Orang sengaja melupakan betapa sejarah pembangunan ekonomi moden di Malaysia adalah tertumpu kepada bandar. Berbilion ringgit untuk membangunkan bandar. Hasilnya, menguatkan kedudukan bukan Bumiputera, khasnya kaum Cina sebagai penguasa bandar dan majlis perbandaran.
Keadaan ini membawa implikasi dan kesan politik yang amat berbahaya serta eksplosif. Di bawah pentadbiran parti politik 'pembangkang,' bandar diketuai dan dikuasai sepenuhnya oleh kaum Cina dengan segala kemajuan yang terbaik dan terkedepan.
Bandar memiliki semua kemudahan paling baik, termoden, termaju dan tertinggi. Penghuni bandar mendapat kedudukan terkuat dalam usaha bersaing terhadap semua masyarakat lain terutama Melayu dan Bumiputera yang masih kekal pada tahap petani kecil di luar bandar.
Sebahagian besar mereka masih lagi masyarakat tribal di pinggir hutan dan di hulu sungai. Mereka masih merupakan masyarakat yang paling miskin, tidak berpelajaran, tanpa kemahiran dan tanpa kemudahan. Kemudahan kesihatan mereka amat lemah. Kemudahan pendidikan amat jauh. Mereka masih minum dari sungai.
Di kampung Melayu dan Bumiputera hanya terdapat 'pusat bidan' atau pusat kesihatan kecil, sekolah rendah, jalan raya tanah tanpa diturap bitumen. Mereka masih terpencil dan terpinggir. Di Sabah dan Sarawak keadaan itu lebih parah sehingga penduduk di kawasan hulu sungai masih terbiar dan kurang terbangun.
Semua ini melibatkan lebih lima juta penduduk Bumiputera dan Melayu yang tertinggal oleh pembangunan. Hampir semua pembangunan telah menguatkan kedudukan kaum Cina di bandar.
Peta pilihan raya yang menunjukkan kawasan majoriti penduduk Cina memberi gambaran yang amat jelas tentang manfaat terhadap kaum Cina itu, dan betapa buruk dan parah kesan keadaan demografik itu terhadap Melayu dan Bumiputera.
Dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke- 12, masyarakat Melayu telah kembali radikal, dengan tumbuhnya ratusan persatuan, pertubuhan dan gerakan massa seperti di zaman 'Malayan Union' yang menuntut 'Malaya for the Malays'.
Pengradikalan Melayu ini adalah reaksi terhadap kesombongan dan kebiadaban golongan yang tidak segan silu menuduh Melayu dan Bumiputera sebagai 'pendatang' ataupun 'rasis'. Mereka lupa berterima kasih dan berjaya mencapai kehidupan mewah dan baik sebagai turunan daripada 'anak penjajahan' (children of colonialism) yang bebas meneroka nasib tanpa beban merempat yang ditinggalkan oleh datuk-nenek mereka.
Kini keturunan anak jajahan ini menuntut persamaan hak, sehingga tuli terhadap kepincangan ekonomi di sebelah kaum Bumiputera.
Berlandaskan perspektif dan keadaan di atas maka amat perlu dirancang perspektif baru yang radikal untuk memastikan pembangunan 'desa' dan kemajuan bangsa Melayu dan Bumiputera berlaku.
Mereka adalah pewaris yang sah negara ini dan dimartabatkan oleh undang-undang Perlembagaan Persekutuan. Maka menjadi kewajipan kerajaan dan tanggungjawab semua warganegara untuk membangunkan mereka. Adalah menjadi tanggungjawab utama bagi kerajaan memastikan bangsa Melayu dan Bumiputera menjadi maju dalam menghadapi cabaran serta persaingan dunia global.
