Monday, August 02, 2010

Kisah 'Sultan Melaka'

Awang selalu tertanya-tanya apa kesudahannya kisah seorang usahawan Raja Noor Jan Shah dari Gombak, Selangor yang mengisytiharkan dirinya pewaris takhta Sultan Melaka.

Sejak kali pertama membuat dakwaan itu sambil menuntut takhta pada November 2005, ada sahaja perkembangan mengenai beliau. Noor Jan tidak pernah kendur walaupun dakwaannya dinafikan oleh banyak pihak termasuk kerajaan negeri Melaka dan Raja Ali Raja Amran, seorang waris Sultan Abdullah Mohamad 1.


Dari semasa ke semasa, ada sahaja dakwaan beliau yang kononnya berkisar kepada bukti salasilah dan nasab keturunan Sultan Mahmud Shah. Antaranya beliau mendakwa memiliki keris Taming Sari, tongkat Lang Buana yang dikatakan mempunyai kuasa sakti dan beberapa lagi alat kebesaran warisan asal Sultan Melaka.

Ramai masih ingat bagaimana beliau mengadakan acara pertabalan penuh istiadat di dewan serbaguna tidak lama dulu, yang mengundang perhatian besar masyarakat. Tetapi awal-awal lagi ramai yang ragu malah tidak kurang yang menjadikannya bahan jenaka.

Kini Noor Jan dan para pembantunya termasuk ada yang digelar Tengku Bendahara beroperasi di sebuah rumah kedai yang dinamakan Balai Seri Melaka. Sebenarnya Awang sudah tidak larat geleng kepala bercakap fasal hal ini.

Terbaru, usahawan itu buat hal lagi. Beliau menganugerahkan gelaran Datuk Seri Paduka Mahkota kepada pengarah sebuah syarikat hartanah global pada satu majlis di Puchong. Khabarnya, 150 pelabur asing termasuk dari China, Taiwan dan Vietnam hadir pada majlis tersebut.

Akhbar Kosmo! turut melaporkan bagaimana sebuah kereta Rolls Royce sewa yang tertera namanya, Noor Jan dijadikan gimik pada majlis itu bagi menarik perhatian para pelabur. Apa reaksi beliau? ''Nama saya di depan dan belakang kereta itu hanya bermaksud menggahkan Sultan Melaka, apa salahnya," demikian pengakuan Noor Jan. Polis kemudian mengesahkan kereta itu yang dimiliki oleh sebuah syarikat kereta terpakai menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tidak mempunyai cukai jalan.

Awang sengaja paparkan hal ini kerana merasakan kerajaan dan pihak berkuasa tidak menangani isu Noor Jan dengan tegas dan berkesan. Kita tidak boleh membenarkan persekitaran yang mengelirukan masyarakat. Dalam kita menghormati hak individu dan kebebasan, kes Noor Jan juga perlu dilihat daripada aspek kedaulatan dan kemuliaan institusi raja di negara ini. Tindak-tanduk beliau boleh ditafsir sebagai memperlekehkan institusi raja yang perlu dipertahankan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Bagaimana keadaannya jika beberapa lagi individu tampil membuat tuntutan yang sama dan melakukan tindak-tanduk sebagaimana Noor Jan? Awang percaya jika kerajaan terus berdiam, banyak lagi perkara pelik dan mengelirukan boleh terjadi angkara kisah Noor Jan. Dalam kita ketawa dan sinis kepada keghairahan beliau untuk menjadi Sultan Melaka, sesiapapun tidak harus mengambil mudah.

Belajarlah daripada kelalaian kita dalam isu pemimpin Al Arqam, Ustaz Ashaari Muhammad, Ayah Pin dan Nor Azami Ghazali yang akhirnya berjaya membina ketaksuban di kalangan sebahagian kecil rakyat negara ini, Noor Jan juga berkeupayaan ke arah itu. Sekarang pun, beliau sudah mempunyai kumpulan pengikutnya sendiri yang memanggil beliau tuanku. Renungkan.

No comments:

Post a Comment