Friday, August 20, 2010

Bina ekonomi Melayu berteraskan akidah

UMNO dan MCA kembali bertegang leher. Masing-masing mahukan kaum sendiri lebih menonjol, terkehadapan dan dipandang lebih hebat. Resolusi dan bantahan sesama sendiri dinilai orang ramai sebagai isu peribadi dan diangkat oleh media sebagai isu nasional. MCA hendakkan penguasaan yang lebih banyak dalam kek ekonomi negara kerana penguasaan 70 peratus ketika ini dilihat tidak adil. UMNO pula tidak setuju kerana penguasaan orang Melayu tidak sampai 30 peratus. Manakala PAS berdiam diri. Dalam politik, kuasa MCA telah banyak hilang dan hanya menumpang ihsan UMNO untuk diberi jawatan.

Malaysia diasaskan kepada persefahaman masyarakat berbilang kaum melalui kontrak sosial. Orang Melayu hendakkan empat perkara iaitu agama Islam, bahasa Melayu, hak-hak istimewa dan kedaulatan raja-raja sebagai syarat menerima bukan Melayu sebagai warganegara. Persefahaman ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil dan dapat memberi perhatian kepada arah tuju yang jelas untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.

Tidak semua kaum akan mendapat apa yang mereka inginkan dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Masing-masing hanya dapat hak mereka sekadar untuk mengekalkan keamanan dan hidup dalam suasana harmoni. Jika satu kaum membuat tuntutan berlebihan, akan ada yang membantah. Begitu juga dalam ekonomi.

Penguasaan masyarakat Cina dalam ekonomi Malaysia dikatakan sukar hendak dipecahkan. Mungkin kaum ini telah mewujudkan blok perniagaan yang semakin kukuh dan sukar digugat. Daripada bisnes kecil-kecilan hinggalah ke peringkat antarabangsa, jaringan bisnes dan komuniti sosial mereka sangat kuat di samping peranan dewan perniagaan Cina yang aktif memberi sokongan dan menjaga kepentingan perniagaan sendiri.

Bagaimana orang Melayu boleh memecahkan dominasi ekonomi dan bisnes orang Cina di Malaysia?

Jika kita menggunakan pendekatan Barat dan sekularisme, ia tidak membawa banyak perubahan. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru selama 20 tahun tidak banyak melonjakkan golongan Melayu untuk menceburi bidang perniagaan. Selepas 20 tahun DEB berakhir, pemimpin-pemin Melayu masih mengeluh kerana pencapaian 30 peratus tidak pernah dicapai walaupun banyak usaha telah dibuat.

Pendekatan sedia ada perlu ditukar. Kaedah baru yang cenderung kepada model bisnes Rasulullah saw mesti menjadi pilihan kerana Islam tidak hanya membawa kecemerlangan dalam ibadah malah dalam ekonomi juga.

Bagaimana Rasulullah saw dan umat Islam memecah monopoli ekonomi Yahudi?

Akal lebih penting daripada beremosi. Kumpulan lebih baik daripada seorang diri. Kesatuan akidah lebih baik daripada sejuta teori. Rasulullah saw menggabungkan kepintaran akal, kemahiran berniaga dan perpaduan umat untuk melumpuhkan monopoli Yahudi dalam bisnes. Baginda saw menjadikan akidah sebagai teras dalam setiap aktiviti yang melibatkan ekonomi. Beliau membangunkan sosioekonomi umat Islam dan membebaskan mereka daripada cengkaman penindasan berat sebelah Yahudi. Contohnya ialah tindakan Rasulullah saw menangani penguasaan ekonomi di Madinah yang ketika itu dikuasai Yahudi. Peringkat awal ketika hijrah ialah menguasai telaga air yang menjadi sumber pendapatan Yahudi untuk menekan ekonomi umat. Baginda saw mencadangkan para sahabat menyewa sebuah telaga air Yahudi dengan bersyaratkan orang Islam hanya boleh menjual air telaga itu selama dua hari dalam seminggu. Melalui perpaduan akidah, umat Islam bersatu membeli air sebanyak-banyaknya dalam dua hari berkenaan untuk disimpan selama seminggu. Lama-kelamaan monopoli Yahudi musnah.

Nabi Muhammad saw menggalakkan umat Islam mengeluarkan produk mereka sendiri khususnya barangan harian. Ada yang bertindak sebagai pengeluar, pengedar dan peniaga. Dengan cara ini, wang mengalir dalam kalangan umat Islam dan memberi kekuatan ekonomi kepada mereka. Tokoh-tokoh usahawan Islam seperti Abdul Rahman bin Auf mula memasuki premis perniagaan Yahudi dan membuka perniagaan sendiri. Kaedah ekonomi Islam seperti al-khiyar, al-mudharabah, al-murabahah, al-qard al-hasan dan bebas riba diperkenalkan dan menjadi pilihan peniaga dan pengguna. Lama-kelamaan persaingan yang diberikan oleh model ekonomi Islam memecahkan monopoli Yahudi di Madinah dan mengangkat martabat umat dalam ekonomi.

Berada dalam ekonomi konvensional dan memperkenalkan sistem kewangan Islam merupakan satu langkah tepat untuk memecahkan monopoli ekonomi orang Cina seterusnya memberi pilihan kepada pengguna. Justeru, bagaimana kita hendak menyuburkan sistem kewangan Islam dalam kalangan masyarakat Islam supaya mereka meyakini bahawa kewangan Islam memberi keadilan dan kesaksamaan kepada peniaga dan pembeli?

Menyuburkan kewangan Islam mesti bermula dari peringkat asas masyarakat iaitu keluarga yang digerakkan melalui pendidikan. Kanak-kanak Islam mesti didedahkan dengan sistem kewangan Islam sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke alam persekolahan. Dedahkan mereka dengan konsep-konsep ekonomi Islam khususnya berkaitan nilai-nilai yang mengutamakan halal, suci, bebas riba dan penindasan. Biar pun pendidikan mengambil masa yang panjang, ia merupakan pintu masuk paling ampuh untuk mengubah pemikiran dan tingkah laku masyarakat Islam. Pakar-pakar kewangan Islam dan pendidikan di Malaysia harus duduk semeja untuk membincangkan silibus paling sesuai bermula dari tadika hinggalah institusi pengajian tinggi.

Pelaksanaan sistem kewangan Islam dalam transaksi harian di Malaysia masih merupakan pilihan yang dilihat tidak begitu gah sedangkan ia telah terbukti memberi kejayaan pada zaman Rasulullah saw dan khalifah Islam yang lain. Apabila akidah menjadi tulang belakang kepada ekonomi umat Islam, mereka mampu mengusai lebih daripada 70 peratus malah mungkin 100 peratus ekonomi Malaysia.

No comments:

Post a Comment