisnes mereka.

Bagi tukang jahit Cina, biar pun lima ringgit, ia adalah wang. Sikap tukang jahit Melayu mengutamakan tempahan pakaian tentulah merugikan kerana pelanggan yang ‘walk-in’ ke kedai mereka kadangkala tidak perlukan masa yang lama untuk menjahit seluar atau baju mereka.

Dalam buku Steeping Out: The Making of Chinese Entrepreneurs, Chan Kwok Bun dan Claire Chiang See Ngoh menyatakan empat faktor kekuatan psikologi menjadikan orang Cina lebih berjaya dalam bisnes. Empat faktor tersebut ialah:

1. motivasi dan kehendak untuk berjaya
2. sanggup mengambil risiko
3. kesungguhan untuk bekerja keras
4. disiplin yang tinggi


Jika kisah tukang jahit Melayu dan Cina ini dijadikan kajian kes dan dipadankan dengan empat faktor ini, nyatalah tukang jahit Melayu tidak mahu mengambil risiko dan kurang bersungguh-sungguh hendak mencari wang. Mereka mungkin ada motivasi tinggi untuk berjaya dan memiliki disiplin diri tetapi ia belum cukup untuk mendapatkan keyakinan daripada pelanggan. Kerana itulah berurusan dengan tukang jahit Cina kerap kali menjadi pilihan.

Sebaik-baiknya tukang jahit Melayu tidak melepaskan peluang apabila pelanggan berada di hadapan mereka.



Wednesday, August 11, 2010

Pembanci hadapi masalah sikap masyarakat Cina

Masalah sikap orang ramai, khususnya masyarakat Cina merupakan cabaran utama pembanci melakukan tugas pembancian sepanjang gerakan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 setakat ini, kata Pesuruhjaya Banci dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof. Beliau berkata terdapat antara mereka mengatakan mereka tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris.

"Rungutan kebiasaannya datang dari masyarakat Cina yang mengatakan mereka hanya tahu berbahasa Mandarin.

"Itu tidak harusnya terjadi kerana kita sebagai rakyat Malaysia, sebagai penduduk Malaysia sejak Merdeka hampir 53 tahun, sudah pasti tahu untuk menggunakan salah satu bahasa itu," katanya.

Borang soal selidik yang mengandungi 51 soalan dengan empat bahagian dibuat dalam dua bahasa Melayu dan Inggeris.

Banci 2010 dijalankan dalam tiga fasa dan kini ia berada terakhir yang sedang berlangsung bermula pada 7 Ogos berakhir 22 Ogos ini.

Fasa I dan II telahpun dijalankan, masing-masing dari 6 Julai hingga 22 Julai dan 23 Julai hingga 6 Ogos lalu. Wan Ramlah berkata bahawa dalam Fasa I Banci 2010, 70 peratus daripada mereka yang tidak memberikan respon adalah masyarakat Cina.

"Kita bukan mahu bersikap perkauman dalam mendedahkan masalah ini. Perdana Menteri sendiri menyatakan Konsep 1Malaysia adalah untuk kebaikan semua kaum.

"Kalau kita mahu laksanakan konsep ini untuk semua, ia mesti ikut statistik berdasarkan kaum dan kumpulan etnik," katanya.

Wan Ramlah berkata Jabatan Perangkaan terpaksa mendapatkan kerjasama media berbahasa Cina, petugas jabatan berbangsa Cina dan persatuan-persatuan mewakili masyarakat itu bagi memberi respon kepada pembanci.

"Malah, seperti apa yang berlaku di Johor, hampir setiap hari muka Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri Johor, Tiew Chin Tong, terpampang di surat khabar Cina bagi memberi penerangan tentang pentingnya pembancian ini," katanya.

Wan Ramlah berkata masyarakat Cina tidak boleh mengatakan mereka tidak memahami soalan yang disediakan kerana kebanyakan mereka tinggal di bandar dan mendapat akses kemudahan pendidikan.

