Mutakhir ini, terdapat perbincangan hangat tentang beberapa isu pendidikan seperti penarafan dan autonomi universiti, transformasi politeknik, pengukuhan kolej komuniti, memperkasa latihan teknik dan vokasional, meningkatkan kokurikulum dan kemahiran insan, pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), keizinan guru siswazah berpolitik serta cadangan mengizinkan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berpolitik.
Sebahagian daripada isu tersebut telahpun menjadi dasar yang sedang dilaksanakan. Manakala sebahagian lagi masih rancak dibicarakan. Dalam konteks ini, kita memerlukan perbincangan dan perundingan yang kemas struktur dan prosesnya serta bernas kandungan dan penghujahannya.
Dari segi struktur, ia perlu melibatkan perwakilan daripada semua pihak yang berkepentingan. Dalam pendidikan, pihak-pihak yang berkepentingan adalah kementerian, pengurusan institusi pendidikan, pensyarah/guru, alumni, ibu bapa dan pelajar. Pihak yang jarang diundang adalah pelajar. Kesilapan ini perlu dibetulkan.
Namun, undangan terhadap pelajar perlu ditujukan kepada perwakilan yang dipilih secara demokratik oleh pelajar, bukannya ditunjuk oleh orang lain. Prinsip yang sama juga perlu digunakan untuk mengundang perwakilan pihak lain.
Dalam setiap organisasi pula, perlu dipastikan bahawa semua anggota pasukan dilibatkan. Jangan pula ada yang dipinggirkan. Dari segi prosesnya, ia boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk, seperti jawatankuasa Parlimen, mesyuarat, seminar dan makmal. Tetapi, pastikanlah setiap pihak diundang sejak pertemuan pertama. Janganlah disengajakan supaya ada yang tidak diundang di pertemuan pertama.
Proses jangan rigid. Mereka yang terlibat dalam perbincangan dan perundingan janganlah dihalang daripada berbicara di luar, misalnya membuat kenyataan media dan berceramah. Manakala mereka yang tidak terlibat dalam struktur tersebut sewajarnya dialu-alukan untuk bersuara melalui pelbagai media.
Dari segi kandungan dan penghujahannya, kita perlu meningkatkannya sehingga terbina pemikiran pendidikan buatan sendiri, dan supaya tidak terhad kepada perbincangan bersifat pengurusan dan pentadbiran semata-mata.
Saya bukan pengagum Amerika Syarikat (AS). Saya menentang hegemoninya. Tetapi, dalam hal ini, tidak salah jika kita melihat betapa subur pemikirannya, yang menyebabkan ia menjadi kuasa nombor satu dunia. Apabila AS memerlukan reformasi pendidikan, terutamanya untuk memperbaiki mutu sains dan matematik pada dekad 60-an, lahir karya besar, antaranya, buku oleh Jerome Bruner (1960), The Process of Education.
Pada dekad 80-an, apabila syarikat-syarikat besarnya terancam oleh barangan Jepun, sebuah suruhanjaya kebangsaan tentang sekolah-sekolah AS mengeluarkan sebuah laporan bertajuk A Nation at Risk. Pada 1987, satu inisiatif reformasi pendidikan digerakkan pula melalui Carnegie Forum dan National Center on Education and the Economy, lalu menghasilkan buku Ray Marshall dan Marc Tucker (1992), Thinking for a Living.
Pada 2005, Thomas H. Davenport menghasilkan buku dengan judul yang sama, tetapi dengan fokus kontemporari, iaitu k-pekerja. Apabila objektif modal insannya tergugat, maka lahir kritikan oleh intelektualnya, misalnya, Allan Bloom (1987), The Closing of the American Mind, Noam Chomsky dan Donald Macedo, (2000), Chomsky on MisEducation dan Anthony T. Kronman (2007), Education's End. Apabila berhadapan dengan cabaran baru dunia pekerjaan, Robert B. Reich (1991), menghasilkan buku The Work of Nations yang mengupas kategori baru pekerjaan, menambah ilmu dan kemahiran, dan menentukan setiap rakyat punya tempat dalam ekonomi global. Apabila dunia pekerjaannya digugat pekerja negara lain seperti dari China dan India, maka bekas Presiden Universiti Harvard, Derek Bok (2006) menulis Our Underachieving Colleges, tentang sejauhmanakah mahasiswanya belajar dan mengapa mereka perlu lebih banyak belajar.
