Jika kita taip perkataan ‘orang gila’ di YouTube, salah satu klip yang akan muncul ialah ‘Samy Vellu-orang gila’ yang mendapat hits hampir 94,000 pengunjung. Antara skrip dalam klip tersebut berbunyi begini.
‘Ini semua kerja orang gila punya la. Itulah saya punya komen. Orang gila. Sekarang banyak orang sudah gila. Dia layak untuk masuk hospital di Tanjung Rambutan atau hospital di Tampoi.’
Hari ini memang ramai orang gila. Dianggarkan seramai tiga juta penduduk Malaysia adalah orang gila. Beberapa hari lepas kita baca kisah seorang bapa yang menghadapi masalah mental telah mencederakan anak perempuannya dan membunuh isteri. Bagaimanapun akhir hayatnya di hujung pistol polis.
Dalam istilah moden, penyakit gila digelar penyakit mental. Ia melibatkan gangguan pada saraf di bahagian otak yang menjejaskan fungsi dan peranan otak. Pesakit menunjukkan perubahan dalam proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang merencatkan aktiviti harian mereka.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan penyakit mental adalah antara lima penyakit utama yang menyebabkan kehilangan upaya di seluruh dunia. Dijangkakan pada tahun 2020 ia menjadi penyakit kedua tertinggi di dunia. Kajian yang dilakukan ke atas golongan dewasa di Malaysia pada tahun 1996 mencatatkan 11.1 peratus dikesan mengalami penyakit mental. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mendapati kes gangguan mental meningkat hampir enam peratus sejak 10 tahun lalu. Statistik tahun 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. Pada tahun 2007, jumlah pesakit adalah 346,196 orang.
Orang awam mengelompokkan penyakit mental dalam satu jenis iaitu penyakit gila, tetapi dalam perubatan, pesakit mental dipecahkan kepada tiga kumpulan.
1. Neurosis
Mereka yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan mereka. Individu yang mengalami penyakit neurosis selalunya sedar akan keadaan kesihatan mereka. Fungsi harian mungkin terganggu sedikit. Antara contoh penyakit neurosis adalah seperti berikut:
-Kemurungan: kemurungan adalah perasaan sedih yang melampau dan berpanjangan. Sedih adalah perasaan yang sering dialami. Akan tetapi jika perasaan sedih itu terlalu berat untuk
ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh dua minggu serta mengganggu fungsi kehidupan seharian maka ia bukanlah sedih lazim tetapi penyakit kemurungan.
-Kebimbangan: penyakit ini digejalai oleh perasaan bimbang, resah dan gelisah. Seseorang itu akan berasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar-debar dan berasa takut melampau akan bahaya yang mereka tidak diketahui puncanya.
2. Psikosis
Mereka yang mengalami penyakit psikosis mengalami perubahan yang amat ketara di dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka. Kewarasan mereka juga terjejas. Penderita akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengan mereka. Ia dikenali sebagai halusinasi. Mereka juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau dari pesakit berkenaan. Ia dipanggil delusi. Antara contoh delusi ialah - ada orang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepada mereka menyebabkan mereka bertindak menyerang orang yang disyakinya secara membahayakan. Mereka mungkin bercakap dengan merapu / mengarut; berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah dengan tiada bersebab. Contoh psikosis yang sering dialami adalah:
-Schizophrenia: antara ciri utama ialah: halusinasi; delusi; kecelaruan pemikiran, kecelaruan pertuturan dan tingkah laku, restasi kerja mereka juga merosot dengan ketara.
-Kecelaruan manik-depresif (dwikutub): penyakit ini mengakibatkan mereka mengalami perubahan ketara dari segi emosi, mereka sering hilang kawalan dan menjadi terlalu gembira (fasa manik) atau terlalu sedih (fasa kemurungan).
3. Kecelaruan Personaliti
Secara asasnya kecelaruan ini membuat seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.
