Wednesday, August 18, 2010

Beza tukang jahit Melayu dan tukang jahit Cina








Walaupun berumur tetap masih berniaga

Selepas memberi kuliah kepada pelajar-pelajar, saya beredar mencari kedai jahit untuk menjahit lipatan kaki pada seluar panjang yang sudah hampir dua minggu terburai.

Salah satu penyambung pada benangnya telah putus. Kalau dipakai, nampak sangat sebelah panjang dan sebelah lagi pendek.

Deretan kedai menjual pelbagai jenis barang memberi petunjuk mungkin terdapat satu atau dua buah kedai jahit Melayu kerana semua kedai berkenaan dikhaskan untuk peniaga Melayu. Memang benar, terdapat sebuah kedai jahit Melayu. Saya hampiri kedai berkenaan dan bertanya kepada salah seorang tukang jahit wanita yang sedang tekun menjahit sehelai baju kurung. Saya bertanya adakah dia boleh menjahit lipatan kaki pada seluar panjang yang saya bawa sambil menunjukkan lipatan berkenaan. Tiba-tiba dari arah belakang saya muncul seorang wanita, tuan punya kedai agaknya yang memberi tahu mereka tidak dapat melakukannya.

‘Nak jahit seluar ke?’

‘Ya’ jawab saya ringkas.

‘Ooo.. kami tak dapat buat sekarang. Kalau nak kena tunggu selepas raya,’ balas wanita ini.

Saya tidak puas hati dengan jawapan yang diberi lalu menyoal untuk mendapat kepastian.

‘Kenapa lama sangat, ni sikit saja kalau nak jahit?’

Mungkin emosi agaknya, wanita ini membalas, ‘Kami tengah jahit pakaian tempahan sekarang, tak ada masa nak jahit seluar cik.’

Saya mengucapkan terima kasih dan bertanya di mana lagi ada kedai jahit Melayu.

Setelah mendapat maklumat, saya pun pergi ke arah kedai jahit yang dimaksudkan: Kedai Jahit Azam, Jalan Hang Tuah. Jawapan yang sama saya terima iaitu mereka tidak dapat melakukannya sekarang. Saya bertanya kenapa dan mereka menjawab dengan ringkas- ‘dah ada banyak tempahan.’

Saya maklumkan kepada seorang tukang jahit wanita di situ untuk menjahit lipatan kaki seluar ambil masa tidak sampai 10 minit.

‘Tak boleh ke?’

Dia geleng kepala dan saya faham maksudnya.

Saya bertanya kepada seorang lelaki (mungkin pembantu kedai) di mana lagi saya boleh cari kedai jahit di sekitar kawasan itu.

‘Abang ikut jalan ni... di belakang kedai tu ada kedai jahit.’

‘Melayu ke Cina?’ soal saya untuk dapat kepastian.

‘Cina,’ katanya.

‘Ok, nanti saya cari,’ balas saya sambil beredar pergi.

Kedai jahit Cina ini terletak di hadapan kedai kopi Cina. Semasa saya sampai, terdapat seorang pelanggan sedang menunggu bajunya dijahit oleh tukang jahit lelaki Cina yang sudah agak tua. Saya bertanya kepadanya sama ada dia boleh menjahit lipatan kaki seluar panjang yang saya bawa. Tiba-tiba dia bangun dan memegang bahagian seluar yang hendak dijahit itu sambil membelek lipatan kaki seluar.

Selepas mendapat kepastian, dia kembali ke mesin jahit dan terus menekan pedal jahit. Dalam masa lima minit, jahitan pada lipatan kaki seluar panjang saya kembali sempurna.

Pelanggan yang awal tadi saya nampak tersenyum dan relaks walaupun bajunya belum siap dijahit.

‘Berapa ringgit apek?’

Tukang jahit Cina ini tidak menjawab tetapi menunjukkan isyarat lima dengan jarinya. Fahamlah saya. Selepas membayar upah, dia terus menyambar pakaian pelanggan tadi dan mula menjahitnya.