"Kita faham sekiranya ia melibatkan masyarakat seperti Iban, Kadazan, Murut yang berada di Sabah dan Sarawak yang kurang mendapat akses pendidikan," katanya.

Wan Ramlah berkata, jabatan telah menyediakan pembanci daripada kalangan masyarakat setempat bagi membantu penduduk di Sabah dan Sarawak mengisi borang soal selidik, dengan menggunakan bahasa mereka sendiri.

"Kita bimbang komuniti di daerah tertentu seperti ini, bukan saja Cina, tidak akan diambil kira) jika mereka tidak respon, dan akibatnya, pembangunan di tempat tertentu tidak dapat dilaksanakan dengan tepat kerana masalah penduduk yang tidak dapat dikira ini.

"Ini juga melibatkan negeri lain. Kalau negeri itu tidak mahu respon, mereka akan rugi," katanya.

Masalah sikap ini juga telah dialami sendiri oleh Wan Ramlah apabila ketika membuat tinjauan, beberapa anjing dilepaskan bagi menghalang pembanci mendekati rumah.

Beliau berkata jabatan boleh mengambil tindakan terhadap orang ramai yang enggan memberi kerjasama berdasarkan Akta Banci 1960.

"Mengikut undang-undang, orang ramai dikehendaki beri kerjasama. Ramai penduduk yang tidak tahu tentang tindakan yang boleh diambil ini. Jika kami ingin ambil tindakan, sememangnya boleh," katanya.

Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan, sejumlah 28.3 juta penduduk dan 7.5 juta tempat kediaman di Malaysia akan dibanci.

Setiap fasa akan membanci 2.5 juta tempat kediaman dan setakat Fasa I, 2.4 juta tempat kediaman telah dibanci, kata Wan Ramlah.

Kos Banci 2010 adalah sebanyak RM200.2 juta dengan kira-kira 26,000 pembanci dan 3,000 penyelia pembanci sedang berada di seluruh negara untuk melakukan pembancian ini.

(BERNAMA,11/8/2010)

Monday, August 09, 2010

Membina pemikiran pendidikan kita

Mutakhir ini, terdapat perbincangan hangat tentang beberapa isu pendidikan seperti penarafan dan autonomi universiti, transformasi politeknik, pengukuhan kolej komuniti, memperkasa latihan teknik dan vokasional, meningkatkan kokurikulum dan kemahiran insan, pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), keizinan guru siswazah berpolitik serta cadangan mengizinkan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berpolitik.

Sebahagian daripada isu tersebut telahpun menjadi dasar yang sedang dilaksanakan. Manakala sebahagian lagi masih rancak dibicarakan. Dalam konteks ini, kita memerlukan perbincangan dan perundingan yang kemas struktur dan prosesnya serta bernas kandungan dan penghujahannya.

Dari segi struktur, ia perlu melibatkan perwakilan daripada semua pihak yang berkepentingan. Dalam pendidikan, pihak-pihak yang berkepentingan adalah kementerian, pengurusan institusi pendidikan, pensyarah/guru, alumni, ibu bapa dan pelajar. Pihak yang jarang diundang adalah pelajar. Kesilapan ini perlu dibetulkan.

Namun, undangan terhadap pelajar perlu ditujukan kepada perwakilan yang dipilih secara demokratik oleh pelajar, bukannya ditunjuk oleh orang lain. Prinsip yang sama juga perlu digunakan untuk mengundang perwakilan pihak lain.

Dalam setiap organisasi pula, perlu dipastikan bahawa semua anggota pasukan dilibatkan. Jangan pula ada yang dipinggirkan. Dari segi prosesnya, ia boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk, seperti jawatankuasa Parlimen, mesyuarat, seminar dan makmal. Tetapi, pastikanlah setiap pihak diundang sejak pertemuan pertama. Janganlah disengajakan supaya ada yang tidak diundang di pertemuan pertama.

