Penyunting: Syed Ahmad Semait
Tahun: 2006
Penerbit: Pustaka Islamiyah Pte Ltd, Singapura.
Muka Surat: 450
Dalam kumpulan kisah ini, sepuluh tokoh sahabat Rasulullah SAW yang dijamin masuk syurga dan ringkasan sejarah hidup mereka diperkenalkan oleh Syed Ahmad Semait supaya umat Islam dapat mengenali mereka dan berusaha untuk mencontohi sikap dan nilai hidup yang menjadi amalan harian. Antara sikap dan nilai berkenaan ialah keperibadian terpuji, kepimpinan, semangat perjuangan, gigih dalam pengorbanan dan berusaha menegakkan kalimah Islam supaya menetap di puncak yang tinggi.
Sepuluh sahabat ini ialah Abu Bakar As Siddiq, Umar bin Al Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abu Thalib, Thalhah bin Ubaidillah, Az Zubair bin Al Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Sa’ad bin Abi Waqqash, Abu Ubaidah bin Al Jarrah dan Said bin Zaid. Amat menarik untuk membaca setiap kisah para sahabat ini kerana masing-masing mempunyai watak tersendiri yang menjadikan mereka unik. Contohnya Abu Bakar As Siddiq, beliau disifatkan sebagai teman setia yang banyak berkorban. Justeru kisah hidupnya banyak dikaitkan dengan kesetiaan seorang sahabat khususnya dalam perjuangan menegakkan Islam ketika mana orang lain enggan mengakui kebenaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Kisah pengorbanannya juga sangat menarik dan boleh memberi semangat kepada generasi muda Islam untuk mengambil sikap tersebut sebagai sebahagian daripada hidup mereka.
Begitu juga dengan gelaran kepada Abdul Rahman bin Auf. Beliau adalah orang yang berniaga dengan Tuhan, suatu keadaan yang unik dan memberi kekuatan tersendiri kepada usahawan Islam yang bercita-cita ingin mencari contoh usahawan muslim. Beliau telah diberi kekayaan yang luar biasa oleh Allah SWT, di tangannya ada bermacam-macam kemewahan dan kesenangan, namun dia sendiri tidak pernah memakai harta kekayaan dan kesenangan itu untuk membahagiakan dirinya ataupun keluarganya. Dia menganggap kemewahan yang ada di tangannya sebagai amanah Allah SWT yang menjadikannya sebagai tempat bantuan dan pertolongan untuk semua orang. Sebab itulah tangannya tidak pernah putus dengan memberi dan matanya tidak berhenti daripada tangisan.
Sa’ad bin Abi Waqqash adalah contoh kepada mereka yang hendak berjuang pada jalan Allah SWT kerana beliau digelar sebagai pelempar panah pertama pada jalan Allah. Ceritanya menjadi seorang Islam sangat menarik kerana takwil mimpinya dijelaskan oleh Abu Bakar As Siddiq. Kisah kematiannya juga boleh menjadi iktibar kerana dia berpesan supaya mengafankan mayatnya dengan baju bulu yang pernah dipakainya ketika mula berperang menentang kaum musyrikin di Badar. Jenazahnya dimakamkan di perkuburan Al Baqik berdekatan perkuburan para syuhada yang gugur syahid di samping orang-orang salih dan salihin.
Dalam buku ini juga terisi beberapa fakta sejarah yang penting dan wajar dijadikan pegangan serta kajian dalam menempuh perjuangan hidup dan politik bernegara sebagai pemimpin kaum muslimin.
No comments:
Post a Comment