Kisah ringkas ini memberi gambaran yang jelas tentang perbezaan cara fikir, sikap dan kecenderungan bangsa Melayu dan Cina terhadap perniagaan. Tukang jahit Melayu enggan menjahit kerana menganggap kerja tidak sampai 10 minit tidak memberi faedah besar kepada keuntungan bisnes mereka.

Bagi tukang jahit Cina, biar pun lima ringgit, ia adalah wang. Sikap tukang jahit Melayu mengutamakan tempahan pakaian tentulah merugikan kerana pelanggan yang ‘walk-in’ ke kedai mereka kadangkala tidak perlukan masa yang lama untuk menjahit seluar atau baju mereka.

Dalam buku Steeping Out: The Making of Chinese Entrepreneurs, Chan Kwok Bun dan Claire Chiang See Ngoh menyatakan empat faktor kekuatan psikologi menjadikan orang Cina lebih berjaya dalam bisnes. Empat faktor tersebut ialah:

1. motivasi dan kehendak untuk berjaya
2. sanggup mengambil risiko
3. kesungguhan untuk bekerja keras
4. disiplin yang tinggi


Jika kisah tukang jahit Melayu dan Cina ini dijadikan kajian kes dan dipadankan dengan empat faktor ini, nyatalah tukang jahit Melayu tidak mahu mengambil risiko dan kurang bersungguh-sungguh hendak mencari wang. Mereka mungkin ada motivasi tinggi untuk berjaya dan memiliki disiplin diri tetapi ia belum cukup untuk mendapatkan keyakinan daripada pelanggan. Kerana itulah berurusan dengan tukang jahit Cina kerap kali menjadi pilihan.

Sebaik-baiknya tukang jahit Melayu tidak melepaskan peluang apabila pelanggan berada di hadapan mereka.



19 comments:

  1. Anonymous9:40 PM

    jahit lipat dua belah ka
    kedai saya dua belah baru ambik rm 5
    tapi rm 5 tu mahal gak la
    standert org buat rm 3...tapi mungkin rm 4

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rm5 kecik je berbanding kepuasan pelanggan tersebut terhadap servis yg dia dpt, berbanding dok kena reject dgn cara sombong dek org melayu sendiri

      Delete
    2. 👍👍👍👍👍👍

      Delete
  2. Assalamualaikum...
    maaf mencelah.. kakngah tukang jahit di rumah, tidak mampu berkedai. tapi, kak ngah juga mengamalkan sikap sedemikian, malah, dengan harga upah yg jauh lebih murah. sebenarnya, mentaliti mengagungkan kedai cina macam ni lah, yg membuatkan kami yang menjahit di rumah, mengambil upah jahit untuk kedai cina, dari rumah, juga dengan harga yg murah... tetapi, dalam kes encik ini, mungkin berbeza... cumanya, kalau kita sanggup menolong insanlain wlupun dalam kesemitan waktu kita, percayalah, dia akan kembali dengan tempahan yg lebih besar....

    ReplyDelete
  3. Anonymous10:40 AM

    disebabkan kedai cas mahal, saya lebih suka belajar menjahit sendiri. sekurang2nya kita pandai menjahit kaki seluar, menukar zip yg sudah rosak dll. ,mungkin isteri encik patut belajar sikit2 basic menjahit..sekurang2nya encik dpt jimat 5 ringgit.