Proses jangan rigid. Mereka yang terlibat dalam perbincangan dan perundingan janganlah dihalang daripada berbicara di luar, misalnya membuat kenyataan media dan berceramah. Manakala mereka yang tidak terlibat dalam struktur tersebut sewajarnya dialu-alukan untuk bersuara melalui pelbagai media.

Dari segi kandungan dan penghujahannya, kita perlu meningkatkannya sehingga terbina pemikiran pendidikan buatan sendiri, dan supaya tidak terhad kepada perbincangan bersifat pengurusan dan pentadbiran semata-mata.

Saya bukan pengagum Amerika Syarikat (AS). Saya menentang hegemoninya. Tetapi, dalam hal ini, tidak salah jika kita melihat betapa subur pemikirannya, yang menyebabkan ia menjadi kuasa nombor satu dunia. Apabila AS memerlukan reformasi pendidikan, terutamanya untuk memperbaiki mutu sains dan matematik pada dekad 60-an, lahir karya besar, antaranya, buku oleh Jerome Bruner (1960), The Process of Education.

Pada dekad 80-an, apabila syarikat-syarikat besarnya terancam oleh barangan Jepun, sebuah suruhanjaya kebangsaan tentang sekolah-sekolah AS mengeluarkan sebuah laporan bertajuk A Nation at Risk. Pada 1987, satu inisiatif reformasi pendidikan digerakkan pula melalui Carnegie Forum dan National Center on Education and the Economy, lalu menghasilkan buku Ray Marshall dan Marc Tucker (1992), Thinking for a Living.

Pada 2005, Thomas H. Davenport menghasilkan buku dengan judul yang sama, tetapi dengan fokus kontemporari, iaitu k-pekerja. Apabila objektif modal insannya tergugat, maka lahir kritikan oleh intelektualnya, misalnya, Allan Bloom (1987), The Closing of the American Mind, Noam Chomsky dan Donald Macedo, (2000), Chomsky on MisEducation dan Anthony T. Kronman (2007), Education's End. Apabila berhadapan dengan cabaran baru dunia pekerjaan, Robert B. Reich (1991), menghasilkan buku The Work of Nations yang mengupas kategori baru pekerjaan, menambah ilmu dan kemahiran, dan menentukan setiap rakyat punya tempat dalam ekonomi global. Apabila dunia pekerjaannya digugat pekerja negara lain seperti dari China dan India, maka bekas Presiden Universiti Harvard, Derek Bok (2006) menulis Our Underachieving Colleges, tentang sejauhmanakah mahasiswanya belajar dan mengapa mereka perlu lebih banyak belajar.

Apabila melakukan reformasi kurikulum Universiti Harvard, seperti yang dicuba oleh pengganti Bok iaitu Lawrence Summers, berlaku debat terbuka yang turut melibatkan mahasiswa melalui akhbarnya Crimson. Manakala Profesor Harry Lewis (2006) menulis buku Excellence Without Soul mengkritik ketuanya.

Kita bukanlah tidak ada langsung laporan dan penulisan yang penting. Ada. Tetapi jumlahnya kecil dan dibincangkan dalam ruang yang juga kecil. Sesungguhnya kita amat memerlukan dengan kadar segera pemikiran pendidikan kita sendiri, bagi memandu perbincangan dan perundingan tentang isu-isu pendidikan kita.

Sekadar sebagai contoh, kita masih melihat masalah-masalah yang dihadapi pelajar kita dengan kaca mata asing. Pelajar kita orang timur. Tetapi ilmu psikologi yang kita gunakan masih dari barat. Sudahlah dari barat, kebanyakannya pula ditulis ahli psikiatri. Ilmu ini penting. Tetapi, ia untuk menyelesaikan masalah pelajar. Untuk membina sahsiah pelajar, kita perlukan ilmu lain.

Bukankah masalah namanya jika kita menggunakan ilmu menyelesai masalah untuk membina sahsiah? Tetapi, itupun kira baik. Sekurang-kurangnya ada juga ilmu.

