Satu kajian oleh Kementerian Sumber Manusia mengenai gaji pekerja dalam negara mendapati bahawa hampir 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kajian Perolehan Pekerjaan Nasional 2009 memberi penekanan terhadap soal pentingnya tahap gaji ini dinaikkan, terutama selepas kementerian itu mendapati bahawa sukar untuk menyerahkan soal gaji pekerja kepada kuasa pasaran semata-mata.
Beliau turut merujuk kepada kajian Bank Dunia yang mendapati bahawa pergerakan gaji di Malaysia hanya mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus setiap tahun sejak 10 tahun lalu berbanding dengan peningkatan kos hidup dalam tempoh itu.
"Kerajaan pada dasarnya bersetuju supaya gaji ini perlu dinaikkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Garis kemiskinan dalam negara ketika ini ditetapkan pada tahap pendapatan bawah RM720 sebulan.
Subramaniam berkata, kebanjiran pekerja asing adalah antara beberapa sebab kenapa gaji pekerja tidak meningkat dengan ketara sejak 10 tahun lalu.
"Kerja-kerja yang memerlukan kemahiran tinggi pasti menuntut gaji yang tinggi, namun dalam banyak keadaan majikan tidak membayar gaji berdasarkan kemahiran, sebaliknya bergantung kepada pekerja asing yang tidak berkemahiran," katanya.
Semalam, Subramaniam selepas menutup satu bengkel mengenai gaji minimum berkata beliau akan membentang cadangan Kementerian Sumber Manusia berhubung gaji minimum nasional kepada Kabinet hujung Oktober ini.
Pelbagai pandangan berkaitan gaji minimum dibangkitkan dalam bengkel itu, dengan ada sesetengahnya merasakan bahawa perlaksanaannya akan memberi kesan terhadap daya saing, perkembangan gaji di samping tidak dapat merapatkan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin dalam negara, manakala di pihak lain pula merasakan bahawa langkah itu akan meningkatkan produktiviti di samping memberi keadilan buat pekerja.
Dr Subramaniam berkata, sekiranya kerajaan bersetuju terhadap cadangan gaji minimum itu, satu peruntukan rang undang-undang yang baru akan diperkenalkan bagi meliputi semua aspek liputan, pihak berkuasa, badan penasihat, perlaksanaan, dan lain-lain lagi.
"Satu Majlis Nasional berhubung gaji minimum juga akan dibentuk bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum yang lancar," katanya.
Kementerian Sumber Manusia dijangka menyiapkan laporannya berhubung gaji minimum nasional itu dalam masa empat bulan sebelum ia dapat dibentangkan ke Kabinet.
Dr Subramaniam berkata, pihak kementerian masih belum memutuskan sekiranya perlu diwujudkan mekanisma gaji minimum nasional, wilayah atau sektor.
"Ia terpulang kepada Kabinet untuk memberikan kami hala tujunya," katanya.
Satu pungutan suara yang dilaksanakan oleh kementerian itu bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung gaji minimum menunjukkan bahawa daripada 434 responden, 76 peratus bersetuju supaya kerajaan melaksanakan gaji minimum untuk semua sektor. -
(BERNAMA 2010/08/05)
No comments:
Post a Comment