    ReplyDelete
  4. Anonymous8:07 PM

    Persoalan yg blogger ni bawa bukan mahal or murah, tapi customer service. Kita x kisah mahal, yg penting dilayan. Mmg ada org melayu yg mcm ni, tp adakah majoriti? Mungkin pergi sepuluh kedai baru jumpa 1.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu.. Customer Services.. Maaf kalo sy mencelah.. mmg ada byk sangat.. tp x semualah.. sy pun pernah kena mcm encik ni.. kita nk bantu sesama bangsa tp mcm kita menagih simpati diorg pulak.. Pergi kedai tukang jahit bangladesh, terus settle masalah.. :)

      Delete
    2. Tapi tuan blogger ni pergi 2 kedai, 2-2 sama. Mcm mana blh kata gi 10 kedai baru jumpa 1. 😅😅

      Delete
  5. Anonymous9:43 AM

    Betul tu... walaupun orang cakap mahal dgn jahitan tersebut... Tetapi layanan yang baik yang ada pasti customer datang kembali.. Kalu layana x elok.. Orang akan datang sekali je

    ReplyDelete
  6. Hi, boleh tanya. Saya mahu cari tukang jahit dan pattern cutter untuk baju malam (evening gown) yang bagus. Boleh emel saya? vkwt99@hotmail.com Terima Kasih.

    ReplyDelete
  7. satuju ngan pandangan tuan...sikap melayu yang patut diubah...berniaga tau nak untung besar, nak cepat kaya...mmg la...tp pasti ia bermula dari perkara yang kecil...jika kita boleh berkhidmat sebaik mungkin pasti rezeki kita akan bertambah-tambah..

    ReplyDelete
  8. Sebenarnya caj RM5 tu dah termasuk sekali dengan layanan baik kepada pelanggan. Ape sangatla kalau bayar RM5 tu kalau nak dibandingkan dengan bayar RM3 tapi menyakitkan hati?

    Berniaga ni bukan nak kira untung rugi je tapi mesti kena bagi layanan baik & memuaskan utk customer

    ReplyDelete
  9. btul tu yg penting layanan utk customer...tak kira la mahal ke murah caj yg diminta. nampak sgt beza tukang jahit melayu dan cina dlm hal ini. patut pun kaum mrk lebih ramai yg bjaya dlm bisnes


    http://sweetandsimple47.blogspot.com

    ReplyDelete
  10. perlu di ingatkan juga..
    kalau kita asyik nak layan yg untungnya ciput jer..mmg susahlah nak maju..
    macam kaum cina, kalau dia busy dok layan yg besar2, ingat nak dia layan upah yg RM5 tu..
    renung2kan lah, look forward think Big and u will biger and more...

    ReplyDelete
  11. yup! betul tu ..mmg kadang2 org cina mmg untung 10sen pun diorg ambil kira.
    daripa cerita ni kita tgk cina/apek yg dia ckp ni jahit mcm hobi.. mmg kalau tak ambil dia rugi rm5 hri tu.

    jgn terlalu cepat menilai bila baru kena 1 situasi.
    try pergi tailor cina yg ambil projek gomen ribu, suruh jahit seluar kaki tu. mmg dia taknak.

    kita kena faham visi misi tailors tu mcm mna .

    kalau pergi kedai/kilg yg mmg jahit pukal mmg susah sikit nak ambil order sepsg 2 . bukan tanak tapi depends dengan order hari tu.

    bersangka baik dan senyum selalu ye :)

    ReplyDelete
  12. Betul tu..saya setuju..Melayu ni jahitan x seberapa tapi angkuhnya bkn kepalang ... Saya sendiri kalau baju Melayu mmg buat dekat cina je..bkn belagak tp mentaliti tukang jahit Melayu yg acah bagus dn layan x layan je ngn custemer..apatah lg musim perayaan

    ReplyDelete
  13. Apa2 pun.. kena bersangka baik. Sebab kalau musim nak raya nie.. memang kedai jahit x layan.. bukan sebab ego ttp sbb mereka ada byk tempahan lain. Mungkin kedai apek tu buat alter.. sbb tu dia terima.

    ReplyDelete
  14. RM 5 x 10 orang dah 50 hengget.

    ReplyDelete
  15. Anonymous11:36 AM

    Sangat benar, saya pernah melalui perkara seperti ini. Minda niaga orang Melayu sebahagiannya menjadi penghalang kepada perkembangan perniagaan mereka sendiri.

    ReplyDelete