Lebih dahsyat lagi, kalau menguruskan hal ehwal pelajar tanpa ilmu! Untuk memperbaiki keadaan, jalan yang selalu diambil ialah meningkatkan latihan dalam bidang pendidikan. Ini langkah wajar. Tetapi, apakah pemikiran dalam latihan itu? Kebanyakannya masih bukan buatan kita.

Ada yang berhujah bahawa kita tidak perlu mencipta sesuatu yang telah sedia ada. Tetapi, masalahnya ialah sebahagian besar daripada pemikiran pendidikan yang sedia ada itu berasal dari barat. Banyak yang tidak sesuai dengan kita. Lebih berbahaya lagi, kerana sebahagian daripadanya mempunyai agenda untuk menguasai pemikiran kita.

Kerana itu, kita mesti bersungguh-sungguh, berterusan dan ikhlas menggembleng segala sumber bagi meneruskan usaha-usaha yang sebelum ini telahpun dimulakan oleh beberapa orang tokoh pendidikan kita, tetapi akibat halangan oleh pihak tertentu (yang tiada menghasilkan apa-apa pemikiran pendidikan), maka ia telah terbantut.

Justeru, inisiatif Universiti Sains Malaysia menganjurkan Syarahan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas bertajuk Higher Education in Islam pada hari ini amat tepat sekali. Prof. Naquib pemikir ulung dalam dunia Islam kontemporari yang telah dengan sistematiknya mendefinisikan makna pendidikan. Beliau juga telah menerangkan secara bersepadu satu sistem untuk merealisasikannya, iaitu dengan bermula, secara strategiknya di universiti.

Menurutnya, matlamat pendidikan dalam Islam bukanlah sekadar melahirkan warganegara atau pekerja yang baik sahaja, tetapi adalah untuk melahirkan insan yang baik.

Warganegara atau pekerja yang baik tidak semestinya menjadi insan yang baik. Tetapi, sebaliknya, insan yang baik sudah semestinya menjadi warganegara dan pekerja yang baik. Marilah bersama-sama kita membina pemikiran pendidikan kita.

(Utusan Online, 9/8/2010)

Thursday, August 05, 2010

Hampir 34 peratus pekerja peroleh gaji bawah garis kemiskinan

Satu kajian oleh Kementerian Sumber Manusia mengenai gaji pekerja dalam negara mendapati bahawa hampir 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kajian Perolehan Pekerjaan Nasional 2009 memberi penekanan terhadap soal pentingnya tahap gaji ini dinaikkan, terutama selepas kementerian itu mendapati bahawa sukar untuk menyerahkan soal gaji pekerja kepada kuasa pasaran semata-mata.

Beliau turut merujuk kepada kajian Bank Dunia yang mendapati bahawa pergerakan gaji di Malaysia hanya mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus setiap tahun sejak 10 tahun lalu berbanding dengan peningkatan kos hidup dalam tempoh itu.

"Kerajaan pada dasarnya bersetuju supaya gaji ini perlu dinaikkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Garis kemiskinan dalam negara ketika ini ditetapkan pada tahap pendapatan bawah RM720 sebulan.

Subramaniam berkata, kebanjiran pekerja asing adalah antara beberapa sebab kenapa gaji pekerja tidak meningkat dengan ketara sejak 10 tahun lalu.

"Kerja-kerja yang memerlukan kemahiran tinggi pasti menuntut gaji yang tinggi, namun dalam banyak keadaan majikan tidak membayar gaji berdasarkan kemahiran, sebaliknya bergantung kepada pekerja asing yang tidak berkemahiran," katanya.

Semalam, Subramaniam selepas menutup satu bengkel mengenai gaji minimum berkata beliau akan membentang cadangan Kementerian Sumber Manusia berhubung gaji minimum nasional kepada Kabinet hujung Oktober ini.

