Saturday, August 21, 2010

Marah

Marah adalah salah satu daripada khayalan yang merosakkan perlakuan dan sering mengganggu pemikiran kita setiap hari. Dikatakan satu daripada lima rakyat Amerika Syarikat menghadapi masalah menguruskan kemarahan mereka. Menyelesaikan sifat marah memerlukan penelitian dan pengurusan yang lebih bijak kerana kesilapan menguruskan kemarahan boleh memberi masalah lain kepada kesejahteraan hidup.

Marah adalah sifat semula jadi setiap orang. Justeru, mengakui kewujudan marah dan kesannya ke atas diri dan orang lain adalah langkah penerimaan kendiri yang paling mudah. Selepas itu barulah kita boleh memahami kepentingan bersabar ketika berhadapan dengan kesukaran dan kepayahan.

Apakah marah?

Marah adalah alihan fikiran yang memberi tumpuan kepada benda bernyawa atau tidak bernyawa ataupun dalam lain perkataan melibatkan benda yang hidup atau mati. Ia dirasakan tidak menarik, kelihatan berlebih-lebihan dan jauh daripada piawaian yang dikehendaki. Contohnya, seorang bos mengharapkan pekerjanya hadir ke kursus bengkel aplikasi laman web organisasi tetapi pekerja gagal menyediakan laman web tersebut mengikut cita rasanya, lalu menelefon dan mula meninggikan suara dalam perbualan mereka. Fokus perbualan adalah kepada aspek yang kurang berkualiti sedangkan hal-hal yang bersangkut dengan usaha mencari bahan dan kesungguhan pekerja untuk menyiapkan tugasan langsung tidak diberi pertimbangan dan perhatian sehingga membina imej mental yang menyalahkan pekerja. Kemudiannya bos ini mencari jalan untuk menyalahkan pekerja dalam pelbagai cara mungkin mengkritik atau merendah-rendahkannya.

Contoh lain ialah bos yang selalu berjanji untuk datang ke satu majlis tetapi tidak hadir kerana melencong ke tempat boleh menimbulkan kemarahan pekerjanya kerana kerap memberi alasan yang tidak munasabah.

Punca-punca kemarahan yang lain ialah melemparkan perkataan kesat, keganasan di jalan raya, keganasan tempat kerja, penceraian dan ketagihan merupakan beberapa contoh kesan daripada pengurusan marah yang lemah.

Oleh sebab punca-punca kecil yang dibesar-besarkan, marah dikatakan sebagai pemikiran yang tidak realistik- iaitu fokus kepada fakta yang tidak wujud. Lebih jauh lagi, marah adalah kerosakan minda yang melampau yang tidak memberi sebarang faedah. Memahami bentuk dan sifat marah, kita dapat menghargai minda pada setiap masa sebaik sahaja perasaan marah mula melingkari hati dan fikiran.

Marah merupakan emosi yang boleh bertukar daripada gangguan fikiran yang ringan kepada tindakan kekerasan yang meluap-luap. Fikiran dan perlakuan bersatu untuk menyerlahkan keinginan yang membuak-buak. Apabila seseorang menjadi marah, kadar denyutan jantung dan tekanan darah akan naik, badan mula menunjukkan perubahan seperti berpeluh dan kadang kala menggigil. Perlakuan marah mula muncul seperti memekik, melemparkan barang, kritik, tidak peduli, menyerang dan ada yang menunjukkan tanda-tanda berdiam diri dan merajuk.
Marah kerap kali menonjolkan sifat ganas jika tidak dikawal. Ada juga yang menggunakan alasan marah untuk melepaskan diri daripada dikatakan sebagai mendera kepada orang lain.

Kenapa marah?

Marah dikaitkan dengan kecewa. Marah juga dikaitkan dengan emosi negatif. Kita rasa kecil hati, takut, kecewa, bimbang, dimalukan atau dihalang daripada melakukan sesuatu yang semuanya ini boleh memberi laluan kepada marah. Tidak faham dan komunikasi yang lemah turut menimbulkan kemarahan.

Bila marah menjadi masalah?

Marah mula menjadi masalah apabila ia mencetuskan gangguan kepada orang lain, masalah di tempat kerja, kesan kepada kesihatan, kehidupan seharian ataupun melanggar undang-undang. Marah juga menimbulkan masalah apabila orang di sekeliling mulai takut, kecewa atau perasaan gugup kerana tidak dapat bersuara atau tidak bersetuju. Beberapa tanda yang menunjukkan marah mula menjadi masalah adalah seperti berikut.

-melibatkan salah guna perkataan, emosi, fizikal dan psikologikal.
-rasa marah sepanjang masa.
-rakan karib risau setiap kali kita marah.
-marah menjadi punca kepada keretakan hubungan peribadi dan di tempat kerja.
-kita rasa perlu marah untuk dapatkan apa yang kita mahu.
-rasa marah berlarutan untuk tempoh yang panjang.
-cemas setiap kali marah
-mengambil minuman keras atau cenderung cederakan orang lain untuk menguruskan marah.
-cenderung rasa marah dengan orang yang rapat atau pekerja bawahan yang tidak berkuasa berbanding menguruskan punca sebenar kepada masalah.

No comments:

Post a Comment