Beberapa perspektif adalah disarankan bagi pembangunan:
i. Melaksanakan kembali gagasan 'penyusunan semula masyarakat' untuk mengelak berlakunya bahaya pergolakan politik, ekonomi dan sosial dengan terbahaginya kawasan atau wilayah kepada 'bandar' Cina dan wilayah 'luar bandar' Melayu dan Bumiputera.
ii. Membangun ekonomi industri kecil dan sederhana (IKS) untuk Melayu dan Bumiputera dengan lebih intensif terutama melalui pelbagai strategi pembelian modal dan kawasan yang menempatkan peniaga 'sederhana' Melayu dan Bumiputera.
iii. Membahagi tugas dan tanggungjawab setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya menumpukan tenaga, usaha, perancangan dan peruntukan kewangan dalam bidang masing-masing terhadap tanggungjawab pembangunan Bumiputera itu.
iv. Mengkhususkan tugas dan tanggungjawab pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya tidak bentindih. Disarankan Mara menumpukan dalam pendidikan dan pembangunan industri sederhana di bandar, UDA membangunan penempatan dan industri khidmat Melayu dan Bumiputera di bandar, Kementerian Pembangunan Luar Bandar memodenkan kampung dan penempatan Bumiputera selaras dengan bandar, PUNB menumpukan penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam bidang korporat, dan sebagainya.
v. Membangun usahawan Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai industri dengan menggembleng syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta agensi ekonomi lain-lain dengan mengambil semua lulusan dari UiTM, IKM, UniKL dan semua institusi pendidikan tinggi awam IPTA supaya memastikan lulusan Melayu/ dan Bumiputera ini disalurkan terus menerus ke dalam bidang keusahawanan dan ekonomi melalui program pembangunan keusahawanan yang terancang, berterusan dan sistematik.
vi. Mendidik dan menggembleng semua tenaga pentadbiran, ekonomi dan politik untuk membina golongan usahawan Melayu dan Bumiputera sebagai keutamaan dalam perancangan mendatang.
vii. Menyatupadukan seluruh Melayu dan Bumiputera Semenanjung, Sabah dan Sarawak ke dalam gerakan pembangunan ekonomi agar seluruh Bumiputera tidak ketinggalan dalam gerakan pembangunan melalui gerakan Agropolitan - Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang lebih luas dan intensif. Kementerian Pembangunan Luar Bandar diubah nama kepada Kementerian Pembangunan Desa sebagai fokus baru di 'desa'.
viii. Membangun luar bandar atau desa ke arah 'pemodenan' yang membekalkan segala kemudahan prasarana terbaik bukan asasi saja seperti jala raya dan komunikasi, bekalan tenaga, air minuman dan keselamatan jagaan polis, eminiti sosial dan kesihatan yang tinggi seperti klinik doktor dan perubatan melebihi daripada sekadar 'bidan' dan 'kesihatan kecil' serta pembangunan budaya yang maju seperti bekalan persekolahan tinggi, perpustakaan, ICT yang cekap.
ix. Memastikan pusat kemajuan atau kawasan 'bazaar' di desa-desa adalah didiami dan dihuni oleh bangsa Melayu dan Bumiputera dan memastikan JKKK adalah dikuasai oleh Bumiputera untuk menyalurkan pembangunan.
Hanya dasar yang radikal dapat mengurangkan gerakan radikal yang sedang tumbuh di kalangan bangsa Melayu kini. Jika Model Baru Ekonomi (MBE) terlampau memenuhi nafsu kebendaan orang bandar yang sibuk ingin mengeksploitasi Bumiputera maka ledakan kaum masa depan akan lebih hebat. Mereka akan bertukar menjadi 'golongan kanan' (right group) seperti di Eropah dan Amerika Syarikat sekarang, yang keras menentang komuniti Islam dan memburukkan Islam di sana. Hal yang sama mungkin berlaku terhadap orang 'asing'.
Prof. Datuk Dr. Zainal Kling ialah Ahli Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena). Kini beliau bertugas di Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
(Utusan Malaysia, 30 Ogos 2010)
No comments:
Post a Comment