Pelbagai pandangan berkaitan gaji minimum dibangkitkan dalam bengkel itu, dengan ada sesetengahnya merasakan bahawa perlaksanaannya akan memberi kesan terhadap daya saing, perkembangan gaji di samping tidak dapat merapatkan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin dalam negara, manakala di pihak lain pula merasakan bahawa langkah itu akan meningkatkan produktiviti di samping memberi keadilan buat pekerja.

Dr Subramaniam berkata, sekiranya kerajaan bersetuju terhadap cadangan gaji minimum itu, satu peruntukan rang undang-undang yang baru akan diperkenalkan bagi meliputi semua aspek liputan, pihak berkuasa, badan penasihat, perlaksanaan, dan lain-lain lagi.

"Satu Majlis Nasional berhubung gaji minimum juga akan dibentuk bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum yang lancar," katanya.

Kementerian Sumber Manusia dijangka menyiapkan laporannya berhubung gaji minimum nasional itu dalam masa empat bulan sebelum ia dapat dibentangkan ke Kabinet.

Dr Subramaniam berkata, pihak kementerian masih belum memutuskan sekiranya perlu diwujudkan mekanisma gaji minimum nasional, wilayah atau sektor.

"Ia terpulang kepada Kabinet untuk memberikan kami hala tujunya," katanya.

Satu pungutan suara yang dilaksanakan oleh kementerian itu bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung gaji minimum menunjukkan bahawa daripada 434 responden, 76 peratus bersetuju supaya kerajaan melaksanakan gaji minimum untuk semua sektor. -

(BERNAMA 2010/08/05)

Wednesday, August 04, 2010

Kezaliman Yahudi

Ramai yang sebak dan mengalirkan air mata apabila melihat seorang kanak-kanak Palestin yang berumur lima tahun menangis sambil meronta-ronta semasa menyaksikan askar-askar Yahudi membawa pergi ayahnya. Yahudi menggunakan askar untuk menangkap ayah kanak-kanak ini yang dituduh mencuri air bagi mengairi kawasan tanaman keluarga. Walaupun ada surat kebenaran dari Pihak Berkuasa Palestin, Yahudi tidak mengendahkannya.

Kanak-kanak ini menangis dan meronta kerana beliau faham sebaik sahaja ditangkap askar Yahudi, itulah kali terakhir dia melihat ayahnya hidup.

Kezaliman Yahudi dan askar-askar Yahudi tidak pernah padam. Sejak zaman para nabi dan anbia, mereka menzalimi masyarakat yang menumpangkan mereka hidup termasuk Palestin sendiri. Hari ini kezaliman Yahudi berlaku di hadapan mata kita tanpa dapat dibuat apa-apa. Setiap hari Yahudi menangkap, mengurung, mendera dan membunuh orang Palestin sama ada bayi, kanak-kanak atau orang tua, lelaki atau perempuan. Kezaliman Yahudi semakin bermaharajalela.

Yahudi telah dihalang daripada memiliki tanah air sendiri kerana kezaliman mereka juga. Walaupun mendapat naungan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis, Yahudi masih gagal mewujudkan keamanan di Palestin. Setiap masa kehidupan Yahudi diancam, sama ada oleh pemuda-pemuda Islam yang menyerahkan seluruh kehidupan mereka untuk jihad melawan Yahudi ataupun bayang-bayang hitam yang menyelubungi hati setiap orang Yahudi ini.

Penderitaan rakyat Palestin menyentuh hati nurani setiap orang yang memahami kesusahan mereka. Insya Allah suatu hari nanti Palestin akan bebas dan Yahudi akan diburu ke merata tempat. Masyarakat Islam mesti terus berdoa dan berharap akan muncul ‘Salahuddin Al Ayubi ke-2’ bagi membebaskan Palestin- bumi para anbia, membebaskan Masjidil Aqsa dan menenggelamkan keegoan pendokong-pendokong zionis yang menzalimi manusia selama ini.