Penyakit gila ini memberi implikasi besar kepada kehidupan berkeluarga. Jika bapa atau suami menjadi gila, seluruh perjalanan hidup keluarga akan berhadapan dengan masalah, dipulau masyarakat atau mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan jiran tetangga. Jika ibu atau isteri yang menjadi gila, anak-anak mudah terabai dan barang kali suami akan berkahwin lagi. Jika anak yang menjadi gila, lebih selamat dihantar ke hospital supaya dia mendapat rawatan yang terbaik.
Kisah anak-anak yang menjadi gila sangat banyak dalam masyarakat. Pada tahun lepas, seorang anak muda berumur 32 tahun telah keluar dari rumah selama sebulan. Ini kali kedua dia lari dari rumah. Pemuda ini mula menunjukkan ciri-ciri gila semasa belajar di universiti luar negara. Keadaan gilanya masih dapat dikawal kerana mengambil ubat pada masa yang disyorkan oleh doktor. Namun, tindakan lari dari rumah menyebabkan ibu dan bapanya susah hati dan terpaksa membuat laporan polis dan meminta rakan-rakan untuk menjejak kedudukannya. Antara langkah yang diambil ialah mengunjungi tempat-tempat kebiasaan anak muda ini makan dan minum, rakan-rakan yang dihubungi dan masjid yang kerap dikunjungi. Nasibnya baik kerana pasukan mencari menemuinya sedang berehat di salah sebuah masjid di Gombak.
Apa yang menyebabkan berlakunya penyakit mental? Penyebabnya tidak diketahui dengan tepat. Kajian masih dijalankan untuk memperincikan punca sebenar penyakit ini. Namun terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya penyakit mental.
1. Faktor genetik/ keturunan
Ahli di dalam keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental berisiko lebih tinggi berbanding populasi yang tiada sejarah penyakit berkenaan.
2. Gangguan bahan kimia dalam otak
Apabila bahan kimia dalam otak yang dikenali sebagai neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik, gejala penyakit mental akan muncul. Sebagai contohnya, schizophrenia: penghasilan dopamin secara berlebihan; kemurungan: paras serotonin terlalu rendah; mania: paras serotonin meningkat secara melampau; dan kebimbangan: terdapat gangguan di dalam pengeluaran dan fungsi noradrenalin.
3. Jangkitan virus
Mengikut kajian ada penyakit akibat jangkitan virus telah dikaitkan dengan kemunculan penyakit mental.
4. Sejarah hidup yang getir
Contoh: mengalami proses kelahiran yang sukar, kehilangan ibu bapa semasa kecil, terlalu banyak mengalami cabaran hidup yang sukar.
5. Keadaan sosioekonomi yang rendah
Faktor kemiskinan, tiada kemudahan asas atau keganasan di dalam masyarakat boleh meningkatkan masalah penyakit mental.
Selain penyakit mental atau penyakit gila yang sering merujuk kepada kesihatan, masyarakat juga sebenarnya sedang berhadapan dengan pelbagai jenis gila yang lain seperti gila harta, gila wanita, gila talak, gila judi dan gila babi.
Rujukan
www.infosihat.gov.my/penyakit/Mental/PenyakitMental.pdf
webcache.googleusercontent.com/search? g=cache:g8J_eVZfVjoJ:www.psychiatry.org.my/article.php%3Faid%3D1246+pesakit+mental+malaysia&cd=10&hl=en&ct=clnk&gl=my
Salam. Terima kasih atas info berharga ini.
ReplyDeleteSalam. Terima kasih atas perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat ini.
ReplyDeleteBagaimana nak ubat penyakit gila keturunan. Harap tolong bantu. Terima kaseh
ReplyDeleteMacam mane nak ubat penyakit halusinasi????
ReplyDeleteDapatkan rawatan psikiatri, tak perlu malu untuk berkongsi masalah dengan mereka.
ReplyDelete