Apabila melakukan reformasi kurikulum Universiti Harvard, seperti yang dicuba oleh pengganti Bok iaitu Lawrence Summers, berlaku debat terbuka yang turut melibatkan mahasiswa melalui akhbarnya Crimson. Manakala Profesor Harry Lewis (2006) menulis buku Excellence Without Soul mengkritik ketuanya.
Kita bukanlah tidak ada langsung laporan dan penulisan yang penting. Ada. Tetapi jumlahnya kecil dan dibincangkan dalam ruang yang juga kecil. Sesungguhnya kita amat memerlukan dengan kadar segera pemikiran pendidikan kita sendiri, bagi memandu perbincangan dan perundingan tentang isu-isu pendidikan kita.
Sekadar sebagai contoh, kita masih melihat masalah-masalah yang dihadapi pelajar kita dengan kaca mata asing. Pelajar kita orang timur. Tetapi ilmu psikologi yang kita gunakan masih dari barat. Sudahlah dari barat, kebanyakannya pula ditulis ahli psikiatri. Ilmu ini penting. Tetapi, ia untuk menyelesaikan masalah pelajar. Untuk membina sahsiah pelajar, kita perlukan ilmu lain.
Bukankah masalah namanya jika kita menggunakan ilmu menyelesai masalah untuk membina sahsiah? Tetapi, itupun kira baik. Sekurang-kurangnya ada juga ilmu.
Lebih dahsyat lagi, kalau menguruskan hal ehwal pelajar tanpa ilmu! Untuk memperbaiki keadaan, jalan yang selalu diambil ialah meningkatkan latihan dalam bidang pendidikan. Ini langkah wajar. Tetapi, apakah pemikiran dalam latihan itu? Kebanyakannya masih bukan buatan kita.
Ada yang berhujah bahawa kita tidak perlu mencipta sesuatu yang telah sedia ada. Tetapi, masalahnya ialah sebahagian besar daripada pemikiran pendidikan yang sedia ada itu berasal dari barat. Banyak yang tidak sesuai dengan kita. Lebih berbahaya lagi, kerana sebahagian daripadanya mempunyai agenda untuk menguasai pemikiran kita.
Kerana itu, kita mesti bersungguh-sungguh, berterusan dan ikhlas menggembleng segala sumber bagi meneruskan usaha-usaha yang sebelum ini telahpun dimulakan oleh beberapa orang tokoh pendidikan kita, tetapi akibat halangan oleh pihak tertentu (yang tiada menghasilkan apa-apa pemikiran pendidikan), maka ia telah terbantut.
Justeru, inisiatif Universiti Sains Malaysia menganjurkan Syarahan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas bertajuk Higher Education in Islam pada hari ini amat tepat sekali. Prof. Naquib pemikir ulung dalam dunia Islam kontemporari yang telah dengan sistematiknya mendefinisikan makna pendidikan. Beliau juga telah menerangkan secara bersepadu satu sistem untuk merealisasikannya, iaitu dengan bermula, secara strategiknya di universiti.
Menurutnya, matlamat pendidikan dalam Islam bukanlah sekadar melahirkan warganegara atau pekerja yang baik sahaja, tetapi adalah untuk melahirkan insan yang baik.
Warganegara atau pekerja yang baik tidak semestinya menjadi insan yang baik. Tetapi, sebaliknya, insan yang baik sudah semestinya menjadi warganegara dan pekerja yang baik. Marilah bersama-sama kita membina pemikiran pendidikan kita.
(Utusan Online, 9/8/2010)
No comments:
Post a Comment