Monday, August 02, 2010

Kisah 'Sultan Melaka'

Awang selalu tertanya-tanya apa kesudahannya kisah seorang usahawan Raja Noor Jan Shah dari Gombak, Selangor yang mengisytiharkan dirinya pewaris takhta Sultan Melaka.

Sejak kali pertama membuat dakwaan itu sambil menuntut takhta pada November 2005, ada sahaja perkembangan mengenai beliau. Noor Jan tidak pernah kendur walaupun dakwaannya dinafikan oleh banyak pihak termasuk kerajaan negeri Melaka dan Raja Ali Raja Amran, seorang waris Sultan Abdullah Mohamad 1.


Dari semasa ke semasa, ada sahaja dakwaan beliau yang kononnya berkisar kepada bukti salasilah dan nasab keturunan Sultan Mahmud Shah. Antaranya beliau mendakwa memiliki keris Taming Sari, tongkat Lang Buana yang dikatakan mempunyai kuasa sakti dan beberapa lagi alat kebesaran warisan asal Sultan Melaka.

Ramai masih ingat bagaimana beliau mengadakan acara pertabalan penuh istiadat di dewan serbaguna tidak lama dulu, yang mengundang perhatian besar masyarakat. Tetapi awal-awal lagi ramai yang ragu malah tidak kurang yang menjadikannya bahan jenaka.

Kini Noor Jan dan para pembantunya termasuk ada yang digelar Tengku Bendahara beroperasi di sebuah rumah kedai yang dinamakan Balai Seri Melaka. Sebenarnya Awang sudah tidak larat geleng kepala bercakap fasal hal ini.

Terbaru, usahawan itu buat hal lagi. Beliau menganugerahkan gelaran Datuk Seri Paduka Mahkota kepada pengarah sebuah syarikat hartanah global pada satu majlis di Puchong. Khabarnya, 150 pelabur asing termasuk dari China, Taiwan dan Vietnam hadir pada majlis tersebut.

Akhbar Kosmo! turut melaporkan bagaimana sebuah kereta Rolls Royce sewa yang tertera namanya, Noor Jan dijadikan gimik pada majlis itu bagi menarik perhatian para pelabur. Apa reaksi beliau? ''Nama saya di depan dan belakang kereta itu hanya bermaksud menggahkan Sultan Melaka, apa salahnya," demikian pengakuan Noor Jan. Polis kemudian mengesahkan kereta itu yang dimiliki oleh sebuah syarikat kereta terpakai menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tidak mempunyai cukai jalan.

Awang sengaja paparkan hal ini kerana merasakan kerajaan dan pihak berkuasa tidak menangani isu Noor Jan dengan tegas dan berkesan. Kita tidak boleh membenarkan persekitaran yang mengelirukan masyarakat. Dalam kita menghormati hak individu dan kebebasan, kes Noor Jan juga perlu dilihat daripada aspek kedaulatan dan kemuliaan institusi raja di negara ini. Tindak-tanduk beliau boleh ditafsir sebagai memperlekehkan institusi raja yang perlu dipertahankan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Bagaimana keadaannya jika beberapa lagi individu tampil membuat tuntutan yang sama dan melakukan tindak-tanduk sebagaimana Noor Jan? Awang percaya jika kerajaan terus berdiam, banyak lagi perkara pelik dan mengelirukan boleh terjadi angkara kisah Noor Jan. Dalam kita ketawa dan sinis kepada keghairahan beliau untuk menjadi Sultan Melaka, sesiapapun tidak harus mengambil mudah.

Belajarlah daripada kelalaian kita dalam isu pemimpin Al Arqam, Ustaz Ashaari Muhammad, Ayah Pin dan Nor Azami Ghazali yang akhirnya berjaya membina ketaksuban di kalangan sebahagian kecil rakyat negara ini, Noor Jan juga berkeupayaan ke arah itu. Sekarang pun, beliau sudah mempunyai kumpulan pengikutnya sendiri yang memanggil beliau tuanku. Renungkan.