Penulis: Sheikh Musa Ahmad Olga
Tahun: 2009
Penerbit: Pustaka Azhar, Johor Bahru, Malaysia.
Muka Surat: 254
Pesona didik anak cara sunnah adalah buku yang ditulis kepada hati pembaca berkenaan pentingnya mendidik anak-anak secara sunnah. Disertakan dengan dalil daripada al-quran, dikuatkan dengan hadis-hadis dan diperhalusi lagi dengan kisah-kisah para sahabat, tabi’in dan ulamak terdahulu.
Terdapat 17 bab yang semuanya bermula dengan ‘pesona’ yang dimulai dengan kasih dan sayangnya Rasulullah SAW kepada kanak-kanak. Antara contoh yang dilakukan oleh baginda SAW ialah semasa bertemu kanak-kanak, baginda akan menyalami mereka, meletakkan tangan di kepala mereka dan mengendong anak yang masih kecil. Sekiranya baginda SAW bertemu kanak-kanak semasa pulang dari perjalanan, baginda akan mengangkat mereka dengan kasih sayang dan mendudukkan mereka di depan atau belakangnya di atas unta. Kadang-kadang baginda akan mengangkat dan mencium kanak-kanak satu per satu. Apabila baginda SAW mendengar seorang bayi menangis dalam solat yang diimaminya, baginda akan memendekkan solatnya supaya ibu bayi berkenaan akan merasa tenang.
Banyak lagi kisah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW terhadap kanak-kanak yang boleh diteliti dalam bab pertama buku ini.
Bab kedua berkenaan anak yang mati ketika dilahirkan dan penulis membawa contoh kisah Malik bin Dinar iaitu seorang sufi yang tersohor pada zamannya. Beliau bukanlah seorang yang baik pada awalnya namun berubah setelah mengalami suatu peristiwa yang menyebabkannya bersedih hati.
Bab ketiga, dan seterusnya banyak menyentuh proses menjaga kehamilan dan selepas kelahiran, tentang bagaimana menjaga kebersihan diri dan anak, menyusu dan aqiqah.
Dalam bab sepuluh iaitu ‘Pesona peranan ibu bapa dalam mendidik anak’ penulis mendedahkan tangunggjawab ibu bapa memberi tunjuk ajar dan memperkenalkan sunnah kepada anak-anak. Contohnya, apabila anak mula hendak bercakap, ayat yang paling utama didiajar ialah mengucapkan dua kalimah syahadah, ‘Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan-Nya.’
Kalimah syahadah hendaklah diajar sejak awal supaya anak-anak memiliki gambaran jelas dan yakin kekuasaan Allah SWT. Ibu bapa mesti menanam keyakinan yang hakiki bahawa Allah SWT adalah pencipta dan pemelihara segala sesuatu. Selain itu, kalimah basmalah juga wajar diajari sebelum melakukan sebarang kerja supaya terbiasa dalam kehidupan mereka kelak.
Di samping kalimah-kalimah khusus, ibu bapa juga wajar melayan anak-anak dengan lemah lembut dan kasih sayang, sedapat mungkin keperluan mereka hendaklah dipenuhi. Jika hal ini dilaksanakan, bukan sahaja menyebabkan mereka bahagia malah dapat menumbuhkan perasaan patuh, hormat dan keinginan berbakti kepada kedua ibu bapanya.
Buku ini menyelitkan kaedah membentuk akhlak anak-anak melalui sesi bercerita. Dalam bab 13, penulis memuatkan sebelas kisah benar mengenai sirah Rasulullah SAW dan tokoh-tokoh yang hebat dalam sejarah Islam. Kanak-kanak memang suka mendengar cerita dan kadangkala mereka tertarik dengan ketokohan watak-watak yang didedahkan. Sebelas kisah benar ini adalah berkaitan nilai-nilai yang dapat membina dan membangunkan akal dan ruh kanak-kanak supaya tertanam dalam diri mereka keinginan untuk mencontohi peribadi-peribadi yang hebat itu. Justeru kisah-kisah benar ini amat bertentangan dengan kisah-kisah dongeng yang sering dimomokkan dalam buku-buku cerita di pasaran.
Buku ini wajar dimiliki oleh ibu bapa dan mereka yang sedang tercari-cari kaedah mendidik anak secara sunnah.
No comments:
Post a Comment